Ramai antara kita yang menjadikan Ramadhan yang bakal bertandang sebagai satu titik perubahan... Alhamdulillah, bagus la jika demikian... Sekurangnya, kita masih berfikiran wajar dan ada niat untuk berubah, tidak kira perubahan itu masih awal atau sedikit terlambat...
Namun, ada antara kita yang sibuk untuk berubah sehingga terlupa kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini... Apa lagi, kesilapan yang pernah dilakukan itu melibatkan lebih dari satu pihak, seperti kata-kata yang melagakan orang lain... Benar kata bidalan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya... Apa lagi jika kata-kata yang diucapkan tidak berasas atau tidak mempunyai asas yang kukuh, yang hanya berdasarkan fahaman sendiri, yang akhirnya menyebabkan beberapa pihak bertelingkah...
Sempurnakah perubahan kita jika kesilapan lepas tidak diperbetulkan? Ingatlah bahawa dosa itu ada dua jenis... Satu, dosa dengan Allah SWT yang mampu dipohon keampunannya dengan taubat nasuha... Tetapi, bukan itu sahaja... Ada juga dosa dengan insan lain yang harus dipohon keampunan dari insan itu sendiri... Dalam perihal mengata dan menyebarkan fitnah, harus diperbetulkan kembali salah faham tersebut agar pihak yang bertelagah kembali berdamai...
Menjadi suatu dosa jika 2 insan bertelingkah sekian lama... Apa pula perkiraannya jika kita menjadi asbab 2 insan itu bertelingkah? Sebesar mana agaknya dosa kita? Apakah Allah SWT akan mengampunkan dosa kita ini, selagi mana 2 insan itu terus bermasam muka? Sedarlah kita bahawa pergaduhan yang disebabkan pihak ketiga amat susah diperbetulkan oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam pertelingkahan...
Teringat satu sabdaan Rasulullah SAW bahawa “Seburuk-buruk manusia adalah manusia yang dihindari manusia-manusia lain kerana takutkan kejahatannya”... Namun, apa guna kita didampingi ramai manusia yang menyangka kita baik, sedangkan kita tidak sebaik yang disangka? Apa gunanya kita berdampingan dengan ramai manusia jika apa yang kita lakukan adalah menyebarkan khabar angin, menjana fitnah yang kita sendiri tidak tahu kebenarannya, lantas membuatkan ada insan yang terluka, ada insan yang dipandang hina?
Insya-Allah, tidakkan putus nyawa jika kita memperbetulkan khabar angin yang pernah kita sebarkan... Sekiranya hayat telah sampai, putus nyawa kita, itu lebih mulia kerana sekurangnya kita dalam perjuangan memperbetulkan suatu yang tidak sahih... Berbanding kita terus bernyawa sedangkan fitnah yang kita sebarkan terus menular...
Sekiranya ingatan terlalu singkat, kita lantas terlupa kesilapan yang pernah kita lakukan, ingatlah bahawa Allah SWT itu Maha Bijaksana... Pohonlah kepada Allah kerana Allah Maha Bijaksana dalam memberi petunjuk juga dalam memberi jalan dan peluang untuk hamba-hamba-Nya berubah...
RAMAI YANG TIDAK BERTANYA KERANA TAKUTKAN ALASAN... LANTAS LEBIH RELA MEMBUAT KESIMPULAN SENDIRI... APA LAGI, MENYEBARKAN FITNAH...
BERUBAHLAH DAN PERBETULKAN KESILAPAN LALUMU SELAGI ROH MASIH DIBERI KESEMPATAN OLEH TUHAN-MU...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan