SEBELUM KITA KAHWIN…


(Bunyi macam tajuk nukilan Hilal Asyraf pulak kan? Minta maaf saudara Hilal Asyraf… Saya tumpang popular dengan menggunakan tajuk yang lebih kurang sama…)

Selalunya, pasangan yang akan berkahwin akan membuat ‘wishlist’ selepas kahwin... Ada juga yang buat ‘wishlist’ semasa kahwin... Makna kata, apa yang ingin dilakukan pada hari perkahwinan, nak pakai baju warna apa, nak majlis ala-ala apa dan apa-apa je... Jadi, persoalan yang ingin saya timbulkan dalam warkah ini, berapa ramai antara kita yang mempunyai ‘wishlist’ sebelum kahwin? Tak kisah la samada kita sudah tahu bila kita akan kahwin, atau masih tertunggu-tunggu masa untuk kahwin... Persoalannya, ada tak kita menyimpan impian untuk kita penuhi sebelum kita kahwin?

Apa yang saya maksudkan, bukanlah impian seperti ini...
“Sebelum kahwin, nak beli sebuah motosikal, nak keliling Malaysia... Dah kahwin nanti, dah tak dapat, sebab dah ada isteri... Dah takde rasa bujang...”

“Sebelum kahwin, nak kumpul duit banyak-banyak dulu... Dah kahwin nanti, senang nak urus rumah tangga...”

“Sebelum kahwin, nak ‘enjoy’ puas-puas... Sebab masih bujang, bebas... Bila dah kahwin, dah ada komitmen, tak boleh ‘enjoy’ dah...”

Apa yang saya maksudkan, adalah impian sebagai seorang anak... Sementara kita masih bergelar anak bujang/anak dara, apa yang ingin kita lakukan bersama ibu bapa kita? Sebagai anak bujang, Insya-Allah selamanya mampu jadi ‘anak bujang’ kepada ibu bapa, kerna sampai mati dia terikat untuk taat ibu bapa... Namun begitu, harus diingat bahawa seorang suami tidak lagi sama dengan seorang lelaki yang bujang sepenuhnya... Selepas bergelar suami, bertambah sebuah keluarga untuk diambil kisah, bertambah hati seorang insan untuk dijaga... Apatah lagi, buat anak-anak dara yang sudah bergelar isteri... Setelah bergelar isteri, sudah beralih ketaatan sepenuhnya pada suami...  Selepas kahwin, agak-agak saudara/saudari mampu ke meluangkan masa bersama ibu bapa seperti waktu-waktu bujang?

Oleh, ayuh kita sama-sama fikirkan apa yang boleh kita lakukan bersama ibu bapa, keluarga, dan sanak saudara kita, sebelum kita kahwin...

Sebelum kita kahwin, apa kata kita jadi anak yang paling manja… Manja dalam konteks perbincangan kita ini bukanlah yang jenis mengada-ngada macam anak kecil, suka minta wang dan macam-macam... Ayuh, sebelum kita kahwin, kita jadilah peneman ibu bapa kita ke mana sahaja mereka pergi, selagi keadaan membenarkan... Kalau ibu bapa kita ingin ke rumah kawan-kawan mereka, ayuhlah kita ikut bersama... Biarlah ibu bapa merasai kembali detik-detik mereka bersama anak-anak, walaupun anak-anak mereka telah dewasa, sudah boleh memacu haluan sendiri... Setidaknya, mereka rasa berteman ketika bersua dengan kawan-kawan mereka... Sekurang-kurangnya, mereka ada kita untuk diperkenalkan kepada kawan-kawan mereka... Insya-Allah, hati ibu bapa kita akan tenang tatkala kawan mereka berkata, “Dah besar rupanya si (fulan) ni... Rasanya macam baru semalam tengok dia berlari-lari terkedek-kedek tanpa selipar...”. Insya-Allah, ibu bapa kita akan berasa bangga kerana mereka telah berjaya membesarkan kita dan melihat kita dewasa di depan mereka... Berbanding jika kawan mereka berkata, “Apa khabar si (fulan) sekarang? Lama tak nampak dia... Sibuk benar gamaknya...”. Ya, ibu bapa akan tetap merasa bangga kerana anak mereka telah dewasa kini... Namun, mungkin kan ada sekumit rasa terkilan kerana anak mereka itu jarang bersama mereka...

Biarlah orang menggelarkan kita sebagai ‘anak mak’ atau ‘anak bapak’, kerna memang itu hakikatnya... Selamanya, kita kan tetap jadi ‘anak mak’ dan ‘anak bapak’... Bahkan, itu lebih baik berbanding kita dilabel seakan ‘anak yang tiada mak bapak’... Siang malam asyik keluar dengan kawan-kawan... Maafkan saya, saya bukan ingin melabel buruk anak-anak yang selalu keluar bersama kawan-kawan... Tapi, cubalah kita renungkan, berapa lama kita luangkan untuk ibu bapa kita, berbanding kawan-kawan kita? Kawan-kawan, paling baik, akan menangis saat kita menangis... Ramai kawan-kawan yang hanya akan ketawa saat kita ketawa, dan tinggalkan kita saat kita menangis... Tapi, ibu bapa kita akan tersenyum sebelum kita mula ketawa, dan menitiskan air mata sebelum kita sempat menangis... Kerna kita anak mereka, permata yang mereka tatap saban hari, dan tubuh yang mereka dakap rapat ke hati... Kenapa bila dewasa dan sudah pandai melangkah sendiri, kita malu dan lari jauh dari ibu bapa kita?

Awak,
            Ibu bapa sudah mula merindu pada saat kita beralih pandangan pada mereka... Sesetengah ibu bapa sudah mula sebak saat kereta anak mereka hilang dari sayup pandangan mereka... Namun, tak ramai anak-anak yang nampak semua ini... Yang mereka perasan hanyalah rasa resah kawan-kawan yang sedang menanti mereka di luar... Sebab itulah, ramai anak-anak sanggup keluar siang malam meninggalkan ibu bapa mereka sendirian di rumah... Bahkan, sesetengah anak-anak sanggup pula meminta duit daripada ibu bapa untuk keluar minum bersama kawan-kawan...

            Jadi, hari ini saya ingin mengajak awak untuk menjadi anak yang paling manja buat ibu bapa awak... Setiap hari yang lapang buat kita, biarlah kita mampu ungkapkan kata-kata seperti:
“Mak/Ayah nak pergi mana? Boleh Abang/Akak/Adik ikut?”
Atau mungkin kata-kata seperti:
“Apa plan Mak/Ayah petang ni? Jom pergi pantai, makan keropok sambil tengok ombak...”
Biarlah ibu bapa berkata:
“Nak pergi rumah kawan Mak/Ayah ni... Nak ikut ke? Geng-geng dah pencen semua ni...”.
Kita masih mampu menjawab:
“Boleh je... Alang-alang dah bosan ni... Lagipun, dapatlah kenal kawan-kawan Mak/Ayah...”

            Masya-Allah, hanya Allah yang tahu betapa gembiranya ibu bapa kita, saat kita keluar bersama mereka... Jauh dalam hati mereka, Insya-Allah ibu bapa kita akan gembira melihat kita bergelak ketawa bersama mereka, bersama sanak saudara, bersama kawan-kawan mereka... Ikhlas saya katakan, setiap kali saya berjenaka dengan kawan-kawan Abi dan Umi saya, saya nampak dengan jelas kegembiraan pada wajah Abi dan Umi saya... Acap kali, saya ingin menitiskan air mata, kerna dengan jenaka saya yang tak seberapa, saya seakan mampu membahagiakan Abi dan Umi saya, namun saya tahankan saja rasa sebak di dada... Setidaknya, saya mampu bergaul mesra dengan kawan-kawan Abi dan Umi saya, walaupun saya boleh dikatakan dah besar panjang... Itulah sebab yang paling utama saya memutuskan untuk menukilkan warkah ini... Saya harapkan awak semua yang bergelar anak-anak memanfaatkan setiap saat untuk bersama ibu bapa masing-masing... Saya ingin setiap anak merasa bahagia membahagiakan ibu bapa mereka...

            Seandainya suatu hari nanti, Majlis Agama Islam memutuskan bahawa setiap permohonan perkahwinan harus disertakan dengan penyataan sokongan, setiap ahli keluarga kita mampu menyatakan sokongan mereka...
“Bahawasanya kami penama-penama berikut, ...., selaku bapa/ ibu/ adik/ abang/ kakak/ datuk/ nenek/ sepupu kepada (si fulan bin/binti si fulan), menyatakan sokongan kami atas perkahwinan beliau... Kami turut menjamin bahawa beliau akan menjadi pasangan terbaik buat pasangan beliau...”

Tidak cukup dengan itu, ditambah lagi dengan sokongan mereka yang mengenali kita...
“Bahawasanya kami, .... selaku kawan-kawan kepada ibu bapa penama (si fulan bin/binti si fulan), turut menyatakan sokongan kami ke atas perkahwinan beliau...”

            Pasti gempak dan mampu membuat sesiapa sahaja yang menghadiri perkahwinan kita menitiskan air mata, atas sokongan dan jaminan yang diterima... Mengapa sedemikian rupa? Kerna hakikatnya, mereka telah mampu merasai kebahagiaan yang mampu kita bawa, setelah kita berkahwin... Bukan setakat keluarga, sanak-saudara kita, bahkan kawan-kawan ibu bapa kita turut merasai tempias kebahagiaan yang kita bawa... Kerana mereka menjadi saksi bagaimana rapatnya kita dengan ibu bapa kita sepanjang hidup kita sebagai anak... Mereka turut merasai bagaimana mesranya kita dengan mereka, walaupun mereka hanya kawan-kawan kepada ibu bapa kita... Kita mampu berbual dengan mereka, bergurau senda dengan mereka, seakan mereka adalah kawan-kawan kita... Dalam hormat, masih ada topik yang boleh dikongsikan, masih ada lawak yang boleh digelakkan bersama... Rasanya, jika kita menerima sokongan dan jaminan sedemikian, mertua kita akan  lebih dari sudi menerima kita sebagai menantu... (Silap-silap, mertua kita hulur duit sekali, untuk bekalan kahwin...)

Amboi Haikal... Sakan nampak...
            Memang saya bersemangat untuk menukilkan warkah ni... Bukan sebab saya tak sabar-sabar nak kahwin... (ada la sikit...). Tapi, saban hari memikirkan, bagaimana reaksi Abi dan Umi saya, jika saya katakan saya ingin kahwin... Adakah mereka akan berkata, “Sabarlah Haikal, Abi dan Umi masih belum puas menikmati hari-hari bersama Haikal...”? Saban hari, saya terfikir, apakah saya sudah cukup bermanja dengan ibu bapa saya? Sekian lama saya meninggalkan mereka kerna alasan belajar, dan mungkin saya akan kerap meninggalkan mereka atas alasan kerja... Apakah layak untuk saya katakan saya ingin kahwin, yang membawa makna saya bersedia untuk berkomitmen sebagai seorang suami, sedangkan komitmen saya sebagai anak belum puas dicurahkan kepada Abi dan Umi saya?

Saudara/Saudari,
            Ayuh kita jadi anak yang terbaik, ayuh kita jadi bujang/dara terbaik, sebelum kita kahwin... Setiap hari adalah Hari Ibu... Setiap hari adalah Hari Bapa... Setiap hari adalah Hari Keluarga... Kerna setiap hari kita akan jayakan hari-hari tersebut buat ibu-ibu kita, buat ayah-ayah kita, buat adik-beradik kita dan keluarga kita... Setiap hari adalah ulang tahun kelahiran setiap insan di sekeliling kita, kerna kita akan raikan mereka dan bergembira bersama mereka... Sungguhpun kenduri kahwin kita mungkin lambat lagi, biarlah setiap hari umpama kenduri kita... Kerna setiap hari kita ingin berkongsi kegembiraan bersama sesiapa sahaja, apatah lagi keluarga, sanak saudara kita...

            Insya-Allah, jika kini kita telah bahagiakan mereka yang telah lama bertapak dalam hidup kita, Allah akan tambah kebahagiaan kita saat Allah hadirkan seorang lagi insan dalam hidup kita... Jika hari-hari sebelum kita berkahwin, kita telah bahagiakan keluarga kita, Insya-Allah kita tidak akan kekok untuk membahagiakan sebuah keluarga lagi setelah kita berkahwin...

            Sekiranya ibu bapa kita merasai bahagia saat kita bersama mereka, Insya-Allah mereka sendiri akan selalu mendoakan semoga kita bahagia bersama jodoh kita... Ingatlah, doa ibu bapa itu amatlah tinggi tarafnya di sisi Allah SWT... Apatah lagi, jika ibu bapa kita berdoa dalam keadaan mempunyai rasa yang amat dalam terhadap kita, dalam keadaan mereka ikhlas terhadap kita...

            Seandainya, kita meninggal sebelum sempat kita dijodohkan, Insya-Allah pemergian kita tidak sia-sia... Sungguhpun kita tidak sempat membahagiakan si dia, setidaknya kita telah membahagiakan ibu bapa kita, kita telah membahagiakan keluarga kita, sanak saudara kita... Saat kita pergi meninggalkan mereka, Insya-Allah mereka tidak akan menitiskan air mata bercampur kekesalan... Insya-Allah, mereka tidak akan kesal walaupun mereka tidak sempat meminang sesiapa untuk kita... Insya-Allah, mereka tidak akan kesal kerana kita tidak dipinang sesiapa... Kerna mereka tahu, ada yang lebih berhak meminang kita yang membahagiakan...

            Samada kita sampai ke hujung nyawa sebelum mereka, atau mereka menghembuskan nafas sebelum kita, usah diresahkan... Yang penting, saat terluang antara kita dan mereka digunakan sebaiknya... Tidak sesaat pun kita tinggalkan mereka kesunyian, tanpa sebab yang penting... Tidak sedikit pun kita mensia-siakan mereka... Setiap kali kita tinggalkan mereka, kita mampu membuatkan mereka yakin hati bahawa kita ada urusan yang tersangat penting, bukan kerna alasan yang dibuat-buat... Selain dari masa yang kita gunakan untuk urusan penting, kita pergunakan sebaiknya untuk membuat mereka bahagia...

Gunakan kudrat dan rezeki kita untuk ibu bapa kita, sehingga akhirnya mereka mampu berkata:
“Ya Allah, saksikanlah pada hari ini, hamba-Mu sangat bersyukur pada-Mu... Ya Allah, hamba-Mu ini amat bahagia dengan rezeki anak yang kau kurniakan bertahun dahulu... Ternyata tidak salah anak yang Kau kurniakan kepada ku... Anak itu telah benar-benar berjasa, dan mampu membahagiakan setiap saat hidupku... Dia mungkin tidak berjasa dalam hidupnya seperti anak-anak orang lain... Tapi, dia telah amat berjaya dalam hidupnya sebagai seorang anak yang membahagiakan dan membuatkan ibu bapanya bangga dia di sisi...”

BAHAGIAKAN IBU BAPA SEBELUM KITA BERKAHWIN,
SUNGGUHPUN KITA MUNGKIN AKAN MATI SEBELUM JODOH...

2 ulasan:

  1. Ya Allah.. Sgt menyentuh jiwa. Terima kasih atas nasihat.. Hanya Allah mampu membalas saudara. Amin

    BalasPadam
  2. hmm...
    tak tau nak kata apa.redhalah setiap yg berlaku.luah mati emak,telan mati bapa.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal