Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:
“Adakanlah walimah meskipun dengan seekor kambing.”
[HR Bukhari]
Hari walimah, yakni majlis kesyukuran dan meraikan pengantin, merupakan saat yang amat penting bagi pengantin muslim... Satu hari yang menjadi saksi terpenting, tanda kesyukuran disuratkan kerna 2 hati yang saling mencintai dan berkasih sayang telah ditautkan... Ikatan dan penyatuan hati-hati ini diumumkan melalui satu majlis walimah...
Bahkan Rasulullah SAW menuntut diadakan majlis walimah bagi setiap perkahwinan, kerna walimah itu menjadi sebuah syiar kebanggaan umat Islam... Walimah itu juga salah satu tanda kemuliaan dan keagungan Islam...
Namun, sayang disayang, anak Adam dan Hawa ternoda melayang... Walimah yang sepatutnya dimuliaakan dan disyukuri telah terpalit maksiat dan penuh perkara yang dibenci Allah SWT... Kerna terlalu asyik dan tidak sabar meniti hari bahagia dan dek terlalu sibuk membuat persediaan meraikan raja sehari, walimah tidak diteliti kesempurnaannya, membuatkan majlis walimah itu terkontang-kanting tercemar saat tiba harinya... Lalu terjadilah walimah yang haram... Astaghfirullahal’azim...
Terasa terpanggil sebagai satu tanggungjawab, izinkan saya berkongsi perkara-perkara yang perlu diberi perhatian teliti dalam pengendalian majlis walimah... Di samping itu, saya juga memperingatkan diri saya tentang semua ini...
1) Majlis walimah bertujuan melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dengan niat mencari keredhaan-Nya dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Jauh dari unsur riak, majlis walimah bukan untuk menunjuk-nunjukkan kemewahan dan kekayaan, juga bukan untuk memenuhi status dan permintaan ramai... Berbaliklah kita kepada tujuan asal, untuk apa kita adakan majlis walimah itu? Niat yang sebetulnya adalah untuk dikhabarkan kepada masyarakat sekeliling bahawa si fulan dan si fulan telah sah berkahwin dan mengelakkan terkena panahan fitnah di hari-hari mendatang... Jadi, cukuplah sekadarnya sahaja majlis itu kita adakan... Yang ingin disampaikan adalah siapa yang berkahwin dengan siapa, bukanlah siapa yang berbelanja berapa...
2) Hindarkanlah amalan syirik dan khurafat yang ternyata mengundang Allah SWT terhadap majlis yang sebegitu mulia... Malang sungguh bagi antara kita yang masih mengamalkan adat-adat yang melibatkan penyekutuan kepada Allah SWT... Saya ambil contoh amalan bertemu dukun dalam proses menetapkan tarikh dan tempat majlis walimah... Tidak kurang juga insan-insan yang percaya akan nombor dan tarikh tertentu yang kononnya punya keramat... Jelas amalan ini bertentangan dengan syara’... Apakah tidak cukup Allah SWT bagi kita dalam membimbing kita dalam setiap keputusan? Mana ertinya istikharah dalam hidup ini andai pada jua kita sandarkan kepercayaan?
3) Setiap yang terlibat dengan majlis walimah seharusnya mendidik nafsu agar tidak terlanjur sehingga menderhakai perintah Allah SWT... Elakkanlah gerbang-gerbang maksiat... Memang benar yang diraikan adalah pasangan pengantin, namun tidak perlulah sehingga pengantin menyanyi dan menari menghiburkan hadirin... Ini hanyalah satu contoh yang ingin saya bawakan kerna budaya ini seolah semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia... Bagi saya, walaupun yang menyanyi dan menari itu hanyalah pengantin lelaki, harus dielakkan... Perancangan ini kelihatan bagus kerna pengantin wanita tidak menyanyi atau menari atas kesedaran batasan aurat mempelai wanita... Namun, siapa yang dapat menjangkakan dan mengawal hadirin, yang mungkin menjerit meminta pengantin wanita turut menyanyi dan menari? Siapa sangka, dalam keasyikan pengantin lelaki menyanyi dan menari, ada hadirin wanita yang tampil sama-sama menyanyi dan menari? Jika itu terjadi, perbalahan dek sifat cemburu mungkin berlaku lantas merosakkan kebahagiaan mempelai... Oleh itu, lebih baik jangan dimulakan...
4) Fokuskan kembali jemputan majlis walimah itu dengan mengundang golongan yang kurang berada... Elakkan sifat membedakan darjat atau sistem kasta dalam undangan...
Sabda Rasulullah SAW:
“Seburuk-buruk makanan adalah makanan di satu walimah (yang diundang kepadanya orang-orang kaya dan terhalang dari orang miskin).
[HR Muslim & Baihaqi]
5) Sebagai tuan rumah dan orang yang paling berhak menentukan segalanya bagi majlis walimah kita, elakkanlah ikhtilat (percampuran lelaki dan perempuan)... Cuba sepenuh daya dan upaya untuk mengasingkan tempat duduk lelaki dan wanita sebagai satu langkah menghindari maksiat terutamanya zina mata yang akhirnya membawa kepada zina hati...
Rasulullah SAW bersabda:
“2 mata itu boleh berzina, dan zinanya adalah pandangan (pada bukan mahram).”
[HR Bukhari]
Allah SWT juga berfirman:
“Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”
[Al-Isra’ : 32]
Oleh itu, sebagai orang yang punya hak sepenuhnya, tutuplah gerbang-gerbang zina agar majlis walimah kita kekal dirahmati Allah SWT dan tidak sekali-kali mengundang kemurkaan-Nya...
6) Hiburan, sejauh mana kita mengawalnya pada majlis walimah kita? Adakah ianya merupakan satu keperluan? Sebaiknya, hindarilah sebarang hiburan yang mampu merosakkan nilai ibadah walimah kita... Alunan muzik dan lagu-lagu perkahwinan bukanlah kegembiraan hakiki, akan tetapi yang kita inginkan adalah ketenangan dikecapi di hati, tatkala majlis kita melambangkan kesyukuran kepada Allahu Rabbi... Ini bukan soal kedekut, tetapi itu adalah satu cara kita katakan kepada hadiri bahawa apa yang kita inginkan adalah ucapan selamat yang eksklusif daripada mereka, bukanlah berasaskan lagu-lagu yang hanya omongan dan boleh dimainkan di mana sahaja dan bila-bila masa... Jika hadirin inginkan sumber kegembiraan, doakanlah pengantin dan saksikanlah kebahagiaan melalui ketenangan muka mempelai... Itu yang seharusnya... Lebih bermakna berbanding kegembiraan melalui lagu-lagu gembira yang tidak tentu bahagianya dan hanya sementara, palsu semata... Semoga kegembiraan walimah kita mengingatkan kita kepada kehidupan di akhirat...
7) Adakanlah majlis walimah itu sekadarnya... Elakkan pembaziran berlebihan apa lagi sehingga melampaui kemampuan...
Firman Allah SWT:
“Dan jangan kamu membazir, sesungguhnya membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.”
[Al-Isra’ : 17]
8) Ingat tujuan kita mengadakan majlis walimah adalah untuk berkongsi kebahagiaan dan untuk khabarkan bahawa ada hati-hati telah disatukan dengan ikatan yang sah, bukanlah untuk mempamerkan atau mempertontonkan perhiasan. Tidak asing bagi sebahagian besar antara kita, mengandam pengantin dan menghias rumah untuk hari bahagia... Acap kali, mempelai wanita dijadikan bahan tontonan dan dipamerkan di atas pelamin disaksikan khayalak yang terdiri dari kaum lelaki yang bukan mahram... Tidak kurang juga yang menggunakan khidmat jurusolek dan jurugambar lelaki... Masya-Allah, hilang sudah batas-batas aurat antara mahram... Cukuplah sekadar si suami tahu betapa cantiknya isterinya dan cukup si isteri sahaja yang tahu betapa kacaknya suaminya... Tidaklah perlu dipamerkan apa yang sedia indah kerna Insya-Allah yang indah kan kekal indah samada dipamerkan atau tidak... Isteri sebagai perhiasan buat suami, wajib suami memeliharanya secara eksklusif dan sebaiknya... Bagi hadirin sekeliling, cukuplah kiranya sekadar mereka tahu bahawa kita telah beristeri dan siapa isteri kita, agar tidak timbul fitnah bila bahtera rumahtangga dilayari... Tidaklah perlu bagi mereka untuk tahu betapa cantik isteri kita kerna cantik itu subjektif, cukup hanya suami yang tahu kecantikan isterinya...
Bagi hadirin majlis walimah, sampaikanlah ucapan selamat dan doakanlah keberkatan bagi pasangan mempelai serta keluarga mereka... Alangkah indahnya kira semua hadirin mendoakan pasangan pengantin sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:
{transliterasi} Barakallahuwabaraka’alaik. Wajama’a bainakumafilkhoir
Maksudnya :
“Semoga Allah memberkatimu dan mencurahkan barakah ke atasmu dan mengumpulkan kedua-dua kami dalam kebaikan.”
Doakan juga keluarga pengantin:
{transliterasi} Allahummabariklahum fimarozaktahum waghfirlahum warhamhum
Maksudnya:
“Ya Allah, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka, dan berkatilah mereka pada apa yang Engkau kurniakan kepada mereka.”
[HR Muslim]
Semoga Allah SWT memberkati kita dalam apa jua yang kita lakukan dengan rahmatnya...
Semoga perkongsian saya sampai maksudnya...
Semoga insan-insan yang bakal mengadakan walimah sentiasa beringat bahawa berkat da rahmat Allah SWT adalah segalanya yang kita ingin sebenarnya dalam hidup ini...
Kepada mereka yang bakal menghadiri majlis walimah, jangan lupa mendoakan mempelai dan keluarga mereka...
*penghargaan kepada Abang Mus’ab Umair yang berkongsi nasihat...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan