SEMANGKUK AIR SABAR...


W
H, saya nak tanya sikit, boleh?

H
Boleh je... Silakan...

W
Saya ni sangat susah nak bersabar... Senang naik angin... Saya pun tak tahu kenapa... Boleh tak H kongsikan apa-apa petua ke, cadangan ke, untuk saya melatih diri saya supaya lebih bersabar?

H
Oh, begitu... [Insya-Allah] Saya cuba kongsikan sesuatu... Moga-moga ia bermanfaat...

W
Terima kasih...

H
Baiklah... Awak nampak mangkuk atas meja tu? (menunjuk ke arah satu mangkuk yang agak besar di atas meja)

W
Nampak...

H
Boleh tak awak tolong ambik mangkuk tu, lepas tu isi air ke dalamnya sehingga hampir penuh?

W
Boleh je... (berjalan ke arah meja, ambil mangkuk dan membawanya ke singki berdekatan)

H
Terima kasih... Lepas tu, bawa ke sini ye...

W
(selepas mengisi air ke dalam mangkuk dan membawa mangkuk tersebut ke arah H) Nak buat apa dengan mangkuk berisi air ni? Nak suruh saya basuh muka ke? (sedikit tersengih)

H
Haa... Nanti kita tengok apa yang berlaku... Nak cuba buat ‘magic’ sikit... Harap-harap menjadi...

W
Oh, okey...

H
Baiklah, sekarang saya nak minta awak pegang mangkuk tu, agak-agak paras pinggang...

W
Boleh... (mengangkat mangkuk ke paras pinggang)

H
Baiklah, sekarang saya akan kacau air dalam mangkuk ni... (mengacau air dalam mangkuk menggunakan jari telunjuk)

W
Wah, berdebar la pulak...

H
Okey, sekarang kita tunggu sehingga air ni tenang dan berhenti berkocak...

W
Baiklah...

(Selepas beberapa ketika...)

W
Aduhai... Lambat pulak air ni nak berhenti berkocak... Tangan saya dah lenguh dah ni... Ditambah dengan tangan saya menggigil ni, makin lambat la air tu berhenti berkocak...

H
Sabar...

W
Tapi H, saya dah mula panas hati dah ni... Kang pecah mangkuk ni terhempas ke lantai...

H
Kalau macam tu, letakkan mangkuk tu ke atas meja ni...

W
Baiklah... (meletakkan mangkuk ke atas meja)

H
Sekarang, kita tunggu lagi air ni tenang dan berhenti berkocak...

(Setelah beberapa minit, air dalam mangkuk itu berhenti berkocak...)

W
Akhirnya...

H
Ya, akhirnya air dalam mangkuk ni tenang dan berhenti berkocak...

W
Jadi? Ni, mesti nak umpamakan kesabaran itu seperti air, kan?

H
Haa... Pandai...

W
Mestilah... (tersenyum bangga)

H
Tapi, saya bukan nak umpamakan kesabaran seperti air...
Saya cuma nak awak fikirkan, kenapa awak panas hati menunggu air tu berhenti berkocak? Kenapa pula saya boleh bertenang je?

W
Ye la... Sebab lama sangat nak tunggu... Air tu macam tak nak berhenti berkocak...
Awak pulak, mestilah bertenang... Sebab awak nak tunjukkan sesuatu kepada saya... Kalau awak pun hilang sabar, tak menjadi la apa yang awak cuba sampaikan...

H
Bukan... Bukan sebab tu... Sebenarnya, awak rasa panas hati dan tak sabar sebab awak asyik tenung air dalam mangkuk tu... Memang la saya suruh tunggu sampai air tu berhenti berkocak... Tapi, saya tak pulak suruh awak tenung air tu sampai berhenti berkocak... Kalau la awak tak tenung air tu, mesti awak tak cepat hilang sabar...

W
Erm... Tak faham la... Apa yang awak cuba sampaikan?

H
(tersenyum) Macam ni, W... Setiap kali kali kita dilanda masalah, janganlah kita fokus pada masalah tu... Jadikan masalah tu sebagai sambilan je... Janganlah kita membazir masa fokus dan asyik memikirkan masalah tu... Lebih baik kita gunakan masa tu untuk memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah tu...
W, sesetengah masalah tak perlu diselesaikan, atau mungkin tak boleh diselesaikan... Sama macam air yang berkocak tu... Dalam konteks air berkocak tu, kita hanya perlu tunggu sehingga air tu tenang... Jangan pula kita asyik tenung air tu... Kalau kita asyik tenung kekusutan tu, fikiran kita pun jadi kusut... Dalam konteks fikiran kita kusut, janganlah kita asyik fokus pada sebab yang mengusutkan tu... Kita tenang je... Lama-lama, kekusutan tu akan hilang...
Satu lagi, kita sama-sama percayakan Tuhan... Walaupun kita berbeza fahaman agama, kita ada Tuhan masing-masing... Jadi, pohonlah kepada Tuhan agar kita terbantu untuk menyelesaikan masalah kita tu... Paling tidak, agar kita dapat bertenang...
Kalau kita percaya akan adanya ketenangan bagi setiap kekusutan, kita akan mampu bertenang...

W
Oh, begitu... Saya dah faham... Bukan main lagi... Siap analogi air pulak dia... Terima kasih H...

H
(tersengih) Sama-sama... Kebetulan... Sekarang kan selalu hujan... Tu yang dapat ilham air tu...
Ingat, W...
Laut yang bergelora pun, ada ketikanya akan tenang... Tika itulah banyak ikan...
Dan...
Kocakan air sungai kerna hujan sekalipun, akan kembali tenang setelah satu tempoh masa...
Satu lagi...
Sungai yang berombak pun mampu dimanfaatkan... Contohnya, benak kat Batang Lupar yang mampu menarik pelancong... (angkat kening)
Tapi...
Jangan jadi macam gelora tsunami di Semenanjung Malaysia yang lalu... Memang menarik perhatian... Tapi, menyebabkan orang sentiasa ketakutan... (senyum segaris)

W
Macam mana dengan ‘Air yang tenang jangan disangka tiada buaya’?

H
Bijak... Jadi, anak dara janganlah suka berkemban... Takut disambar buaya nanti...

HAKIKATNYA DIRI INI TIDAK DIPERLUKAN…


Haruskah ada alasan untuk sebuah cinta?
Haruskah berguna untuk dijadikan sahabat?
Haruskah ada yang tercedera atau terkorban, hanya kerna dibenci?
Haruskah ada yang tersisih terbuang, hanya kerna dirinya tidak lagi diperlukan?
           
Apa jua persoalannya, tidak seHARUSnya kita memikirkannya sebagai alasan kita menidakkan sesiapa dalam hidup kita... Jika ada yang ingin kita fikirkan, renungkan satu persoalan?
Haruskah kita punya sebab untuk hidup?
           
Jangan salah faham... Bukanlah saya mengajak anda semua membunuh diri... Ya, benar kita sebenarnya ada sebab untuk hidup... Sebab dan tujuan kita hidup sebenarnya dalah kerna kita diperintahkan menjadi khalifah di Bumi... Namun, jika ada sesiapa antara kita yang hilang rasa kepimpinannya, merasakan dirinya tidak layak menjadi khalifah, haruskah dia membunuh diri atau menyisihkan diri menanti mati?
Respon biasa :
Setiap insan adalah pemimpin... Setidaknya, dia adalah pemimpin bagi dirinya sendiri...
Respon sedikit luar biasa :
Kalau ada yang merasakan hidupnya tiada guna kerna tidak diterima sesiapa, adakah dia yakin ada yang sudi menerimanya setelah dia mati?
(maaf kerna agak biadap kata-kata di situ)

            Apa yang saya cuba katakan, pada sekian saat, sekian masa, sekian hari, sekian tahun, Allah SWT telah hidupkan kita ke dunia... Kemudian, pada sekian saat, sekian masa, sekian hari, sekian tahun, Allah SWT akan matikan kita dari dunia... Hidup dan mati itu, ada sebabnya... Siapa kita untuk persoalkan Qada’ dan Qadar, ketentuan Allah SWT itu?
           
Ingin saya kongsikan satu analogi sebagai sekecil-kecil sebab hidup dan mati kita...
Pada saat kelahiran kita, kita telah menambahkan berat pada Bumi... [Katakanlah kita seberat 4 kilogram sewaktu lahir]... Boleh jadi pada saat kelahiran kita itu, Bumi sangat memerlukan berat 4 kilogram itu, bagi mengekalkan kestabilan tanahnya...
Pada saat kematian kita nanti, kita telah menghilangkan berat pada Bumi... [Katakanlah kita seberat 60 kilogram sewaktu mati]... Boleh jadi pada saat kematian kita nanti, Bumi perlu menghilangkan berat sebanyak 60 kilogram, bagi mengelakkan tanahnya tenggelam ke dalam laut...
            Namun, ada masanya Bumi memerlukan berat... Pada saat itulah, seorang bayi dilahirkan... Ada masanya juga, Bumi perlu menghilangkan beberapa kilogram... Pada saat itulah nanti seorang insan akan mati...
            Percayalah... Sungguhpun seorang bayi hanya hidup selama beberapa saat di dunia, boleh jadi kerna Bumi memerlukan pertambahan beratnya seketika cuma...

Mungkin analogi saya itu tidak logik, tidak tepat atau kolot... Namun, anggaplah ia sebagai sekecil-kecil sebab untuk hidup kita... Mungkin anda boleh kongsikan dengan beberapa kawan anda, yang anda rasakan ingin mendengarnya... Siapa tahu, anda mungkin anda mungkin menyelamatkan satu nyawa, jika ada antara kawan anda itu yang berniat membunuh diri... Tak kisahlah jika saya digelarkan kolot... Yang penting, hidup seorang insan bermotif, matinya juga bersebab... Harapnya, matlamat perkongsian saya tercapai...

Sidang pembaca sekalian,
Allah tidak memerlukan kita, walau sedikit pun… Tapi, persoalannya kenapa Allah ciptakan kita walhal hakikatnya tiada gunanya kita bagi-Nya?

Itulah bukti Maha Pengasihnya dan Maha Penyayangnya Allah SWT… Maha Pengasihnya Allah SWT, memberikan kehidupan kepada semua manusia sungguhpun ramai manusia yang tidak beriman kepada-Nya… Maha Penyayangnya Allah SWT, menganugerahkan keimanan kepada umat Islam sejagat, walaupun ramai umat Islam yang tidak seberapa keimanan mereka…

Ayuh kita refleksi diri kita… Ayuh refleksi pada hakikat penciptaan manusia oleh Allah SWT, yang tidak mendatangkan apa-apa faedah pun kepada Allah SWT… Refleksinya pada pergaulan kita… Adakah kita memerlukan sebab untuk berkawan dengan seseorang, untuk bergaul? Hakikatnya, adakah kita sebenarnya memerlukan sebarang sebab untuk menerima seseorang dalam hidup kita? Adakah hanya insan yang berfaedah kepada kita layak wujud dalam hidup kita? Sedangkan Allah Yang Maha Berkuasa sudi menghadirkan setiap insan di atas Bumi-Nya, walaupun tidak sedikitpun insan-insan tersebut memberi faedah kepada Allah SWT… Apakah kita ingin berlagak sombong, lebih sombong berbanding Allah SWT, untuk menolak sejumlah insan yang hadir dalam hidup kita? Terimalah mereka dengan apa adanya…

Begitu banyak ‘jawatan’ yang boleh kita berikan kepada insan-insan yang hadir dalam hidup kita… Antaranya, ‘kawan’ yang menemani hidup kita [walaupun kadang-kadang], ‘guru’ yang mengajarkan kita tentang sesuatu, atau mungkin ‘teman hidup’ [merujuk kepada pasangan hidup]… Setidaknya, terimalah mereka sebagai insan yang memberikan cerminan kendiri kepada kita… Terimalah mereka tanpa mengira warna kulit, rupa paras, bangsa, mahupun agama...

Maafkan saya dan perbetulkan saya jika saya tersilap... Rasanya Rasulullah SAW pun menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup baginda... Walaupun baginda menggelarkan seseorang sebagai ‘musuh’, baginda hakikatnya belajar sesuatu dari insan tersebut... Kecintaan baginda melampaui kebencian baginda... Saya tidak mampu menukilkan hadis atau sirah Rasulullah SAW untuk membuktikan ini sebagai fakta... Namun, cukup kiranya jika kita renungkan, “Mengapa Rasulullah SAW begitu bersikap pemaaf kepada ‘musuh’?”... Mengapa baginda SAW tidak pernah berdendam? Jawapan saya, kerna kecintaannya kepada setiap insan yang berlandaskan kecintaan kepada Allah SWT...

Jika kita disakiti, janganlah kita terus melawan... Jika kita rasakan bahawa kita telah cukup bersabar, renungkan tentang sabar Allah SWT akan hamba-hamba-Nya... Jika kita rasakan sudah sampai tahapnya untuk kita melawan balik, pastikan dengan sepenuh hati bahawa kita melawan kerana Allah SWT, bukan kerana amarah kita... Kerna setiap perbuatan yang diniatkan kerana Allah SWT, akan dijaga oleh Allah SWT sepanjang prosesnya... Jika kita melawan kerana Allah SWT, Insya-Allah, Allah akan hadirkan perasaan berpada dalam hati kita... Jika kita berlebihan dalam melawan, bermakna kita telah terbawa-bawa oleh nafsu amarah... Oleh itu, jika anda ingin melawan sebarang kejahatan, berjanjilah bahawa anda hanya akan melawan kerana Allah SWT... Jika anda tidak mampu berjanji sedemikian, batalkan niat anda untuk melawan... Kerna tindakan anda melawan itu hanya akan membuatkan syaitan melonjak kegirangan dan mendatangkan kemungkaran Allah SWT... Ingatlah bahawa selemah-lemah iman adalah berdoa... Kadang-kadang, suatu kejahatan hanya perlu dihadapi dengan senyuman dan iringan doa moga insan yang berbuat jahat itu berubah menjadi baik dan hidupnya lebih diberkati Allah SWT...

Akhir kata, terimalah sesiapa saja yang sudi hadir dalam hidup kita... Jangan dikisahkan niatnya, kerna niat itu tertakluk kepada insan tersebut dan Allah SWT... Apa lagi, jika kita kisahkan rupa paras, bangsa atau apa jua yang tidak sepatutnya menjadi isu... Terimalah insan-insan tersebut sebagai anugerah Allah SWT kepada kita... Setidaknya Allah SWT masih sayangkan kita kerna sudi menghadirkan insan-insan tersebut dalam hidup kita... Baik, buruk insan-insan itu, usahlah menjadi kegusaran... Yang penting, kita bersangka baik terhadap mereka... Moga dengan sangka baik kita itu, insan yang berniat baik bertambah baik dan insan yang asalnya berniat jahat bertukat berniat baik... Amin...

SIAPA KITA, BERBANDING ALLAH SWT, UNTUK BERLAGAK SOMBONG, SEHINGGA TIDAK INGIN MENERIMA SETIAP INSAN YANG HADIR DALAM HIDUP KITA?

MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG ALLAH SWT MENGHADIRKAN INSAN TERSEBUT DALAM HIDUP KITA, SUKA HATI KITA NAK MENOLAKNYA? SIAPA KITA???

JIKA INSAN ITU BAIK, ALHAMDULILLAH KITA DILIMPAHI KEBAIKANNYA... JIKA INSAN ITU TIDAK BAIK, ALHAMDULILLAH KITA DIBERI PELUANG UNTUK BELAJAR TENTANG APA YANG TIDAK BAIK ITU...





MALAIKATKU…


Dikisahkan suatu ketika, seorang bayi bakal dilahirkan ke dunia...
Lalu, mengadaplah si bayi akan Allah SWT dan bersuara:
“Para malaikat di sini mengatakan bahawa besok Dikau akan mengirimkan saya ke dunia... Akan tetapi, bagaimana saya mampu hidup di sana? Saya begitu kecil dan lemah...”
Allah SWT menjawab:
“Telah ku pilih satu ‘malaikat’ buatmu... Dia akan menjaga dan mengasihimu dengan sepenuh hatinya...”

Si bayi bertanya lagi:
“Tetapi di sini, di dalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah menyanyi, bermain dan tertawa…Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia. Mengapa harus jua saya dikirimkan ke dunia?”
Tuhan menjawab:
“Usahlah kamu gusar... ‘Malaikat’mu nanti akan menyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari. Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya sehinggakan kamu akan lebih berbahagia di sana...”

Si bayi terus bertanya:
“Tapi Ya Allah, mana mungkin saya dapat memahami percakapan orang di dunia, saat mereka berbicara dengan saya, sedangkan saya tidak memahami bahasa mereka?”
Jawapan Allah SWT:
“‘Malaikat’ yang Aku kirimkan untukmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengari. Dan dengan penuh kesabaran dan perhatian, dia akan mengajarmu cara untuk berkata-kata...”

Persoalan si bayi tidak terhenti di situ, dia terus bertanya:
“Apakah yang perlu saya lakukan jika saya ingin berbicara dengan Mu Ya Allah?”
Allah SWT menjawab:
“‘Malaikat’mu akan mengajarkan kepadamu bagaimana caranya untuk kamu berdoa dan bermunajat kepada-Ku...”
Kemudian, dengan penuh kerisauan, si bayi bertanya lagi:
“Khabarnya, di Bumi banyak orang jahat... Siapa yang akan melindungi saya nanti?”
Tuhan menjawab:
“‘Malaikat’ yang Ku utuskan untukmu itulah yang akan melindungi dirimu, walaupun mungkin jiwa dan raga terpaksa dikorbankannya...”

Si bayi meluahkan perasaan:
“Saya pasti akan merasa sedih kerana tidak dapat melihat Mu lagi...”
Allah SWT bertitah:
“Usahlah kamu risau... ‘Malaikat’mu akan menceritakan kepadamu tentang Aku... Dia juga akan mengkhabarkan bahawa kamu akan kembali juga kepada-Ku, walaupun sesungguhnya Aku akan sentiasa disisimu... ‘Malaikat’mu itu akan mengajarkan kepadamu apa yang perlu kamu lakukan sebagai persediaan kembali kepada-Ku...”


Tiba saatnya, Syurga begitu tenang dan hening sehingga suara dari Bumi dapat jelas kedengaran... Menandakan Bumi telah sedia menerima kehadiran si bayi...

Si bayi bertanya perlahan:
“Ya Allah, jika saya terpaksa pergi sekarang, bolehkah Dikau khabarkan kepada nama ‘malaikat’ yang Dikau maksudkan itu, yang Dikau utuskan untuk saya?”
Tuhan menjawab:
“Kamu akan memanggil ‘malaikat’mu itu “IBU”. Ingatlah kamu akan pesanan-Ku...
Sentiasalah kamu berkasih sayang dengan ibumu dan hargailah setiap pengorbanannya.
Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa.
Dialah satu-satunya harta mu yang tiada galang gantinya, dunia mahupun akhirat.

‘Si bayi’ itu adalah saya, anda dan mereka semua, yang bergelar anak... Telah Allah SWT utuskan satu ‘malaikat’ untuk setiap kita... ‘Malaikat’ itu adalah ibu... ‘Malaikat’ saya dan adik-beradik saya adalah Umi kami... ‘Malaikat’ anda adalah ibu anda... ‘Malaikat’ mereka adalah ibu-ibu mereka... Oleh itu, tanggungjawab kita adalah mengasihi dan menyayangi ibu-ibu kita... Mereka telah terdidik oleh Allah SWT, lama sebelum kita diutuskan kepada mereka... Jadi, tidak wajar dan tersangat kejamlah kita untuk menderhakai mereka, tatkala suruhan dan perbuatan mereka adalah yang disyariatkan kepada mereka sebagai ibu kita, sebagai ‘malaikat’ kita...
Buat ibu-ibu sekalian, semoga hidup kalian bersyariat sentiasa... Agar kami, anak-anak kalian tahu, teguranmu adalah kerna syariat Allah SWT... Agar kami tahu, amarahmu bersyariatkan suruhan Allah SWT... Agar kami bangga dengan pujianmu, tatkala perbuatan kami berlandaskan syariat Allah SWT... Terima kasih wahai ‘malaikat’ kami dan kami doakan kalian berbahagia dalam berkat dan dicucuri rahmat oleh Allah SWT...

nota: Terima kasih yang tidak terhingga kepada insan yang sudi berkongsi ilham ini dengan saya... Nukilan ini bukanlah sepenuhnya hasil ilham saya... Saya sekadar mengolah ilham seorang insan yang tidak saya kenali, namun sudi berkongsi...

JANGAN MARAH SYAITAN…


Alkisah, seorang Hamba Allah mengerjakan satu pekerjaan... Dalam mengerjakan pekerjaan itu, ada kesulitan menimpanya... Lalu si Hamba Allah mengeluh:
“Celaka la syaitan, yang menyulitkan kerja aku ni... “
Begitulah lebih kurang kata-kata Hamba Allah tersebut...

Sebagai insan yang menyaksikan situasi itu, terdetik di hati saya:
“Bagusnya dia ni... Bila marah, kutuk syaitan...”

Sidang pembaca budiman,
            Betul tak detik hati saya tu kan? Tidak hadirin sekalian... Ahmad Zakry Haikal telah tersilap dalam pertimbangannya... Ya, saya tidak seharusnya terdetik demikian... Salah bagi saya memuji dan mengiyakan tindakan Hamba Allah tersebut... Sepatutnya saya menegur perbuatannya...
           
Kenapa saya katakan detik hati saya adalah salah? Bagi menjawab persoalan tu, ayuh kita ambil teladan dari satu sirah zaman Rasulullah SAW...
Satu ketika, seorang pemuda berkelana bersama Rasulullah SAW... Tiba-tiba, si pemuda terjatuh dari untanya... Lalu, dia mencaci dan mencelakakan syaitan... Sejurus itu, Rasulullah menegur si pemuda dan melarangnya... Menurut sabda Rasulullah SAW, syaitan tidak akan marah jika dicerca, malahan syaitan lebih suka... Sukanya syaitan sehingga syaitan akan membesar sebesar rumah... Rasulullah SAW menyarankan si pemuda membaca Bismillah... Kerna bila Bismillah dibaca, akan membuatkan syaitan jadi kecil, sekecil lalat...

Jadi, apa yang perlu kita lakukan bila kita berhadapan dengan masalah? Istighfar? Ya, betul... Pandai betul sidang pembaca sekalian... Lebih baik kita istighfar... Dapat juga pahala memuji Allah SWT... Tapi, kalau tak mampu beristighfar? Boleh jadi, istighfar itu terlalu panjang untuk kita jadikan permulaan... Bila berhadapan masalah, seakannya susah untuk kita beristighfar? Oleh itu, ayuhlah kita berbalik kepada sirah di atas dan ambillah pengajaran dari sabdaan Rasulullah SAW itu... Bacalah Bismillah... Tiada ruginya kita mengamalkan lafazan Bismillah setiap kali kita menghadapi kesulitan... Tidak rugi masa, apatah lagi kesuntukan nafas... Ia hanyalah satu lafaz 3 suku kata, berpahala lagi... Ayuhlah kita mengubah kebiasaan menyebut ‘Celaka’ kepada ‘Bismillah’...

Selain itu, Rasulullah SAW mengajarkan kita sesuatu yang lain, sesuatu yang baik dengan kebiasaan melafazkan Bismillah setiap kali kita mengalami kesulitan... Ia adalah menyembunyikan kesulitan dan tidak membesar-besarkan atau mengheboh-hebohkan masalah yang kita alami... Dengan tidak mengheboh-hebohkan masalah kita, Insya-Allah jiwa kita akan lebih tenang, kerna tiada tekanan luar yang mengapi-apikan kita... Bila jiwa kita tenang, fikiran kita akan berkurangan kusutnya dan kita akan lebih senang mencari jalan penyelesaian... Sebagai bukti, ayuh kita renungkan bersama... Sekiranya seseorang menyebut ‘Celaka’, ‘S**t’, atau apa juga perkataan yang tidak sepatutnya, dia akan menyebutnya secara kuat dan bunyinya lebih keras didengari, berbanding jika dia menyebut ‘Bismillah’... Lafaz Bismillah kedengaran lembut apabila diungkapkan... Tiada sebab seseorang ingin melafazkan ‘Bismillah’ secara keras...

Saya bukanlah guru vokal atau berkemahiran dalam bunyi dan vokal... Namun, saya sedar hakikat kombinasi huruf ‘alif’ huruf ‘ha’ di pengakhiran ‘Bismillah’ turut memainkan peranan penting dalam menghilangkan kekusutan fikiran... Tatkala melafazkan ‘Bismillah’ dengan ‘alif’ ‘ha’ di hujungnya, kita menghembuskan nafas... Antara cara yang membantu menghilangkan kekusutan fikiran adalah pernafasan yang baik dan menghembuskan nafas adalah seolah kita melepaskan kekusutan itu keluar dari diri kita... (Betulkan saya jika saya tersilap). Kalau betul apa yang saya katakan ni, Alhamdulillah, tak terungkap dengan kata-kata hikmah tersebut...

Akhir kata, akhlak Rasulullah itu akhlak Al-Quran, kata-kata Rasulullah itu kata-kata Al-Quran... Al-Quran pula, kata-kata Allah... Jadi, mengapa kita menolak untuk mempercayai Rasulullah SAW? Sehingga kini, satu persatu hikmah Al-Quran dan hadis dibuktikan secara saintifik... Cubalah mencari hikmah-hikmah di sebalik lafazan ‘Bismillah’ tatkala mengalami kesulitan ini... Siapa tahu, ada antara kita yang mampu menerbitkan tesis sarjana atau mendapat gelaran Doktor Falsafah, kernanya... Kadang-kadang, kita hanya perlu berfikir lebih sedikit untuk memajukan diri kita...

KESULITAN MELANDA, BISMILLAH DIKATA...
BISMILLAH DI KATA, BISMILLAH JUA DI JIWA...
BISMILLAH DI JIWA, INSYA-ALLAH MENUJU SEMPURNA...

NOTA:           Terima kasih TV Al-Hijrah kerana telah memberi pengajaran berguna kepada diri yang daif ini... Alhamdulillah Ya Allah, kerana masih sayangkan hamba ini, masih ingin memperbetulkan persepsi dan pegangan hamba ini...






'SUPERBIKE' ELAK MAKSIAT

H
Assalamualaikum bro… Cantik motosikal... Boleh tumpang?

Z
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh... Boleh, boleh... Sila la naik... (senyum lebar)

H
Kenapa la kau beli ‘superbike’ satu tempat duduk ni? Kenapa tak beli motosikal biasa je? Ada dua tempat duduk... Tak pun, belilah superbike lain... Yang penting, ada dua tempat duduk... Boleh jugak aku tumpang... (tersengih)

Z
Aku bukan apa, bro... Kalau kau mintak tumpang, aku tak kisah... Sebab kau pun lelaki... Tapi, aku takut... Aku takut ada perempuan mintak tumpang motosikal aku... Mau luruh jantung aku nanti... Jadi, lebih baik aku berjaga-jaga... Sebab tu, aku beli ‘superbike’ satu tempat duduk ni...
Kalau ada perempuan nak tumpang jugak, ha, silalah duduk dalam bakul kat belakang ni...

H
Betul jugak tu... (tersenyum bangga)

NOTA:
Terkedu,sangat berbangga dengan insan yang berfikir dan bertindak sedemikian... Syukur Alhamdulillah, atas ilham yang dikurniakan kepada insan tersebut...Mungkin dari segi luarannya, insan tersebut mungkin kelihatan seakan menunjuk-nunjuk... Namun, soal hati dan nawaitu sebenar, siapa yang tahu... Kebanyakan masa, kita perlu bertanya untuk kebenaran, jauh lebih baik daripada terus menilai pada zahirnya...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal