LURUSKAN, RAPATKAN SAF


“Kenapa berjemaah di masjid, jika tak samakan saf?”
Pertanyaan si adik kecil kepada ayahnya, sebaik sahaja ayahnya berenjak duduk ke belakang… Perlahan, namun sempat singgah di telinga saya, lantas menyentak hati saya… Si anak kecil duduk di belakang saf dari bermulanya solat berjemaah sehingga salam solat, rupanya memerhatikan bapa-bapa dan abang-abang yang berjemaah di depannya… Subhanallah, hebat didikan ibu bapanya, sehingga si kecil itu mampu mengutarakan persoalan yang begitu hebat...

Benar dan bernas persoalan adik itu... Terkadang, kita terlupa akan mengapa kita berjemaah di masjid... Barangkali kita terlalu terbiasa dengan “Pahala berjemaah itu adalah 27 kali ganda berbanding solat bersendirian”... Kalimah itu adalah benar, kerna janji Allah adalah sebenar-benar janji... Namun, kita salah bila kita hanya mengambil maksud kalimah itu pada permukaannya, bukan ibrah atau hikmah pada dasarnya...

Apa maksudnya solat berjemaah yang mengganjarkan 27 kali ganda pahala itu??? 27 kali pahala itu letaknya pada jemaah yang safnya lurus dan rapat, bukan pada saf yang longgar dan berombak barisannya...

Kerna itulah pahala khusyuk diperolehi oleh semua ahli jemaah, biarpun hanya seorang daripada jemaah itu yang khusyuk sebenarnya... Kerna pertalian yang telah dijalin oleh semua ahli jemaah sebelum bermulanya solat...

Kerna itulah doa setiap ahli jemaah lebih mudah termakbul berbanding insan yang solat bersendirian... Kerna kesatuan hati yang terbina secara tidak langsung di kalangan jemaah, melalui rapatnya saf yang diluruskan sebelum solat bermula...

Sidang pembaca budiman,
Lurusnya dan rapatnya saf sebenarnya tidak mudah... Meluruskan dan merapatkan saf memerlukan pengorbanan... Saat kita melangkah ke dalam saf, kita perlu buang segala ego untuk memastikan kaki kita sama dengan orang sebelah, dan diri kita rapat dengannya... Bila mana kita telah berada di dalam saf, kita harus merendahkan diri untuk menegur orang di sebelah kita dengan penuh hemat, agar dia meluruskan kaki dan merapatkan dirinya dengan saf yang telah terbina...

Atas dasar inilah, solat berjemaah itu dijanjikan ganjaran yang begitu besar... Sebagai balasan atas pengorbanan yang telah dilakukan oleh setiap ahli jemaah itu... Bukanlah Allah menyulitkan hidup manusia, sebelum memberi ganjaran yang besar... Akan tetapi, agar kita tidak lewa dalam mengejar ganjaran Allah...

Apalah guna kita berjemaah, jika kita berdiri sendirian, tanpa sebarang usaha untuk menunjukkan kesatuan dalam saf??? Apalah guna membina saf, jika masing-masing seakan membawa haluan masing-masing, sesuka hati mahu berdiri ke depan sedikit atau ke belakang sedikit berbanding orang, mengekalkan jarak masing-masing??? Apakah ada kasta dalam saf berjemaah???

Seharusnya, hati dan jiwa yang terdidik melalui proses solat berjemaah itu dibawa untuk diamalkan dalam kehidupan harian, agar kita melupakan kasta dan darjat sesama kita... Tapi, kita melakukan sebaliknya... Kasta dan darjat dalam kehidupan seharian kita terbawa-bawa ke dalam solat berjemaah... Maka, berjayalah musuh-musuh Islam dalam memecahbelahkan umat Islam... Lagi kita mahu tanya mengapa martabat Islam tidak lagi tinggi di mata umat selain Islam??? Sedangkan kita sendiri tidak menggambarkan didikan Islam yang agung... Sedangkan kita sendiri menjadi sumber fitnah pada Islam itu...

Islam dulu, cukup terlihat pada kukuhnya saf pejuangnya dan umatnya, untuk disanjung oleh dunia... Islam kini, dikucar-kacirkan oleh umatnya, sehingga Islam terlihat bercabang dan bersagat... Masyarakat sekeliling dipeningkan oleh umat Islam sendiri... Umat Islam lantang bersuara, kononnya barisan perjuangan Islam itu lurus dan teguh... Namun, dalam membina saf berjemaah solat sendiri kucar-kacir, dan menonjolkan umat Islam mementingkan diri sendiri... Di mana lagi masyarakat ingin melihat lurus, rapat dan teguhnya saf umat Islam, jika tidak di masjid, tempat tumpuan umat Islam???

Saudara/Saudari,
            Izinkan saya mengaitkan sedikit isu saf ini dengan pembinaan rumahtangga... Pembinaan rumahtangga juga sama seakan pembinaan saf solat berjemaah, memerlukan pengorbanan... Mana mungkin terbina sebuah rumahtangga yang makmur dan teguh, jika si lelaki dan si wanita masing-masing mementingkan diri sendiri... Korbankanlah sedikit ego dan kehendak diri, demi melengkapi rumahtangga yang dibina...

Jika kita perlu melengkapi, maka kecilkan ego untuk merapati... Jika kita telah berada dalam kebenaran, maka santunilah dengan baik agar dia hampiri kita... Konsep ini perlu dipraktikkan dalam solat berjemaah, juga dalam berumahtangga...

Oleh itu,
JIKA KAMU MENDAMBAKAN RUMAHTANGGA YANG MAKMUR DAN LENGKAP, LIHATLAH DAHULU LURUS DAN RAPATMU DALAM SAF SOLAT BERJEMAAH... Adakah dikau bersifat melengkapi???
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal