SEDIA ADA SEKADARNYA…


Amir disapa bapanya, Encik Azam sewaktu sedang berehat dari menyiapkan kertas kerja.
“Amir, bersempena dengan pagi Jumaat ni, Abah ada sesuatu untuk ditanyakan pada Amir... Boleh?”

Dengan dahi sedikit berkerut, Amir menjawab.
“Abah ni, buat Amir berdebar pula... Boleh je... Abah tanyalah... Insya-Allah, kalau Amir ada jawapannya, Amir jawab...”

Encik Azam meneruskan dengan persoalannya.
“Abah pasti Amir ada jawapannya... Abah cuma ingin tahu, Amir sudah punya buah hati?”

Amir sedikit tersenyum bila mendengar persoalan bapanya itu.
“Ada, Abah... Amir ada berkenan dengan seorang wanita...”

Turut tersenyum, Encik Azam berkata.
“Baguslah jika begitu... Siapa namanya gadis yang berjaya menyentuh hati anak teruna Abah ni?”

Amir menjawab selamba.
“Alice namanya, Abah...”

Encik Azam berkerut mendengar respon anaknya itu.
“Alice? Peliknya nama dia...”

Amir tunduk sedikit.
“Ya, nama dia Alice... Dia seorang yang beragama Kristian... Amir sedang cuba mengambil hatinya... Sedikit sebanyak, Amir cuba dedahkan dia dengan Islam... Insya-Allah, Amir akan terus cuba sampai dia berminat dengan Islam dan terbuka hati untuk menganut Islam...”

Encik Azam senyum segaris.
“Bagus usaha Amir tu... Jadi, macam mana perkembangan usaha Amir tu? Memberangsangkan?”

Amir kembali mengangkat kepala.
“Erm... Amir masih berusaha... Walaupun sedikit perkembangan, akan Amir terus usahakan...”

Encik Azam cuba mengukir senyuman, lantas dia berkata.
“Amir, Abah bukan berniat untuk membantutkan usaha mulia Amir tu... Abah kagum dan bangga sebab Amir ada cita-cita yang begitu besar… Tapi, Insya-Allah Abah lebih mengenali anak Abah... Insya-Allah, Abah tahu keupayaan Amir... Memang betul Allah SWT Maha Mengetahui akan hamba-Nya... Tapi, Amir anak Abah, dan Abah diberi peluang lebih 20 tahun untuk mengenali Amir... Insya-Allah, Abah dah masak dengan siapa Amir dan apa yang terbaik untuk Amir...”

Amir tunduk, sayu. Encik Azam meneruskan kata-katanya.
Amir, Abah rasa Amir perlu fokuskan kepada yang sedia ada, yang sekadarnya… Mungkin yang sedia ada tak secantik Alice, tapi sifatnya yang sekadarnya mungkin mampu membahagiakan Amir sebaiknya... Perihal Alice, Amir teruskanlah usaha dakwah Amir... Sungguhpun tak bertemu di gerbang perkahwinan, Insya-Allah akan ada yang terbaik untuk Alice tu... Kalau takdir Allah menetapkan Amir adalah yang terbaik untuk Alice, Insya-Allah, Allah akan permudahkan... Sesungguhnya Allah Maha Mengetahu...”

Amir bersuara perlahan.
“Baiklah Abah, Amir faham... Insya-Allah, Amir akan usahakan... Amir pun, inginkan menantu yang terbaik buat Abah dan Umi... Insya-Allah, kalau ada rezeki, akan ada isteri solehah buat Amir dan menantu solehah buat Abah dan Umi tu...”

Amir dan Encik Azam sama-sama tersenyum. Encik Azam terus berkata.
“Insya-Allah...Jadi, Amir nak Abah carikan, atau Amir nak cari sendiri?”

“Takpe Abah... Amir cari sendiri... Insya-Allah, Amir akan pilih seorang wanita yang bukan sahaja bakal menjadi isteri tercantik bagi Amir yang akan menenangkan Amir, tapi juga akan menjadi menantu solehah buat Abah dan Umi...”
Amir mencapai tangan Encik Azam dan mencium tangan Abah kesayangannya itu...

MASJID

Jika kita katakan, “Saya ingin membina masjid...”, bayangkan betapa ramai jiran tetangga, kenalan yang akan membantu. Pastinya ramai yang memuji, “Alhamdulillah, ada insan yang berhati mulia, sanggup membina masjid untuk insan beribadat...” dan khalayak akan sentiasa bermanis muka dan memuji tindakan kita.
Jika kita katakan pula, “Saya ingin meruntuhkan masjid...”, bayangkan betapa mereka sekeliling akan mencemuh kita. Sungguhpun masjid yang ingin diruntuhkan itu adalah masjid kita, pasti ada yang mencemuh, “Ya Allah, tegarnya insan itu meruntuhkan masjid yang dibina setelah banyak keringat dicurahkan dalam pembinaannya dan penjagaannya...”. atau yang seumpamanya. Apa lagi, jika masjid yang ingin diruntuhkan itu adalah masjid orang lain, pasti lebih ramai yang mencemuh,  “Subhanallah, apa jenis insan yang sanggup meruntuhkan masjid orang lain?”, dan bermacam lagi.

“Mendirikan rumah tangga ibarat membina masjid”
Ini adalah apa yang ingin saya ketengahkan... Bayangkan mereka yang akan gembira, jika kita nyatakan hasrat kita untuk mendirikan rumahtangga...  Selagi mana insan yang mendengarnya tidak berhati busuk dan berkepentingan lain, selagi mana insan yang menjadi pilihan kita adalah yang terbaik buat kita dan menenangkan insan sekeliling, dan selagi mana jalan yang kita pilih dalam proses ke arah mendirikan rumahtangga tidak bertentangan dengan syariat Islam, Insya-Allah mereka yang mendengar perkhabaran kita akan bermanis muka dan memuji kita...
Jika kita sedar akan besarnya hikmah perkahwinan itu, pastinya kita sedar betapa pembinaannya akan membahagiakan dan  menyenangkan orang lain. Pastinya kita akan sedar akibat jika rumahtangga itu diruntuhkan... Dalam membina rumahtangga itu, Insya-Allah ramai yang membantu kerana semua sedar akan mulianya dan betapa ia akan membahagiakan mereka... Banyaknya kudrat yang dicurahkan, banyaknya pengorbanan untuk membina rumahtangga itu, seharusnya membuatkan kita berfikir berjuta kali untuk meruntuhkannya, kerna kita patut sedar akan impaknya setelah rumahtangga itu runtuh...
Semurni niat, sepertimana pembinaan masjid, tiada apa yang perlu disulitkan dalam mendirikan rumahtangga... Oleh itu, mudahkan proses membina rumahtangga itu... Dengan mas kahwin berpatutan, mahar seikhlas yang memberi, izinkanlah rumahtangga itu terbina dengan redha Allah Taala, dalam majlis yang seadanya... Apa yang penting? Ya, kerjasama... Kerjasama dua buah keluarga dalam bertimbang rasa, kerjasama jiran tetangga dalam gotong-royong majlis dan menerima sekadarnya... Tidak perlu mengharapkan yang berlebihan... Apa yang penting? Kerjasama... Apa yang lebih penting? Rumahtangga terbina...
Ibu bapa si dara sayangkan anak mereka? Apakah mas kahwin dan mahar yang tinggi menjadi bukti ibu bapa sayangkan anak mereka? Apakah kita lupa, bahawa perkahwinan itu punya maksud yang lebih bermakna? Dengan mengahwinkan anak gadis, ibu bapa menambahkan jumlah anak lelaki dalam keluarga mereka... Sekurangnya, mereka tidak lagi perlu bimbang keselamatan anak gadis mereka, kerna sudah ada yang sudi menjaga... Pergi dan pulang dari rumah, sudah ada yang memantaunya... Sekurangnya, anak gadis mereka sudah terbukti berdikari... Jika ibu bapa sakit, tidak lagi perlu bimbang keselamatan anak gadis mereka untuk balik kampung, kerna sudah ada yang sudi menghantarnya... Dari sudut ibu bapa si teruna, seharusnya mereka berbahagia kerana sudah ada yang sudi menjaga makan minum anak mereka...

Majlis yang gilang gemilang? Teringat saya akan seorang hamba Allah yang pernah berkata, “Sepertimana gemilang majlis perkahwinan itu diraikan dulu, seperti itu jua perceraian harus diraikan kini”... Bukanlah saya bermaksud perkahwinan harus sekadar sahaja, supaya perceraian lebih senang nanti... Tapi, sepertimana masjid yang kita seharusnya berbangga dengan masjid yang bertahan lama, yang membuktikan bahawa Allah memeliharanya, bukanlah berbangga dengan majlis perasmian masjid yang besar-besaran... Berniat untuk menyampaika perkhabaran terbinanya masjid itu, cukuplah sekadar papan tanda... Begitulah jua perkahwinan, mulakan perkahwinan itu sekadarnya, pohonlah agar Allah memeliharanya supaya ia bertahan lama, dan doakan jua supaya rumahtangga itu tidak akan roboh... Sebagai perkhabaran kepada tetangga, cukuplah majlis kecilan sekadarnya dan cincin kahwin sebagai tanda... Jangan dibazirkan duit yang ada pada majlis perasmiannya, lebih baik duit itu dibelanjakan pada pemeliharaannya dan baik pulih kelak...
Sepertimana masjid, rumahtangga juga memerlukan asas yang kukuh... Allah Maha Besar dalam menetapkan hukum alam untuk kita ambil sebagai pengajaran... Sesuatu yang dibina pada asas yang tidak kukuh, pastinya menanti roboh... Namun, jika sesuatu itu dibina pada asas yang kukuh, Insya-Allah, kan kukuh... Letaklah seberapa banyak pasak yang kita ingin dalam membina rumah tangga, sekurangnya jika satu pasak retak, ada lagi pasak lain menahan sementara kita baiki pasak yang retak itu... Tapi, harus diingat, tiang serinya harus kuat dan sentiasa dijaga agar tidak goyang dan rumahtangga yang dibina tidak menjadi bala buat manusia... Apa itu tiang seri rumah tangga? Jika harta, berjutalah kepingan syiling, emas, perak yang kita perlukan untuk membina tiang seri itu... Jika senyum tawa, berteraburlah gigi dalam membina tiang seri itu... Jika tubuh badan sasa, lebih baik membina gymnasium dari membina rumahtangga... Tiang seri rumahtangga adalah agama... Dengan erti kata lain, keredhaan Allah SWT membuktikan keteguhan tiang seri rumahtangga... Sepertimana namanya ‘tiang’, tegakkan dan teguhkanlah ia... Sepertimana namanya ‘seri’, gilaplah dan kilatkanlah ia agar ia kekal seri... Unsur-unsur lain, cukuplah sebagai pasak-pasak biasa sekadarnya berdasarkan keperluan rumahtangga yang terbina...
Jika ia ‘masjid’, janganlah dirobohkannya... Perkahwinan bukanlah sekadar menyatukan dua jiwa sebagai suami isteri, yang mana bila sudah hilang minat, boleh sekadar dicatu... Perkahwinan adalah penyatuan dua buah keluarga, boleh jadi memakmurkan dua buah kampung atau daerah... Perkahwinan juga mampu menjalinkan dua buah negeri atau negara... Jika kita sedar hakikat perkahwinan itu, bukan sekadar kita bersatu dengan dia, adakah kita masih memikirkan perceraian? Pernahkah kita fikirkan akan mengapa perkahwinan itu disenangkan dalam Islam, sedangkan perceraian memerlukan tempoh yang agak lama dan harus melalui banyak tapisan? Soalnya, mengapa demikian? Kerna fitrah perkahwinan itu Insya-Allah menyenangkan, sedangkan perceraian itu merumitkan... Rumitnya perceraian itu, bukan sekadar merobohkan rumahtangga yang terbina, namun sehingga menggegarkan Arasy Allah SWT, kerna perceraian itu mampu memutuskan silaturahim dan membuatkan berlaku permusuhan...
Cuba renungkan, apakah mungkin bagi lelaki dan wanita yang telah bercerai untuk duduk berbincang, sepertimana sewaktu mereka masih suami isteri? Pergaulan lelaki dalam Islam, haram sebelum kahwin, halal sewaktu berkahwin, dan kembali haram setelah bercerai... Itu hakikat yang perlu kita faham... Mengapa mengharamkan kembali apa yang pernah halal antara suami isteri, dengan melangsungkan perceraian? Bukanlah saya ingin mengajak semua menolak takdir Allah... Tetapi, saya ingin semua berfikir, adakah sudah tiada jalan lain, selain perceraian? Jika sebelum bercerai, kita katakan, “tidak boleh dibawa berbincang”, apakah “sudah boleh dibawa berbincang” setelah bercerai? Jadi, mengapa tergesa-gesa?

Di mana kita letakkan Islam dalam kronologi kita? Pada peringkat memulakannya, memeliharanya, atau mengakhirkannya? Jika kita letakkan Islam pada semuanya, Insya-Allah tiada masalah bagi kita... Jika hanya pada peringkat memulakannya, mengapa tidak pada peringkat memeliharanya? Jika hanya pada peringkat memulakannya dan memeliharanya, mengapa tidak pada mengakhirkannya? Jika kita tidak memulakannya denga Islam, sukar untuk kita memeliharanya dengan Islam, dan kemungkinan besar kita akan akhirinya tanpa syariat Islam... Jika telah kita mulakannya dan pelihara rumahtangga itu dengan syariat Islam, dan kita terpaksa mengakhirinya, akhirilah ia dengan syariat Islam, pastinya lebih tenang dan tiada masalah...
Dalam Islam, seorang lelaki mampu mengenali seorang wanita di waktu pagi, bertunang di waktu petang dan mengahwininya di malam hari... Insya-Allah, ianya senang dan mampu berlaku dalam satu hari... Itu kahwin dalam Islam...
Untuk bercerai, jika suami isteri bergaduh di waktu pagi dan bercerai di tengah hari, hari yang sama, apakah itu perceraian dalam Islam? Tidak, salah sekali... Dalam Islam, jika suami isteri bergaduh, mereka perlu cuba untuk berbincang... Jika perbincangan gagal dan tidak berkeputusan baik, mereka perlu berpisah tempat tidur... Jika berpisah tempat tidur gagal dan masih meledakkan marah, mereka perlu berpisah tempat tinggal... Jika berpisah tempat tinggal masih gagal dan tiada perkembangan positif, barulah mereka boleh berbincang untuk bercerai secara damai... Logik akal, apakah mungkin semua proses ini dilakukan dalam sehari atau sekadar tempoh masa yang singkat? Pastinya tidak...

Fikirkanlah akan senangnya perkahwinan itu dan sedarilah hakikat rumitnya perceraian itu... Kerna apa yang disyariatkan itu ada hikmahnya... Bukan untuk menyusahkan umat, tetapi agar kita berfikir...

MENDIRIKAN RUMAH TANGGA ITU IBARAT MENDIRIKAN MASJID... BINALAH, DAN JANGAN PERNAH TERFIKIR UNTUK MEROBOHKANNYA KERNA SETIAP MASJID YANG DIBINA KERANA ALLAH, AKAN DIPELIHARA OLEH ALLAH... INSYA-ALLAH...

DENGAN ISLAM, INSYA-ALLAH BERTAMBAH KADAR PERKAHWINAN DAN BERKURANG PERCERAIAN... INSYA-ALLAH, BERKURANGLAH MAKSIAT, DENGAN ISLAM... KERNA ISLAM ITU CARA HIDUP DAN ISLAM INGINKAN KESENANGAN BAGI UMATNYA...

BUKAN SEKADAR MADU…


M, seorang lelaki yang telah lama memendam rasa cinta terhadap N, seorang gadis ayu, meluahkan isi hatinya...
“N, ada sesuatu ingin saya katakan kepada awak... Demi Allah SWT, saya cintakan awak... Sudikah awak membalas cinta saya? Sudikah awak sekiranya saya masuk meminang?”

N tunduk, dan berkata...
“Insya-Allah, saya akan cuba membalas cinta awak tu, M... Tapi, sebelum awak teruskan niat awak meminang saya dan kita melangkah ke alam perkahwinan, saya ingin awak tahu satu perkara...”

Dengan dahi sedikit berkerut, M bertanya...
“Apa yang perlu saya tahu?”

N menarik nafas panjang dan berkata...
“Awak perlu tahu bahawa saya telah kehilangan dara saya...”

“Erm… Apa maksud awak?”, sedikit terkejut M memohon penjelasan.

“Dengan erti kata lain, saya ibarat bunga yang telah dihisap madunya... Suatu masa dulu, saya pernah dirogol...”, N menjelaskan dengan esakan dan persaan hiba.

“Tidak mengapa... Insya-Allah, saya masih menerima awak seadanya... Insya-Allah, saya masih ingin teruskan perkahwinan kita dan saya akan terima awak sebagai isteri saya...”

“Maafkan saya... Tapi, boleh saya tahu kenapa?”

“KERNA BUKAN HANYA MADU YANG SAYA INGINKAN... Pengalaman kelam pada masa lalu awak, ia adalah sejarah silam awak... Apa yang saya pentingkan adalah siapa awak sekarang dan hala tuju sejarah yang bakal saya jalani bersama awak... Dan saya percaya awak adalah insan terbaik untuk membantu menyempurnakan separuh iman saya, dalam Baitul-Muslim yang bakal kita bina ini...”

NOTA:
Kepada bakal suami dan jejaka-jejaka yang mencintai wanita sekalian, apa yang sebenarnya mendesak kita untuk berkahwin? Ya, benar sekiranya kita cuba mengelakkan zina... Akan tetapi, apakah hanya sekadar kerana MADU? Apakah hanya MADU itu yang kita harapkan dari bakal isteri kita? Lantas, bagaimana dengan separuh iman kita yang ingin kita sempurnakan? Persoalannya, apakah kita sudah benar-benar bersedia untuk menjadi seorang suami kepada seorang insan bernama wanita itu? Apakah kita sudah tahu ke mana ingin kita kemudikan bahtera rumahtangga kita, Baitul Muslim kita?

Siapa dia dan apa yang dia alami pada masa silam tidak penting kerana sejarah itu untuk dikenang dan diambil pedoman, bukan untuk diratapi dan dijadikan bahan caci maki, apa lagi umpatan atau untuk dibangkitkan... Apa yang penting adalah siapa dia sekarang... Sekalipun dia begitu nakal di masa lalunya, sehingga tergadai maruahnya, bukalah hati dan pohonlah pada Allahu Rabbi untuk insan itu sekiranya dia telah benar-benar menyesali kesilapannya dan dia telah benar-benar berubah kini... Izinkan saya bertanya... Apakah kita sebagai lelaki sanggup menerima seorang wanita yang kini adalah pelacur, hanya kerana dulunya dia seorang ustazah? Pastinya tidak, bukan? Jika ditanya mengapa, pastinya kita menjawab “tiada makna walaupun dulunya dia seorang ustazah, jika kininya dia seorang pelacur”... Nah, mengapa dalam situasi sedemikian kita waras untuk tidak mempedulikan zaman silam wanita itu dan hanya mengambil kira siapa dia di masa kini? Mengapa tidak dalam situasi bertentangan? Mengapa kita harus mengungkit zaman silam seorang gadis yang kehilangan maruah sekiranya kini dia begitu menjaga maruah dan batasan-batasan dia sebagai seorang wanita?

Itu analogi di mana seorang wanita pernah menjual maruahnya, dengan sengaja... Bagaimana pula dengan seorang wanita yang dirogol? Apakah kita harus menghukum wanita itu kerna sesuatu yang dia sendiri tidak relakan, kerna sesuatu yang tidak berdaya untuk melawan? Mengapa tidak kita salahkan masyarakat sekeliling yang tidak tampil membantu membela nasib wanita itu? Kenapa? Kerana takut disisihkan oleh masyarakat, kerna kelompok masyarakat itu besar? Jadi, layakkah kita untuk menyisihkan wanita yang tidak bernasib baik itu? Jika kita mampu, mengapa tidak kita membantu? Jika kita tak mampu, mengapa tidak kita diamkan saja dan berdoa semoga ada insan yang mulia tampil membantu, membela nasib wanita itu?

Saya akui, mungkin ia tak begitu senang seperti yang dikatakan atau dinukilkan... Tapi, jika kita teliti, jika kita amati, Insya-Allah, kita mampu ikhlaskan ia... Kerna matlamat kita bukan hanya MADU itu, tetapi kerna mendambakan rahmat, berkat dan keredhaan Allah Maha Satu...

JANGAN SEKADAR MENILAI MADU SEORANG WANITA DALAM MEMILIH ISTERI... TETAPI, NILAILAH JUGA KEHARUMANNYA YANG MEWANGIKAN SYURGA BAGI SUAMI...

MADU SEKUNTUM BUNGA TIDAK PASTI MANISNYA BAGI SANG LEBAH... NAMUN, WANGINYA SEKUNTUM BUNGA ITU MAMPU SEMERBAK SETAMAN...

DARA WANITA ITU RAPAT KASIH SUAMI... BAGI SANG ISTERI, RAPATKANLAH KASIH SUAMIMU DENGAN DARAMU... BAGI SANG SUAMI, SENTIASALAH MERASA DARA ISTERIMU DENGAN RAPAT KASIHMU...

notakaki: Maaf sekiranya isu yang saya utarakan agak sensitif bagi sesetengah pihak... Maafkan juga bahasa saya... Saya tidak begitu pandai berbahasa, kerna saya hanya insan biasa, sekadarnya ada... Insya-Allah, sepanjang hidup saya belajar, akan saya perbaiki...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal