PESAWAH UNTUK PADI...


H :
Assalamualaikum... Ni, kenapa pulak ni? Nak kata termenung, muncung je… Susah hati?

E :
Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh... Tunang aku merajuk lagi... Kita tegur dia, tapi dia degil tak nak dengar... Bila kita tinggikan suara sikit, mulalah merajuk... Selalu sangat macam tu... Mungkin aku ini tak sesuai dengan dia kut... Mungkin dia perlukan seorang lulusan luar negara, yang nampak berilmu, barulah dia nak dengar nasihat...

H :
Hai... Lain macam je ni... Takkan nak putus tunang dengan dia kut...

E :
Bukan macam tu... Masih sayangkan dia... Tapi, buntu... Tak tahu nak buat macam mana lagi... Kadang-kadang, rasa macam aku ni tak sesuai dengan dia... Dia lulusan luar negara, aku ni lulusan tempatan je... Macam tak sesuai pulak diri ni nak nasihatkan dia...

H :
Nak tanya sikit boleh? Dia pernah bagitau tak, kenapa dia sukakan kau?

E :
Dulu, pernah tanya dia... Dia kata, dia sukakan aku sebab diri aku...

H :
Rasanya, aku tahu sebab apa dia sukakan kau...

E :
Sebab apa?

H :
Sebelum tu, nak kongsi sikit ni… Hanya pesawah yang mampu membuatkan padi tunduk berisi… Bukan seorang jurutera lulusan luar negara, tapi seorang pesawah yang biasa... Secomot-comot seseorang pesawah tu, harus diingat bahawa hanya dia yang mampu membuatkan padi tunduk berisi...

E :
Ni, apa padi la, pesawah la, jurutera la... Apa maksudnya ni?

H:
Maksudnya, peranan setiap insan tu unik... Macam jurutera, bidangnya dianggap professional... Sungguhpun begitu, dia tak mampu membuatkan padi tunduk berisi... Silap-silap, padi boleh mati... Tapi, bagi seorang pesawah yang kerjanya dianggap biasa-biasa je, namun mampu membuatkan padi tunduk berisi... Sebab apa, tahu tak?

E :
Sebab setiap dari diorang tu, ada ilmu tentang bidang masing-masing...

H :
Ha, lebih la tu... Sebab diorang ada ‘skill’ masing-masing... Jurutera berbakat dalam bidang kejuruteraan... Pesawah pula berbakat dalam aspek sawah, termasuk hal ehwal berkaitan padi... Kalau nak dikira ilmu, ramai yang akan berkata jurutera lebih berilmu... Kalau nak dikira gaya, memang terserlah jurutera lebih bergaya... Tapi, kalau bab teknik menundukkan padi dengan membuatkan padi berisi, memang bidang pesawah la...

E :
Okey, dah faham pasal tu... Tapi, apa kaitannya semua tu dengan masalah degil ni?

H :
Maksudnya, tak perlu belajar sampai ke universiti untuk melembutkan hati yang degil... Tak kisah berilmu sampai lulusan luar negara atau tak, seseorang insan mampu melembutkan hati yang degil... Tak perlu bergaya pun, masih mampu melembutkan hati yang degil...
Tapi, bukan semua orang dapat melembutkan hati yang degil ni... Bukan semua orang dapat menundukkan insan yang angkuh... Sama macam padi, kita bukan nak insan tu tunduk je, tapi kita nak dia tunduk dan berisi... Kita nak dia tunduk, tawadduk, tapi berisi, berilmu...
Kau cakap, dia selalu merajuk... Maksudnya, kau selalu pandai memujuk dia... Sebab tu, dia sukakan diri kau... Jadi, tak payah la kau nak fikir yang dia perlukan seorang yang lebih berilmu, lulusan luar negara untuk pujuk dia... Kau ‘pesawah’ dia, dia ‘padi’ kau... Memang kau yang sesuai membuatkan dia tunduk berisi... Jadi, kahwinlah cepat-cepat... Takut nanti, ‘padi’ kau tu dah masak, dimakan burung pula... Kau juga yang rugi... Takkan kau nak biarkan ‘padi’ yang kau usahakan sampai tunduk berisi, hasilnya dirasa oleh yang lain...

H :
Insya-Allah, ‘padi’ tu masih untuk aku... Kau ni, buat aku tak sabar-sabar nak kahwin pula...

E :
Tapi, kalau ‘padi’ kau tu nak berbakti pada tanah terlebih dahulu, benarkanlah dahulu buat masa sekarang...

H :
Ni, apa pula masuk unsur ‘tanah’ pula ni? Tadi, dah elok-elok faham, sekarang dah tak faham balik...

E :
Maksudnya, kalau tunang kau tu nak berbakti kepada ibu bapanya dahulu, benarkanlah buat masa sekarang... Tak wajib lagi kan?

H :
Oh, macam tu pula... Tapi, kalau hasilnya dikongsi oleh aku dengan ibu bapanya, boleh kan?

E :
Tu, boleh juga la... Atas budi bicara masing-masing... Kesimpulannya, tak salah pun kita sebagai ‘pesawah’ membuatkan ‘padi’ tunduk berisi sehingga hasilnya dapat dirasai oleh ‘tanah’ buat masa sekarang... Tak salah pun, kita bantu mendidik anak dara orang agar dia dapat berbakti kepada ibu bapanya, walaupun hasilnya lambat untuk kita tuai...

Nota:
Pesawah, mungkin seorang... Padi, tak mungkin sebatang... Maksudnya, seorang pesawah mampu menuai lebih sebatang padi...  Dalam konteks kehidupan sebenar, betullah tu... Tapi dalam konteks mendidik ‘insan tersayang’, cukuplah satu je yang dituai...  Insan-insan yang lain, biarlah hasilnya dituai oleh orang lain...
Selamat menjadi ‘Pesawah’ buat semua...Semoga banyak ‘Padi’ yang mampu tunduk berisi, disebabkan anda... Sampai waktunya, tuailah ‘Padi Yang Terpilih’... ‘Padi-Padi’ lain, biarlah mereka berbakti kepada ‘Tanah’ mereka, atau mungkin ada ‘Pesawah’lain yang beminat menuainya... Insya-Allah, ‘share’ hasilnya masih dapat kita rasa... Pahala kita mendidik tetap berlanjutan kepada kita...
MENDIDIK BIAR BANYAK, ‘MENUAI’ CUKUPLAH SATU...

KERNA MEREKA GURU...


            Terlalu kerap dan banyak keluhan yang didengari, daripada para guru, mahupun bakal guru... Sakitnya hati mereka setelah kerjaya guru seakan dianaktirikan... Kerjaya mereka diperkotak-katikkan... Salah sebahagian mereka dperbesar-besarkan, malah dihebah-hebahkan... Baru-baru ini, ada beberapa orang kawan-kawan saya, para guru pelatih, berkongsi satu artikel tentang seorang insan yang mempertikaikan tindakan kerajaan membiayai pengajian guru-guru pelatih melanjutkan pengajian ijazah mereka ke luar negara...
           
Secara spesifiknya, insan tersebut mempertikaikan tindakan kerajaan membiayai pelajar-pelajar perguruan ke luar negara untuk mengikuti pengajian bahasa... Menurut insan itu, kerajaan seharusnya menggunakan wang tersebut untuk membiayai pelajar-pelajar kursus lain yang lebih kritikal, seperti perubatan dan kejuruteraan...
           
Sebagai rakyat Malaysia, sebuah negara yang harmoni, saya merasakan tindakan insan tersebut sangat tidak patut... Bukan saya ingin bertindak berat sebelah dengan mengatakan kursus perguruan sangat penting, dan kursus-kursus lain tidak penting... Menurut pendapat saya, kursus perguruan juga sama penting dan sama kritikal seperti kursus-kursus lain...

Menurut beberapa kawan-kawan saya yang mengikuti kursus perubatan, hakikatnya lambakan pelajar perubatan tersangat ramai sehingga menimbulkan kebimbangan... Menurut mereka, jumlah pelajar yang terlalu ramai menyebabkan julat doktor muda yang bakal bertugas jauh lebih ramai berbanding doktor-doktor senior... Sedangkan doktor-doktor muda yang baru berkhidmat seharusnya terus belajar banyak perkara daripada doktor-doktor senior... Apa yang bakal berlaku sekiranya doktor-doktor muda terlalu ramai sehingga tidak sempat belajar dengan doktor-doktor senior? Bukan niat saya untuk mempertikaikan kualiti doktor yang bakal berkhidmat, tetapi seakan perkongsian yang bakal berlaku di kalangan doktor muda dengan doktor senior akan menjadi tidak seimbang... Sedangkan seorang doktor muda perlu terus belajar dengan doktor senior...

Memang benar Malaysia kekurangan doktor buat masa sekarang... Akan tetapi, jumlah bakal doktor yang bakal dilahirkan oleh Malaysia perlu juga dikawal, agar masa depan perubatan di Malaysia lebih terjamin... Mungkin kawalan pada fasa penghantaran pelajar perubatan perlu diteliti dengan lebih terperinci...

Maafkan saya... Saya bukan sesiapa, yang pastinya tidak layak untuk menimbulkan pertikaian berkenaan tindakan kerajaan... Akan tetapi, pertikaian yang ditimbulkan terhadap pelajar-pelajar kursus perguruan membuatkan saya terdetik untuk menukilkan sesuatu sebagai tanda prihatin...

Guru-guru adalah golongan yang mencorakkan hidup anak-anak Malaysia, bakal peneraju negara... Begitu juga bakal guru... Mungkin jika dilihat pada lahiriahnya, guru boleh dikatakan kerjaya tidak profesional kerna rutin hidupnya lebih kurang sama setiap hari, berbanding kerjaya-kerjaya lain yang lebih mencabar... Orang ramai membandingkan kerjaya guru dengan doktor yang terpaksa berhadapan evolusi virus dan penyakit yang kian kronik... Tapi, hakikatnya kerjaya guru teramat mencabar, kerna saban hari mereka terpaksa berhadapan dengan anak-anak yang kian terdedah dengan berbagai anasir tidak baik... Selain itu, guru-guru juga perlu membangunkan minda anak-anak agar seiring dengan edaran zaman yang kian moden... Jadi, siapa kata kerjaya guru bukan kerjaya profesional dan mencabar?

Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya... Boleh dikatakan setiap hari, kita bercakap tentang globalisasi... Perkembangan minda amat ditekankan... Beberapa negara diketengahkan sebagai contoh buat kita, juga generasi muda... Persoalannya, bagaimana kita ingin kongsikan perubahan tersebut dengan anak-anak sekarang? Bagaimana kita ingin menerangkan contoh-contoh kemajuan tersebut dengan anak-anak sekarang? Pastinya, ramai akan mengatakan sekolah sebagai medium penyampaian tersebut... Semestinya tanggungjawab itu digalas pada bahu guru-guru... Namun, bagaimana guru-guru ingin berkongsi contoh-contoh tersebut, jika guru-guru sendiri tidak pernah menyaksikan dan memahami contoh-contoh tersebut?

Kita bercakap tentang perkembangan minda generasi muda, namun kita menyekat tindakan untuk memajukan medium perkembangan tersebut... Kita menekankan kemajuan pemikiran warga negara-negara Eropah sebagai contoh untuk memajukan bangsa kita, tetapi kita mempertikaikan tindakan guru-guru dihantar ke negara-negara Eropah untuk mengambil contoh dari sana, untuk dibawa pulang ke Malaysia... Tidakkah perkara ini tersangat ironi?

Menurut sebahagian daripada kita, kerajaan membazirkan wang jika menghantar pelajar-pelajar perguruan ke luar negara untuk belajar bahasa... Menurut mereka, Malaysia juga mampu memperkembangkan bahasa bakal guru-guru tersebut... Ya, mereka benar, jika mereka hanya memikirkan tindakan kerajaan tersebut semata-mata supaya pelajar-pelajar perguruan dapat mendalami bahasa... Akan tetapi, pelajar-pelajar perguruan yang dihantar ke luar negara bukan sekadar diharapkan untuk mendalami bahasa... Pelajar-pelajar itu diharapkan dapat mengambil teladan dari negara-negara tersebut, untuk dibawa pulang sebagai perkongsian dalam kerjaya mereka...

Jika pelajar-pelajar jurusan perubatan perlu dihantar ke luar negara untuk mendalami sistem perubatan, mengapa tidak perlu pelajar-pelajar jurusan perguruan dihantar ke luar negara untuk mendalami sistem sistem pendidikan? Jika pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan perlu dihantar ke luar negara untuk mendalami teknologi kejuruteraan, mengapa tidak perlu pelajar-pelajar perguruan dihantar ke luar negara untuk mendalami teknologi dan metodologi pendidikan? Jika pelajar-pelajar jurusan lain perlu dihantar ke luar negara demi pembangunan negara, mengapa pelajar-pelajar jurusan perguruan tidak perlu dihantar ke luar negara demi pembangunan modal insan yang bakal menerajui negara?

Jika jurusan-jurusan profesional lain dianggap jurusan kritikal, mengapa jurusan profesional perguruan tidak dianggap kritikal? Jika benar kita ingin penghantaran pelajar ke luar negara dihentikan, kita patut menyarankan penghantaran pelajar-pelajar setiap jurusan  dihentikan, bukan hanya perguruan... Jika kita ingin penghantaran pelajar ke luar negara dihentikan secara berkala, seharusnya penghantaran pelajar-pelajar jurusan pendidikan dihentikan akhir sekali... Pada pendapat saya, setiap pelajar perlukan pendidik... Jika kita inginkan pelajar maju, mengapa mesti kita hentikan kemajuan pendidik... Jika kita inginkan pelajar-pelajar mendapat pendidikan tempatan bertaraf antarabangsa, mengapa kita harus mempertikaikan tindakan agar para pendidik bertaraf antarabangsa?

Jika dikira daripada perspektif tanggungjawab yang bakal digalas oleh mereka, bakal guru patut dihantar ke setiap negara di dunia ini... Supaya mereka dapat mengambil pedoman dari setiap negara tersebut, demi membangunkan generasi muda yang bakal diajar oleh mereka... Dengan itu, barulah kita dapat bercakap tentang contoh dari negara-negara luar ke arah transformasi kemajuan negara kita, terutama terhadap kemajuan pemikiran rakyat...

Tiada amarah mahupun dendam dalam saya menulis nukilan ini... Sekadar pendapat seorang insan yang kerdil, yang masih cuba memahami fenomena-fenomena di Malaysia... Masih diri ini cuba memahami apa yang sedang berkeliaran di sekitar masyarakat, dalam setiap insan di Malaysia... Diri ini sekadar berkongsi pendapat, tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak... Tidak juga diri ini bersikap berat sebelah, atas apa jua unsur atau elemen diri ini... Sekadar diri ini cuba membela nasib guru-guru dan bakal guru yang seakan semakin anaktirikan oleh segelintir pihak...

Jika kita berbicara tentang ADIL, ADILkanlah diri kita seADIL-ADILnya...
Jika kita berbicara tentang JIMAT, JIMATkanlah diri kita seJIMAT-JIMATnya...
Jika kita berbicara tentang KRITIKAL, KRITIKALkanlah diri kita seKRITIKAL-KRITIKALnya...
Jika kita berbicara tentang perTIMBANGan, TIMBANGkanlah diri kita seTIMBANG-TIMBANGnya...

Wujudnya doktor, demi kemajuan perubatan...
Wujudnya arkitek dan jurutera, demi kemajuan perindustrian...
Wujudnya saintis, demi kemajuan kajian...
Wujudnya guru, demi kemajuan pendidikan bangsa...       
Setiap yang wujud, ada tujuannya...

Apa pun yang ditampilkan oleh seseorang insan hari ini,
Adalah kerna didikan ibu bapanya,
Atau mungkin ajaran gurunya...
Jika ibu bapanya begitu cemerlang,
Boleh jadi juga hasil ajaran guru mereka dahulu...
Fikirkanlah tentang siapa kita kini, dan bagaimana kita boleh berada di sini...
Fikirkan hasil keringat siapa kita berjaya...
Siapapun dia, dia telah berjaya mendidik kita...
Kerna dia digelar pendidik...
Maka, layaklah dia digelar guru...
Sungguhpun kita bergelar doktor, profesor, atau apa jua,
Itu kerna kita punya dia sebagai guru...

Seorang guru layak menerima Ijazah Kedoktoran,
Sungguhpun dia tidak menyambung pengajian Ijazahnya,
Sungguhpun dia masih di sekolah biasa,
Kerna seorang guru sentiasa belajar dan mengkaji tentang pelajar-pelajarnya...
Saban hari, setiap masa dia terkenang, dia berfikir...
MASIHKAH ADA YANG SANGGUP MEMPERSOALKAN KERJAYA GURU SEBAGAI TIDAK PROFESIONAL DAN TIDAK KRITIKAL???
Jika hari ini seorang insan berfikiran kritikal, ia adalah kerna seorang guru yang dianggap biasa...

Nota:
SELAMAT HARI GURU... Buat guru-guru seluruh dunia... Mungkin agak awal kerna belum 16 Mei, namun dirimu guru tetap ku hormati...
Buat guru-guru saya, mungkin cikgu tidak kenal siapa sebenarnya Ahmad Zakry Haikal ini... Namun, ketahuilah bahawa saya amat sayangkan cikgu dan hormati cikgu kerna berjaya mendidik saya yang biasa-biasa je ni... Saban waktu wajah cikgu muncul di ingatan, setiap waktu, selepas solat, saya doakan cikgu... Saya harap, apa jua yang saya lakukan, mampu membuatkan cikgu bangga...

SYUKURILAH…


Sebelum bicara dimulakan, ingin dinyatakan bahawa nukilan ini tiada kaitan dengan insan-insan yang sedang meniti hidup di dunia kini, mahupun dahulu... Sekadar renungan kita bersama...

Ada insan yang dilahirkan dalam keluarga yang susah… Bertahun hidupnya, susah… Ada yang susah payah belajar, nak ubah masa depan... Pelajaran cemerlang, tapi hidup tetap susah... Ada yang cari kerja, nak cari pendapatan untuk hidup senang... Bertahun-tahun bekerja, masih susah... Ada yang sampai jodoh, kahwin... Dah bersuami isteri, hidup masih susah... Dah mempunyai anak seorang, masih juga susah hidupnya... Tiba masa dah beranak 5, barulah hidupnya senang...

Persoalanya, kenapa mesti selepas anak dah 5, barulah hidupnya senang? Kenapa selepas umur dah mencapai 30 tahun, barulah hidupnya senang? Kenapa bukan dalam tempoh 30 tahun lalu hidupnya senang? Jawapan yang pasti dan paling popular dirasakan, kerana percaturan Qada’ dan Qadar Allah SWT? Namun begitu, mengapa harus kesusahan nasib insan tersebut berubah menjadi senang, selepas 30 tahun? Ingin saya kongsikan respon saya akan isu ini... Sebenarnya, kesusahan insan tersebut menjadi senang, selepas 30 tahun, kerna Allah SWT  merasakan sudah tiba masanya insan tersebut bersyukur atas kesenangan yang dilimpahkan kepadanya...

Insan yang sedar kewajipan bersyukur, sekurang-kurangnya perlu sedar bahawa dia perlu bersyukur atas kesenangan yang dimilikinya... Bukan apa... Ini kerana ada juga insan yang tidak reti bersyukur... Ada insan yang merasakan kesenangan yang dikecapinya adalah kerana usaha gigihnya sekian lama, setelah dia hidup susah bertahun lamanya... Insan ini merasakan Allah SWT tiada kaitan langsung dalam kesenangan yang dikecapinya...

Ya, benar bahawa kesyukuran itu satu kewajipan kepada insan tidak mengira tika susah mahupun masa senangnya... Itu sememangnya yang terbaik... Bersyukur atas ujian kesusahan yang menimpanya, juga bersyukur akan kesenangan yang melimpahinya... Namun begitu, jika detik-detik kesusahan sering diratapinya, masih berpeluang insan itu bersyukur dengan kesenangan yang dikecapinya... Jangan jadi insan yang tidak sedar diri, tidak reti bersyukur... Sudahlah masa susahnya sering dikesalkan, zaman senang juga tidak disyukurinya, malah dibangga-banggakan konon usahanya semata...

Jika benar seorang insan itu benar-benar bersyukur, Insya-Allah akan terzahir pada lahiriah dan perbuatannya, selain niatnya... Luasnya lapangan bersyukur untuk setiap insan... Tinggal untuk dipilih insan-insan yang ingin bersyukur... Soal niat, soal cara tersendiri insan itu bersyukur, terserah dan hanya diketahui insan itu dan juga Allah SWT... Ini, sebagai peringatan kepada ahli masyarakat yang melihat... Boleh jadi di mata kita seseorang insan itu tidak bersyukur, namun hakikatnya kesyukurannya melebihi kita yang memandang... Bukan hak kita untuk menilai seseorang insan, namun hak dan tanggungjawab kita untuk mengajak setiap insan berbuat kebaikan...

Berbalik kepada soal kenapa seseorang insan perlu menempuh hidup susah bertahun lamanya sebelum kita mendapat kesenangan... Itu adalah supaya kita refleksi diri... Agar kita lebih memahami bagaimana hidup susah, agar tangan kita lebih ringan untuk membantu... Bukanlah untuk ungkitkan, “Hek eleh... Dasar manja... Baru hidup susah tak berapa lama, dah nak meminta bantuan... Aku dulu, bertahun-tahun hidup susah... Takde pun aku meminta bantuan macam ni...”, atau mungkin, “Dasar pemalas... Tak nak bekerja... Aku dulu pun, pernah susah... Kuatnya aku bekerja, hasilnya hari ni aku senang...”. atau apa sahaja seumpama dengannya... Pernah tak kita renungkan akan suatu hakikat? Dulu, bertahun dahulu atau berpuluh tahun dahulu, ketika kita hidup susah, berapa harga keperluan untuk kita hidup? Sedangkan hari ini, saat kita hidup senang, dan ada insan yang hidup susah, berapa pula harga keperluan hidup ini? Jika dulu, dengan 10 sen, apa yang mampu kita beli, untuk terus hidup? Bagaimana pula dengan hari ini, apa yang mampu insan-insan susah itu beli dengan 10 sen?

Mungkin ada antara kita yang terfikir, “Dulu nak dapat RM1 pun susah... Logiklah dengan harga barang masa tu...”. Tapi, sedarkah kita akan kehadiran insan-insan yang sedemikian pada masa kini, insan yang masih susah untuk mendapatkan RM1 sehari? Sedarkah kita akan ramainya insan yang terpaksa berpuasa sepanjang hari, atau sampai berhari-hari, kerna tiada pendapatan?

Saya analogikan situasi dan hakikat ini dengan graf maya... Jika wujudnya perkadaran langsung antara harga barang dengan pendapatan insan, itu boleh dikatakan kehidupan ala kadar... Jika harga barang mendatar berkadar dengan pendapatan yang meningkat, itu boleh dikatakan kehidupan sederhana atau mungkin kehidupan mewah... Namun, jika harga barang meningkat berkadar dengan pendapatan yang mendatar, itulah yang digambarkan sebagai ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ atau mungkin lebih sulit kehidupannya... Apa pula yang digambarkan melalui graf yang harga barangnya meningkat tapi pendapatan menurun? Sama-samalah kita renungkan...

Bukanlah niat saya untuk ungkitkan isu kenaikan harga barang atau gaji pekerja yang tidak berbaloi... Apa yang saya ingin usulkan, betapa kita perlu bersikap dan bersifat sensitif... Sensitif akan insan-insan di sekeliling kita... Sensitif akan kesusahan saudara-saudara kita, sungguhpun saudara yang belum kita kenali sepenuhnya... Selagi kita mampu membantu, selagi kita rasakan bantuan kita diperlukan untuk kebaikan mereka, bantulah saudara-saudara kita itu...

HIDUP INI PELAJARAN BUAT KITA...
SUSAH SENANG KITA DALAM HIDUP INI, UNTUK KITA BELAJAR DARINYA...
BELAJARLAH DARI HIDUP, TIDAK KIRA TIKA SENANG, MAHUPUN WAKTU SUSAH...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal