SEMANGKUK AIR SABAR...


W
H, saya nak tanya sikit, boleh?

H
Boleh je... Silakan...

W
Saya ni sangat susah nak bersabar... Senang naik angin... Saya pun tak tahu kenapa... Boleh tak H kongsikan apa-apa petua ke, cadangan ke, untuk saya melatih diri saya supaya lebih bersabar?

H
Oh, begitu... [Insya-Allah] Saya cuba kongsikan sesuatu... Moga-moga ia bermanfaat...

W
Terima kasih...

H
Baiklah... Awak nampak mangkuk atas meja tu? (menunjuk ke arah satu mangkuk yang agak besar di atas meja)

W
Nampak...

H
Boleh tak awak tolong ambik mangkuk tu, lepas tu isi air ke dalamnya sehingga hampir penuh?

W
Boleh je... (berjalan ke arah meja, ambil mangkuk dan membawanya ke singki berdekatan)

H
Terima kasih... Lepas tu, bawa ke sini ye...

W
(selepas mengisi air ke dalam mangkuk dan membawa mangkuk tersebut ke arah H) Nak buat apa dengan mangkuk berisi air ni? Nak suruh saya basuh muka ke? (sedikit tersengih)

H
Haa... Nanti kita tengok apa yang berlaku... Nak cuba buat ‘magic’ sikit... Harap-harap menjadi...

W
Oh, okey...

H
Baiklah, sekarang saya nak minta awak pegang mangkuk tu, agak-agak paras pinggang...

W
Boleh... (mengangkat mangkuk ke paras pinggang)

H
Baiklah, sekarang saya akan kacau air dalam mangkuk ni... (mengacau air dalam mangkuk menggunakan jari telunjuk)

W
Wah, berdebar la pulak...

H
Okey, sekarang kita tunggu sehingga air ni tenang dan berhenti berkocak...

W
Baiklah...

(Selepas beberapa ketika...)

W
Aduhai... Lambat pulak air ni nak berhenti berkocak... Tangan saya dah lenguh dah ni... Ditambah dengan tangan saya menggigil ni, makin lambat la air tu berhenti berkocak...

H
Sabar...

W
Tapi H, saya dah mula panas hati dah ni... Kang pecah mangkuk ni terhempas ke lantai...

H
Kalau macam tu, letakkan mangkuk tu ke atas meja ni...

W
Baiklah... (meletakkan mangkuk ke atas meja)

H
Sekarang, kita tunggu lagi air ni tenang dan berhenti berkocak...

(Setelah beberapa minit, air dalam mangkuk itu berhenti berkocak...)

W
Akhirnya...

H
Ya, akhirnya air dalam mangkuk ni tenang dan berhenti berkocak...

W
Jadi? Ni, mesti nak umpamakan kesabaran itu seperti air, kan?

H
Haa... Pandai...

W
Mestilah... (tersenyum bangga)

H
Tapi, saya bukan nak umpamakan kesabaran seperti air...
Saya cuma nak awak fikirkan, kenapa awak panas hati menunggu air tu berhenti berkocak? Kenapa pula saya boleh bertenang je?

W
Ye la... Sebab lama sangat nak tunggu... Air tu macam tak nak berhenti berkocak...
Awak pulak, mestilah bertenang... Sebab awak nak tunjukkan sesuatu kepada saya... Kalau awak pun hilang sabar, tak menjadi la apa yang awak cuba sampaikan...

H
Bukan... Bukan sebab tu... Sebenarnya, awak rasa panas hati dan tak sabar sebab awak asyik tenung air dalam mangkuk tu... Memang la saya suruh tunggu sampai air tu berhenti berkocak... Tapi, saya tak pulak suruh awak tenung air tu sampai berhenti berkocak... Kalau la awak tak tenung air tu, mesti awak tak cepat hilang sabar...

W
Erm... Tak faham la... Apa yang awak cuba sampaikan?

H
(tersenyum) Macam ni, W... Setiap kali kali kita dilanda masalah, janganlah kita fokus pada masalah tu... Jadikan masalah tu sebagai sambilan je... Janganlah kita membazir masa fokus dan asyik memikirkan masalah tu... Lebih baik kita gunakan masa tu untuk memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah tu...
W, sesetengah masalah tak perlu diselesaikan, atau mungkin tak boleh diselesaikan... Sama macam air yang berkocak tu... Dalam konteks air berkocak tu, kita hanya perlu tunggu sehingga air tu tenang... Jangan pula kita asyik tenung air tu... Kalau kita asyik tenung kekusutan tu, fikiran kita pun jadi kusut... Dalam konteks fikiran kita kusut, janganlah kita asyik fokus pada sebab yang mengusutkan tu... Kita tenang je... Lama-lama, kekusutan tu akan hilang...
Satu lagi, kita sama-sama percayakan Tuhan... Walaupun kita berbeza fahaman agama, kita ada Tuhan masing-masing... Jadi, pohonlah kepada Tuhan agar kita terbantu untuk menyelesaikan masalah kita tu... Paling tidak, agar kita dapat bertenang...
Kalau kita percaya akan adanya ketenangan bagi setiap kekusutan, kita akan mampu bertenang...

W
Oh, begitu... Saya dah faham... Bukan main lagi... Siap analogi air pulak dia... Terima kasih H...

H
(tersengih) Sama-sama... Kebetulan... Sekarang kan selalu hujan... Tu yang dapat ilham air tu...
Ingat, W...
Laut yang bergelora pun, ada ketikanya akan tenang... Tika itulah banyak ikan...
Dan...
Kocakan air sungai kerna hujan sekalipun, akan kembali tenang setelah satu tempoh masa...
Satu lagi...
Sungai yang berombak pun mampu dimanfaatkan... Contohnya, benak kat Batang Lupar yang mampu menarik pelancong... (angkat kening)
Tapi...
Jangan jadi macam gelora tsunami di Semenanjung Malaysia yang lalu... Memang menarik perhatian... Tapi, menyebabkan orang sentiasa ketakutan... (senyum segaris)

W
Macam mana dengan ‘Air yang tenang jangan disangka tiada buaya’?

H
Bijak... Jadi, anak dara janganlah suka berkemban... Takut disambar buaya nanti...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal