JANJI SAYANG

“Amin… Alhamdulillah…” Akhirnya, H selamat diijabkabulkan dengan A. “Sekarang, kamu dibenarkan melihat wajah isterimu dan mengucup dahinya”. H berjalan perlahan ke arah pengantin wanita, isterinya yang kini sah. Perlahan H buka purdah yang menutupi wajah A.

Sebaik purdah dilepaskan, H jatuh, longlai. Semua yang hadir terkejut. H, H... Kenapa kamu?”, tanya kawan-kawannya. A yang duduk bersimpuh juga cemas. “Abang, Abang...”. “Masya-Allah, cantiknya permata hati Abang...”, kata H tersenyum. “Sengal la Abang ni...”, respon A, tersipu malu. Hadirin tergelak melihat suasana tersebut.

H kembali duduk di hadapan A, bersedia untuk mengucup dahinya. “Sayang...”, kata H, membuatkan semua terdiam. “Sebelum Abang mengucup dahi Sayang, boleh tak Abang nak minta sesuatu?”. “Apa dia, Abang?”.

“Sayang, sudikah Sayang jadi puteri yang paling cantik di mata Abang, dalam hidup Abang? Andai suatu hari nanti, ada wanita lain yang cantik lalu depan Abang, Abang mungkin akan tengok. Tapi, Abang janji Abang akan cepat-cepat kembali kepada Sayang kerana Sayang halal bagi Abang untuk Abang sentuh dan Abang sayangi sepenuh hati...”

“Sayang okay je, Abang...”

“Sayang, jika suatu saat, emosi Abang tak stabil dan terganggu, Abang mungkin akan marah. Abang harap, di saat itu senyuman di wajah Sayang mampu meredakan amarah Abang...”

“Okay...”, respon A sambil tersenyum.

Amin...

Lantas, H membalas senyuman A dan mengucup dahinya...

Alhamdulillah...

DIA, PENYERI HIDUP SAYA

Aisyah,

Hari ni, saya termenung lagi. Lama, hampir seharian saya termenung. Namun, berbeza dari sebelum ni, bukan kenangan bersama awak yang membuatkan saya termenung kali ini. Hati saya sayu. Apa yang berlaku malam tadi benar-benar membuatkan saya sedih...

“Hidupkan ‘webcam’ Haikal. Abah ingin bercakap dengan Haikal...”, kata Umi setelah saya membalas salamnya melalui ‘Yahoo Messenger’ malam tadi. Namun, sebaik saya saya membuat panggilan video kepada Umi, notis ‘No camera input detected’ pada skrin komputer riba saya benar-benar menghairankan saya. Saya membalas mesej Umi dengan mengatakan tak dapat hidupkan ‘webcam’. “Rosak ‘software’ kut...”, terang saya kepada Umi. “Tak pa la... ‘Voice call’ je la...”, saya menyambung. Tetapi, sebaik sahaja panggilan ‘Yahoo Messenger’ dijawab, tiada suara Umi mahupun Abah kedengaran. “Kalau macam tu, kita taip je la...”, kata saya kepada Umi dengan penuh kekecewaan. Tak lama saya borak dengan Umi malam tu sebelum Umi kata, “Haikal, Umi dan Abah nak berehat dulu. Letih sebab tadi balik lambat...”. Begitulah berakhirnya perbualan saya dengan Umi tanpa mampu mengubat rasa rindu ini...


Aisyah,

Kekecewaan menyebabkan saya merebahkan diri atas katil agak awal malam tadi. “Teknologi kadang-kadang amat mengecewakan... Mengapa di saat-saat begini, talian internet teramat teruk?”, bentak saya sendirian. “Mesti ada sesuatu yang ingin Abah katakan... Atau mungkin Abah rindukan saya...”, itulah yang bermain di fikiran saya sehingga saya memejamkan mata...

Pagi ini, awal saya bangun... Selesai solat Subuh dan rutin pagi saya, saya mula termenung. Gambar-gambar zaman kecil saya tilik. Dalam, dan penuh sayu... Melihat gambar bersama Abah masa kecil kecil, sama-sama membasuh kereta membuat saya terfikir manisnya saat itu... Fikiran saya mula melayang.


Aisyah,

Masa mula belajar mengaji dulu, selalu saya kena marah dengan Umi sebab baca kesalahan pembacaan. Sampai satu hari Umi menyuruh saya mula mengaji dengan Abah. “Tak sempat Umi nak masak dan buat kerja rumah...”, kata Umi. Berdebar juga hati saya kerana tak tahu macam mana pendekatan Abah mengajar mengaji. Namun, ternyata cara Abah ajar mengaji lain berbanding Umi. Berbeza dengan lahiriah dia yang nampak garang (kata orang la...), cara Abah ajar mengaji lebih lembut. Bukan saya ingin bandingkan Abah dengan Umi, tapi itulah kenangan tersendiri kami adik beradik bersama Abah dan Umi. Sempat juga saya mengaji bersama Abah selama 2, 3 hari sebelum Umi kembali mengajar kami. Alhamdulillah, berkat ajaran mengaji Abah dan Umi, kami adik beradik sempat khatam Al-Quran berkali-kali...

Teringat zaman sekolah rendah dulu. Seorang cikgu pernah berkata kepada saya, “ Adik cikgu kata Abah kamu memang garang...”. Saya dengan selamba berkata, “Tak la... Umi lagi garang...”. Bila dah masuk sekolah menengah, kawan-kawan pun ada kata Abah memang garang. Hati saya pula terdetik, “Mungkin sebab lahiriah Abah nampak garang. Lagipun, Abah kan guru disiplin...”. Kini, bila difikirkan balik, mungkin apa yang dimaksudkan oleh cikgu-cikgu dan kawan-kawan dulu adalah ketegasan Abah. Sebab Abah memang tegas terutama dalam mendidik. Mungkin kerana kami adik-beradik dah biasa dengan ketegasan Abah, jadi Abah tak nampak garang di mata kami...

Zaman sekolah dulu, acap juga Umi meninggalkan rumah berkursus. Kadang-kadang, Umi pulang lambat kerana ada mesyuarat. Abah la yang menguruskan kami adik-beradik. Kadang-kadang, Abah belikan lauk untuk makan tengahari dan makan malam. Kadang-kadang, Abah bawa kami keluar makan di luar. Hujung minggu, Abah bawa kami keluar makan roti canai. Setiap pagi, Abah kejutkan kami untuk solat Subuh dan bersiap untuk ke sekolah. Pagi-pagi itu, Abah terpaksa bersiap awal dari biasa kerana terpaksa hantar adik yang bongsu ke sekolah. Selalunya, hanya saya dan adik yang kedua bersama Abah ke sekolah dan Umi yang hantar adik bongsu ke sekolah. Kadang-kadang, kereta Umi rosak. Abah terpaksa menghantar kami sekeluarga ke sekolah masing-masing. Semestinya, Abah kena bersiap awal agar kami semua tak lewat sampai ke sekolah. Begitu Abah, komited melaksanakan tanggungjawabnya... Apa jua keadaan yang dihadapinya dan masalah menimpa, Abah sentiasa tampak tenang. Bahagia rasanya kami punya Abah bersama Umi...


Aisyah,

Saat ini, air mata saya menitis. Mengenangkan malam yang nyata mengubah diri ini. Daripada seorang yang suka bercakap bohong dan berbuat jahat, kepada seorang yang tak ingin berbohong apatah berbuat jahat lagi... Kata-kata Abah di atas buaian malam itu, dengan nada perlahan dan tenang amat menusuk sanubari ini. “Haikal dah besar. Insya-Allah, akan hidup lebih lama lagi. Jadi, Haikal kena fikir macam mana nak hidup nanti. Takkan nak hidup macam ni sampai tua? Kesannya, kini saya kehilangan teknik berbohong yang suatu masa dulu amat saya banggakan...

Kini, saya telah dewasa. Pendekatan didikan Abah tak lagi sama seperti masa kecil dulu. Abah dah tak garang seperti dulu. Baru kini saya sedar saya punya seorang Abah yang lawak dan ceria. Abah sangat suka bergurau. Setelah lebih 2 dekad saya hidup dan membesar di sisi Abah, hanya kini saya sedar semua ni... Kini, sungguhpun Abah jarang menunjukkan amarahnya, namun kadang-kadang saya dapat rasakan Abah kecewa. Saya harap saya sentiasa diilhamkan oleh Allah SWT untuk melakukan yang terbaik untuk Abah dan juga Umi. Syukur Alhamdulillah, bijaknya Abah mengawal emosinya sehingga kekecewaan Abah tak begitu tergambar. Setiap kali di mata anak-anaknya, abah akan tampil tenang dan ceria.


Aisyah,

Ingat lagi tak hari saya ke rumah awak? Sebenarnya pada malam tu, ketika saya ingin makan malam, Abah ada bertanya ke mana saya petang itu. Saya cuma menjawab dengan biasa dan mengatakan saya ke rumah kawan. Tiba-tiba, Abah bertanya, “Rumah kawan perempuan?”. Terkejut juga saya dengan reaksi Abah tu... Jadi, saya hanya membalas dengan senyuman. Abah pun turut tersenyum. Hairan, bagaimana Abah boleh tahu saya ke rumah seorang perempuan? Padahal, adik saya selalu keluar ke rumah kawan-kawannya. Tiada pula Abah menunjukkan reaksi sedemikian. Begitu naluri Abah, seorang bapa yang sangat memahami seolah mampu membaca naluri anaknya...


Aisyah,

Awal tahun ini, selama lebih kurang sebulan saya di rumah, saya ada tolong buat kerja rumah ketika Abah dan Umi bekerja dan adik-adik kembali bersekolah dan kerkuliah. Lebih kurang jam 10 pagi setiap hari, saya akan mula memasak nasi, lauk dan sedikit sayur untuk santapan tengahari kami sekeluarga. Sungguhpun tempohnya hanya sebulan, kenangannya amat bermakna buat saya. Setiap kali Abah pulang ke rumah, dia akan bertanya, “Dah masak?”. Kemudian dia akan berkata, “Ni, tengok apa yang ada dalam ni...”, sambil menunjukkan beg-beg plastik di tangannya. Begitulah keadaan setiap hari, tak kira di mana pun saya, Abah akan mengucapkan kata-kata yang sama dengan gayanya yang hampir sama. Walaupun saya baru selesai solat Zohor, Abah akan menjenguk saya dan meminta saya menghidangkan bungkusan yang dibawanya pulang. Betapa Abah ambil tahu keadaan saya seharian di rumah...

Hari berganti hari, akhirnya tibalah masa saya meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pelajaran. Abah dan Umi banyak membantu saya mengisi borang dan membuat persiapan sebelum tu. Abah malah sanggup tolong memilih beg ‘luggage’ yang paling besar dan paling ringan untuk saya dan melayan kerenah saya turun naik pasaraya semasa memilih ‘sleeping bag’. Di hari saya berlepas, Abah dan Umi menunggu saya sehingga saat saya melangkah ke balai berlepas. Ketika menunggu nama saya dipanggil untuk masuk ke balai berlepas, Abah menghulurkan telefon bimbitnya kepada saya dan menyuruh saya bercakap dengan adik di rumah. Abah meminta saya berpesan supaya adik tekun belajar. Bijak kan Abah, memanipulasi keadaan untuk memotivasikan anak-anaknya...

Kini, sudah hampir setahun saya berjauhan dari kampung halaman dan keluarga. Selama tempoh ini, kerap juga saya telefon bimbit saya berdering. Jika dilihat pada nombor yang mendail, ia adalah nombor telefon bimbit Abah. Namun, sebaik sahaja saya menjawab panggilan-panggilan itu, yang kedengaran adalah suara Umi. Abah hanya bercakap selepas Umi. Setiap kali, begitu la keadaannya. Abah juga tak bercakap lama denga saya kerana dia akan meminta saya kembali bercakap dengan Umi. Selalu juga saya terfikir, kenapa Umi menelefon saya menggunakan telefon Abah? Apakah Abah yang meminta Umi menelefon saya?


Aisyah,

Itulah sebabnya saya tersangat sedih dan agak kecewa bila malam tadi, ‘webcam’ saya rosak dan talian internet teruk saat Abah dan Umi ingin bercakap dengan saya. Apatah lagi, inilah pertama kali Abah meminta untuk bercakap dengan saya. Abah meminta untuk melihat wajah anaknya ini... Semoga saya dikurniakan rezeki untuk menggantikan ‘webcam’ saya dan saya diberi kelapangan masa untuk bercakap lebih lama dengan Abah dan Umi. Betapa saya ingin menebus kesilapan malam tadi. Semoga Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk buktikan betapa saya sayang dan hargai Abah seperti mana saya kasihkan Umi... Insya-Allah...


Sekian warkah dari saya. Sebagai ingatan kita bersama, renungkan kata hati saya...

‘Kasih ibu membawa ke syurga, Kasih ayah penyeri dunia...’


Yang merindu,

HAIKAL

HARAPAN CINTA

Harapan saya,

Semoga cinta ini…

Tidak akan mencampakkan diri ini...

Dan jua dirinya...

Ke dalam neraka Allah SWT...

Insya-Allah...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Lebih mendekatkan diri ini...

Pada Allah SWT...

Kerna diri ini sedar...

Cinta insan milik-Nya...

Hanya Allah Maha Kuasa...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Menjadikan diri ini kerap terjaga...

Di tengah malam sunyi...

Bukan hanya kerana rindukan dia...

Tapi, juga untuk beribadat kepada Allah SWT...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Mampu menjadi asbab diri ini...

Lebih menjaga pandangan...

Dan jua hati nurani...

Kerna diri ini ingin setia...

Setia pada cinta nan satu...

Setia pada syariat Allah SWT...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Mampu mengubah khilaf diri ini...

Ke arah menjadi insan yang lebih baik...

Menjadi insan yang lebih mendekatkan diri...

Pada Allah SWT...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Sentiasa memupuk rasa ikhlas...

Dalam diri ini...

Mencintai dirinya...

Kerana fitrah dan syariat Allah SWT...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Mampu menguatkan diri ini...

Jua dirinya...

Tegar menghadapi godaan syaitan...

Agar cinta terpelihara fitrahnya...

Selari syariat Islam...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Sentiasa dirahmati Allah SWT...

Dipanjangkan berkekalan...

Agar diri ini...

Dan dirinya...

Bahagia di bawah redha Allah Maha Penyayang...


Harapan saya,

Semoga cinta ini...

Cinta suci fitrah insani...

Cinta pada syariat Islam...

Cinta kerana Allah SWT...

MAAF, SAYA INGIN JADI ANAK YANG TAAT

Assalamualaikum Intan,

Apa khabar? Harapnya awak sihat sejahtera di samping kawan-kawan... Saya juga berdoa semoga awak cemerlang dalam pelajaran...

Sebelum saya meneruskan warkah ini, izinkan saya memohon maaf sekiranya apa yang bakal saya sampaikan ini akan mengguris hati awak. Saya juga berharap persahabatan kita tidak akan putus semata-mata sekeping warkah ini...


Intan,

Umi saya ada menyampaikan berita bahawa awak telah datang ke rumah bersama kedua ibu bapa awak. Terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah saya. Umi saya juga menyampaikan khabar bahawa awak dan kedua ibu bapa awak ada membawa hajat ingin melamar saya. Pada awalnya, saya agak terkejut mendengar perkhabaran ini. Tapi, perbualan lanjut saya bersama Umi saya akhirnya membuatkan saya kembali tenang.

Saya faham niat suci awak bertemu kedua Abi dan Umi saya untuk menyampaikan rasa hati awak. Namun, maafkan saya kerana saya harus nyatakan bahawa mungkin saya tidak layak menjadi sebahagian dari hidup awak...


Intan,

Maafkan saya kerana terpaksa menolak lamaran awak atas sebab peribadi... Sejujurnya, hati saya telah dimiliki seorang gadis, Aisyah Humaira. Intan, izinkan saya menjadi seorang lelaki yang setia... Saya yakin, Insya-Allah, Aisyah mampu membawa sinar bahagia dalam keluarga saya. Selepas saya balik dari berta’aruf ke rumah Aisyah, Abi saya ada bertanya ke mana saya pergi petang itu. Lalu, saya beritahu bahawa saya ke rumah seorang kawan perempuan. Riak mukanya, seolah-olah dia memahami hati saya... Selain itu, saat atuk dan nenek saya bahawa saya telah ke rumah seorang kawan wanita, mereka ada bertanya tentang gadis tersebut. Sungguhpun saya hanya memberitahu mereka bahawa namanya Aisyah, reaksi mereka menunjukkan mereka suka akan dia...Alhamdulillah... Respon yang baik dari ahli keluarga saya...

Maafkan saya terpaksa menceritakan semua ini kepada awak... Sungguhpun alasan peribadi saya ini tak mampu menjadi asbab kuat untuk saya menolak lamaran awak, Intan, saya ingin awak tahu bahawa ada asbab lain saya menolak lamaran awak...


Intan,

Selepas menyampaikan perkhabaran tentang tujuan awak dan ibu bapa awak datang ke rumah saya, Umi saya berkata, “Haikal, kalau boleh, Umi tak nak berbesan dengan ibu dan bapanya”. Saya kira, cukuplah saya sampaikan kata-kata ini. Tak perlulah awak tahu sebabnya kerana awak mungkin terguris dengan sebab Umi saya berkata demikian. Namun demikian, saya ingin awak tahu bahawa ini tidak bermakna Umi saya menghalang kita berkawan...


Oleh demikian Intan,

Maafkan saya terpaksa menolak lamaran awak. Izinkan saya menjadi anak yang taat kepada kedua Abi dan Umi saya. Memang benar jodoh itu di tangan Allah yang Maha Kuasa. Namun, kebahagiaan seorang anak adalah membahagiakan kedua ibu bapanya... Memang benar saya berhak memilih jodoh saya sendiri dan pilihan saya adalah muktamad. Namun, saya percayakan Abi dan Umi saya. Jadi, Umi saya punya sebab tersendiri yang kuat untuk menolak lamaran sesiapa pun untuk anaknya... Saya juga sedar, seorang anak lelaki tidak akan putus ikatan taatnya terhadap kedua ibu bapa sehingga akhir hayatnya, berbeza dengan anak perempuan yang beralih ketaatan nya kepada suami tatkala dia berkahwin. Jadi, saya harus sentiasa taat kepada Abi dan Umi saya...


Intan,

Saya sayangkan Abi, Umi dan semua ahli keluarga saya... Dan, kasih sayang ini membuatkan saya yakin akan mereka semua... Apa jua reaksi mereka mampu mengubah keputusan saya dalam menentukan hala tuju hidup saya...


Jadi, Intan,

Izinkan saya menjadi seorang anak yang taat dan menolak lamaran awak...

Sekian dari saya. Sampaikan salam saya kepada kedua ibu dan bapa awak... Semoga persahabatan kita kekal walaupun terusik oleh warkah ini...


Wassalam,

HAIKAL

KATA-KATA CINTA

Kata-kata cinta,

Tak mampu saya gubahkan pada awan memutih…

Meskipun putihnya awan itu menandakan hari yang cerah...

Namun, mendung mungkin menjelma...

Yang kan menghilangkan keputihan cinta itu...


Kata-kata cinta,

Tak mampu saya bisikkan pada burung berkicau...

Meskipun kicauannya itu menjadi muzik alam yang merdu...

Namun, burung itu jua menjadi sasaran lastik...

Namun, siapa mampu menyangka...

Jika burung yang mendengar bisikan kata cinta saya...

Akhirnya mati terkena lastikan manusia...

Sekaligus mematikan kata-kata cinta saya...

Lantas, menghilangkan kemerduaan cinta itu...


Kata-kata cinta,

Tak mampu saya tiupkan pada angin lalu...

Meskipun sepoinya hembusan angin itu mendamaikan...

Namun, ribut mungkin melanda...

Semua manusia kan lari mencari tempat berteduh...

Lantas menghilangkan damainya cinta itu...


Kata-kata cinta,

Tak mampu saya kalamkan pada rumput nan hijau...

Meskipun hijaunya rumput itu mendinginkan mata...

Namun, rumput mungkin dipotong...

Atau diturap dengan simen...

Lantas, menghilangkan kesejukan cinta itu...


Kata-kata cinta,

Hanya mampu saya nasabkan pada Allah SWT...

Melalui doa seharian saya...

Kerna Allah SWT Maha Kuasa...

Dalam menentukan jodoh pertemuan...

Lantas, meyakinkan hati ini...

Bahawa cinta itu selamat bersama-Nya...

AIB BALQIS

Assalamualaikum Aisyah,

Apa khabar awak di sana? Harap-harapnya, awak sihat sahaja dan segala proses pembelajaran awak berjalan lancar. Kesibukan yang saya alami kebelakangan ini membuatkan saya semakin rindu pada awak. Namun, saya sentiasa ingat pesanan awak bahawa rindukan keluarga itu lebih utama dan rindukan Allah paling penting. Alhamdulillah...

Aisyah,

Saya harus akui bahawa iman saya agak goyah kebelakangan ini. Saban hari, saya melihat semakin banyak pelajar-pelajar di sini yang menayangkan aurat. Mungkin kerana kesan pemanasan global, mungkin juga kerana cuaca dan suhu sekitar yang semakin panas. Bukan hanya pelajar-pelajar dari negara lain, bahkan teman-teman seperjuangan juga semakin seksi pemakaiannya... Kelabu mata saya dibuatnya... Tapi, itulah fenomena yang harus saya hadapi selagi hidup di dunia ini...

Aisyah,

Fenomena mendedahkan aurat ini membuatkan saya teringat akan peristiwa Balqis dan Nabi Sulaiman AS. Saat Balqis melangkah ke istana Nabi Sulaiman AS, dia telah menyingkap labuhan kainnya kerna menyangka lantai kaca itu adalah air. Ternampak betis Balqis telah menjadi asbab Nabi Sulaiman AS mengahwini Balqis. Ini kerana Nabi Sulaiman ingin menyelamatkan Balqis dari keaiban. Sehingga hari ini, cinta Nabi Sulaiman dan Balqis telah menjadi salah satu bukti cinta suci yang agung... Alhamdulillah...

Namun Aisyah,

Kenapa kebanyakan wanita hari ini tidak seperti Balqis? Kenapa mereka begitu bangga mendedahkan aurat namun tidak kisah walaupun tidak berkahwin? Apa perasaan Balqis yang telah terdedah auratnya sekiranya Nabi Sulaiman tidak mengahwininya?

Teringat kata-kata seorang kawan saya, “Jika diambil kisah Balqis dan Nabi Sulaiman AS sebagai dalil, entah berapa ramai lelaki yang harus dikahwini oleh seseorang wanita hari ini...”. Ada benarnya kata-katanya... Sekiranya Nabi Sulaiman mengahwini Balqis kerana telah ternampak aibnya, bagaimana dengan seorang wanita hari ini yang telah mendedahkan aibnya kepada begitu ramai lelaki?

Aisyah,

Apakah mungkin wanita hari ini tidak menganggap apa yang telah mereka dedahkan sebagai aib mereka? Apakah mereka memikirkan bahawa aurat yang mereka dedahkan adalah aib mereka? Jika demikian, di manakah letaknya aib wanita itu?

Aisyah,

Sebelum saya akhiri warkah ini, saya ingin mohon maaf jika warkah kali ini menyebabkan awak tersentak. Saya hanya ingin meluahkan apa yang meresahkan hati ini...

Akhir kata,

Aisyah, saya menyayangi awak kerana Allah SWT... Tidak ada kena mengena dengan aib awak... Sayangkan awak adalah satu perasaan kurniaan Allah SWT kerna kagumnya saya terhadap personaliti dan penampilan awak selain sebagai bukti fitrah saya sebagai manusia...

Sampaikan salam saya kepada seluruh keluarga awak dan kepada teman-teman seperjuangan awak...


Wassalam,

Haikal

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal