MEMBERI TAK MEMINTA...


“Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang meminta…”
“Tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang meminta…”
Inilah dua antara ungkapan yang sering disebut oleh kebanyakan kita semua... Ya, benar sekali ungkapan-ungkapan ini... Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik dan lebih mulia berbanding tangan yang meminta, kerna mampu membahagiakan... Sungguhpun tidak diminta, jika ada tangan yang sudi memberi, itu adalah tersangat baik kerna insan yang memberi itu sudi membahagiakan insan yang memerlukan... Apatah lagi jika hadir insan yang sudi memberi di saat insan lain sangat memerlukan, sehinggakan insan tersebut meminta, tidak terhingga kemuliaan insan yang memberi itu... Insya-Allah, semoga rahmat dan berkat Allah sentiasa bersama insan yang memberi itu... Semoga insan yang sudi tampil memberi itu sentiasa menjadi kesayangan Allah SWT...
Di kesempatan ini, saya ingin mengajak anda semua, bersama merenung satu hakikat... Sedarkah kita, hakikatnya ada satu sumber yang selalu memberi, tapi tak pernah meminta? Ya, sumber yang selalu memberi tanpa meminta sedikit pun... Sumber yang sangat mulia itu? Jawapannya, Allah SWT... Ya, Allah SWT sentiasa memberi, tanpa meminta apa pun daripada kita semua...
Allah SWT inginkan hamba-hambanya sentiasa berdoa, meminta pada-Nya... Ada sesiapa antara kita ingin mengutarakan sebarang permintaan Allah SWT terhadap kita? Mungkin ada yang terfikir, bukankah Allah SWT meminta kita beribadat kepada-Nya? Bagaimana dengan solat? Bukankah itu antara permintaan Allah SWT terhadap hamba-hambanya, umat Islam? Saya ingin mengajak anda semua berfikir kembali tentang apa yang kita katakan sebagai ‘permintaan Allah SWT’ ini... Contoh paling umum, beribadat... Benarkah beribadat ini ‘permintaan Allah SWT’? Atau satu ‘pemberian oleh Allah SWT’? Bukankah ibadat-ibadat yang kita lakukan itu, terbukti ada kebaikannya, ada khasiatnya tersendiri? Jadi, bukankah beribadat itu satu pemberian Allah SWT? Selain itu, bukankah beribadat itu satu langkah kita meminta daripada Allah SWT? Jadi, fikirkan kembali... Apakah benar ibadat-ibadat itu ‘permintaan Allah SWT’ atau ‘pemberian Allah SWT’?
Maha Memberinya Allah SWT, sehinggakan dia sudi menganugerahkan rahmat yang melimpah ruah kepada kita... Sekalipun dia sudah mengurniakan kita ibadat-ibadat yang berguna dan berkhasiat kepada kita, dia masih menganugerahkan pahala sebagai bekal kita di Akhirat sana...

“Solat itu tiang agama...”
Apakah sebenarnya maksud ungkapan yang sering kita sebut ini? Apakah bermaksud jika kita tidak solat, agama Islam akan runtuh? Cuba kita renung sejenak, apakah hikmah di sebalik solat? Apakah ia semata-mata perbuatan yang seumpama senaman? Atau lebih dari itu? Pernahkah kita terfikir solat sebagai panduan hidup? Dengan adanya waktu solat Subuh, kita sedar bila terbit mentari... Kita tahu telah tiba waktunya kita bangkit dari tidur dan bersiap untuk aktiviti harian... Dengan adanya waktu solat Zohor, kita sedar bila mentari tegak di atas kepala... Kita tahu kita harus mencari tempat berteduh kerana bimbang sakit kepala... Dengan adanya waktu solat Asar, kita sedar bila redupnya cahaya mentari... Kita tahu bila ketikanya kita dapat keluar berjalan-jalan, berjoging dan bersukan... Dengan adanya waktu solat Maghrib, kita tahu bila gelincirnya mentari... Kita tahu telah tiba pengakhiran kita bersukan dan pulang ke rumah untuk mandi dan makan malam Dengan adanya waktu solat Isyak, kita tahu bila hadirnya malam dan waktu kita untuk berehat...
            Solat itu dikatakan tiang agama Islam, kerna agama Islam itu adalah cara hidup... Jadi dengan adanya solat, cara hidup kita teratur dan teguh kerana kita punya disiplin... Masya-Allah, betapa mulianya Allah SWT... Allah menganugerahkan kita disiplin solat supaya hidup kita teguh dan teratur... Sesudah kita bersolat, Allah kurniakan lagi pahala kepada kita... Sememangnya Allah SWT Maha Mulia, kerana memberi kurnia yang sebegitu besar, sungguhpun kita tak pernah memintanya...
           
“Doa itu otak solat...”
Satu lagi ungkapan yang agak umum bagi kita... Dalam doa, kita memuji Allah SWT dan menyesali kekhilafan kita dalam hidup, selain memohon semoga sebarang hajat kita dimakbulkan... Secara tak langsung, dalam berdoa, kita melatih diri untuk memuji orang lain dan muhasabah diri kita... Lihat, betapa Maha Bijaksana Allah SWT, melatih kita melalui perbuatan kita sendiri... Selain itu, Allah SWT juga mengajar kita tatacara meminta sebelum dia mengurniakan apa yang diminta... Sungguhpun Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam mengurniakan apa sahaja hajat hambanya tanpa diminta, Allah SWT ingin kita sedar bahawa kadang-kadang kita perlu meminta bagi membuktikan kesungguhan kita dalam berhajat... Allah SWT juga ingin kita sedar bahawa tiada yang mustahil dan tiada permintaan yang terlalu keterlaluan untuk Allah makbulkan...
            Ingat pepatah, “Ikut rasa kan binasa”? Hakikatnya, lama sebelum pepatah ini wujud, praktikalitinya telah lama disyariatkan oleh Allah SWT... Allah SWT membuktikan, jika Allah memakbulkan setiap rasa hamba-hambanya, nescaya banyak yang telah binasa dan akhirnya hamba-hamba Allah tersebut sendiri yang akan menyesali niat dan rasa mereka... Maka, dikatakan doa itu sebagai otak solat, kerna doa itu melambangkan kesempurnaan solat kita... Analoginya, hakikat kita manusia... Baik atau buruk otak kita, membuktikan kesempurnaan diri kita... Begitulah juga baik atau buruk doa kita, membuktikan kesempurnaan solat kita...
Tapi, bagaimana jika kita bersolat tapi tak berdoa? Seperti kita punya diri kita, tapi tak berotak? Rasanya, anda semua mampu memikirkannya... Jadi, saya tinggalkan pada anda semua untuk merenungnya... Bayangkan perbezaan taraf kita dengan Allah SWT, agaknya apa yang Allah SWT akan rasa jika kita kurang berdoa pada-Nya? Apa yang Allah SWT akan merasa jika hambanya kurang meminta pada-Nya? Sesetengah daripada kita, mungkin terlalu baik, tidak ingin menjadi seorang hamba yang terlalu meminta pada Penciptanya... Tapi, ini bukan soal terlalu meminta... Ini soal betapa kita menghargai Allah SWT, di mana kita letakkan Allah SWT dalam sandaran harapan kita, dan soal kesempurnaan Allah SWT berbanding kita... Mungkin niat kita baik, tak ingin terlalu meminta, tapi kadang-kadang fitnah timbul kerana ramai yang melihat dan menilai sendiri... Jadi, lebih baik bagi kita menghindarkan fitnah itu...
Akhir kalam daripada saya, bersamalah kita menabur jasa, memberi walaupun tak diminta... Kita sebagai insan biasa, kekadang tak dapat lari dari mengharapkan balasan bagi pemberian kita... Tapi, latihlah diri kita untuk sekadar menyimpan hasrat dibalas itu dalam hati kita... Ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa ada untuk kita meminta... Jika kita berharap pada insan, belum tentu dibalas... Namun, jika kita berharap pada Allah SWT, Insya-Allah balasan Allah itu bertimbal-timbal dan Allah SWT sentiasa memberikan yang terbaik seiring hasrat hamba-hambanya...

*Kredit kepada saudara Saiful Azrie kerna mencetuskan ilham melalui penulisan pada papan putihnya...

KERNA AWAK SANGAT BAIK…

Assalamualaikum Aisyah,
Apa khabar awak sekarang? Doa saya, semoga awak sentiasa gembira dan bahagia di samping kawan-kawan... Mungkin awak masih terasa hati dengan saya... Jadi, izinkan saya memohon maaf yang teramat sangat daripada awak... Maaf kiranya warkah saya ini mengganggu hidup awak...
Aisyah,
            Dalam saya menyesali kesilapan saya terhadap awak, saya teringat kata-kata Umi saya...
“Haikal, hati-hati dalam jatuh cinta...”
Sejak saat Umi lafazkan kata-kata itu kepada saya, saya simpan ia sebagai pedoman... Selama ini, saya ingatkan Umi cuba sampaikan pesanan bahawa saya perlu bijak menjaga hati dan perasaan serta bijak memilih insan untuk saya cintai dan sayangi...
Namun, kini baru saya sedari dan fahami, bahawa apa yang Umi cuba katakan bukanlah sekadar bijak menilai orang lain, tetapi saya juga harus bijak mendidik diri saya supaya layak jatuh cinta... Saya harus sedar hakikat insan yang saya cintai dan sayangi, lantas mendidik hati dan diri saya supaya layak bagi saya untuk jatuh hati pada insan sedemikian...

Aisyah,
            Kini saya sedari bahawa awak bukan sekadar baik, bahkan awak sangat baik... Awak bukan sekadar punya keluarga yang sangat menyayangi awak, tetapi awak juga punya kawan-kawan baik yang sangat menyayangi dan menghormati awak...
            Malu untuk saya yang tak seberapa ini untuk mengatakan bahawa saya menyayangi awak... Kerna saya sedar, seorang insan yang sangat disayangi dan dihormati insan-insan lain terutama kawan-kawannya, pastinya seorang insan yang sangat baik... Oleh itu, tak layak saya yang tak seberapa ini untuk jatuh hati padanya...
            Saya juga merasa sangat malu kerana telah melukai seorang insan yang sangat baik seperti awak... Tiadalah khilaf yang paling mengaibkan selain khilaf seorang isan yang melukai insan lain yang sangat baik... Mungkin saya tidak mampu mengukuhkan kata-kata saya ini dengan dalil-dalil hadis atau bersumberkan Al-Quran... Namun, saya sedar bahawa inilah hakikat hidup dan hakikat Qada’ dan Qadar Allah pada manusia...

Aisyah,
            Sekian sampai sini dahulu warkah saya kali ini... Terimalah maaf saya dan ketahuilah bahawa saya sangat menyesali kekhilafan saya terhadap awak, sungguhpun secara tak sengaja... Maafkan saya kerna baru kini berani tampil mengutuskan warkah kepada awak... Bukan saya tak sudi, cuma saya takut akan melukai awak lagi...
            Semoga awak terus menjalani hari-hari yang membahagiakan awak di bawah rahmat Allah SWT... Teruskan membahagiakan insan-insan sekeliling awak, seiring syariat Islam... Selamat berjuang untuk pelajaran awak dan Semoga berjaya dalam peperiksaan yang bakal awak duduki nanti...

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri...”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sekian, Assalamualaikum...
HAIKAL

JAUH LEBIH BAIK...


Kadang-kadang, berjauhan lebih baik... Itu sinopsis perkongsian saya kali ini... Izinkan saya menerangkan maksud saya dan izinkan saya mulakan dengan konteks taaruf... Dalam taaruf, berjauhan sememangnya lebih baik... Jika perkenalan yang menjadi fokus, mengapa mesti rapat? Cukuplah sekadarnya... Pengkongsian apa yang dapat dikongsi adalah memadai... Dalam perhubungan lelaki dengan perempuan, memadai dengan perkongsian apa yang ingin dikongsi... Dan bagi lelaki dan wanita yang tahu perbatasan dan bijak menjaga maruah, pastinya tahu apa yang ingin dikongsikan itu... Pastinya apa yang dapat dikongsi mengikut syariat Islam... Lagipun, jika sekadar taaruf, mengenali siapa dia dan serba sedikit (saya katakan serba sedikit, bukan serba sebanyak...), mengapa mesti rapat-rapat? Bukankah berjauhan lebih baik? Perbualan dan perhubungan secara jauh bukankah lebih baik? Cuba difikirkan, apa lagi yang tinggal jika yang jauh itu dirapatkan? Apa lagi yang ingin dihidu jika bauannya telah tercium sebelum pertalian yang sah dijalinkan? Apa lagi yang ingin dirasa jika kelembutan kulitnya telah disentuh? Apa lagi yang ingin dilihat di kala angin bertiup, jika gemalainya rambut si dia telah terlihat? Apa lagi yang ingin direnung jika kita telah melihat matanya sehingga ke anak mata? Jika yang jauh itu telah dirapatkan sebelum pertalian perkahwinan dijalin, apa lagi yang tinggal untuk kita nikmati selepas perkahwinan?

Jika ada yang bertanya, “Bagaimana jika jodoh kita dengan si dia tidak kesampaian?”, izinkan saya menjawab mudah... Jawapan saya, “Biarkan saja...”. Penjelasan saya, sekurangnya kita tak pernah merasa nikmat yang bukan ditakdirkan milik kita... Sekurangnya, kita terus merasai misterinya wanita sehingga kita berkahwin... Sekurangnya, kita tak pernah menyentuh lembutnya kulit seorang gadis, yang memungkinkan kita membandingkannya dengan isteri kita... Sekurangnya, kita tak pernah melihat cantiknya mata seorang gadis sebelum kita berkahwin... Setelah berkahwin, kini kita punya seorang wanita untuk kita tenung dan kita renung sehingga ke sinaran retina matanya... Oleh itu, berjauhan sebelum berkahwin lebih baik...

Cukup penjelasan perhubungan sebelum kahwin... Izinkan pula saya mengungkap sedikit hal ehwal rumahtangga sebagai penerangan maksud saya... Ingin saya bawakan senario isteri nusyuz sebagai penjelasan maksud saya... Dalam ehwal perhubungan suami isteri, suami perlu mengasingkan tempat tidur bagi isteri yang nusyuz (betulkan saya jika saya salah...), sebagai hukuman... Persoalannya, mengapa? Pertamanya, sebagai ruang kepada isteri untuk muhasabah diri akan pentingnya suami dalam hidupnya, tentang kewajipannya terhadap suaminya... Selain daripada itu, ia juga merupakan ruang bagi suami untuk bertenang dan tidak terlalu emosional, apatah lagi sehingga menyakitkan isterinya... Oleh itu, berjauhan tempat tidur lebih baik...

Ingin juga saya bawakan prosedur perceraian sebagai penjelasan maksud saya... Bukan saya menggalakkan perceraian, kerna saya sememangnya sangat tidak suka perceraian... Tapi, pembawaan saya ini sekadar untuk kita fikir dan amati... Sebelum pasangan suami isteri bercerai, mereka akan diminta tinggal berasingan... Pernahkah kita fikirkan mengapa demikian? Adakah itu sebagai ruang suami dan isteri mengumpul bukti untuk dibawa ke Mahkamah Syariah kelak? Hakikatnya, tinggal berasingan adalah sau inisiatif supaya suami dan isteri tersebut muhasabah diri dan memikirkan tentang kepentingan hidup bersama dan apa yang lebih utama dalam hidup mereka bersama... Tinggal berasingan juga untuk memberikan ruang suami dan isteri tersebut bertenang dari sebarang kemarahan dan agar mereka dapat membuat keputusan secara waras, jauh dari sebarang dendam... Oleh itu, berjauhan sebelum meneruskan perceraian itu boleh jadi lebih baik...

Sekarang, izinkan saya bawaka pula konteks perhubungan kita dengan Allh SWT sebagai penjelasan maksud saya... Boleh jadi ramai yang tertanya-tanya, “Mengapa Allah SWT tak pernah menemukan kita dengan-Nya, seperti mana Allah SWT menemukan Rasulullah SAW dengan-Nya dahulu? Bukankah akhlak Rasulullah SAW itu sungguh mulia? Boleh jadi kita akan mempunyai akhlak yang mulia seperti Rasulullah SAW jika kita ditemukan dengan Allah SWT...”. Ya, memang benar akhlak Rasulullah SAW itu sungguh mulia... Namun begitu, izinkan saya bertanya, “Adakah akhlak Rasulullah SAW itu mulia setelah Baginda SAW bertemu Allah SWT, atau sejak sebelum Baginda SAW bertemu Allah SWT lagi? Agaknya, Allah SWT bertemu Rasulullah SAW untuk membetulkan akhlak Baginda SAW, atau kerna akhlak Baginda SAW yang mulia?”... Jika demikian, bagaimana dengan Nabi Allah sebelum-sebelum Baginda SAW, bagaimana halnya dengan Nabi Allah yang pengsan sebaik sahaja gunung di depannya meletup setelah Allah SWT makbulkan permintaan Baginda untuk menatap wajah Allah SWT? Pernahkah kita fikirkan tentang ini? Bagi saya, berjauhan fizikal daripada Allah SWT itu lebih baik, kerna mampu mendekatkan hati kita pada-Nya... Sekurangnya, berjauhan fizikal mampu membuatkan kita terus berusaha dan beramal agar kita dapat bertemu-Nya di Akhirat kelak... Sekurangnya, berjauhan fizikal dapat membuatkan kita merasa bahawa ada suatu matlamat untuk kita capai dan membuatkan kita sentiasa terfikir akan betapa jauh dari Allah SWT, boleh jadi kita masih jauh dari Allah SWT, lantas membuatkan kita terus beramal agar kita dekat dengan-Nya... Oleh itu, berjauhan fizikal dan tak diizinkan bertemu Allah SWT itu lebih baik...

Menjelang akhir kata saya kali ini, saya ingin jelaskan bahawa berjauhan, atau mungkin berkenalan sekadarnya bukanlah suatu kelemahan mahupun suatu simbol kesombongan atau pentingkan diri sendiri... Segalanya terserah kepada kesediaan dan keselesaan seseorang untuk meletakkan jarak perhubungan itu, tergantung pada prinsipnya...  Bagi saya, saya lebih suka dikenali sekadarnya... Terserah kepada mereka yang ingin berkenalan dengan saya, untuk sejauh mana menjelaskan tentang dirinya... Terserah pada mereka yang ingin bercerita dengan saya untuk menceritakan apa sahaja... Insya-Allah, saya sanggup mendengar selagi saya rasa perkara itu elok untuk didengar... Jauh atau dekat perbatasan yang saya letakkan dalam pergaulan saya, yang pastinya adalah supaya saya dapat lebih mengenali dan memahami manusia bermacam ragam dan perspektif hidup... Maafkan saya jika saya terlalu jauh, kerna saya rasakan jauh itu lebih baik... Maafkan saya jika saya dianggap mengambil kesempatan dengan terus mendengar walaupun saya sudah maklum tentang sesuatu itu, kerna saya rasakan saya harus menjadi pendengar yang setia dan saya tidak seharusnya menyampuk atau menyebabkan seseorang itu terhenti keasyikan penceritaannya... Insya-Allah, apa yang saya dengar, saya simpan sebagai pedoman saya dalam hidup... Ketahuilah, bahawa saya belum bersedia untuk mendekatkan jarak perhubungan saya... Saya tidak sebaik yang disangka, lantas membuatkan kadang-kadang saya malu untuk bersemuka dan bersikap lebih terbuka... Apa yang boleh saya lakukan adalah berfikiran terbuka dalam menerima segala...

Sebagai pengakhiran perkongsian saya kali ini, saya ingin berkongsi bait-bait lagu yang sering saya dengar sejak agak lama... Untuk anda hayati maksudnya... Bait-bait lagu ‘Will You Hate Me?’ dendangan Dawud Wharnsby Ali... Khas daripada saya, Ahmad Zakry Haikal, untuk anda...

You smile in the two way mirror of my eyes.
I put on my faith like I wear a disguise.
You can't see my soul, see the life that I live.
But I show you the mask of the best I can give.
I've hid here, afraid, like a child behind,
The truth of the thoughts that clutter my mind.
What if you knew, about all that I do?
The things that I think... The me that is true?

Would you call me a hypocrite? Call me a liar?
Would you curse out my name?
Would you damn me to fire?
Would you know what to say?
Would you just walk away, afraid the me I've tried to hide,
Would too closely resemble the truth of you that lies inside?

I've been looking for answers since becoming adult,
Not looking for dogma to live like a cult.
I've been looking to live, I've been living to find,
Freedom from cages that limit my mind.

(I've been running and hiking and dreaming of flying,
But falling and stumbling never shadowed my trying.
So now here I am before God and you,
Showing my face and my true self to you.
I'm not scared of God, I trust God understands,
but I'm wandering if you will still offer your hands.)

Will I scare you? Upset you? Frustrate you? Irrate you?
Challenge your lifestyle or weaken your trust?
Or will you see my effort? My passion? Sincerity?
Will you see just a little of yourself in me?
Will you take off your mask so we can both be free?

KUALITI YANG PENDEK


H         : Assalamualaikum Abi...
Abi      : Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...
H         : Selamat Hari Raya Aidilfitri buat Abi dan keluarga...
Abi      : Selamat Hari Raya Aidilfitri H... Amacam raya?
H         : Alhamdulillah, baik je... Cuma macam biasa, rindu kat Abi, Umi dan keluarga di kampung... Tapi takpe... Tak sedih sangat sebab raya kat sini, dengan kawan-kawan pun boleh tahan juga meriah...
Abi      : Oh, bagus la... H nak cakap dengan Umi?
H         : Boleh juga...
Umi     : Assalamualaikum H...
H         : Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh Umi... Umi sihat?
Umi     : Alhamdulillah, sihat... H?
H         : Alhamdulillah, H sihat... Macam mana raya kat kampung?
Umi     : Biasa-biasa saja... Baru lepas solat sunat Aidilfitri ni, jalan-jalan... Lebih kurang macam raya-raya  tahun-tahun lepas...
H         : Ooo...
Umi     : H, macam mana raya kat sana?
H         : Alhamdulillah, agak meriah...
Umi     : Tak buat biskut raya?
H         : Ada la buat biskut raya sikit-sikit... Sekarang ni pun, tengah buat biskut raya...
Umi     : Oh, ye? Buat biskut apa?
H         : Ada buat ‘batang buruk’ sikit... Pastu, ada buat ‘famos almos’ sikit...
Umi     : Ooo... Hebat juga...
H         : Hehehe... Takde la... Biasa-biasa je... Lagipun, H buat dengan kawan-kawan... Takde la apa sangat... Tolong-tolong sikit-sikit je...
Umi     : Takpe... Belajar... Ok la H... Pergilah sambung la buat biskut raya... Lain kali, kita sembang lagi...
H         : Erm...Takpe ke kita berhenti sekarang? Tak pendek sangat ke?”
Umi     : Takpe H... Umi tak kisah... Bukan pendek atau panjang masa tu yang kita kira, tapi kualiti masa tu... Buat apa H nak habiskan duit telefon Umi lama-lama, kalau sekadar nak melepaskan rindu? Umi dan keluarga tahu yang H sentiasa merindui keluarga, walaupun H tak telefon... Umi dan Abi, dapat tahu H baik-baik je, dah bersyukur sangat-sangat dah... Biar pendek, asalkan berkualiti...
H         : Baiklah Umi... Sampaikan Salam Aidilfitri H kepada semua...
Umi     : Insya-Allah... H pun, sampaikan salam Umi kepada kawan-kawan...
H         : Insya-Allah Umi...
Umi     : Assalamualaikum...
H         : Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

Nota :  Kadang-kadang, kita tak perlukan masa yang panjang... Apa yang kita perlukan, adalah masa yang berkualiti... Kita yang mengusahakan kualiti masa yang kita luangkan sebelum bertawakal kepada Allah, semoga masa itu benar-benar berkualiti...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal