Asma-Allah-Al-Husna dimulakan dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim, Maha Pengasih dan Maha Penyayang... Membuktikan bahawa setiap insan perlu sedar bahawa sesungguhnya Allah SWT sayangkan semua manusia, tidak kira yang beriman padanya atau tidak, yang masih bernafas atau yang telah tamat riwayat...
Ramai antara kita, pantang ditimpa kesusahan, asyik menyalahkan Allah SWT dan mempersoalkan kenapa Allah mengujinya? Tidakkah kita sedar bahawa kesusahan itu adalah ujian, suatu nikmat? Setiap kali ditimpakan ujian, hakikatnya supaya kita belajar... Semakin banyak ujian dikurniakan kepada kita, semakin banyak kita belajar... Jadi, mengapa bertanya, “Kenapa Allah SWT timpakan ujian ini kepada ku?”, sedangkan kita seharusnya berkata, “Alhamdulillah, Allah SWT kurniakan suatu ilmu baru untuk ku belajar tentang hidup ini...”? Kita tak seharusnya mempersoalkan kenapa hanya kita yang ditimpa ujian, bukan orang lain, seharusnya kita bersyukur kerana hanya kita terpilih dalam kalangan manusia berjuta untuk menerima kurnia ujian dan ilmu tersebut... SETIAP UJIAN ITU NIKMAT
Ramai juga antara kita yang mempersoalkan kenapa Allah SWT membiarkan dia dalam kancah kesalahan atau dosa... Persoalannya, salah siapa? Sudah banyak generasi sebelum kita, sudah berbilion orang sebelum kita, yang seharusnya kita ambil iktibar... Mana praktikalnya ‘yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan’ kalau kita hanya pintar dan petah berkata semata? Jika kita tidak pernah tahu, maknanya kita masih belum cukup berilmu... Salah Allah SWT juga kah jika kita yang malu untuk menuntut lebih ilmu tentang hidup ini? Selain itu, tidakkah kita sedar bahawa zaman kita yang bergelumang silap dan dosa itu sendiri suatu nikmat dari Allah? Sekurangnya, kita sedar bahawa kita tidak sempurna, setidaknya ada sebab untuk kita muhasabah hidup dan diri kita ini... Lebih dari itu, kita sedar bahawa apa yang kita pernah buat itu suatu yang salah dan suatu dosa, agar kita dapat jadikan panduan di masa hadapan, supaya kita ada sesuatu yang dapat dikongsikan dengan masyarakat, bahawa salah dan dosa itu bukanlah seindah yang dibayangkan... Sekalipun baru kini kita sedar akan indahnya ajaran Islam dan baru saat ini kita berkeputusan untuk mengamalkan ajaran Islam, bersyukurlah kerana kita telah dilebihkan nikmat oleh Allah kerana kita tahu lebih banyak sudut-sudut dosa, yang boleh kita kongsikan dengan manusia sejagat... SETIAP SILAP ITU NIKMAT
Tidak kurang antara kita yang menyalahkan Allah kerana dipertemukan kawan atau teman yang salah... Kita meratap dan mempersoalkan kenapa hati kita perlu ditusuk dengan kehadiran insan yang salah tersebut? Persoalannya, Allah SWT kah yang salah jika kita tidak mampu menilai baik peribadi insan tersebut? Salah Allah SWT kah jika kita hanya melihat kekhilafan insan tersebut? Apakah masih kita menyalahkan Allah SWT jika terlalu mendambakan kesempurnaan sehingga kita tidak sanggup menerima sedikit lopang? Hakikatnya, tidakkah kita sedar bahawa pertemuan kita dengan insan tersebut sebenarnya mempersiapkan kita untuk bertemu orang yang lebih baik? Selain itu, kita seharusnya sedar bahawa kita punya tugas di dunia ini... Salah satu tugas kita, memperbetulkan silap mereka yang berada di sekeliling kita... Jika kita sempurna dan sentiasa inginkan kesempurnaan, mengapa tidak kita sendiri yang berkongsi kesempurnaan itu? Jika kita sedar bahawa kita tidak sempurna, tidak salah jika kita berubah bersama atau saling melengkapi dengan saling memperbetulkan kekhilafan satu sama lain... SETIAP INSAN YANG HADIR ITU NIKMAT...
Jadi, masihkah kita ingin mengeluh dan mempersoalkan, “Kenapa Allah membebani aku?”, “Apakah Allah tidak sayangkan aku?” apa lagi berkata bahawa “Allah pilih kasih” atau apa jua yang menunjukkan kita sudah berputus asa dengan Allah? Cuba kita renungkan sekiranya Allah sudah berputus asa dengan kita, adakah kita masih kita kini? Adakah kita akan terus bernafas, kerna nafas itu sebenarnya nikmat Allah kepada kita? Adakah kita masih bertubuh badan, kerna tubuh badan itu sebenarnya nikmat Allah kepada kita? Sekiranya Allah SWT menamatkan riwayat kita sekalipun, itu masih suatu nikmat kerna mati kita masih bernisan dan roh kita itu hakikatnya nikmat Allah SWT... Jika difikirkan dan diamati, susuk mana pada kita yang bukan bukti nikmat Allah SWT kepada kita?
Ingatlah bahawa,
INSAN YANG TERBAIK ITU BUKANLAH INSAN YANG TIDAK PERNAH BERBUAT KHILAF ATAU DOSA, TETAPI INSAN YANG TERBAIK ITU ADALAH INSAN YANG PERNAH BERBUAT SILAP DAN DOSA DAN DIA BERNEKAD UNTUK BERUBAH LALU DIA BERTAUBAT... DAN SEBAIK-BAIK TAUBAT ADALAH TAUBAT NASUHA, YAKNI TAUBAT UNTUK BERUBAH KE ARAH YANG LEBIH BAIK DAN TIDAK INGIN MENGULANGI KESILAPAN LALU)
Begitu banyak yang kita sesali dan ratapi dalam hidup ini... Mengapa kita kurang bersyukur? Setidaknya, kini kita sedar bahawa kesilapan kita dulu adalah kesalahan, kini kita telah belajar sesuatu tentang hidup ini hasil dari ujian Allah kepada kita dulu, kini kita telah bahagia di samping teman yang baik dan memperbaikkan kita...
ALHAMDULILLAH YA ALLAH, KAU KURNIAKAN INSAN YANG SEKIAN BERTAPAK DALAM HIDUPKU, YANG KAU SULITKAN KAMI DAHULU, YANG KAU UJI KAMI DULU, KINI MAMPU MEMBUATKAN KU BERJANJI UNTUK MENJADI LEBIH BAIK... SEMOGA TIDAK KAU TARIK NIKMATMU INI HANYA KERNA DIRI INI KADANG TERLUPA... KAU PERBAIKILAH DIRIKU DAN TEMANKU DENGAN CARA MU, YANG MAHA BIJAKSANA...
(Semakin banyak kita belajar, semakin banyak silap kita... Bukan kerana kita berbuat silap setelah kita belajar, tetapi kerana kita sedar lebih banyak silap yang pernah kita lakukan di masa silam... Dan manusia yang rugi dan teruk itu adalah manusia yang diberikan ilmu kepadanya tapi dia tidak belajar dan menelitinya, malah terus berbuat silap...)
*tribute kepada Aisyah yang membuatkan diri ini berjanji sempena Ramadhan ini...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan