SAYANG LEBIH TINGGI...

Alhamdulillah, saya masih dikurniakan ilham untuk berkarya, dan berkongsi warkah dengan saudara saudari...

Terima kasih tidak terhingga kepada Saudara HijauBiru, kerana sudi berkongsi pengalaman dan menimbulkan persoalan pada warkah saya, ‘Solat Sunat Rindu’. Perkongsian dan persoalan Saudara HijauBiru telah mencetuskan ilham untuk warkah saya ini... Masya-Allah, benarlah ilmu Allah itu luas, sehinggakan dalam situasi ditanyakan soalan pun ada ilmu yang disampaikan... Oleh itu, sukacita saya berkongsi jawapan dan ulasan lebih lanjut tentang jawapan saya...

Saudara HijauBiru bertanya bagaimana menghadapi rasa rindu dan rasa sayang akan seseorang, sedangkan si dia sudah menjadi pasangan orang lain...

Dalam menyayangi, acap kali kita merasakan rasa sayang kita itu adalah tersangat dalam, sehingga kita tidak dapat melupakan si dia... Kadang-kadang, kita rasa kita sangat sayangkan si dia sehingga kita tak dapat terima hakikat bahawa si dia sudah jadi milik orang lain... Dengan erti kata lain, kita rasa rasa sayang kita terhadap si dia adalah tahap sayang yang tertinggi...

Sebenarnya, kita silap... Ada tahap sayang yang lebih tinggi... Saya tidak berani mengatakan ini adalah tahap sayang tertinggi, kerana Maha Penyayang Allah adalah yang paling tinggi...

Berbalik pada ‘Tahap Sayang Yang Lebih Tinggi’ yang kita ingin bincangkan... Apa itu??? Tahap sayang yang lebih tinggi ini adalah bila kita menyayangi seseorang sehinggakan kita hanya ingin melihat dia bahagia... Kita tidak lagi kisah biarpun si dia bukan bersama kita... Kita sayangkan dia, sehingga kita inginkan si dia dapat yang terbaik dalam hidupnya...

Contoh paling senang dan praktikal untuk kita lihat adalah sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka... Ibu bapa sanggup buat apa sahaja bagi menterjemahkan rasa sayang mereka kepada anak-anak... Biarpun mereka sedar, bahawa anak-anak yang mereka sayang sangat itu akan menjadi pasangan hidup seseorang lain suatu hari nanti... Biarpun mereka sedar, bahawa mereka akan berpisah juga dengan anak-anak yang mereka sangat sayangi itu nanti... Sungguhpun mereka sedar hakikat perpisahan dengan anak-anak kesayangan mereka tu akan tiba nanti, mereka tetap memberikan sayang yang terbaik buat anak-anak mereka...

Setelah anak-anak berkahwin, adakah ibu bapa akan berhenti menyayangi anak-anak??? Tidak... Ibu bapa akan tetap sayangkan anak-anak, sehinggakan mereka masih sanggup berdoa untuk anak-anak, dan berbuat apa sahaja untuk melihat anak-anak bahagia... Segalanya mereka sanggup buat, demi sayang mereka, sungguhpun anak-anak kesayangan mereka sudah ada yang punya...

Itulah ‘Tahap Sayang Yang Lebih Tinggi’ dalam kehidupan kita manusia... Tahap sayang yang lebih tinggi itu, bukan hanya milik yang bergelar ibu bapa... Sesiapa sahaja layak memiliki rasa sayang tahap itu... Biarpun insan bujang... Semoga kita semua mampu memiliki rasa sayang yang lebih tinggi itu... Sehingga akhirnya kita mampu terdidik untuk menyayangi dengan ikhlas, tanpa hanya mengharapkan si dia menjadi milik kita semata-mata...

Sebelum kita dan si dia disatukan, sayangilah si dia dengan mendoakannya, juga kita... Semoga kita dan si dia dapat bersama saling membahagiakan... Setelah kita disatukan dengan si dia, teruslah menyayangi si dia dengan terus mendoakan si dia, juga kita... Semoga kita dan si dia mampu terus membahagiakan... Sekalipun kita tidak disatukan dengan si dia, tidak salah kita menyayanginya... Asalkan kita menyayanginya dengan benar, mengharapkan si dia tetap bahagia dalam hidupnya...

Berapa lama sudah masyarakat Barat mempromosikan ‘Unconditional Love’???
Sebenarnya, dalam Islam sudah ada konsep tersebut...
Kita gelarkan, ‘Tahap Sayang Yang Lebih Tinggi’...

MULA-MULA, SOLAT SUNAT RINDU...
SEBAB RINDU SANGAT KAT SI DIA...
LEPAS TU, SOLAT SUNAT HAJAT...
SEBAB HAJATKAN KEBAHAGIAAN SI DIA...

BERHAJAT JUGA SEMOGA KITA SENTIASA TENANG...

BAPA SEORANG MUSLIMAH…

K :
Assalamualaikum…

H :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh… K… Apa khabar??? Sihat ya???

K :
Alhamdulillah, sihat… Hang, apa khabar? Baru tinggal seminggu, dah berisi…

H :
Betul la hang cuti seminggu… Tapi, sebelum hang cuti, berapa lama kita tak bersua muka… Memang berisi la, bahagia member dapat anak…

K :
Banyak la hang punya bahagia member dapat anak… Ke bahagia sebab lain???

H :
Takda la… Seminggu dua ni, sibuk lebih sikit… Jadi, makan tak menentu… Bila ada ruang, makan… Takut tak sempat makan masa nak buat keja…

K :
Orang lain sibuk, turun berat badan… Hang sibuk, naik berat badan??? Pelik sungguh hang ni…

H :
Takda la naik sangat pun berat badan ni… Cuma badan nampak berisi sikit... Mungkin sebab makan macam-macam... Pastu, bila rasa dah berat kepala, bersenam... Tu yang nampak sasa sikit tu...hahaha

K :
Ikut hang la... Janji, cemerlang...hahaha

H :
Eh, lupa pulak nak ucap tahniah dan selamat, sebab hang dapat anak... ‘Baby girl’ lagi...

K :
Terima kasih... Wei, sebenarnya runsing jugak ni...

H :
Dah kenapa pulak runsing... Patutnya hang gembira...

K :
Sebabnya, fikir pasal anak dara ni... Hang tahu kan, sekarang ni macam-macam duk berlaku... Depan hari lagi, mesti banyak lagi kes macam ni... Kes sosial... Yang duk kena, anak dara la... ‘Boyfriend’ diorang, cabut lari cari lain... Bimbang jadi kat anak dara kita la depan hari nanti...

H :
Tak payah risau la... Perkara tu semua, belum tentu kena kat anak dara hang lagi... Macam ni, masa dia kecik ni, hang jangan duk tinggal dia sorang... Kalau isteri hang tengah sibuk, hang kena pergi main dengan anak dara hang... Makna kata, jangan biar dia rasa sunyi... Budak-budak ni, kecik-kecik lagi dah pandai rasa sunyi... Bila rasa sunyi tu dia pendam, bawa sampai besar, dia akan jadi jauh dari mak ayah... Tu, yang cari ‘boyfriend’, nak isi rasa sunyi hati... Nak beritahu mak ayah bahawa dia sunyi, dia dah ada rasa malu... Sebab dia rasa dah besar, rasa segan nak beritahu mak ayah yang dia sunyi...

Jadi, kena jaga elok masa kecik... Jangan bagi dia rasa sunyi... Tahan la kejap... Masa anak-anak kecik, dia nak manja-manja dengan kita... Nak kena bawa anak-anak jalan... Buat la apa yang patut... Janji dia tak rasa sunyi...

Kejap je nak kena selalu teman anak-anak ni... Bila dia dah besar sikit, dah pandai faham macam-macam, kita ajar dia isi masa lapang pula... Masa tu, kita dah boleh kurangkan sikit masa bersama dia... Kita ajar dia solat, baca Al-Quran, buat hobi tu, buat aktiviti ni... Bukan maksudnya kita dah tak perlu luangkan masa dengan anak-anak... Kita tetap kena luangkan masa dengan diorang... Tu cara kita nak pantau diorang dan kita nak buktikan mereka masih ada kita, untuk berbual dan buat aktiviti bersama...

Lama-lama, bila anak-anak dah kenal Allah dan Rasul, kita didik diorang supaya faham bahawa diorang sentiasa ada Allah dan Rasul dalam hati diorang... Kita didik la diorang supaya diorang dapat isi hati diorang dengan Allah dan Rasul... Selain Allah dan Rasul, diorang juga ada ayah dan ibu, untuk diorang mengadu, atau untuk diorang bercakap sekali sekala dan bila perlu... Tu, jangan lupa...

Kes sosial yang duk berlaku sekarang ni, berpunca dari anak-anak rasa sunyi... Tu yang cari ‘boyfriend’, ‘girlfriend’ entah apa-apa tu... ‘Boyfriend’ tu, bukan hensem sangat pun... Akhlak pun, entah apa-apa... Tapi, dah itu je yang sudi jadi ‘boyfriend’, yang sudi mengisi sunyi hati, layan je... Sebenarnya, bukan sayang pun... Tapi, lebih kepada rasa bergantung... Bila rasa bergantung tu dah tebal, tu yang sudi je buat macam-macam... Tu yang bila ditinggalkan, ramai yang sampai sanggup bunuh diri...

Jadi, K... Hang jaga elok-elok anak dara hang ya... Jangan bagi dia rasa sunyi sikit pun... Bila dia dah besar, dah pandai jalan, selalu la bawa dia jalan-jalan... Keluar minum dengan kawan-kawan pun, bawalah anak dara hang tu... Bagi la isteri hang lapang sikit untuk urus hal ehwal di rumah tu... Lagi pun, bila hang selalu bawa anak dara hang jalan, Insya-Allah dia dah cari lelaki lain dah untuk bawa dia jalan-jalan nanti... Sebab dia tahu, ada juga bapa dia untuk bawa dia jalan-jalan...hehehe

Nanti, bila anak dara hang dah besar, dia akan cari orang macam hang untuk buat suami... Sebab Insya-Allah dia puas hati dengan hang sebagai peneman hidup dia sejak kecil... Sebab dia bahagia dengan orang macam hang... Jadi, hang tak perlu nak ‘slow talk’ banyak-banyak dengan anak hang nanti, tentang orang macam mana dia patut buat suami... Haa, nampak tak tu... Cara tu...

K :
Hang ni, betul la... Elok je sekolahkan orang lain... Macam apa dah gayanya...

H :
Penuntut Universiti Kehidupan, ceq... ‘Free’, tapi boleh belajar serba serbi...

K :
Okey la... Kena balik dah ni... Nak peluk cium anak pula ni... Nanti sunyi pulak dia... Assalamualaikum...

H :
Haa... Elok, elok... Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

SEMUA ADALAH GURU…

Acap kali kita dinasihatkan, secara langsung, mahupun tidak langsung, supaya berguru... Kita digesa supaya mencari ilmu...

Pernah saya terfikir-fikir... Fikir saya, “Mengapa mesti berkelana, mengembara, dengan erti kata lain ‘PERGI’ mencari ilmu... Apa kelebihannya berbanding kita duduk dan tunggu guru datang kepada kita bersama ilmu yang ingin diajarkan mereka kepada kita???”. Alhamdulillah, sejak beberapa tahun lalu saya temui jawapannya... Ianya bukan tentang ilmu yang kita inginkan, tetapi ianya lebih kepada ilmu yang kita temui... ‘Actually, that’s life... It’s more about the journey, not about the destination...”.

Saatnya kita siap untuk menuntut ilmu, sepanjang perjalanan mampu membuatkan kita berilmu... Ya, kita punya tujuan... Kita ingin menuntut sekian ilmu, kerna kita rasa kita perlukan ilmu itu... Tapi, Allah Maha Mengetahui... Allah Maha Mengetahui bahawa kita perlukan ilmu lebih dari itu... Maka, Allah titipkan ilmu dalam perjalanan kita... Kita hanya perlu buka mata, buka minda, buka hati...

Satu analogi mudah, mungkin dapat membantu kita melihat betapa ‘simple’ perjalanan hidup ini, namun impaknya besar, menyebabkan kita berilmu...
Dalam perjalanan untuk bertemu guru, kita mungkin terserempak seorang pak cik, berpakaian compang-camping menjual kacang... Lantas, dia berkata, “Nak, belilah kacang pak cik ni... Kacang ni direbus dengan lada hitam... Bagus untuk kesihatan...”. Kita pun beli kacang jualan pak cik tu, dengan niat mencuba rasa... Ternyata kacangnya sedap, dan meredakan selsema, yang kita alami sejak berhari lalu... Maka, terbuktilah kacang yang direbus bersama lada hitam pak cik tadi, mampu meredakan selsema... Itu satu ilmu buat kita...
Sekalipun kacang jualan pak cik menyebabkan kita gatal, itu masih satu ilmu buat kita... Satu ilmu bahawa kita mungkin alahan pada kacang bersama lada hitam... Tidak semestinya kacang yang direbus bersama lada hitam itu tidak elok dimakan... Tetapi, setidaknya saat kita makan kacang yang direbus bersama lada hitam itu, kita tahu bahawa kita ada alahan, yang mungkin sekian lama tidak kita tahu...

            Maka benarlah bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu, walaupun tampak kecil, nilainya sia-sia... Tiada yang sekadar perhiasan, melainkan ilmu segalanya... Ini bukan tentang siapa yang menyampaikan sesuatu ilmu, ini tentang apa ilmu yang disampaikan...

Kalau Najwa Latif boleh kata, “Banyak soalan, banyak juga jawapannya... Kata hati dan rasa tak dibiar saja... Setiap yang berlaku ada kebaikannya.. Harus pejam mata dan cuba apa saja”, Mengapa kita tidak boleh???
Kadang-kadang, hati dan rasa berkata, “Dengarkan apa yang dikata oleh orang itu, boleh jadi itu ilmu buatmu... Jadi, mengapa kita biarkan saja???
Setiap yang berlaku ada kebaikannya, baik yang elok, mahupun yang tidak elok... Kerna yang elok itu teladan, dan yang tidak elok itu sempadan... Teladan, atau sempadan, itu ilmu buatmu...
Pejamkan mata seketika, jangan dikisahkan dia insan berkot bergaya, mahupun pakaiannya biasa-biasa saja, cuba dengarkan apa katanya... Kerna dia mungkin tahu sesuatu yang berguna...
Selagi mana sesuatu itu halal, cubalah apa saja... Jangan menjauh hanya kerana kawanmu menjauh, sedangkan tiada dalil mengharamkannya....
           
Masya-Allah, saudara saudari... Betapa Allah inginkan kita menjadi ummah berilmu... Diciptakan dunia ini, disusun hari-hari urusan kita... Semuanya diisi dengan ilmu... Tepatlah saranan Rasulullah SAW, “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga liang lahad”... Hanya mati penamat pengembaraan ilmu kita...

            Oleh itu, berkelanalah kita mencari ilmu... Kenapa takut jauh dari keluarga??? Cuba bayangkan bakti yang semakin luas dapat kita curahkan pada keluarga kita, dengan kita berkelana mengembara mendapatkan ilmu... Kita mungkin bukan sarjana, atau ahli falsafah terkemuka... Kita mungkin hanya insan biasa... Tapi, Alhamdulillah kita dikurniakan sedikit ilmu yang tidak dipelajari oleh ahli sarjana dan ahli falsafah... Kerna Allah Maha Mengetahui ilmu itu baik bagi kita dan boleh dikongsikan... Maka, kita berharap ada yang sudi mendengar... insya-Allah, akan ada yang menegur jika kita khilaf... Insya-Allah, kita terimalah dengan hati terbuka, kerna kita ingin belajar...

Meskipun sekian lama saya meninggalkan zaman persekolahan, saya rasa masih ada yang boleh dan perlu saya pelajari daripada murid-murid sekolah rendah... Semestinya mereka tidak berkata, “Abang Haikal, dengar ni adik nak beritahu...”. Tapi, setidaknya bila mereka berkata, “Eh Abang Haikal, bukan macam ni ke???”, membuatkan saya terfikir...

Semoga kita semua terbuka menerima ilmu yang mendatang... Kongsikanlah, agar semua boleh ambil manfaat, dan kita boleh berbincang ke arah lebih baik... Jangan takut akan tersalah, kerna kesilapan itu juga sebahagian daripada pengembaraan ilmu...

ILMU ALLAH SWT ITU TERLALU BANYAK... MESKIPUN SEMUA LAUTAN DIJADIKAN DAKWAT, DAN SEMUA PEPOHON DIJADIKAN KALAM, MASIH TIDAK HABIS ILMU ALLAH DINUKILKAN...
Pernah dengar bidalan ini??? Tapi, kita masih berkata itu sia-sia, ini ‘nonsense’ dan apa saja yang menghalang kita menerima ilmu itu???
#facepalm

ALBERT EINSTEIN DIIKTIRAF SEBAGAI MANUSIA GENIUS... TAPI, PENGKAJI MENYATAKAN ALBERT EINSTEIN HANYA MENGGUNAKAN 10% DARIPADA OTAKNYA SEPANJANG HIDUPNYA...
10% daripada otak untuk jadi genius... Tapi, kita disuruh berfikir sikit, mengeluh kepala hampir meletup???
#doublefacepalm

SEPANJANG HAYAT BAGINDA, NABI MUHAMMAD SAW MEMIKIRKAN PERIHAL SELURUH UMAT... BILA BAGINDA WAFAT, UBANNYA BOLEH DIHITUNG DENGAN JARI...
Kita sampai kepala penuh uban, masih malas berfikir demi manfaat masyarakat kecil???
#headshot

MENARUH HARAPAN = BERSANGKA BAIK...

Suatu hari, ketika saya ingin menjamu selera di kantin organisasi saya, saya berkesempatan bersembang panjang dengan ketua jabatan saya... Kebetulan kami berdua saja ketika tu, dia memulakan bicara...
“Haikal... Mungkin ramai, baik orang luar mahupun staf dalam, yang rasa pelik kenapa saya pilih projek ni untuk dilaksanakan oleh organisasi kita... Ramai juga yang mengeluh, marah-marah, saya tahu... Saya memilih projek ni, sebab saya tahu kita semua mampu... Kita kan ada kapasiti dan kemahiran yang diperlukan untuk laksanakan projek ni... Walaupun ramai yang sinis dengan kapasiti kita, saya masih yakin dengan staf-staf saya... Walaupun semua orang kata staf saya ramai yang pemalas, tak salah kita bersangka baik, dengan meletakkan harapan, kan???”

Selain kagum dengan sikap positif beliau, kata-katanya tu membuat saya berfikir panjang... Apa yang penting dalam sesebuah organisasi, bukan sahaja kerjasama... Sikap positif semua ahli juga penting, terutama pemimpin organisasi... Kalau pemimpin organisasi bersikap pesimis, apa pun tak boleh... Akhirnya, jadilah organisasi layu, dan ahlinya semua seperti katak bawah tempurung, tiada peluang mengembangkan ilmu dan kemahiran...

Bahkan, sebagai insan sekalipun, kita perlu optimis... Setidaknya, optimis terhadap diri kita sendiri... Menaruh harapan pada diri sendiri, bermakna kita bersangka baik kita pasti dapat lakukan sesuatu pekerjaan itu... Barulah kita dapat majukan diri...

Mungkin ramai yang berpendapat, “Dunia ini sementara, jangan dikisahkan sangat...”. Isunya di sini, bukanlah ambil kisah akan dunia atau sangat mementingkan dunia... Disebabkan dunia ini sementara lah, kita harus bersangka baik, supaya kita dapat bahagia, dan supaya kita senang mesra dengan isi dunia... Sehingga akhirnya, ada yang sudi mendoakan kita berbahagia di akhirat sana...

Kita tahu, ahli organisasi kita ada kemahiran... Cuma, kadang-kadang mungkin datang malas mereka... Jadi, mengapa kita takutkan ‘malas’, yang cuma menjadi sebahagian kecil itu... Bukankah ada ‘kemahiran’ yang menjadi bahagian besar itu??? Mestikah kita berhenti melangkah, haruskah kita duduk terperap di rumah, hanya kerana takutkan duri di jalanan akan menghalang pengembaraan kita???

Bukan ke lebih baik kita bersangka baik, bahawa semua akan baik-baik sahaja??? Jauh lebih molek jika kita terus berdoa mengharap kapasiti dan kemahiran yang ada akan dioptimumkan... Anggap sahaja sikap malas atau apa jua cabaran yang ‘kecil-kecil’ tu umpama duri di jalanan, yang mampu kita kuis ke tepi... Atau anggaplah saat bertemu cabaran tu sebagai persinggahan sementara, untuk kita berehat seketika, dan muhasabah apa yang telah dikerjakan bersama...

Seketika, kalaupun bukan selamanya, kita harus ingat... Menaruh harapan bukan bermaksud kita sudah kehabisan ikhtiar... Bersangka baik, bukanlah bermakna kita terlalu naif, atau senang dibuli... Menaruh harapan, bersangka baik, kerna kita ada iltizam yang tinggi... Menaruh harapan, bersangka baik, kerna kita sayangkan semua kerana Allah Ta’ala... Menaruh harapan, bersangka baik, kerna kita harapkan semua menjadi terbaik di mata Allah SWT...

Oleh itu, yuk kita menaruh harapan, dan bersangka baik, semoga dunia menjadi lebih baik... Terbaik buat kita, terbaik buat generasi selepas kita... Insya-Allah...

LEBIH BAIK KITA BERSANGKA BAIK TERHADAP MEREKA YANG SEBENARNYA BERNIAT JAHAT PADA KITA...
BERBANDING KITA BERSANGKA BURUK TERHADAP MEREKA YANG SEBENARNYA BERNIAT BAIK PADA KITA...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal