“Sedangkan lidah lagi tergigit… Inikan pula suami isteri…”
(Lagu P. Ramlee)
Bersama petikan lagu ini, ingin saya kongsikan satu
kisah... Kisah benar, yang ada kaitan dengan yang hidup, mungkin juga berkaitan
dengan yang sudah meninggal dunia...
Baru-baru ni, atuk dan nenek saya bergaduh... Tidak asing
jika mereka bertikam lidah, kerana itu kerap juga... Ini bergaduh agak besar,
sampai merajuk-rajuk... Asbab apa mereka bergaduh, biarlah rahsia... Apa yang
saya ingin kongsikan, mereka bergaduh...
Kenapa Haikal kongsikan kisah atuk dan nenek bergaduh???
Sekali terkenang, lawak
jugak atuk dan nenek saya ni... Ye la, di usia lanjut, bergaduh sampai
merajuk... Tapi, di celah-celah pergaduhan tu, nenek saya ada mengungkapkan
sesuatu... Kata nenek, “Haikal duduk la kat situ, Nek nak keluar buat
kerja...”. Maka, saya faham la... Nenek merajuk, dan ingin bersendirian di
luar...
Sedang saya duduk, menjaga
atuk, saya teringat suatu masa dulu... Masa tu, saya duduk bersama atuk dan
nenek di anjung rumah mereka... Atuk dan nenek kata, “Tok dan Nek ada
Haikal... Haikal la jadi pendamai Tok dan Nek...”. Sedetik terkenang,
seakan ada harapan di situ... Maka tercetus sesuatu untuk dikongsikan di
sini...
Persiapkan pendamai, untuk masa ‘perang’...
Kehidupan suami isteri
mungkin tidak dapat lari dari saat-saat konflik... Di ketika perang ‘dingin’
tu, boleh jadi suasana terlalu ‘hangat’, untuk suami dan isteri sejukkan
hati... Oleh itu, sementara masih di saat-saat senang, hati tenang,
persiapkan seseorang untuk bertindak sebagai pendamai... Tugas pendamai
ini, untuk mengambil alih peranan isteri dalam melayan suami, dan untuk memujuk
isteri bagi pihak suami, sementara suami isteri berusaha untuk bertenang...
Pendamai ni, tak perlu
diupah... Tak perlu dipanggil teman karib yang berada jauh... Cukup anak-anak,
atau cucu-cucu, yang dekat di mata... Latihlah anak-anak, atau cucu-cucu,
agar mereka faham bila terjadinya konflik, dan tahu apa yang harus dilakukan...
Memang tidak bagus
melibatkan anak-anak, atau cucu-cucu dalam konflik antara suami isteri...
Sangatlah tidak digalakkan untuk menceritakan konflik suami isteri kepada
anak-anak, apatah lagi cucu-cucu... Saya akui, dan saya sokong, tanpa
keraguan...
Apa yang saya maksudkan bukan menceritakan konflik suami
isteri kepada anak atau cucu – kenapa ibu marahkan ayah, kenapa ayah tengking
ibu, apa yang ayah dan ibu tak puas akan satu sama lain... Apa yang saya
maksudkan, latih anak dan cucu agar mereka mampu fahami ada konflik sedang
berlaku antara ibu bapa atau datuk dan nenek... Didik mereka agar tahu apa
tindakan yang wajar diambil oleh mereka bagi mendamaikan ibu bapa atau datuk
dan nenek...
Oleh itu, ibu bapa sekalian, rapatkanlah diri dengan
anak-anak, juga cucu-cucu, sehingga satu tahap mereka mampu mengesan andai ada
konflik berlaku antara ibu bapa, atau atuk nenek mereka...
Sebenarnya, dalam rajuk, masih ada sayang...
Berbalik kepada peristiwa
konflik atuk dan nenek saya tadi... Dalam rajuknya, nenek saya sempat bertanya
kepada saya, ketika saya bertemu dengannya di luar rumah, “Tok dah makan???
Makanlah dengan Tok... Tok, kalau dah gaduh dengan Nek, tak nak makan dengan
Nek...”. Dan atuk saya ada bertanya, saat saya nak makan bersamanya, “Nek
mana??? Panas terik macam ni, nak kerja lagi???”.
Makna kata, walaupun masing-masing marahkan dan merajuk
dengan satu sama lain, mereka masih menyayangi, dan masih ambil berat akan satu
sama lain... Cuma mungkin mereka perlukan masa untuk kembali serasi dekat satu
sama lain...
Saya percaya, begitulah konflik suami isteri... Walaupun
marah, mahupun merajuk, masih ada rasa ingin tahu akan keadaan pasangan... Cakna
akan pasangan tu masih tebal, kerna sayang masih ada dalam hati... Sedia
maklum, dalam bergelut merendahkan ego, dan meredakan amarah, kadang-kadang
kita perlukan masa yang lebih lama...
Jadi, jangan dibiarkan
masa yang kita ambil itu menjadi terlalu lama dan kosong, sehinggakan hati dan
jiwa kita semakin kacau dek syaitan... Alangkah moleknya, jika ada insan
yang mampu mengisi lopong itu... Apatah lagi jika insan yang tampil itu
adalah insan yang kita sayangi, seperti anak-anak dan cucu-cucu...
Ya, memang saya tidak
nafikan, kita sentiasa ada Allah SWT... Allah SWT sebagai tempat mengadu, dan
tempat mencari penyelesaian bagi apa jua konflik dan permasalahan... Tapi, kita
jangan lupa bahawa Allah SWT juga mampu menghantarkan solusi melalui
insan-Nya... Jangan juga kita terlupa bahawa anak-anak dan cucu-cucu juga
daripada Allah SWT... Salah satu rahmat Allah SWT yang turun bersama anak
dan cucu itu, mampu juga dirasai saat mereka hadir di sisi ibu bapa atau datuk
nenek, sebagai pendamai ketika konflik...
Anak-anak dan cucu-cucu sekalian, damaikanlah...
Bukankah di dalam Al-Quran
juga ada tertulis, “Damaikanlah dua pihak yang bertelagah itu”???
Sebelum kita fikirkan inisiatif untuk mendamaikan dua negara yang bertelagah,
atau dua pihak yang berselisih pendapat, atau dua kawan yang bertegang leher,
alangkah moleknya jika kita dapat menjadi pendamai buat ibu bapa, atau atuk
nenek kita saat mereka berkonflik...
Kita semua anak-anak dan
cucu-cucu yang bijak pandai... Semestinya kita mampu mengesan tatkala adanya
konflik antara ibu bapa dan atuk nenek kita... Gunakanlah apa cara sekalipun
untuk mendamaikan mereka yang kita sayangi tu...
Tiada yang lebih
memahami ibu bapa, selain anak-anak... Selain anak-anak, cucu-cucu lah yang
lebih memahami datuk dan nenek... Jadi, tidak kisah apa pun yang kita buat,
pastikan kita mampu menjadi pendamai antara mereka...
Ada anak-anak yang
menggunakan kata-kata seperti, “Ayah, Mak, malu kat anak-anak, gaduh macam
ni...”. Ada cucu-cucu yang menggunakan ugutan seperti, “Atuk, Nek,
jangan gaduh... Kalau tak, saya dah tak nak datang rumah Atuk dan Nek lagi...”.
Asalkan ‘makan dek saman’, silakan... Asalkan menjadi, gunakanlah apa cara
sekalipun... Selagi mana tak berbaur derhaka, dibenarkan... Kerna, kita
lebih kenal ibu bapa kita, dan atuk nenek kita...
Alhamdulillah...
Bahagia bila kita dipercayai untuk menjadi pendamai orang
yang kita sayang... Kepada ibu bapa dan atuk nenek sekalian, bahagiakan
anak-anak dan cucu-cucu dengan meletakkan kepercayaan itu pada mereka... Kepada
yang bergelar dan cucu, bahagiakanlah ayah ibu dan atuk nenek, dengan
mendamaikan mereka...
Sekian daripada saya, buat warkah ini... Maaf, saya hanya
bercakap sebagai seorang anak dan cucu... Andai terkurang, atau ter‘over’,
ampunkan khilaf saya... Semoga yang baik dapat sampai ke hati semua...
Gigi mungkin tergigit lidah...
Namun, di situ hadirnya air liur...
Lembut, namun berguna...
Setidaknya, mengelakkan terputus...
Juga mengurangkan keperihan...
nota: Walaupun
Tok dan Nek saya berkata sayalah pendamai mereka, sebenarnya mereka berkata
demikian kepada semua anak dan cucu mereka... Itulah ‘garam’ yang mereka makan
terlebih dahulu sebelum anak dan cucu mereka... Alhamdulillah, bermanfaat buat
kami...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan