ADA YANG BERMAKNA…


Yang patah, kan tumbuh…
Yang hilang, kan berganti…
Itu pepatah yang terpopular di kala perpisahan bertamu… Namun begitu, di saat kita akan pergi meninggalkan mereka... Apakah kita benar-benar adalah ‘Yang Patah’? Atau kita sekadar ‘Yang Reput’? Apakah kita benar-benar ‘Yang Hilang’? Atau kita hanyalah ‘Yang Ghaib’? Adakah pemergian kita akan benar-benar ditangisi mereka? Atau tiada bezanya sungguhpun kita sudah tiada, kerana kita tiada berjasa sepanjang keberadaan kita dengan mereka?

Ini bukan soal nama yang kita tempa... Ini bukan isu jasa yang diungkit untuk dibanggakan... Ini adalah tentang apa yang kita laksana, seikhlasnya, yang boleh kita bekal bersama tatkala kita disoal di hadapan Yang Maha Esa...

Biarlah kita lebih daripada sekadar ‘Yang Patah’... Kerna kita bukan semata-mata DAHAN, bahkan kitalah AKAR... Kita bukan setakat menyokong mereka, bahkan kitalah yang menjadi teras pencambahan bagi mereka...

Biarlah kita lebih daripada sekadar ‘Yang Hilang’... Kerna kita bukan semata-mata KACA, bahkan kitalah hakikatnya adalah BERLIAN... Kita bukan setakat menyebarkan terang, bahkan kitalah yang menyinari bagi mereka...

Saat kita pergi meninggalkan mereka, tidak mengapa jika mereka tidak terus menangisi pemergian kita... Akan tetapi, semoga mereka akan menitiskan air mata jua suatu hari nanti, tatkala mereka merasakan kehilangan kita... Semoga suatu hari, saat mereka sedar bahawa sesuatu telah hilang dalam hidup mereka, mereka akan terkenangkan kita dan akhirnya sedar hasil keberadaan kita sebelumnya...

Ayuhlah kita mengambil teladan daripada kisah seorang hamba Allah di zaman kegemilangan Islam dahulu (maaf, saya terlupa siapa gerangan insan tersebut)... Beliau selalu membahagi-bahagikan makanan kepada penduduk setempat, dengan meninggalkan bekalan di depan pintu mereka... Setiap kali mereka mendapat makanan, mereka tidak pernah tahu siapa gerangan pemberinya... Tiada seorang pun yang menerima makanan itu tahu siapa insan mulia itu... Sehinggalah insan tersebut meninggal dunia, mereka akhirnya tahu siapa gerangan insan tersebut... Itu adalah kerana mereka tidak menerima bekalan di depan pintu mereka sekian lama... Setelah diselidiki, tahulah mereka bahawa seorang insan telah meninggal dunia... Tahulah mereka bahawa ternyata insan tersebut yang meninggalkan bekalan di depan pintu mereka selama sebelum dia meninggal... Hebat kan, saudara dan saudari? Betapa lama ketika hayatnya, dia berjasa kepada penduduk setempat... Tidak pernah sekali pun dia mengharapkan pujian... Hanya setelah dia meninggal dunia, mereka tahu jasanya...

Jadikan peristiwa tersebut sebagai panduan kita, pendorong semangat kita untuk terus berjasa... Buatlah jasa dengan apa cara sekalipun, yang penting keberadaan kita bermakna... Biarlah tiada seorang pun di kalangan mereka di sekeliling kita sedar akan jasa kita, yang penting Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita lakukan... Biarlah mereka tidak pernah sekali memuji apa yang telah kita lakukan, yang penting Allah Maha Mengetahui bahawa mereka sedang merasai nikmat hasil jasa kita...

Kekadang, kita juga perlu ingatkan hati kita tentang seperkara... Bahawa kita harus merelakan jika ada yang mengambil kesempatan dengan menempa nama menggunakan jasa kita... Di saat zaman masyarakat yang menghimpit, boleh jadi ramai yang terdesak... Lantas mereka memanipulasi apa sahaja untuk menguntungkan mereka... Contohnya, kita utarakan suatu pendapat... Kita, dan seorang kawan kita, tahu bahawa itu adalah idea kita... Namun, dia mengusulkan pendapat itu tanpa sedikit pun menyebut nama kita, seolah itu adalah ideanya semata... Di saat ini berlaku, kita perlu ikhlaskan sahaja... Insya-Allah, kita mendapat pahala berganda kerna mengilhamkan sesuatu yang bermanfaat, dan juga tidak riak atau mengungkit... Semoga Allah jaga hati kita semua...

Saudara dan saudari,
Kita tak selalu ada untuk semua… Tapi, biarlah keberadaan kita memberi makna kepada mereka… Biarlah kita tidak dirindui mereka… Namun, pastikan ada usaha kita yang memberi impak pada hidup mereka

Setiap kelompok masyarakat memerlukan bakti yang berbeza... Bakti kita ketika bersama kawan-kawan kita, tidak akan sama dengan bakti kita ketika bersama keluarga... Bahkan, bakti kita ketika bersama ibu bapa, mungkin tidak sama bakti kita ketika bersama atuk dan nenek... Contohnya, ibu bapa kita selalu inginkan pendapat kita dalam hal ehwal pengurusan keluarga... Manakala, atuk dan nenek kita hanya menginginkan kita menjadi pendengar mereka ketika mereka bersuara tentang hal ehwal keluarga... Insya-Allah, keduanya bakti daripada kita, sungguhpun berbeza pendekatannya...

Hakikatnya, kita tidak akan mampu berada di dua tempat berbeza pada satu masa... Itu benar... Namun begitu, kita tidak seharusnya panasaran (bingung) terus... Sehinggakan kita tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat di mana kita berada... Apatah lagi, jika panasaran kita itu menyusahkan... Di mana pun kita saat dan ketika itu, berbaktilah... Insya-Allah, Allah tidak letakkan kita di sesuatu tempat untuk sia-sia... Pasti ada hikmahnya, bagi kita, dan juga bagi mereka sekeliling kita...

Selain itu, apa jua keputusan yang kita ambil tatkala kita diminta membuat pilihan, cubalah untuk tekad kerana mengikut kita, itulah yang terbaik... Pohonlah kepada Allah semoga apa yang kita putuskan adalah yang terbaik... Biarlah mengikut hemat orang lain, itu bukanlah satu keputusan yang terbaik, asalkan kita sedar manfaat yang dapat kita capai dengan keputusan kita... Mereka yang melihat mungkin tidak tahu dengan lengkap, seperti yang kita ketahui... Insya-Allah, jika niat kita untuk berbakti, Allah akan bantu kita untuk berbakti demi kesejahteraan dunia dan akhirat, selagi kita ikhlas berbakti...

Adat hidup, bukan kita seorang sahaja yang berjasa kepada orang sekeliling kita... Makna kata saya, janganlah kita terlalu fokus pada jasa kita sehingga kita terlepas pandang jasa orang lain terhadap kita...
Insan yang terbaik...
Cuba untuk berjasa...
Lantas melupakannya setelah terlaksana...
Apa yang dikenang adalah khilafnya...
Insan terbaik itu sering terkenang jasa orang terhadapnya...
Khilaf mereka, tiada di memorinya...

Suri teladan terbaik, Rasulullah SAW... Betapa baginda menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup baginda... Salah satu buktinya, kisah Baginda menghargai seorang penyapu sampah masjid... Suatu hari, baginda SAW tidak melihat kelibat insan yang selalu menyapu sampah di masjid... Lalu, baginda bertanya kepada para Sahabat yang ada ketika itu... Para Sahabat memberitahu bahawa insan tersebut telah meninggal dunia... Baginda bertanya mengapa tiada sesiapa yang mengkhabarkan berita itu kepada baginda... Sahabat menjawab mereka kira khabar itu tidak penting bagi Rasulullah SAW... Rasulullah SAW memberitahu bahawa insan tersebut telah berjasa, jadi dia layak diberi penghormatan oleh semua orang termasuk baginda...

Renungkanlah betapa baginda Rasulullah SAW begitu menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup baginda... Jika dikira, jasa baginda jauh lebih besar berbanding jasa si penyapu sampah... Namun, baginda tidak mengira percaturan itu... Bagi baginda, jasa orang lain jauh lebih besar berbanding jasa baginda... Sungguhpun Rasulullah SAW boleh dikatakan sangat sibuk dengan urusan pentadbiran dan dakwah, baginda masih ingin meluangkan masa untuk hadir memberi penghormatan kepada insan yang bagi baginda sangat berjasa...

            Sekian, saya tinggalkan warkah ini buat sidang pembaca sekalian, sebagai warkah akhir tahun 2012 daripada saya... Terima kasih kerana terus setia menyokong penulisan saya... Setinggi penghargaan (tidak terkira) dan salam sayang daripada saya... Semoga sepanjang tempoh kita bersama, saya mampu berada di sini, di saat saudara dan saudari memerlukan... Makna kata, saya mampu menyentuh aspek-aspek yang sepatutnya, dan sentuhan saya mampu memberi impak... Saya sentiasa sangat berharap semoga saya mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang membaca... Niat saya, untuk melihat kita semua bersatu atas dasar Islam yang satu, dan kita mampu sebulat suara sebagai umat akhir zaman yang akan dibanggakan oleh Rasulullah SAW di Akhirat kelak... Maaf atas sentuhan saya yang tidak kena pada tempatnya dan percanggahan yang saya timbulkan...

Mohon doa semua semoga saya terus dikurniakan ilham dan kekuatan dalam meneruskan penulisan saya... Saya doakan saudara dan saudari sekalian sentiasa hidup diberkati Allahu Rabbi...

INSYA-ALLAH,
SAYA SAYANG SAUDARA DAN SAUDARI, KERANA ALLAH SWT!!!

ILMU UNTUK ‘COUPLE’...


(mesti ramai yang tak sabar-sabar nak baca warkah ni kan??)

            Ya adik-adik... Abang Haikal nak habaq sikit pasai ‘couple’ ni... Yang duk nak ‘couple’ tak tentu hala tu, nak tanya... Hang nak couple tu, berapa banyak ilmu hang ada dalam dada? Kalu tak dak ilmu, tok sah duk kalut nak ‘couple’ la... Mallu eh...

            Cukup sampai situ... Minta maaf kepada orang-orang Kedah semua... Maaf salah silap bercakap Kedah... Semangat tengah masuk, menggelegak sikit...

            Sebelum saya teruskan penulisan ni, saya ingin tekankan bahawa warkah ini tidak sesekali bertujuan untuk menggalakkan ‘couple’ antara bukan muhrim... Baiklah, yuk kita mulai...

Ada persoalan yang ditanya (ye la, takkan dijawab pulak)...
“Haikal rasa, mana lebih elok, cinta selepas kahwin atau cinta sebelum kahwin lagi?”
Jawapan saya...
“Punya cinta sebelum kahwin, dan teruskan cinta tu selepas kahwin... Secara halal... Itu yang elok...”

Apa maksud tu? Maksud saya, belajarlah untuk bercinta sejak sebelum kahwin, cuba praktikkan setakat termampu, dan teruskan selepas kahwin... (Saya pernah bincang tentang ni, dalam warkah bertajuk ‘Belajarlah Menjadi Suami/Isteri’...)

Baiklah, saya cuba tegakkan pendirian saya ni... Seorang insan yang nak jadi doktor, contohnya... Boleh ke dia terus jadi doktor tanpa perlu belajar? Nak jadi doktor, terus je la sarung jubah doktor, masuk dewan bedah, bedah pesakit... Boleh macam tu? Tak boleh kan? Begitu juga perkahwinan, mana boleh main kahwin je, tanpa belajar...

Saudara dan saudari,
Untuk menjadi doktor, berapa lama tempoh perkhidmatannya? Katakanlah, seorang insan bertugas sebagai doktor sejak umur 25 tahun, sehingga umur 60 tahun... 35 tahun perkhidmatannya... Tempoh belajar sebelum bertugas, lebih kurang 6 tahun...

6 tahun BELAJAR, bukan BERKURSUS PENDEK, untuk berada dalam kerjaya kedoktoran selama 35 tahun... Tapi, berapa lama kita nak kahwin? Katakanlah (sebagai contoh sahaja), kita berkahwin pada umur 25 tahun, dan pada umur 60 tahun perkahwinan kita dirungkai atas sebab kematian pasangan (ingat, contoh je ni)... 35 tahun berumahtangga... Berapa lama kita belajar untuk rumahtangga 35 tahun tu? Ada 6 tahun? Jarang-jarang... Yang ramai, pergi kursus kahwin dalam beberapa hari je... Kursus kahwin yang pendek... Itu pun sebab diwajibkan... Kalau tak diwajibkan, tak belajar langsung... Sarung baju melayu sedondon, kilas samping, letak songkok, bersila, salam dengan tok kadi, akad nikah, SAH!!! Terbinalah sebuah perkahwinan... Lepas kahwin, nak buat apa? Bersanding... Lepas tu? Peristiwa malam pertama... Lepas tu? Macam hari-hari biasa, cuma kini berdua...

“Apa nak susah... Kahwin dulu... Pastu, sama-sama bincang la apa nak buat dalam rumahtangga...”
Minta maaf untuk saya bertanya... Nak bincang? Nak bincang apa? Main redah je???
            “Erm... Saya rasa, kita patut berbincang...”
            “Bincang pasal ye???”
            “Entah la... Saya pun, belum fikir lagi... Erm... Apa kata, kita bincang apa yang kita nak makan hari ni?”

Itu yang dikatakan nak bincang? Kalau nak berbincang sekalipun, fikirlah la siap-siap apa yang nak dibincangkan... Itu belum lagi bab-bab yang nak ‘bermanis-manisan’... Nak buat apa? Nak buat je ikut suka? Nak pegang, kita pegang je... Nak tampar, kita tampar je? Sebab apa? Sebab ikut suka... Isteri pula, nak keluar, main keluar je? Bila ditanya kenapa, jawabnya, “Dah biasa macam ni... Lagipun, tak bincang lagi tentang minta izin ni...”. Ya Allahu Akbar, sempitnya... Sebab semua nak dibuat ‘on the spot, on the dot’, yang terlepas pandang diambil ringan...

Jangan salah faham... Saya bukan membenarkan ‘couple’, atas dasar perlu banyak masa untuk berbincang...

Baiklah, macam ni... Belajar sekarang, persiapkan diri untuk ‘couple’ lepas kahwin... Buang la jauh-jauh kata-kata hati, “Takpe, kita tawakal... Kita kahwin dulu... Insya-Allah, Allah akan tolong kita dalam berumah tangga... Sesungguhnya bercinta lepas kahwin tu lebih diredhai...”. Jangan salah faham... Maksud saya, bukan ‘jangan bertawal’... Tapi, ‘jangan bertawakal membuta tuli’... Kalau nak bertawakal sekalipun, biarlah berusaha juga... Biar berilmu...

“Ya Allah, Ya Tuhanku, persiapkanlah diriku untuk menjadi seorang suami/isteri... Agar aku siap jasmani, emosi, rohani, dan minda, saat tiba masanya nanti dan sepanjang tempoh perkahwinanku nanti...Insya-Allah, aku akan belajar semampu diriku untuk menjadi suami/isteri kepada pasanganku... Sekiranya masih ada yang kurang padaku, bukakanlah peluang untuk ku belajar bagi menampung kekurangan itu...”

Saudara dan saudari, berdoa dalam berusaha... Berdoalah setiap hari, sambil berusaha untuk rumahtangga yang bakal dibina nanti...

            Perkahwinan bukan eksperimen, untuk kita tunggu saat kita akad nikah, dan memulakan perkenalan dengan pasangan kita, barulah kita persiapkan diri kita untuk hari-hari berumahtangga...

Memang kita perlu berbincang... Tapi, kekok rasanya pebincangan tu jika kita tidak bersedia... Hambar perbincangan sejurus diakad nikah, jika kita bercakap tentang ‘APA YANG PATUT SAYA BERIKAN KEPADA AWAK’... Alangkah tenang dan bahagianya jika perbincangan di awal perkahwinan itu berkisar tentang ‘APA YANG INGIN SAYA BERIKAN KEPADA AWAK’...

Contohnya...
Si suami berkata, “Erm... Nak panggil apa ye?” (almaklum, malu-malu baru lepas akad nikah)
Si isteri membalas, “Erm... Entah la... Takde idea...” (lagi la malu-malu)
Akhirnya, kedua-dua memutuskan, “Takpe la... Kita senyum-senyum dulu... Nanti, kita bincang lagi...”.

            Awal-awal di hari pertama, boleh jadi diterima keadaan ni... Almaklum, baru lepas akad nikah, dan sibuk dengan tetamu majlis persandingan... Masuk dah kali kedua dan seterusnya bersama, takkan nak guna ‘Erm...’ lagi? Minta maaf untuk saya katakan, hambarnya situasi tu... Tu, belum lagi nak bincangkan hal-hal lain dalam rumah tangga... Malu itu wajar... Tapi, tak bersedia? Itu bahaya...

Contoh seterusnya...
Si suami berkata, “Isteriku, boleh panggil ‘Sayang’?” (malu, tapi yakin sebab dah lama fikir pasal panggilan tu)
Si isteri membalas, “Insya-Allah, boleh... Abang...” (tumpang yakin sekali)
Si suami membalas, “Alhamdulillah... Sayang, satu perkara Abang nak sayang ingat... Setiap pagi, Abang nak cium dahi sayang... Kalau suatu hari, Abang terlupa, Sayang ingatkan ye...”
Si isteri balas lagi, “Insya-Allah, Abang... Sayang pun, nak cium tangan Abang setiap pagi...”

            Tak perlu la saya sambung situasi ni... Dibimbangi mengundang perasaaan tidak selesa saudara/saudari... Pendek kata, alangkah ‘sweet’ situasi tu, bila keduanya telah bersedia awal... Bukan tak malu, tapi sebab dah lama fikirkan dan bersedia... Kalau la pasangan tu seperti contoh kedua ni, kira tak perlu la majlis persandingan... Sebab si mempelai nak luangkan masa bermanja berdua, berbincang tentang hidup yang mendatang sebagai pasangan yang bahagia... Insya-Allah...

            Saya tak nafikan ‘malu’ sebagai modal ‘pemanis’ hubungan suami isteri... Tapi, tak berapa ‘manis’ jika ‘malu terpinga-pinga’... Lebih ‘manis’ jika ‘malu memendam rasa’...

            Kiranya, cukup dulu sampai sini... Baru mukaddimah... Belum masuk isi lagi... Tapi, rasanya mungkin saya tidak perlu menerangkan isinya... Kerna ianya subjektif, terpulang pada individu... Apa-apa pun, Insya-Allah, kalau dikurniakan rezeki sihat jasmani, emosi yang bersesuaian, rohani yang diredhai dan minda yang bercurahan idea, saya akan sambung lagi... Jangan marah ye, saya berhenti di sini... Kalau nak bincang pasal ilmu untuk ‘couple’ ni, memang panjang...

Makna kata, bukan senang nak ‘couple’... Kalau la semua kita sedar hakikat ni, Insya-Allah kita tidak akan mempertimbangkan ‘couple’ sebelum kahwin... Kerana banyak ilmu yang perlu kita belajar untuk ‘couple’... Lagi satu, lebih baik persiapkan diri untuk ‘couple’ lepas kahwin terus, daripada untuk ‘couple’ main-main...

Bagi mereka yang tidak pernah berfikir untuk ‘couple’, Alhamdulillah... Syabas saya ucapkan... Jujurnya, berkahwin adalah cara yang paling praktikal untuk belajar ilmu untuk ‘couple’ ni... Tapi, masih memerlukan persediaan... Mana ada orang praktikal tanpa ilmu, tanpa persediaan...

Untuk yang bakal berkahwin, barakallahu la kuma wabaraka alaik... Sempat lagi nk fikir, apa yang perlu dilakukan setelah berkahwin nanti... Isteri, sempat lagi ‘tune’ suara supaya mendayu untuk suami (bukan bakal suami)... Sempat lagi berlatih pegang tangan, cubalah pegang tangan ibu, ayah atau adik-adik dulu... Fikirkanlah apa yang patut, apa yang terdaya, untuk diserahkan secara pakej perkahwinan kepada pasangan awak nanti...

Saya doakan saudara dan saudari pembaca sekalian berlimpahan peluang dan ilham untuk mencari ilmu-ilmu ‘couple’... (doa saya khas untuk mereka yang bersih niatnya dan mempersiapkan diri untuk ‘couple’ yang halal sahaja...) Sekiranya ada apa-apa yang boleh kita bincangkan, saya mengalu-alukan sebarang komen atau sumbangan ilham daripada saudara dan saudari...

Jom doa sama-sama...
            “Ya Allah Ya Tuhanku Ya Rahmanur Rahim... Hamba ini lemah... Engkau jua yang Maha Kuasa... Hamba hanya mampu merancang... Engkau jua Maha Bijaksana dalam perancangan dan perlaksanaan Qada’ dan Qadar-Mu... Hamba tidak tahu bila tibanya jodoh diri ini... Namun, hamba tahu jodoh hamba adalah yang terbaik... Jadi, izinkanlah hamba menjadi yang terbaik untuk si dia... Izinkan hamba berusaha ke arah menjadi pasangan terbaik untuk si dia... Kiranya ada lopong pada usaha hamba, sedarkanlah hamba... Ilhamkan, dan kuatkanlah hamba untuk mengisi lopong tersebut... Ya Allah, jagalah hamba dan si dia agar terus teguh bersama-Mu... Kerna hamba tahu, hati yang bersatu kerana-Mu akan sentiasa dipegang agar bahagia kerna-Mu... Amin Ya Rabbal Alamin...”
(minta maaf, doa pun ala kadar apa adanya...)

“APABILA KAMI MEMINTA SAUDARA/SAUDARI UNTUK MENJADI SUAMI/ISTERI ANAK KAMI, APAKAH SAUDARA/SAUDARI BERSEDIA?”
(adaptasi Dalam Mihrab Cinta)

Nota :
Terus fikir... Terus usaha... Terus ‘polish’ hati agar kekal tinggi di sisi Allah... Insya-Allah, pasangan kita pun tinggi hatinya di sisi Allah... Kerna wanita yang baik, untuk lelaki yang baik... Wanita berhati ‘first class’, untuk lelaki berhati ‘first class’... Yang ‘double first class’, ada juga pasangannya yang ‘double first class’... (jangan takut untuk menjadi insan yang terlalu baik...)

Rasa:
Sedih tengok banyak pasangan muda, yang kahwin muda, cerai muda... Kita, jangan bersedia untuk ‘dalam kelambu’ je... Bersedialah juga aspek-aspek lain...

Nota ‘naughty’ :
Jangan ada yang tanya apa yang saya ada sebagai pakej untuk ‘Aisyah’... Kerna pakej itu misteri...




MURAH REZEKI TU…


Seorang adik sedang duduk di beranda rumahnya, ketika seorang penjual aiskrim lalu di depan rumahnya dan menegurnya...
Penjual aiskrim :
Assalamualaikum adik... Nak beli aiskrim tak?

Adik :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh... Kejap ye, abang... Nak minta duit dengan mak kejap...

Seketika kemudian, si adik kembali, berwajah sugul...
Adik :
Maaf la, abang... Mak tak bagi duit... Selalu macam tu... Susah betul mak nak bagi duit kepada adik... Memang adik tak murah rezeki!

Penjual aiskrim :
Jangan cakap macam tu, adik... Tak baik... Takpe, ambik RM10 ni... Duit ni, abang bagi kepada adik... Tapi, adik kena guna duit yang abang bagi untuk beli aiskrim abang je... Boleh janji?

Adik :
Boleh, abang... Adik janji... Terima kasih...

Penjual aiskrim :
Nah, pilihlah aiskrim yang adik nak... Semua harga RM1 satu...

Maka, si adik memilih aiskrim yang diingininya...
Si penjual aiskrim datang ke rumah adik itu setiap hari... Si adik begitu gembira kerana dapat makan aiskrim setiap hari...

Genap 10 hari... Si penjual aiskrim datang ke rumah si adik seperti biasa...
Penjual aiskrim :
Assalamualaikum, adik... Hari ni, adik nak aiskrim mana?

Adik :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh... Maaf la, abang... Duit RM10 yang abang bagi hari tu, dah habis... Adik dah takde duit nak beli aiskrim abang...

Abang :
Oh, ye ke? Takpe, takpe... Nah, abang bagi duit lagi... Tapi, hari ni abang bagi RM5 je... Boleh kan?

Adik :
Boleh je... Tak kisah pun... (senyum)

Lalu, si adik memilih aiskrim yang diingininya... Sekali lagi, adik itu berasa gembira kerana dapat makan aiskrim...

Namun, sejak hari tu, si penjual aiskrim sudah tidak datang ke rumah adik itu...

Selang seminggu kemudian... Si penjual aiskrim datang ke rumah si adik, setelah sekian lama tidak datang...
Abang :
Assalamualaikum, adik... Nak beli aiskrim hari ni?

Adik :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh... Mesti la, abang... Hari-hari adik rasa nak makan aiskrim abang... Kenapa abang dah lama tak datang sini?
Abang :
Maaf la, adik... Abang ada urusan sedikit...

Adik :
Ooo... Takpe, takpe... (sambil memilih aiskrim)

Abang :
Adik, duit yang abang bagi hari tu, ada lagi tak?

Adik :
Mesti la ada lagi... Lepas bayar yang ni, ada RM4 lagi... Kenapa abang tanya?

Abang :
Takde apa... Bagus kan? Dah seminggu sejak abang bagi RM5 kepada adik... Adik masih ada RM4... Sebelum ni, bila abang bagi adik RM10, lebih kurang seminggu lepas tu dah habis... Padahal RM10 lebih banyak daripada RM5...
Adik, itulah namanya murah rezeki... Murah rezeki ni tak semestinya kita selalu dapat rezeki... Tak semestinya kita dapat rezeki banyak-banyak, baru dipanggil murah rezeki... Kadang-kadang, bila kita dapat rezeki yang sikit, tapi rezeki tu lambat habis, pun murah rezeki namanya...
Sebab tu, kita kena selalu bersyukur... Tak kira kita dapat rezeki yang banyak atau sedikit... Takde guna jugak kalau kita dapat rezeki banyak hari ni, tapi esok dah habis... Lebih baik kita dapat rezeki yang sikit, tapi tahan lama... Seminggu lepas tu, bila kita nak guna; eh, masih ada... Best kan? Rezeki kita tak banyak, tapi sentiasa ada bila kita memerlukan...
Allah tu Maha Kaya dan Allah adalah perancang terbaik... Allah pandai atur percaturan rezeki bagi hamba-hamba-Nya... Jadi, kita kena la selalu bersyukur...

Adik :
Baiklah... Sekarang, adik dah faham... Terima kasih, abang...

Abang :
Bagus! Nah, abang bagi hadiah aiskrim satu... Percuma, sebagai hadiah adik sebab pandai... Duit RM4 yang masih ada tu, adik boleh la simpan... Lepas ni, kalau ada siapa-siapa bagi duit, adik simpan la juga... Lain kali, bila abang datang jarang-jarang, adik boleh beli aiskrim abang lagi... (senyum, kenyit mata)
Abang balik dulu... Assalamualaikum...

Adik :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

JAWAPAN KEPADA ISTIKHARAHMU…


Dikisahkan, seorang pemuda (Si Pemuda) baru masuk ke universiti... Di hari pendaftaran, Si Pemuda terserempak dengan seorang gadis (Si Gadis)... Penampilan Si Gadis, apa adanya, menarik hati Si Pemuda... Makna kata, Si Pemuda dah jatuh cinta pandang pertama pada Si Gadis... Maka, bermulalah pengembaraan istikharah Si Pemuda...

Ketika bersiap untuk ke kuliah, Si Pemuda memohon pada Allah SWT...
“Ya Allah, jika benar dia untukku, Kau temukan aku dengan dia di kuliah nanti...”
Setibanya Si Pemuda di kuliah, tiada dia bertemu Si Gadis... Tidak dia bertemu Si Gadis sehingga kuliah berakhir. Namun, ingatannya sering terkenangkan Si Gadis... Beristighfar Si Pemuda...

Saat ingin berjalan ke kafetaria untuk makan, Si Pemuda memohon lagi pada Allah SWT...
“Ya Allah, jika benar dia untukku, Kau palingkanlah pandangan ku agar ternampak dia dalam ramai...”
Di kafetaria, dari saat Si Pemuda menjejakkan kaki sehingga dia mencuci tangannya, tidak terlihat pun kelibat Si Gadis... Bayangan Si Gadis masih bermain di fikiran Si Pemuda... Mengucap panjang Si Pemuda...

Petang hari, semasa bersiap untuk beriadah, Si Pemuda memohon lagi pada Allah SWT...
            “Ya Allah, jika benar dia untukku, Kau selisihkanlah aku dengannya...”
Si Pemuda terserempak dengan ramai orang ketika beriadah, namun Si Gadis bukan antara mereka itu... Si Pemuda terus bersabar... Kelibat Si Gadis masih di fikiran... Si Pemuda mengatur nafas untuk bertenang, agar tidak dibuai perasaan...

Di waktu malam, Si Pemuda bersiap untuk ke pusat sumber menelaah pelajaran... Si Pemuda memohon lagi pada Allah SWT...
“Ya Allah, jika benar dia untukku, Kau hadirkan dia di pusat sumber nanti, dan aku terpandang kelibatnya...”
Dalam kusyuk menelaah pelajaran, sesekali Si Pemuda mendongak kepala... Sengaja dia memilih tempat duduk paling belakang, menghadap pintu masuk, dengan harapan akan terpandang Si Gadis... Namun, Si Pemuda hampa kerana Si Gadis tidak terlintas pada pandangannya... Hanya bayangan Si Gadis yang ada di mindanya... Si Pemuda mencuba untuk terus tenang...

Di tengah malam, Si Pemuda bersolat sunat bagi memastikan jawapan kepada istikharahnya... Dia mengharapkan pilihan yang dibuat adalah tepat dan bukan kerana mainan syaitan semata-mata...

Begitulah Si Pemuda, setiap hari, mengharapkan perkara yang sama sebagai petunjuk samada cintanya pada Si Gadis adalah benar... Setiap hari, Si Pemuda memulakan  harinya dengan senyuman, kerna ada harapan di hatinya... Sungguhpun hampa dengan petunjuk yang diharapkan tidak kunjung tiba, dia kembali tersenyum kerna ada harapan baru di hatinya...

Tidak pasti berapa lama istikharah Si Pemuda, sehingga tiba suatu hari... Di pagi hari itu, saat berjalan ke kuliah bersama kawan-kawannya, Si Pemuda terdengar suara-suara kecil di belakangnya... Pabila Si Pemuda memalingkan mukanya, dia ternampak wajah Si Gadis...

Di kuliah, saat Si Pemuda sudah duduk di kerusi paling hadapan, dan mula membuka buku, satu suara menegurnya, “Assalamualaikum, tumpang tanya... Kuliah untuk subjek Kimia Bahan di mana ye?”. Si Pemuda mengangkat kepala... Ternyata Si Gadis yang bertanya... Agak gugup, Si Pemuda menjawab, “Waalaikumussalam... Maafkan saya, saya tak tahu...”.

Tiba masa makan, seperti biasa, Si Pemuda ke kafetaria bersama kawan-kawannya... Selesai mengambil makanan, salah seorang kawannya berkata, “Tolong temankan aku kejap... Nak bagi nota kuliah kepada seseorang...”. Si Pemuda menemani kawannya ke meja yang diduduki oleh sekumpulan gadis... Takdir Allah Maha Kuasa, Si Gadis pun makan di meja tersebut...

Pada petang hari tersebut, Si Pemuda berlatih ragbi... Satu rutin biasa baginya bersama kawan-kawan... Ketika berehat, matanya terarah pada sekumpulan gadis sedang bermain bola jaring... Tanpa diniatkan, dia terpandang Si Gadis antara pemain bola jaring itu...

Malam harinya, dalam perjalanan pulang dari pusat sumber, Si Pemuda terpandang sebatang ‘highlighter’ di atas laluan pejalan kaki berbumbung... Ternampak seorang gadis berjalan tidak jauh di hadapan, Si Pemuda berjalan laju sedikit... Dikira jaraknya tidak jauh dari gadis itu, Si Pemuda menegur, “Assalamualaikum, maafkan saya... ‘Highlighter’ saudari ke ni? Terjatuh di belakang tadi...”. Saat gadis tersebut memalingkan muka ke arahnya, ternyata itu adalah Si Gadis!

Begitulah satu hari yang memberi makna cukup besar pada Si Pemuda... Selang beberapa hari, Si Pemuda memberanikan diri untuk bertemu Si Gadis... Berkata Si Pemuda...
“Assalamualaikum awak... Sebenarnya, sejak saya bertemu awak, saya ada istikharah... Insya-Allah, awaklah jawapan kepada istikharah saya...”
Ditakdirkan, Si Gadis tidak terkejut dengan kata-kata si pemuda itu... Bahkan, Si Gadis menjawab selamba...
“Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh... Awak, keluarga saya akan datang melawat hujung minggu ni... Awak boleh tanyakan pada ibu bapa saya...”

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

            Baiklah, cukup sampai di situ saya bercerita... Harus diingat, cerita ini tidak sepenuhnya benar... Ia adalah olahan saya... Namun, Insya-Allah ada kaitan dengan kebanyakan daripada kita...

            Apa yang saya cuba katakan? Ringkas sahaja... Bersabarlah dalam istikharah... Kadang-kadang, Allah tak kurniakan terus petunjuk sebagaimana yang kita pinta... Dan Allah SWT itu Maha Kuasa... Allah mampu memberikan petunjuk-Nya dalam apa cara sekalipun...

Dalam penceritaan saya, telah tergambar bahawa Si Gadis adalah jodoh bagi Si Pemuda, berdasarkan gerak hatinya... Bagi menentukan kesahihan gerak hatinya, Si Pemuda terus memohon petunjuk... Rasanya, situasi ini agak lazim bagi kebanyakan kita... Kita sentiasa merasakan dia adalah jodoh bagi kita, namun kita terus menginginkan petunjuk sebagai kepastian yang sahih... Tidak salah, bahkan itu sangat bagus... Akan tetapi, kenapa Allah tidak kurniakan petunjuk yang kita inginkan, sedangkan rasa itu terus ada? Adakah Allah SWT ingin menganiaya kita? Nauzubillah, sekali-kali tidak... Boleh jadi, Allah ingin menguji kita... Boleh jadi, Allah ingin memperkuatkan hati kita agar teguh... Boleh jadi, Allah ingin mendekatkan kita kepada-Nya... Agar kita terus beristikharah, terus memohon petunjuk daripada-Nya...

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mengetahui... Mungkin jika Allah kurniakan terus petunjuk yang kita inginkan, kita mungkin terbawa-bawa sehingga akhirnya kita terjerumus ke dalam maksiat... Sesungguhnya Allah Maha Penyayang... Mungkin Allah sedang mempersiapkan diri kita dan diri si dia, agar dapat menerima satu sama lain tatkala masanya telah tiba untuk mempersatukan hati dalam syariat-Nya...

Seperti yang saya janjikan, saya ringkaskan... Pendek kata, teruskanlah istikharah awak... Teruslah berhajat selagi mana awak pasti Allah redha dengan tindakan awak itu... Teruslah berharap agar Allah redha dan memberkati awak... Dalam berhajat terhadap seseorang, berhajatlah juga untuk dia... Semoga sama-sama diberkati... Barulah sama cantik, sama padan akhirnya, Insya-Allah...

Indahnya Istikharah...
Kerna Ia Tidak Bersifat Objektif...
Ianya Bersifat Subjektif...
Yang Penting, Keterbukaan Hati Kita...
Kerna ‘SKEMA JAWAPAN’ Ada Pada Kita...
APAKAH SKEMA AWAK?
ADAKAH IA TERBUKA ATAU TERTUTUP?

JANGAN MAIN-MAIN DENGAN AURAT...


            Alhamdulillah, sejuk mata melihat semakin ramai pelajar-pelajar perempuan bertudung litup, menutup aurat dengan sempurna ke kelas... Berjalan ke kelas pula, secara berkumpulan, tak mengira bangsa... Duduk dalam kelas, tak kisah siapa di depan, belakang, kiri dan kanan... Tak kisah walaupun duduk bersama kawan-kawan berlainan agama... Alhamdulillah, itu maksudnya Malaysia masih aman makmur kerana setiap insan mampu menganut agama masing-masing, namun masih selesa bergaul satu sama lain...

            Sedang kuliah berlangsung, saya terpandang satu fenomena yang menarik perhatian... (Bukannya mata saya melilau sebab bosan, namun sesuatu yang menarik pastinya membuatkan mata tertarik)... Fenomena yang berlangsung di hadapan mata saya adalah : seorang pelajar perempuan yang bertudung litup membelai-belai rambut kawannya yang tidak bertudung... Apa yang membuatkan saya ingin memikirkan perkara ini adalah kerana ia seakan menjadi satu kebiasaan... Ternyata itu bukan kali pertama saya berhadapan dengan fenomena seumpama...

            Apa yang salah dengan fenomena ni? Salah sebab pelajar bertudung tu tidak menumpukan perhatian kepada kuliah yang berlangsung? Mungkin, namun saya tak ingin bersangka buruk... Boleh jadi pelajar tersebut mampu menumpukan perhatian sambil tangannya bergerak membelai rambut kawannya... Sekiranya yang membelai itu adalah lelaki dan dia membelai rambut pelajar perempuan, sudah pastinya semua akan sedar akan kesalahan yang berlaku... Namun, fenomena yang saya ketengahkan adalah seorang pelajar perempuan membelai rambut seorang pelajar perempuan lain...

            “Jadi Haikal, apa salahnya???”
            Salahnya, kerana pelajar perempuan bertudung tu bermain-main dengan aurat kawannya! Sudah bagus pelajar perempuan itu bertudung litup, menutup rambutnya sendiri... Namun, mengapa mesti bermain-main dengan rambut kawannya??? Tidak menjadi kesalahan sekiranya dia membelai rambut kawannya di dalam bilik, ketika mereka bersama kawan-kawan perempuan sahaja... Namun, mengapa mesti pelajar tersebut membelai rambut kawannya di dalam kelas, ketika ada lelaki ajnabi (bukan mahram) di sekeliling mereka?

            Mungkin pelajar bertudung itu kagum dengan rambut kawan yang tidak bertudung itu... Atau mungkin pelajar perempuan tu terkenangkan rambutnya apabila melihat rambut kawannya... Oleh kerana tidak dapat membelai rambutnya yang di sebalik tudung, lantas dia membelai rambut kawannya yang terdedah itu... Maafkan saya, saya tak ingin terus berandaian... Apa pun jua sebabnya, ketahuilah bahawa tindakan membelai rambut kawan itu telah menarik banyak mata melihatnya... Ketahuilah bahawa mata yang melihat aurat itu berdosa... Ketahuilah bahawa mata yang terlihat aurat mampu mendatangkan syahwat...

            “Kalau macam tu, jagalah mata!!!”
            Bukannya isu jaga mata atau tak jaga mata... Kalau seorang lelaki itu tidak menjaga matanya, nescaya dia akan asyik melihat rambut kawan awak tu, tak kira awak belai atau tak... Secara lumrahnya, jika kita berada di dalam kelas, sebarang pergerakan mampu menarik perhatian... Ini adalah kerana kadar sensitiviti seseorang terhadap sekelilingnya... Sedangkan seorang insan yang tertidur dalam kelas mampu menarik perhatian kawan-kawan sekelasnya, apatah lagi seorang insan yang sedang membelai rambut... Seperkara yang perlu kita ingat... Tidak kira di mana kedudukan kita, kita sebenarnya berada dalam skop penglihatan seseorang (paling kurang, mungkin juga beberapa orang)... Ini bukan soal fokus atau tidak fokus di dalam kelas... Tidak kira betapa fokus seseorang itu, penglihatan dia akan terusik oleh sebarang pergerakan dalam skop penglihatannya... Cuma bergantung kepadanya samada untuk ambil peduli atau tidak...

Sama juga halnya dengan mereka yang memuji-muji rambut kawan-kawan yang tidak bertudung di khalayak ramai... Cubalah simpan pujian itu, sehingga awak dan dia masuk ke bilik atau berada jauh dari kaum lelaki yang bukan mahram...

Aurat itu aib... Janganlah kita menutup aib sendiri, namun bermain-main dengan aib orang lain... Aurat itu malu... Janganlah kita menutup malu sendiri, namun bermain-bermain  dengan malu orang lain...

Sejujurnya, sukar untuk saya terangkan dan perjelaskan isu ini... Namun, sesukar mana sekalipun, saya harus ketengahkan... Kerna saya ambil peduli... Insya-Allah, kita sangat menitikberatkan penutupan aurat sendiri... Namun, kadang-kadang kita terlupa akan aurat orang lain, khasnya kawan-kawan kita... Sekiranya sesama muslim, kita akan saling mengingatkan... Namun, ada antara kita yang mempunyai kawan bukan muslim... Apa hak mereka yang kita tunaikan? Apa hak mereka yang kita ambil ringan? Apa hak mereka yang kadang-kadang kita cabuli? Kita, umat Islam, umat yang penyayang kepada setiap insan dan makhluk...

PERINTAH MENUTUP AURAT ADALAH BAGI SEMUA MANUSIA, BUKAN HANYA UMAT ISLAM...
SAMALAH JUGA APA YANG HARAM DAN HALAL...
APA YANG HARAM, HARAM BAGI SEMUA MANUSIA...
APA YANG HALAL, HALAL BAGI SEMUA MANUSIA...
PENGANUT AGAMA LAIN, MUNGKIN MEREKA TIDAK TAHU...
NAMUN KITA SEBAGAI UMAT ISLAM, BERINGATLAH...
JANGAN KERANA MEREKA TIDAK TAHU, KITA AMBIL KESEMPATAN KE ATAS MEREKA...

Nota :  Maafkan saya atas salah dan silap kata... Harapnya maksud saya tersampai... Insya-Allah...

BOSAN BILANG SAYANG???


            Berdasarkan pemerhatian saya, masih ramai yang tidak berani melafazkan sayang kepada pasangan masing-masing... Ya, masih ragu-ragu walaupun sudah berkahwin... Bukan setakat yang dah lama berkahwin, malahan ada juga antara mereka yang baru berkahwin... Pelik, baru berkahwin, sudah kedekut kata-kata sayang... Pelik, dah ada ikatan perkahwinan, tapi masih kekok mengatakan sayang...

Bila ditanya, macam-macam respon mereka...
“Seganlah... Selalu sangat kata sayang kat dia...”
“Kalau selalu sangat kata sayang, lama-lama boleh basi... Hilang makna sayang tu...”
“Tak tahu nak kata sayang macam mana lagi... Habis idea...”
Apa jua respon dan katanya, maaf untuk saya katakan bahawa itu semua hanyalah alasan...
           
            Saudara dan saudari, kata sayang ni bukan sekadar berkata ‘Saya sayang awak’, ‘I love you’ (atau apa jua yang bermaksud demikian dalam apa bahasa sekalipun)... Kalau kita hadkan kata sayang kita pada kata-kata sebegitu, maksudnya memang ketandusan idea la kita akhirnya... Kata sayang itu luas dan banyak... Izinkan saya berkongsi beberapa contoh...
            “Insya-Allah, Abang sayangkan Ayang kerana Allah SWT...”
“Ayang, lauk ni masin sangat la... Abang sayangkan Ayang, cuma lain kali kurangkan masin tu sikit ye...”
“Abang, kenapa laju sangat pandu kereta ni? Ayang sayangkan Abang sampaikan Ayang harap dapat syahid bersama Abang... Tapi, Ayang tak nak la kita mati kemalangan...”

            Apa yang saya ingin sampaikan, bila-bila masa dan dalam apa keadaan jua, kita masih mampu lafazkan kata sayang... Bahkan dalam menegur, kita masih mampu mengungkapkan kata sayang... Tak payah segan... Insya-Allah, tidakkan basi kata sayangmu itu... Insya-Allah, tiada akan tandus ideamu dalam menyatakan sayang...

“Cukuplah doa sebagai tanda ku sayangkan dia...”
Memanglah bagus doa sebagai tanda kita sayangkan dia... Tapi saudara dan saudari, mengapa harus kedekut? Pasangan anda adalah halal bagi anda (khas untuk mereka yang berikatan halal)... Apa kata kita pakejkan sayang kita? Kita doakan si dia, kita katakan sayang kepada si dia, dan kita belai sayang si dia... Niatnya, kita sayangkan si dia, kerana kita doakan si dia... Lafaznya, kita sayangkan si dia, kerana kita ungkapkan kata sayang... Perbuatannya, kita sayangkan si dia, kerana kita belai manja dia...

Kenapa saya bersungguh sangat tentang ungkapan sayang ni? Ini kerana saya berharap setiap ikatan perkahwinan, Baitul Muslim, yang dibina sentiasa hangat... Kita mulakan Baitul Muslim itu dengan kehangatan sayang kerana Allah SWT, seharusnya kita kekalkan kehangatan itu... Di permulaan perkahwinan, si dia percaya kita sayangkan dia kerana Allah SWT... Jadi, biarlah si dia merasai sayang kita berpanjangan... Oleh itu, si dia akan yakin bahawa kita masih sayangkan dia kerana Allah SWT... Setiap kali kita tunjukkan sayang kita kepada si dia, Insya-Allah si dia akan merasakan bahawa kita sayangkan dia kerana Allah SWT... Jika suatu hari kita terlupa menunjukkan sayang kita kepada dia, boleh jadi dia akan merasakan bahawa dia tidak lagi disayangi kerana Allah SWT... Betapa kita telah mempersia-siakan satu nikmat Allah SWT kepada kita...

Konsep ‘sayang’ ini, samalah seperti konsep ‘salam’... Bila kita ungkapkan salam yang mendoakan insan tersebut, kita akan turut didoakan... Bila mana kita ungkapkan sayang, kita akan turut disayangi... Masya-Allah, indahnya satu pasangan menyayangi kerana Allah SWT... Bahkan, Allah turut menyenangi insan yang menyayangi satu sama lain kerana-Nya... Makna kata, bila kita saling menyayangi kerana Allah, kita akan mendapat kebahagiaan di dunia, dan juga redha Allah SWT yang membawa kepada kebahagiaan akhirat... Oleh itu, jangan lokek dalam mengungkapkan sayang kepada si dia...

Maaf untuk saya menegur sebilangan insan yang mengatakan “Itu hanya nikmat di dunia... Apa yang kita kejar adalah kebahagiaan akhirat, biarpun tidak disayangi bahkan dikeji manusia”... Bagi saya, tidak mengapa jika kita abaikan mereka yang kufur atau tidak mengendahkan syariat Islam, dalam kita menegakkan syiar Islam... Dalam dalam bab saling menyayangi ini, boleh jadi kufur nikmat jika kita abaikan mereka yang tersayang itu... Allah telah hadirkan seseorang yang halal bagi kita, namun kita menolak untuk menyayanginya... Itu salah sama sekali... Jika benar kita ingin mencari redha Allah SWT, kita tidak akan abaikan nikmat yang Allah berikan kepada kita...

“Eh, pelik betul la si Haikal ni... Dulu, dia juga yang kata jangan menunjuk sangat sayang tu... Sekarang ni, cakap jangan kekok untuk kata sayang pula...”
Saudara dan saudari sekalian, memang la saya kata jangan menunjuk rasa sayang tu... Sekarang ni pun, saya bukan menyanggah kata-kata saya yang dulu tu... ‘Pemerhatian’ dalam konteks saya di sini, adalah berdasarkan apa yang saya lihat, baca, dan dengar... Memang la tak menunjuk rasa sayang, tapi janganlah juga menunjuk rasa malu nak sayang tu... Kalau mengeluh tu, nampak sangat la... Tu bukan bersederhana, tu memang ‘tak’ la kan... Bukan ‘tak’ sayang, tapi ‘tak’ tahu nak sayang...

Bukan susah nak lafaz ni, saudara dan saudari sekalian... Katakan kita dan si dia berada di taman... Kita nak ungkapkan rasa sayang kita kepada dia, namun takut menunjuk-nunjuk pula kalau pegang tangan dia masa duduk kat bangku... Kita bangun, jalan sikit, hantar SMS kepada si dia, “Assalamualaikum gadis ayu... Abang sayangkan Ayang kerana Allah SWT... XOXO, Jejaka hencem a.k.a suami mu”... Tak salah pun kan? Orang lain tak tahu, hanya kita, si penghantar SMS, dengan dia, si pembaca SMS... Cuma kena pastikan si dia la yang pegang telefon tu, bukan orang lain...

Cukuplah sampai sini sahaja... Rasanya, maksud saya telah kesampaian... Semoga kita semua sentiasa menjadi suami atau isteri yang ‘manis’ kepada pasangan halal masing-masing... Semoga kita turut menjadi anak yang paling romantik dalam keluarga kita, kepada ibu bapa dan adik-beradik kita... Kerna sayang juga perlu diungkap di kalangan keluarga sendiri... Terima kasih kerana sudi membaca celoteh saya... Baca dengan penuh erti, selami dan selalulah amalkan hari-hari...

INDAHNYA BERKASIH SAYANG SECARA HALAL...
LEBIH INDAH BILA RASA SAYANG ITU SERING DIUNGKAP, WALAUPUN TELAH KETAHUAN...
KERNA KASIH SAYANG ITU MENGUNDANG KEREDHAAN ALLAH...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal