BELAJAR MENJADI SUAMI/ISTERI…


            Rasa tertarik dengan kata-kata beberapa orang teman, “Awalnya fikir tentang kahwin... Lambat lagi... Nak belajar sampai dapat Ijazah Sarjana dulu sebelum fikir tentang kahwin...”. Di sudut hati saya, rasa bangga punya kawan-kawan yang berwawasan begini... Terlintas juga di hati, lebih romantik jika dapat mengenggam Ijazah Kedoktoran bersama isteri... Dalam perjuangan mendapatkan ijazah tersebut, pastinya lebih romantik jika dapat belajar dan menjalankan kajian bersama isteri... Alangkah manisnya jika punya teman pendamping yang halal sepanjang perjuangan ijazah tersebut...
            Itu hanyalah impian saya selaku seorang insan yang masih bujang... Apa yang ingin saya tekankan adalah pembelajaran seorang insan sebelum bergelar suami... Bagi kaum Hawa, persiapan diri sebelum bergelar isteri...

Jika ada yang mengeluh,
“Tapi, calon pun takde lagi ni...”
Jawapan saya,
“Tak mengapa walaupun tak punya calon... Yang penting, ada impian...”

            Segalanya bermula dari sebuah impian, bermula sangat terdetik angan-angan... Jika kita insan normal, pastinya kita punya impian dan berangan-angan untuk mendirikan rumah tangga... Siapa dia bakal suami atau isteri kita, itu soal jodoh yang terserah pada Allah SWT, yang pastinya akan tiba masanya nanti... Persoalan yang terpenting, saat tibanya waktu insan mulia itu hadir untuk menjadi pasangan hidup kita, adakah kita sudah bersedia? Mengapa tidak kita bermula dari sekarang? Ayuh kita belajar untuk menjadi seorang suami atau isteri...
            Saya teringat seorang ustazah pernah tekankan bahawa Imam Ghazali mengajarkan perihal jodoh kepada puterinya 10 tahun sebelum puterinya layak mencari jodoh... 10 tahun... Bukan 10 tahun sebelum berkahwin, tapi 10 tahun sebelum layak mencari jodoh... Namun, kita masih merasakan begitu awal untuk kita fikirkan dan persiapkan diri kita kini, untuk jodoh kita nanti?
            Setiap perihal hidup ini bermula dengan fikir... Saat kita memutuskan untuk berfikir tentang sesuatu, saat itulah kita kan mula belajar... Fikirkan tentang masa depan, bahawa suatu hari nanti kita akan berkahwin... Saat itu, bermulalah pembelajaran kita tentang kahwin... Saat itu, bermulalah persiapan kita untuk bergelar suami dan isteri...

Saat saya memutuskan untuk menulis warkah ini, saya tidak sedikitpun berniat mencadang atau menyeru para pembaca untuk berkasih-kasihan dengan bukan mahram... Akan tetapi, saat ini, saya semakin bersyukur memikirkan peluang-peluang untuk saya mempersiapkan diri sebagai suami (walaupun tak tahu bila saya akan berkahwin)... Alhamdulillah sidang pembaca sekalian, kita dikurniakan oleh Allah SWT keluarga, kawan-kawan dan masyarakat yang makmur, bagi membantu kita mempersiapkan diri... Ayuh mulakan pembelajaran kita ke arah menjadi seorang suami/isteri...
            Ingin menjadi seorang pasangan yang romantik? Mengapa tidak kita mulakan memupuk sifat romantik itu sekarang? Mulakan dengan menjadi anak yang romantik, abang yang romantik, kakak yang romantik, atau adik yang romantik? Amalkan menyebut kata-kata sayang dan menunjukkan rasa sayang kita kepada keluarga kita...

Contohnya:
“Cantiknya Umi hari ni, macam permaisuri...”
“Kacaknya Abi... Macam putera raja...”
“Adik... Abang kat kedai ni... Nanti Abang belikan gula-gula untuk Adik ye...”
“Abang jangan la sedih-sedih... Nanti Adik belikan keychain kereta untuk Abang... Haa, kan hensem kalau Abang senyum macam tu...”
“Akak, nah Adik belikan bunga untuk Akak sayang...”

Ya Allah, alangkah romantiknya... Apa yang penting, perasaan romantik itu dipupuk dan dicurahkan secara halal dan tempatnya kena pada syariat Islam... Kalau acap kali kita amalkan memupuk rasa romantik sebegini, Insya-Allah selepas kahwin pun kita akan romantik... Bayangkan kalau 5 tahun atau 10 tahun kita pupuk sifat romantik ni sebelum kita berkahwin... Insya-Allah, selepas kahwin, kata-kata dan perbuatan romantik tu akan menjadi kebiasaan kepada kita... Masa gembira kita romantik (Abang sayang ayang...), masa geram pun kita romantik (Ayang, kenapa masin sangat ni? Abang cubit pipi baru tau...). Kerna sifat romantik tu dah sedia mengalir dalam tubuh kita... Insya-Allah, manusia tidak akan pernah bosan dengan sifat-sifat romantik...
Ingin menjadi pasangan yang bertanggungjawab? Mulakan sekarang, dengan menguruskan beberapa perihal kelurga atau perihal bersama kawan-kawan... Jangan takut untuk menggalas tanggungjawab dalam keluarga atau komuniti... Jangan pula berlagak seolah kita tahu segala-galanya... Pikullah tanggungjawab itu bukan supaya kita dianggap bertanggungjawab, namun kerna kita ingin belajar tentang tanggungjawab... Dan orang yang ingin belajar tidak akan pernah sombong... Itulah kehidupan rumahtangga yang akan kita tempuhi kelak... Ada tanggungjawab yang perlu kita pikul... Ada tanggungjawab yang kita sedia maklum, ada juga tanggungjawab yang kita tak sangkakan...

“Tanggungjawab yang tak disangkakan? Apa itu? Bukankah sama sahaja tanggungjawab suami/isteri dalam rumahtangga, sama seperti pasangan-pasangan sekarang?”

Apa yang saya maksudkan dengan tanggungjawab yang tak disangkakan adalah tanggungjawab menyelesaikan masalah... Masalah yang bakal kita tempuhi, tidak kita sangkakan, tidak sama seperti pasangan-pasangan lain... Menjadi tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah yang timbul... Namun, bagaima dapat kita belajar tentang semua ini? Senang sahaja... Pikullah tanggungjawab, kerna bertanggungjawab itu bermaksud menghadapi setiap permasalahan... Sebagai seorang yang bertanggungjawab, kita akan belajar tentang penyelesaiannya... Bukan bermaksud kita harus menyelesaikan segala masalah yang menimpa, tapi kita akan belajar tentang muafakat menyelesaikannya dan belajar bertanggungjawab supaya masalah itu tidak menular bertambah teruk...
            Bercakap tentang tanggungjawab bukan bermaksud kita harus merebut jawatan-jawatan penting dalam masyarakat... Tanggungjawab boleh bermula dengan diri sendiri... Tanggungjawab diri, memerhatikan fenomena dan gelagat masyarakat sekeliling dan belajar... Perhatikan apa yang berlaku di sekeliling kita dan belajarlah... Takut dikatakan ‘busy body’ atau menyibuk? Sekadar memerhati tanpa bersuara, cukup untuk kita refleksi dan belajar, lantas tidak dicop menyibuk hal orang lain... Perhatikan permasalahan yang berlaku di sekeliling kita, dan teliti bagaimana mereka yang terlibat menyelesaikan permasalahan tersebut... Dengan itu, Insya-Allah kita dapat belajar sesuatu... Itulah caranya kita belajar tentang tanggungjawab, agar kita mampu praktikkannya dalam rumahtangga kelak...
            Ramai insan yang telah melangkah ke gerbang perkahwinan berkata, “Perkahwinan adalah tentang persefahaman dan sabar..”. Lantas, membuatkan saya terfikir, “Mampukah persefahaman dan sabar itu dipupuk dalam masa yang singkat?”. Sebulan dua sebelum berkahwin, susah untuk memupuk persefahaman dan sabar... Berbulan-bulan selepas berkahwin pun, belum tentu persefahaman dan sabar dapat dipupuk... Jadi, harus bermula memupuk sekarang... Walaupun mungkin bertahun lagi sebelum diri ini berkahwin... Harus belajar memahami orang lain dan sabar dengan kerenah insan-insan di sekeliling...

Bayangkan detik hati-hati ini:
“Garangnya muka suamiku ni, macam muka Ayah... Tapi, Ayah tak senang melenting... Mesti suamiku pun tak cepat melenting...”
“Isteriku cepat merajuk... Ku pujuk dengan sekuntum bunga mekar... Sama macam Ayah pujuk Ibu dulu...”
“Suamiku keletihan balik dari kerja... Mungkin dia perlukan sedikit urutan bahu dengan kasih sayang... Itu yang selalu Ibu lakukan pada Ayah dulu...”

            Inilah detik hati insan-insan yang gemilang, yang belajar tentang persefahaman dan sabar bermula dari rumah, di samping keluarga... Apa yang cuba saya tekankan adalah belajarlah untuk memahami orang lain dan bersabar dengan apa jua kerenah mereka, agar kita mampu menjadi seorang suami/isteri yang memahami isteri/suami dan sabar dengan kerenah mereka yang kadang-kadang tak menentu... Bak pepatah Inggeris, “Expect the unexpected”... Bagaimana nak ‘expect’ yang ‘unexpected’ tu? Selenggara dan imbangi ‘expectation’ kita melalui pengalaman dan pembelajaran secara langsung juga secara tak langsung... Belajarlah dari hidup ini...

            Terlalu banyak yang perlu kita pelajari sebelum berumahtangga... Namun, kita masih berpendapat dengan menghadiri kursus kahwin sekali dua, dan tempoh sebulan dua sudah cukup untuk kita belajar tentang kahwin? Sidang pembaca sekalian, Allah SWT izinkan kita hidup sekian lama, agar kita belajar banyak tentang banyak perkara... Maha Mulia dan Maha Bijaksananya Allah SWT mengizinkan kita hidup bujang sekian lama, supaya kita belajar tentang perkahwinan lama sebelum kita berkahwin... Cukuplah saya utarakan beberapa contoh apa yang boleh kita belajar dari hidup ini, sebagai persediaan kita menjadi suami/isteri kelak... Sidang pembaca sekalian, teruslah belajar dalam hidup ini... Kerna hidup itu satu pembelajaran... Hidup juga satu ujian... Jadi, hiduplah bukti samada teori kita adalah fakta atau fiktif semata...
Kita tidak akan pernah bersedia untuk berkahwin... Namun, setidaknya kita sudah belajar beberapa perkara tentang perkahwinan, yang mungkin tidak dipelajari orang lain... Jadi bersyukurlah kerna kita diberi peluang untuk belajar melalui hidup ini dan diberi minda untuk berfikir...

Kadang-kadang Allah bagi pengajaran kepada seseorang insan tanpa insan itu sedari... Apa yang penting, insan itu harus sudi belajar... Saat seorang insan tu menetapkan tekad untuk belajar, Insya-Allah, Allah SWT dengan sifat-sifatnya yang Maha Mulia akan terus-menerus memberi pengajaran kepada insan itu... Jadi insan sekalian, mulakan niat dan bulatkan tekad untuk belajar, Insya-Allah dikau akan belajar banyak tentang apa yang dikau niatkan...
Apa yang kita belajar hari ini belum tentu untuk hari esok... Boleh jadi, untuk tahun hadapan atau berpuluh tahun hadapan... Jadi, mulalah belajar sekarang untuk masa depan...
Ada insan yang berpuluh kali diberi pengajaran, namun dia tidak mengambil peluang untuk belajar sedikit pun... Ada insan yang hanya sekali diberi pengajaran, namun dia terus belajar dari pengalaman itu... Anda fikirkan sendiri, apa itu definisi untung dan rugi... Anda renungkan sendiri siapa yang amat beruntung dan siapa pula yang sangat rugi... Sambil anda renungkan, gapailah setiap saat pengalaman hidup anda dan belajarlah sesuatu tentang saat-saat itu, kerna saat itu mungkin mampu menjadi panduan anda selama bertahun di masa depan...

Bukan berapa kilo garam yang ditelanmu menjadi perkiraan, namun apa erti masin yang menjadi panduan bagimu...

Ada insan yang berlayar satu dunia dan bercakap heboh tentangnya, namun masih tidak mengenali walaupun seekor ikan...
Ada insan yang hanya selangkah menjejak ke taman, namun mampu menggenggam sejambak bunga mewangi berlain jenis...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal