PASANGAN HIDUP UNTUKMU…


Bagaimana nak memilih pasangan hidup? Satu persoalan yang bermain di fikiran setiap insan bujang... Ya, solat istikharah... Tapi, bagaimana kita ingin memastikan bahawa kata hati kita adalah benar, insan yang ditemui kita itu adalah yang terbaik untuk kita? Apakah ada satu kayu ukur bagi kita untuk menentukan kesahihan bahawa kita telah bertemu seorang insan untuk dijadikan pasangan hidup kita?

Sebenarnya, ada... Islam telah menggariskan 4 perkara sebagai pedoman kita dalam memilih pasangan hidup... Pertama, kecantikan... Mengapa kecantikan? Ini kerana insan yang bakal menemani hidup kita akan menjadi penyeri hidup kita sehingga akhir hayat... Seperkara lagi, kita harus ingat bahawa Allah itu cantik, dan Allah sangat sukakan kecantikan... Itu bermakna apa jua yang Allah ciptakan adalah cantik... Dengan erti kata lain, semua ciptaan Allah terutama manusia adalah cantik... Maka, kita katakan cantik itu subjektif... Mungkin seseorang insan tidak langsung cantik di mata kita, tapi tersangat cantik di mata kawan kita... Ada yang katakan bahawa hitam itu tidak cantik, namun ada juga yang berpendapat hitam itu manis... Jadi, janganlah kita marah jika ada kawan kita yang sukakan yang cantik-cantik... Kerna sukakan yang cantik itu fitrah... Perkara yang subjektif, bergantung pada pengamatan setiap insan... Begitu juga kecantikan... Jika kita rasakan kita tidak cantik, jangan mengeluh kerana boleh jadi kitalah yang terindah di mata seseorang... Jangan mengeji, tapi syukuri...

Faktor pemilihan pasangan hidup yang kedua, yang digariskan dalam Islam adalah keturunan... Ada yang berpendapat, yang ingin dikahwini adalah anaknya, bukan ibu bapanya... Tapi, mereka sebenarnya terlupa bahawa ibu bapa si anak itulah yang bakal menjadi ibu bapanya... Manakan mungkin kita miliki anaknya, namun mengabaikan ibu bapanya... Pepatah Melayu pun ada tertulis, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi... Sedikit sebanyak ada sifat-sifat ibu bapa yang tersirat dalam diri anak mereka... Jadi, dalam mengenali si anak, kenali juga ibu bapanya... Dalam tempoh berkasih-kasihan (couple), manakan diserlahkan sikap-sikap yang tidak menyenangkan... Semua yang ditonjolkan adalah yang baik-baik sahaja... Jadi, tak praktikal tempoh berkasihan itu jika ada yang mengatakan mereka ingin mengenali pasangan mereka... Bukanlah bermaksud kita ingin mencari kekhilafan bakal pasangan hidup kita... Tapi, kita harus selidiki samada kita mampu bertolak ansur dengan sikapnya nanti... Kerna perkahwinan bukan diniatkan untuk perceraian, tapi untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT...

Saya tak nafikan, ramai anak-anak yang baik walaupun lahir dari ibu bapa yang tak berapa baik... Apa yang perlu kita lakukan jika kita benar-benar cintakan seorang insan yang sedemikian? Di sinilah timbulnya soal keikhlasan hati kita... Jika benar-benar kita cintakan insan tersebut, doakanlah dirinya dan juga ibu bapanya... Kita tak mampu untuk berhadapan dengan ibu bapanya dan menyuruh mereka berubah... Namun, kita sangat mampu mendoakan mereka ke arah perubahan yang baik... Insya-Allah, jika kita berjaya mengubah mereka dengan doa kita, itulah persiapan perkahwinan yang paling manis buat kita dan pasangan kita... Setiap hari setelah perkahwinan kita, kita akan tersenyum mengenangkan apa yang telah kita lakukan, walaupun kita tidak pernah mengungkit tentangnya... Kadang-kadang, sebuah keluarga yang asalnya muallaf, lebih warak berbanding keluarga yang asalnya sedia Islam... Jadi, jangan kita berputus asa dengan janji dan nikmat Allah SWT, kerna Islam itu sangat indah untuk mereka yang bersyukur...

Aspek seterusnya, kekayaan... Apakah itu bermaksud Islam menyeru kita ke arah menjadi mata duitan? Mengapa Islam menggariskan kekayaan sebagai salah satu faktor pemilihan jodoh? Bagi seorang gadis yang ingin mencari suami, faktor itu sangat praktikal kerana suami adalah pemberi nafkah... Namun, adakah faktor ini praktikal bagi seorang lelaki yang ingin mencari isteri? Sebenarnya, faktor ini praktikal bagi kedua-dua jantina... Saya cuba berikan sebab mudah berkaitan perkara ini... Sebelum ke tempat kerja, seorang suami menyerahkan wang kepada isteri untuk membeli seguni beras... Setelah memeriksa wang yang diberikan, si isteri sedar bahawa jumlah wang itu hanyalah RM 9, sedangkan seguni beras adalah RM 10... Apa yang perlu si isteri lakukan? Jika ingin ditunggu sehingga suaminya pulang, hari sudah gelap dan suaminya pasti mengharapkan sepinggan nasi sebagai santapan... Jika ingin dihubungi terus si suami, pastinya mengganggu kerjanya... Itulah yang akan terjadi sekiranya si isteri tiada wang simpanan... Sekiranya si isteri punya wang simpanan, apalah salahnya menambah RM 1 untuk membeli seguni beras... Contoh kedua, setiap pasangan pastinya menginginkan rumah (atau mungkin kereta, atau apa sahaja aset) milik mereka sendiri... Jika hanya suami yang berwang, agak lama pemilikan rumah itu bakal terlaksana... Jika suami dan isteri sama-sama menyumbang wang, mampu singkatkan tempoh untuk mereka memiliki rumah... Itulah analogi yang mampu saya fikirkan bagi faktor kekayaan ini...

Sebenarnya, faktor kekayaan dalam memilih jodoh ini bukanlah bermakna kita harus mencari insan yang kaya sebagai pasangan hidup kita... Ini juga faktor yang subjektif, terpulang pada individu... Apa yang ingin diketengahkan adalah perilaku terhadap kekayaan... Pasangan hidup yang bakal kita pilih haruslah pandai menguruskan kewangan... Si dia sepatutnya bukan jenis yang alahan kepada wang, pantang dapat wang, ingin dibelanjakan sampai habis... Si dia juga seharusnya bukanlah insan yang kedekut, bertimbun-timbun wang dalam simpanan, namun kehidupan serba daif... Mengapa Islam menyuruh kita memilih pasangan yang punya kekayaan, namun tidak menetapkan jumlah kekayaan yang harus dimiliki pasangan? Ini kerana Islam sebenarnya menyeru kita memilih seorang insan yang menghargai kekayaan... Insan yang menghargai kekayaan, tahu apa pelaburan yang menguntungkan bagi dirinya dan insan yang dia sayangi... Dengan erti kata lain, dia tahu bila dia harus menyimpan wang yang dia miliki dan bila dia perlu belanjakan wang dalam simpanannya... Oleh itu, faktor kekayaan dalam pemilihan jodoh adalah praktikal bagi lelaki juga wanita...

Faktor pemilihan jodoh keempat dan yang paling penting, keagamaan... Sehinggakan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa memilih seseorang berdasarkan agamanya adalah yang terbaik buat kita... Sebenarnya, ramai yang tidak lengkap pemahamannya mereka akan faktor keempat ini... Bukanlah bermaksud bahawa pemahaman saya ini lengkap berbanding mereka... Namun, saya kurang bersetuju dengan pemahaman mereka hanyalah seorang Islam perlu berkahwin dengan pasangan yang Islam, bukan penganut agama lain... Dengan pemahaman itu, ramailah yang mengajak insan yang mereka cintai menganut Islam... Tetapi, setelah berkahwin banyak perselisihan yang berlaku... Sehinggakan akhirnya hubungan mereka terputus... Yang lebih teruk, akhirnya pasangan mereka kembali ke agama asal, atau mungkin menganut agama lain... Sedihnya melihat fenomena ini... Ramai yang mengambil mudah hal ini, sedangkan mereka sebenarnya menyumbang kepada kes murtad... Sebenarnya, tidak kisah jika kita cintakan seseorang dan mengajak dia menganut Islam... Tetapi, kita harus pastikan bahawa dia benar-benar berminat akan Islam, bukan tertarik kepada kita menyebabkan dia memeluk Islam... Cintakan insan, insan akan pergi atau mati... Cintakan Islam, Islam kekal abadi... Jika si dia hanya memeluk Islam kerana cintakan kita, kan hilang manisnya Islam bagi si dia saat kita pergi... Tetapi, jika si dia tertarik akan Islam dan mencintai kita, Insya-Allah Islam akan tetap di hatinya...

Bagi seorang insan yang mendalam minatnya terhadap Islam, dia akan sanggup mempelajari Islam demi masa depannya... Tanggungjawab kita hanyalah mendidiknya dengan ajaran Islam dan memberi peluang dia belajar tentang Islam... Sehingga akhirnya dia akan sedar bahawa kita hanya watak sampingan dalam Islam... Akan tetapi, jika dia hanya cintakan kita, setiap butir bicara, setiap saat kenangan hidupnya hanyalah tentang kita... Tarikan hatinya hanyalah indahnya paras rupa kita, sasanya susuk badan kita, baiknya kita... Tiada sedikit pun unsur Islam yang menarik di hatinya... Islam hanyalah tempelan sampingan pada kita, di matanya... Itulah sebabnya saat kita hilang di matanya, Islam turut hilang baginya... Sebenarnya, faktor keagamaan ini juga praktikal bagi setiap insan, bukan hanya bagi seorang Islam yang mencintai seorang yang bukan Islam, tapi juga bagi seorang Islam yang mencintai seorang Islam yang lain... Nak mencari kesempurnaan agama pada seseorang itu, agak susah... Namun demikian, setidaknya kita mendapatkan seseorang yang ada asas agama... Setebal mana asas agama itu, terpulang pada individu... Yang penting, janganlah seseorang yang tiada langsung asas agama... Jika pasangan hidup kita sudah punya asas agama, senang bagi kita untuk mendidiknya beragama... Senang juga bagi kita untuk berkongsi... Kerana kita dan dia berbicara dalam konteks agama yang sama... Boleh jadi juga tafsirannya tentang sesuatu perkara berbeza dengan kita...

Itu konteks keagamaan sebagai faktor kita memilih jodoh... Dalam konteks kita sebagai jodoh yang bakal dipilih, juga penting... Saya tak ingin komen panjang tentang ini... Rasanya, persiapan itu juga bergantung kepada individu... Apa yang boleh saya katakan adalah tentang penampilan dan pembawaan diri kita... Pastikan Islam terpancar pada diri kita, pada akhlak kita, bukannya Islam hanyalah sebagai debu suci yang terlekat pada diri kita... Renung-renungkan dan selamat bermujahadah...
           
Itulah 4 perkara yang menjadi garis panduan kita memilih jodoh, mengikut Islam... Di samping 4 faktor tersebut, izinkan saya menambah sesuatu, sebagai perkongsian dalam kita memilih pasangan hidup... Selain 4 faktor yang digariskan oleh Islam itu, pastikan pasangan hidup yang bakal kita pilih itu memenuhi hasrat ibu bapa dan keluarga kita... Seperkara yang kita harus sedar dan sentiasa sematkan di ingatan, insan yang bakal kita pilih sebagai pasangan hidup kita bukan hanya akan menjadi isteri atau suami kita... Insan yang bakal kita kahwini itu bakal menjadi menantu ibu bapa kita, kakak atau abang kepada adik-adik kita, dan adik kepada abang dan kakak kita... Di mata kita, si dia mungkin telah layak menjadi pendamping hidup kita... Tapi, bagaimana duduknya sebagai sebahagian keluarga kita?

Dalam memastikan si dia adalah insan terbaik menjadi sebahagian keluarga kita, tanyakanlah kepada ahli keluarga kita kini... Apa impian mereka terhadap bakal bakal pasangan hidup kita... Setidaknya, tanyalah pada ibu bapa kita, apa hasrat mereka akan bakal menantu mereka... Pastikan kita bertanya tentang ini seawal mungkin, sebelum kita bertemu seseorang yang menarik di hati kita... Ini bagi memastikan kita tak ‘ubah suai’ harapan ibu bapa mengikut rasa hati kita... Ini bagi memastikan kita siap sedia mengubah suai rasa hati kita mengikut hasrat ibu bapa kita... Insya-Allah, setelah kita tetapkan rasa hati kita mengikut hasrat ibu bapa kita, setiap kata hati kita dalam memilih pasangan akan terpimpin ke arah seorang insan yang benar-benar terbaik buat kita juga buat keluarga kita...

Kadang-kadang, tidak perlu kita tanyakan pada ibu bapa kita tentang menantu idaman mereka... Dalam kehidupan seharian, mungkin ibu bapa kita ada meluahkan rasa hati dan hasratnya berkenaan calon menantu idaman mereka... Katakanlah, sedang duduk-duduk, terlintas seorang gadis ayu yang sopan-santun jalannya, ibu kita berkata, “Bagusnya gadis tu... Siapa dapat buat menantu, memang bertuah...”. Itu maknanya ibu kita inginkan seorang menantu yang sopan-santun... Satu situasi lagi, sedang jalan-jalan menunggu ibu kita membeli baju, terlihat sepasang pakaian muslimah, lalu bapa kita bersuara, “Cantiknya baju ni... Nanti dah kahwin, Amir belikan untuk isteri Amir ye... Sejuk mata memandang kalau isteri pakai baju macam ni...”. Itu maksudnya ayah ini berhasrat memiliki menantu yang suka berpakaian muslimah... Jadi, luangkanlah banyak masa dengan keluarga kita dan caknalah akan mereka... Siapa tahu, dalam kias, ada harapan... Dalam harapan, ada doa...

MEMILIKI PANDUAN MEMILIH PASANGAN ITU, UMPAMA MEMILIKI PETA DALAM PENJELAJAHAN...
LEBIH BAIK MEMILIKI PETA SEBELUM PENJELAJAHAN, BERBANDING MENCARI PETA SETELAH PENJELAHAN BERMULA...
LEBIH BAIK MEMILIKI PETA DALAM PENJELAJAHAN, BERBANDING REDAH MEMBUTA...
Sediakan panduan agar pencarian lebih terarah...
Insya-Allah, penemuan bermakna mampu membahagiakan ramai orang...
Insya-Allah, kebahagiaan yang kita bawa mampu menghasilkan doa buat kita...
Insya-Allah, doa ramai orang membahagiakan kita hingga akhir hayat...
Insya-Allah, kebahagiaan hingga akhir hayat berterusan hingga akhirat...
Insya-Allah, kita insan yang berbahagia di dunia, kita juga berbahagia di akhirat...

KEHIDUPAN INI SINGKAT, TERUSKAN MERINDU...


Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh...
Syukur Alhamdulillah atas rahmat Allah SWT ke atas kita semua... Betapa banyak dan besarnya nikmat dan rahmat Allah SWT kepada kita semua, tidak kira tika kita sedar atau di luar sedar kita...

Tidak lama lagi, Ramadhan bakal meninggalkan kita... Pastinya ramai yang menangisi pemergian Ramadhan ini... Bagi saya, Ramadhan ini meninggalkan memori berharga dalam diri saya... Sungguhpun Aidilfitri yang bakal disambut, jauh dari sisi keluarga, saya tidak begitu sedih... Kerana saya akan merindukan Ramadhan ini... Ada suatu kenangan dalam Ramadhan ini, lebih spesifik, menjelang akhir Ramadhan ini, yang membuatkan saya tidak percaya Ramadhan ini akan berlalu... Apa-apa pun, itulah Qada’ dan Qadar Allah SWT... Tidak hanya manusia, tidak hanya makhluk bernyawa akan terus pergi sehingga akhirnya meninggalkan apa sahaja di sisi mereka... Ketentuan Ramadhan yang hadir lebih kurang sebulan yang lalu juga akan turut berlalu sehingga berakhirnya bulan yang mulia ini buat tahun ini...

            Tidak hairanlah saya begitu menghargai Ramadhan ini, sungguhpun sepanjang lebih 1 per 5 abad usia saya, banyak kali sudah saya bertemu Ramadhan... Ini kerana Ramadhan ini membuatkan saya berfikir sedalamnya... Sehinggakan saya terlintas bahawa hidup ini terlalu singkat... Terharunya saya dengan Ramadhan tahun ini, sehinggakan saya membuat keputusan untuk berkongsi dengan semua...

            Saya memulakan Ramadhan tahun ini, tanpa sebarang perbezaan dengan kebanyakan kita semua... Sahur, kadang-kadang awal, kadang-kadang lewat... Pengisian lebih kurang... Ada aktiviti yang diusulkan pada masa terluang, saya ikuti... Ke sana, ke sini... Ikuti program itu, pengisian ini... Pendek kata, biasa-biasa je... Dalam kesibukan yang kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada ini, beberapa kali saya terhenti seketika... Saya bertanya pada diri sendiri, dalam hati, “Bagaimana keadaan ‘Aisyah’ ye? Apakah perkhabarannya? Bagaimana tahap kesihatannya? Bagaimana pula Ramadhannya?”... Ya, saudara dan saudari, sidang pembaca sekalian... Saya merindu... Bukanlah bermaksud ini kali pertama saya merindu, sejak berjauhan benua dengan ‘Aisyah’... Sebelum ini, tidak kurang juga kekerapan kerinduan hadir dalam diri saya... Tapi, di bulan Ramadhan, perasaan yang hadir lebih kepada kerisauan... Ada sesuatu yang membuatkan saya risau akan keadaan ‘Aisyah’... Tidak perlulah saya berkongsi apa yang berlaku, kerana saya sendiri tidak pasti... Saya sekadar mendengar perkhabaran tanpa gambaran depan mata... Namun, perkhabaran itu cukup membimbangkan saya...

            Begitulah hari-hari di awal dan pertengahan Ramadhan saya... Produktif atau tidak, tergantung pada penilaian Allah SWT... Perasaan risau akan keadaan ‘Aisyah’, kadang-kadang timbul membuatkan saya terkedu seketika, kadang-kadang saya tenggelamkan agar tidak terlalu membuai perasaan sehingga hilang fokus pada apa yang seharusnya saya lakukan... Memang saya ada menerima perkhabaran bahawa keadaan ‘Aisyah’ semakin pulih... Tapi, bagi saya, tak salah saya mendoakan kesejahteraan seorang insan agar insan tersebut terus makmur...

            Apa yang ingin saya kongsikan, yang membuatkan saya mengarang nukilan ini, adalah perkhabaran yang saya terima menjelang akhir Ramadhan ini... Tidak pula saya pasti berapa lama perkara ini telah berlaku... Namun, ternyata inilah impian saya selama ini... Inilah doa saya selama ini... Perkhabaran yang saya terima menjelang akhir Ramadhan ini, seakan mencerminkan bahawa doa saya termakbul...

Pengajaran yang ingin saya kongsikan, hidup ini terlalu singkat untuk kita ratapi apa tidak kita miliki... Hidup ini terlalu singkat untuk kita tanyakan, “Lambat lagi ke diri ini akan berkahwin?”. Hidup ini terlalu singkat untuk kita merindukan buah hati kita... Logiknya, jika kita sematkan di jiwa bahawa hidup ini terlalu singkat, mana mungkin kita merasakan lamanya penantian... Logiknya, jika kita ingat bahawa hidup ini terlalu singkat, kita tidak akan membazirkan masa merindukan kekasih hati kita...

Satu lagi pengajaran yang saya ingin kongsikan... Ternyata jika kita ingin mengubah seseorang, tidak semestinya kita mesti mengubahnya secara fizikal... Jika kita inginkan seseorang itu berubah, tidak semestinya kita harus selalu meluangkan masa bersamanya... Jika ditanya, pastinya ada sekurangnya sekumit rasa tidak puas dalam diri insan yang bercinta, meskipun selalu meluangkan masa bersama... Jika ditanya pada insan tersebut akan bagaimana dia ingin mengubah si dia, antara jawapan popular adalah, “Alaa... Lepas kahwin nanti, dia berubah la...”. Dah hangat bercinta, namun masih menunggu setelah berkahwin untuk si dia berubah... Ada juga yang agak ekstrim, cuba mengubah pasangan mereka semasa sedang hangat ber’couple’... Lepas tu, mula la tertekan... Akhirnya, ada yang putus di tengah jalan... Dalam kes saya, kami bukanlah pasangan yang sedang hangat bercinta... Kami sekarang, boleh dikatakan tidak lebih daripada kawan... Setakat termampu, kami saling membantu dalam pelajaran... Setakat termampu, kami saling menasihati...

Apa yang saya ada kini, adalah cinta untuk si dia, bukanlah si dia secara fizikal... Dalam memelihara cinta ini, banyak yang terlintas di fikiran saya... Kebanyakan impian saya adalah inginkan yang terbaik buat dia... Antara harapan saya, semoga saya mampu menjadi yang terbaik juga buat dia, kerna saya inginkan dia memiliki yang terbaik... Oleh kerana itu, saya tidak letih menanti... Ini kerana saya percaya bahawa dalam penantian ini, ada proses yang berlaku, yang mempersiapkan kami ke arah yang terbaik... Jika akhirnya, takdir kami dijodohkan bersama, kami telah siap sebagai pasangan terbaik untuk satu sama lain... Insya-Allah... Jika takdir Allah SWT menetapkan kami bukanlah untuk satu sama lain, setidaknya saya mampu tersenyum kerana mendoakan seseorang sehingga akhirnya dia menjadi pasangan terbaik buat pasangannya...

Apa yang saya titipkan adalah doa berterusan... Hingga akhirnya gambaran hadir menandakan doa saya termakbul... Alhamdulillah, gambaran itu hadir di akhir Ramadhan ini... Jadi benarlah bahawa Ramadhan ini penuh berkah... Benar jugalah janji Allah yang menyuruh kita terus berdoa, nescaya dia akan memperkenankan doa-doa hambanya... Mungkin perubahan ‘Aisyah’ ke arah kebaikan itu bermula dari sebelum Ramadhan... Namun, Ramadhan tetap membawa berkah ke dalam hidup saya kerana perkhabaran tentang ‘Aisyah’ itu benar-benar membuatkan hati saya lega dan seakan melonjak kegirangan... Jika Ramadhan ini turut membawa berkah ke dalam hidup ‘Aisyah’, bermakna berkah Ramadhan itu telah mencapai hidup dua insan... Sejujurnya, saya percaya hidup ‘Aisyah’ turut disinari berkah Ramadhan, kerna ‘Aisyah’ orang yang baik... Dan orang yang baik itu sentiasa disayangi Allah SWT...

Sidang pembaca budiman,
Itulah kegembiraan Ramadhan tahun ini yang ingin saya kongsikan... Semoga nukilan ini membawa manfaat kepada semua... Maafkan saya dari tulus hati saya, jika nukilan ini sekadar membuang masa awak...
Kesimpulannya, Ramadhan benar-benar membawa barakah kepada setiap insan, walaupun insan itu tidak sedari atau mungkin dalam perkara yang di luar jangkauan insan tersebut...
Selain itu, doa bukanlah kata-kata semata... Doa adalah senjata yang hasilnya pasti walaupun mengambil masa yang lama... Jadi, teruskan berdoa tanpa putus asa...
Ketiga, punya cinta tidak semestinya ber’couple’... Kadang-kadang, insan yang tidak ber’couple’ lebih mampu mempersiapkan pasangannya untuk kehidupan bersama, berbanding insan yang selalu bersama...
Akhir kata, hidup ini singkat, teruskanlah merindu... Kerna dalam rindu, ada harapan dan harapan berpanjangan yang tulus Insya-Allah mampu menjadi doa...

HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK KITA BERSIKAP LEMAH DAN CEPAT PUTUS ASA... SIAPA TAHU, JIKA KITA CEPAT PUTUS ASA, AKHIRNYA HIDUP KITA BERAKHIR DALAM PUTUS ASA... PASTINYA KITA MENYESAL AKHIRNYA... SETIDAKNYA, TERUSKANLAH BERDOA DAN KURANGKANLAH MELAKUKAN DOSA...

Ahmad Zakry Haikal
(Ramadhan, 1433 Hijrah)

KALAU BETUL CINTA...


Assalamualaikum saudara H… Saya ada seorang kawan perempuan... Dah agak lama kami berkawan... Asalnya, kawan biasa-biasa je... Bila dah lama berkawan dengan dia, saya mula jatuh cinta dengan dia... Pernah sekali, saya luahkan perasaan saya terhadap dia... Memang pada mulanya, dia agak susah menerimanya dan kami berada dalam situasi yang agak kekok... Tapi, Alhamdulillah keadaan itu tidak lama... Memang dia susah menerima rasa cinta saya, tapi kami masih mampu berkawan seperti biasa... Kami selalu juga berbincang tentang pelajaran... Kadang-kadang kami berkongsi masalah dan saling menasihati... Baru-baru ini, dia mendapat tawaran belajar di luar negara... Dalam beberapa bulan pertama, kami masih saling menghubungi dan berbincang tentang tentang pelajaran masing-masing...
           
Namun, baru-baru ini dia seolah-olah menyepi... Saya terfikir, adakah dia sudah melupakan saya? Adakah saya telah menjadi sekadar seorang kawan masa silam dia? Semua itu, Alhamdulillah masih mampu saya hadapi... Tetapi, ada satu perkara yang membelenggu fikiran saya... Persoalannya, apa yang harus saya lakukan dengan perasaan cinta saya terhadap dia? Adakah saya perlu terus mengharap? Atau mungkinkah saya perlu lupakan sahaja? Dilema ni semakin menghimpit hati saya... Harap saudara dapat bantu saya... Sudilah nasihati insan ini... Terima kasih saya dahulukan...
(Z)
___________________________________________________________________________

Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh saudara Z... Alhamdulillah, terima kasih kerana sudi menghubungi saya dan berkongsi kisah hidup... Syukur Alhamdulillah kerana saudara dikurniakan rasa cinta dalam keadaan yang baik... Insya-Allah, saudara semestinya telah istikharah sebelum mencintainya... Saya anggapkan gadis yang saudara cintai itu adalah gadis yang baik, dari keturunan yang baik... Seperti yang sering dicanangkan, hati seorang insan yang baik adanya pada Tuhannya... Begitu juga hati gadis yang saudara cintai itu... Memandangkan dia adalah gadis yang baik, pasti hatinya ada pada Allah SWT... Jadi, pintalah pada Allah SWT... Jika saudara benar-benar mencintainya, berdoalah untuk meminta hatinya...

Seperkara lagi yang saudara perlu sentiasa sematkan di fikiran, kadang-kadang Allah menangguhkan nikmat buat seseorang hamba-Nya, sehingga suatu masa yang sesuai... Jadi, harapnya saudara mengharapkan gadis itu terus mencintai saudara... Bersabarlah, kerna Allah sangat sukakan insan yang banyak bersabar... Dalam saudara bersabar, Allah akan menambahkan nikmatnya kepada saudara... Boleh jadi dalam saudara bersabar, sebenarnya Allah sedang mendidik hati dan diri saudara untuk terus berbahagia... Boleh jadi juga, Allah sedang mempersiapkan insan yang saudara cintai itu ke arah hari bahagia kalian... Insya-Allahu Rahman... Husnuzon (bersangka baik), saudara...

Soal samada saudara perlu terus mengharap... Itu adalah suatu persoalan yang hanya saudara ada jawapannya... Insan lain di sekeliling, hanya mampu menasihati berdasarkan pemerhatian mereka terhadap saudara... Bagi saya, Insya-Allah saya akan cuba membantu agar saudara dapat muhasabah dalam hati yang tenang dan fikiran yang tidak kusut... Persoalan yang perlu saudara tanyakan pada diri saudara, demi menjawab persoalan berharap  itu, samada saudara masih mencintai si dia? Adakah dalam penantian ini, telah hadir seorang gadis lain, yang mampu menggantikan si dia dalam hidup saudara? Sebaiknya, saudara istikharah berkenaan ini... Insya-Allah, Allah akan menyampaikan mesejnya dalam apa jua cara... Sesungguhnya Allah adalah penasihat terunggul dan Allah adalah pemberi keputusan terbaik...

Satu perkara yang ingin saya kongsikan, sekiranya kita benar-benar mencintai seorang  insan, kita tidak akan pernah berhenti mendoakannya... Ya, kita semestinya akan mendoakan kebahagiaan kita dan si dia... Selain itu, kita juga perlu mendoakan kesejahteraan si dia... Dalam kes saudara, boleh jadi si dia berhalangan sehingga membataskan dia untuk menghubungi saudara? Mungkin sesuatu musibah terjadi kepadanya, yang dia tidak ingin kongsikan dengan saudara? Atau mungkin juga dia terlalu sibuk dengan pelajarannya, sehingga tidak sempat berutusan dengan saudara? Seperti yang saudara katakan, si dia kini berada di luar negara... Pastinya, ada perbezaan waktu antara Malaysia dengan negara dia bermukim sekarang... Jadi, di waktu dia lapang, saudara mungkin sedang sibuk mengerjakan pekerjaan saudara... Dan di kala saudara kelapangan dan menantikan dia, dia sedang sibuk dengan urusan pelajarannya...

Usahlah kita risau atau bersedih hanya kerana perbatasan yang kecil... Hakikatnya, masih banyak perkara besar yang lebih penting untuk kita semua fikirkan... Bagi yang tak termampu kita capai dan jauh dari kawalan kita, kirimkanlah doa sebagai pendamping... Sesungguhnya Allah SWT itu sangat dekat dengan semua hambaNya... Insya-Allah, insan yang baik akan sentiasa dijaga oleh Allah SWT... Begitu juga hati yang baik, Insya-Allah akan sentiasa dimurnikan dengan nikmat dan berkat Allah SWT...

JIKA BENAR CINTA,
LEPASKANLAH DIA...
DAN KIRIMKANLAH DOA...
SEBAGAI PENDAMPINGNYA...
KADANG-KADANG,
ALLAH MENJAUHKAN INSAN ANTARA SATU DENGAN LAIN...
KERNA ALLAH INGIN MENJADI PENGHUBUNG MEREKA...
BAGI MEMBUKTIKAN BAHAWA ALLAH ITU SEBENARNYA DEKAT...
DEKAT DENGAN KITA...
DEKAT DENGAN SI DIA...
DEKAT DENGAN KITA SEMUA...
INSYA-ALLAH, TERUSKAN BERDOA...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal