“Tangan yang memberi lebih baik dari tangan
yang meminta…”
“Tangan yang memberi lebih mulia dari tangan
yang meminta…”
Inilah dua antara ungkapan yang sering disebut oleh kebanyakan kita
semua... Ya, benar sekali ungkapan-ungkapan ini... Sesungguhnya tangan yang
memberi itu lebih baik dan lebih mulia berbanding tangan yang meminta, kerna
mampu membahagiakan... Sungguhpun tidak diminta, jika ada tangan yang sudi
memberi, itu adalah tersangat baik kerna insan yang memberi itu sudi
membahagiakan insan yang memerlukan... Apatah lagi jika hadir insan yang sudi
memberi di saat insan lain sangat memerlukan, sehinggakan insan tersebut
meminta, tidak terhingga kemuliaan insan yang memberi itu... Insya-Allah,
semoga rahmat dan berkat Allah sentiasa bersama insan yang memberi itu...
Semoga insan yang sudi tampil memberi itu sentiasa menjadi kesayangan Allah
SWT...
Di kesempatan ini, saya ingin mengajak anda semua,
bersama merenung satu hakikat... Sedarkah kita, hakikatnya ada satu sumber yang
selalu memberi, tapi tak pernah meminta? Ya, sumber yang selalu memberi tanpa
meminta sedikit pun... Sumber yang sangat mulia itu? Jawapannya, Allah SWT...
Ya, Allah SWT sentiasa memberi, tanpa meminta apa pun daripada kita semua...
Allah SWT inginkan hamba-hambanya sentiasa berdoa,
meminta pada-Nya... Ada sesiapa antara kita ingin mengutarakan sebarang
permintaan Allah SWT terhadap kita? Mungkin ada yang terfikir, bukankah Allah
SWT meminta kita beribadat kepada-Nya? Bagaimana dengan solat? Bukankah itu
antara permintaan Allah SWT terhadap hamba-hambanya, umat Islam? Saya ingin
mengajak anda semua berfikir kembali tentang apa yang kita katakan sebagai
‘permintaan Allah SWT’ ini... Contoh paling umum, beribadat... Benarkah beribadat
ini ‘permintaan Allah SWT’? Atau satu ‘pemberian oleh Allah SWT’? Bukankah
ibadat-ibadat yang kita lakukan itu, terbukti ada kebaikannya, ada khasiatnya
tersendiri? Jadi, bukankah beribadat itu satu pemberian Allah SWT? Selain itu,
bukankah beribadat itu satu langkah kita meminta daripada Allah SWT? Jadi,
fikirkan kembali... Apakah benar ibadat-ibadat itu ‘permintaan Allah SWT’ atau
‘pemberian Allah SWT’?
Maha Memberinya Allah SWT, sehinggakan dia sudi
menganugerahkan rahmat yang melimpah ruah kepada kita... Sekalipun dia sudah
mengurniakan kita ibadat-ibadat yang berguna dan berkhasiat kepada kita, dia
masih menganugerahkan pahala sebagai bekal kita di Akhirat sana...
“Solat itu tiang agama...”
Apakah sebenarnya maksud ungkapan yang sering kita sebut ini? Apakah
bermaksud jika kita tidak solat, agama Islam akan runtuh? Cuba kita renung
sejenak, apakah hikmah di sebalik solat? Apakah ia semata-mata perbuatan yang
seumpama senaman? Atau lebih dari itu? Pernahkah kita terfikir solat sebagai panduan
hidup? Dengan adanya waktu solat Subuh, kita sedar bila terbit mentari... Kita
tahu telah tiba waktunya kita bangkit dari tidur dan bersiap untuk aktiviti
harian... Dengan adanya waktu solat Zohor, kita sedar bila mentari tegak di
atas kepala... Kita tahu kita harus mencari tempat berteduh kerana bimbang
sakit kepala... Dengan adanya waktu solat Asar, kita sedar bila redupnya cahaya
mentari... Kita tahu bila ketikanya kita dapat keluar berjalan-jalan, berjoging
dan bersukan... Dengan adanya waktu solat Maghrib, kita tahu bila gelincirnya
mentari... Kita tahu telah tiba pengakhiran kita bersukan dan pulang ke rumah
untuk mandi dan makan malam Dengan adanya waktu solat Isyak, kita tahu bila
hadirnya malam dan waktu kita untuk berehat...
Solat itu dikatakan tiang
agama Islam, kerna agama Islam itu adalah cara hidup... Jadi dengan adanya
solat, cara hidup kita teratur dan teguh kerana kita punya disiplin...
Masya-Allah, betapa mulianya Allah SWT... Allah menganugerahkan kita disiplin
solat supaya hidup kita teguh dan teratur... Sesudah kita bersolat, Allah
kurniakan lagi pahala kepada kita... Sememangnya Allah SWT Maha Mulia, kerana
memberi kurnia yang sebegitu besar, sungguhpun kita tak pernah memintanya...
“Doa itu otak solat...”
Satu lagi ungkapan yang agak umum bagi kita... Dalam doa, kita memuji Allah
SWT dan menyesali kekhilafan kita dalam hidup, selain memohon semoga sebarang
hajat kita dimakbulkan... Secara tak langsung, dalam berdoa, kita melatih diri
untuk memuji orang lain dan muhasabah diri kita... Lihat, betapa Maha Bijaksana
Allah SWT, melatih kita melalui perbuatan kita sendiri... Selain itu, Allah SWT
juga mengajar kita tatacara meminta sebelum dia mengurniakan apa yang
diminta... Sungguhpun Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam
mengurniakan apa sahaja hajat hambanya tanpa diminta, Allah SWT ingin kita
sedar bahawa kadang-kadang kita perlu meminta bagi membuktikan kesungguhan kita
dalam berhajat... Allah SWT juga ingin kita sedar bahawa tiada yang mustahil
dan tiada permintaan yang terlalu keterlaluan untuk Allah makbulkan...
Ingat pepatah, “Ikut
rasa kan binasa”? Hakikatnya, lama sebelum pepatah ini wujud,
praktikalitinya telah lama disyariatkan oleh Allah SWT... Allah SWT
membuktikan, jika Allah memakbulkan setiap rasa hamba-hambanya, nescaya banyak
yang telah binasa dan akhirnya hamba-hamba Allah tersebut sendiri yang akan
menyesali niat dan rasa mereka... Maka, dikatakan doa itu sebagai otak solat, kerna
doa itu melambangkan kesempurnaan solat kita... Analoginya, hakikat kita manusia...
Baik atau buruk otak kita, membuktikan kesempurnaan diri kita... Begitulah juga
baik atau buruk doa kita, membuktikan kesempurnaan solat kita...
Tapi, bagaimana jika kita bersolat tapi tak berdoa?
Seperti kita punya diri kita, tapi tak berotak? Rasanya, anda semua mampu
memikirkannya... Jadi, saya tinggalkan pada anda semua untuk merenungnya...
Bayangkan perbezaan taraf kita dengan Allah SWT, agaknya apa yang Allah SWT
akan rasa jika kita kurang berdoa pada-Nya? Apa yang Allah SWT akan merasa jika
hambanya kurang meminta pada-Nya? Sesetengah daripada kita, mungkin terlalu baik,
tidak ingin menjadi seorang hamba yang terlalu meminta pada Penciptanya...
Tapi, ini bukan soal terlalu meminta... Ini soal betapa kita menghargai Allah
SWT, di mana kita letakkan Allah SWT dalam sandaran harapan kita, dan soal
kesempurnaan Allah SWT berbanding kita... Mungkin niat kita baik, tak ingin terlalu
meminta, tapi kadang-kadang fitnah timbul kerana ramai yang melihat dan menilai
sendiri... Jadi, lebih baik bagi kita menghindarkan fitnah itu...
Akhir kalam daripada saya, bersamalah kita menabur jasa,
memberi walaupun tak diminta... Kita sebagai insan biasa, kekadang tak dapat
lari dari mengharapkan balasan bagi pemberian kita... Tapi, latihlah diri kita
untuk sekadar menyimpan hasrat dibalas itu dalam hati kita... Ingatlah bahawa
Allah SWT sentiasa ada untuk kita meminta... Jika kita berharap pada insan,
belum tentu dibalas... Namun, jika kita berharap pada Allah SWT, Insya-Allah
balasan Allah itu bertimbal-timbal dan Allah SWT sentiasa memberikan yang
terbaik seiring hasrat hamba-hambanya...
*Kredit kepada saudara Saiful Azrie kerna mencetuskan ilham melalui
penulisan pada papan putihnya...