SAYANG LEBIH TINGGI...

Alhamdulillah, saya masih dikurniakan ilham untuk berkarya, dan berkongsi warkah dengan saudara saudari...

Terima kasih tidak terhingga kepada Saudara HijauBiru, kerana sudi berkongsi pengalaman dan menimbulkan persoalan pada warkah saya, ‘Solat Sunat Rindu’. Perkongsian dan persoalan Saudara HijauBiru telah mencetuskan ilham untuk warkah saya ini... Masya-Allah, benarlah ilmu Allah itu luas, sehinggakan dalam situasi ditanyakan soalan pun ada ilmu yang disampaikan... Oleh itu, sukacita saya berkongsi jawapan dan ulasan lebih lanjut tentang jawapan saya...

Saudara HijauBiru bertanya bagaimana menghadapi rasa rindu dan rasa sayang akan seseorang, sedangkan si dia sudah menjadi pasangan orang lain...

Dalam menyayangi, acap kali kita merasakan rasa sayang kita itu adalah tersangat dalam, sehingga kita tidak dapat melupakan si dia... Kadang-kadang, kita rasa kita sangat sayangkan si dia sehingga kita tak dapat terima hakikat bahawa si dia sudah jadi milik orang lain... Dengan erti kata lain, kita rasa rasa sayang kita terhadap si dia adalah tahap sayang yang tertinggi...

Sebenarnya, kita silap... Ada tahap sayang yang lebih tinggi... Saya tidak berani mengatakan ini adalah tahap sayang tertinggi, kerana Maha Penyayang Allah adalah yang paling tinggi...

Berbalik pada ‘Tahap Sayang Yang Lebih Tinggi’ yang kita ingin bincangkan... Apa itu??? Tahap sayang yang lebih tinggi ini adalah bila kita menyayangi seseorang sehinggakan kita hanya ingin melihat dia bahagia... Kita tidak lagi kisah biarpun si dia bukan bersama kita... Kita sayangkan dia, sehingga kita inginkan si dia dapat yang terbaik dalam hidupnya...

Contoh paling senang dan praktikal untuk kita lihat adalah sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka... Ibu bapa sanggup buat apa sahaja bagi menterjemahkan rasa sayang mereka kepada anak-anak... Biarpun mereka sedar, bahawa anak-anak yang mereka sayang sangat itu akan menjadi pasangan hidup seseorang lain suatu hari nanti... Biarpun mereka sedar, bahawa mereka akan berpisah juga dengan anak-anak yang mereka sangat sayangi itu nanti... Sungguhpun mereka sedar hakikat perpisahan dengan anak-anak kesayangan mereka tu akan tiba nanti, mereka tetap memberikan sayang yang terbaik buat anak-anak mereka...

Setelah anak-anak berkahwin, adakah ibu bapa akan berhenti menyayangi anak-anak??? Tidak... Ibu bapa akan tetap sayangkan anak-anak, sehinggakan mereka masih sanggup berdoa untuk anak-anak, dan berbuat apa sahaja untuk melihat anak-anak bahagia... Segalanya mereka sanggup buat, demi sayang mereka, sungguhpun anak-anak kesayangan mereka sudah ada yang punya...

Itulah ‘Tahap Sayang Yang Lebih Tinggi’ dalam kehidupan kita manusia... Tahap sayang yang lebih tinggi itu, bukan hanya milik yang bergelar ibu bapa... Sesiapa sahaja layak memiliki rasa sayang tahap itu... Biarpun insan bujang... Semoga kita semua mampu memiliki rasa sayang yang lebih tinggi itu... Sehingga akhirnya kita mampu terdidik untuk menyayangi dengan ikhlas, tanpa hanya mengharapkan si dia menjadi milik kita semata-mata...

Sebelum kita dan si dia disatukan, sayangilah si dia dengan mendoakannya, juga kita... Semoga kita dan si dia dapat bersama saling membahagiakan... Setelah kita disatukan dengan si dia, teruslah menyayangi si dia dengan terus mendoakan si dia, juga kita... Semoga kita dan si dia mampu terus membahagiakan... Sekalipun kita tidak disatukan dengan si dia, tidak salah kita menyayanginya... Asalkan kita menyayanginya dengan benar, mengharapkan si dia tetap bahagia dalam hidupnya...

Berapa lama sudah masyarakat Barat mempromosikan ‘Unconditional Love’???
Sebenarnya, dalam Islam sudah ada konsep tersebut...
Kita gelarkan, ‘Tahap Sayang Yang Lebih Tinggi’...

MULA-MULA, SOLAT SUNAT RINDU...
SEBAB RINDU SANGAT KAT SI DIA...
LEPAS TU, SOLAT SUNAT HAJAT...
SEBAB HAJATKAN KEBAHAGIAAN SI DIA...

BERHAJAT JUGA SEMOGA KITA SENTIASA TENANG...

BAPA SEORANG MUSLIMAH…

K :
Assalamualaikum…

H :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh… K… Apa khabar??? Sihat ya???

K :
Alhamdulillah, sihat… Hang, apa khabar? Baru tinggal seminggu, dah berisi…

H :
Betul la hang cuti seminggu… Tapi, sebelum hang cuti, berapa lama kita tak bersua muka… Memang berisi la, bahagia member dapat anak…

K :
Banyak la hang punya bahagia member dapat anak… Ke bahagia sebab lain???

H :
Takda la… Seminggu dua ni, sibuk lebih sikit… Jadi, makan tak menentu… Bila ada ruang, makan… Takut tak sempat makan masa nak buat keja…

K :
Orang lain sibuk, turun berat badan… Hang sibuk, naik berat badan??? Pelik sungguh hang ni…

H :
Takda la naik sangat pun berat badan ni… Cuma badan nampak berisi sikit... Mungkin sebab makan macam-macam... Pastu, bila rasa dah berat kepala, bersenam... Tu yang nampak sasa sikit tu...hahaha

K :
Ikut hang la... Janji, cemerlang...hahaha

H :
Eh, lupa pulak nak ucap tahniah dan selamat, sebab hang dapat anak... ‘Baby girl’ lagi...

K :
Terima kasih... Wei, sebenarnya runsing jugak ni...

H :
Dah kenapa pulak runsing... Patutnya hang gembira...

K :
Sebabnya, fikir pasal anak dara ni... Hang tahu kan, sekarang ni macam-macam duk berlaku... Depan hari lagi, mesti banyak lagi kes macam ni... Kes sosial... Yang duk kena, anak dara la... ‘Boyfriend’ diorang, cabut lari cari lain... Bimbang jadi kat anak dara kita la depan hari nanti...

H :
Tak payah risau la... Perkara tu semua, belum tentu kena kat anak dara hang lagi... Macam ni, masa dia kecik ni, hang jangan duk tinggal dia sorang... Kalau isteri hang tengah sibuk, hang kena pergi main dengan anak dara hang... Makna kata, jangan biar dia rasa sunyi... Budak-budak ni, kecik-kecik lagi dah pandai rasa sunyi... Bila rasa sunyi tu dia pendam, bawa sampai besar, dia akan jadi jauh dari mak ayah... Tu, yang cari ‘boyfriend’, nak isi rasa sunyi hati... Nak beritahu mak ayah bahawa dia sunyi, dia dah ada rasa malu... Sebab dia rasa dah besar, rasa segan nak beritahu mak ayah yang dia sunyi...

Jadi, kena jaga elok masa kecik... Jangan bagi dia rasa sunyi... Tahan la kejap... Masa anak-anak kecik, dia nak manja-manja dengan kita... Nak kena bawa anak-anak jalan... Buat la apa yang patut... Janji dia tak rasa sunyi...

Kejap je nak kena selalu teman anak-anak ni... Bila dia dah besar sikit, dah pandai faham macam-macam, kita ajar dia isi masa lapang pula... Masa tu, kita dah boleh kurangkan sikit masa bersama dia... Kita ajar dia solat, baca Al-Quran, buat hobi tu, buat aktiviti ni... Bukan maksudnya kita dah tak perlu luangkan masa dengan anak-anak... Kita tetap kena luangkan masa dengan diorang... Tu cara kita nak pantau diorang dan kita nak buktikan mereka masih ada kita, untuk berbual dan buat aktiviti bersama...

Lama-lama, bila anak-anak dah kenal Allah dan Rasul, kita didik diorang supaya faham bahawa diorang sentiasa ada Allah dan Rasul dalam hati diorang... Kita didik la diorang supaya diorang dapat isi hati diorang dengan Allah dan Rasul... Selain Allah dan Rasul, diorang juga ada ayah dan ibu, untuk diorang mengadu, atau untuk diorang bercakap sekali sekala dan bila perlu... Tu, jangan lupa...

Kes sosial yang duk berlaku sekarang ni, berpunca dari anak-anak rasa sunyi... Tu yang cari ‘boyfriend’, ‘girlfriend’ entah apa-apa tu... ‘Boyfriend’ tu, bukan hensem sangat pun... Akhlak pun, entah apa-apa... Tapi, dah itu je yang sudi jadi ‘boyfriend’, yang sudi mengisi sunyi hati, layan je... Sebenarnya, bukan sayang pun... Tapi, lebih kepada rasa bergantung... Bila rasa bergantung tu dah tebal, tu yang sudi je buat macam-macam... Tu yang bila ditinggalkan, ramai yang sampai sanggup bunuh diri...

Jadi, K... Hang jaga elok-elok anak dara hang ya... Jangan bagi dia rasa sunyi sikit pun... Bila dia dah besar, dah pandai jalan, selalu la bawa dia jalan-jalan... Keluar minum dengan kawan-kawan pun, bawalah anak dara hang tu... Bagi la isteri hang lapang sikit untuk urus hal ehwal di rumah tu... Lagi pun, bila hang selalu bawa anak dara hang jalan, Insya-Allah dia dah cari lelaki lain dah untuk bawa dia jalan-jalan nanti... Sebab dia tahu, ada juga bapa dia untuk bawa dia jalan-jalan...hehehe

Nanti, bila anak dara hang dah besar, dia akan cari orang macam hang untuk buat suami... Sebab Insya-Allah dia puas hati dengan hang sebagai peneman hidup dia sejak kecil... Sebab dia bahagia dengan orang macam hang... Jadi, hang tak perlu nak ‘slow talk’ banyak-banyak dengan anak hang nanti, tentang orang macam mana dia patut buat suami... Haa, nampak tak tu... Cara tu...

K :
Hang ni, betul la... Elok je sekolahkan orang lain... Macam apa dah gayanya...

H :
Penuntut Universiti Kehidupan, ceq... ‘Free’, tapi boleh belajar serba serbi...

K :
Okey la... Kena balik dah ni... Nak peluk cium anak pula ni... Nanti sunyi pulak dia... Assalamualaikum...

H :
Haa... Elok, elok... Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

SEMUA ADALAH GURU…

Acap kali kita dinasihatkan, secara langsung, mahupun tidak langsung, supaya berguru... Kita digesa supaya mencari ilmu...

Pernah saya terfikir-fikir... Fikir saya, “Mengapa mesti berkelana, mengembara, dengan erti kata lain ‘PERGI’ mencari ilmu... Apa kelebihannya berbanding kita duduk dan tunggu guru datang kepada kita bersama ilmu yang ingin diajarkan mereka kepada kita???”. Alhamdulillah, sejak beberapa tahun lalu saya temui jawapannya... Ianya bukan tentang ilmu yang kita inginkan, tetapi ianya lebih kepada ilmu yang kita temui... ‘Actually, that’s life... It’s more about the journey, not about the destination...”.

Saatnya kita siap untuk menuntut ilmu, sepanjang perjalanan mampu membuatkan kita berilmu... Ya, kita punya tujuan... Kita ingin menuntut sekian ilmu, kerna kita rasa kita perlukan ilmu itu... Tapi, Allah Maha Mengetahui... Allah Maha Mengetahui bahawa kita perlukan ilmu lebih dari itu... Maka, Allah titipkan ilmu dalam perjalanan kita... Kita hanya perlu buka mata, buka minda, buka hati...

Satu analogi mudah, mungkin dapat membantu kita melihat betapa ‘simple’ perjalanan hidup ini, namun impaknya besar, menyebabkan kita berilmu...
Dalam perjalanan untuk bertemu guru, kita mungkin terserempak seorang pak cik, berpakaian compang-camping menjual kacang... Lantas, dia berkata, “Nak, belilah kacang pak cik ni... Kacang ni direbus dengan lada hitam... Bagus untuk kesihatan...”. Kita pun beli kacang jualan pak cik tu, dengan niat mencuba rasa... Ternyata kacangnya sedap, dan meredakan selsema, yang kita alami sejak berhari lalu... Maka, terbuktilah kacang yang direbus bersama lada hitam pak cik tadi, mampu meredakan selsema... Itu satu ilmu buat kita...
Sekalipun kacang jualan pak cik menyebabkan kita gatal, itu masih satu ilmu buat kita... Satu ilmu bahawa kita mungkin alahan pada kacang bersama lada hitam... Tidak semestinya kacang yang direbus bersama lada hitam itu tidak elok dimakan... Tetapi, setidaknya saat kita makan kacang yang direbus bersama lada hitam itu, kita tahu bahawa kita ada alahan, yang mungkin sekian lama tidak kita tahu...

            Maka benarlah bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu, walaupun tampak kecil, nilainya sia-sia... Tiada yang sekadar perhiasan, melainkan ilmu segalanya... Ini bukan tentang siapa yang menyampaikan sesuatu ilmu, ini tentang apa ilmu yang disampaikan...

Kalau Najwa Latif boleh kata, “Banyak soalan, banyak juga jawapannya... Kata hati dan rasa tak dibiar saja... Setiap yang berlaku ada kebaikannya.. Harus pejam mata dan cuba apa saja”, Mengapa kita tidak boleh???
Kadang-kadang, hati dan rasa berkata, “Dengarkan apa yang dikata oleh orang itu, boleh jadi itu ilmu buatmu... Jadi, mengapa kita biarkan saja???
Setiap yang berlaku ada kebaikannya, baik yang elok, mahupun yang tidak elok... Kerna yang elok itu teladan, dan yang tidak elok itu sempadan... Teladan, atau sempadan, itu ilmu buatmu...
Pejamkan mata seketika, jangan dikisahkan dia insan berkot bergaya, mahupun pakaiannya biasa-biasa saja, cuba dengarkan apa katanya... Kerna dia mungkin tahu sesuatu yang berguna...
Selagi mana sesuatu itu halal, cubalah apa saja... Jangan menjauh hanya kerana kawanmu menjauh, sedangkan tiada dalil mengharamkannya....
           
Masya-Allah, saudara saudari... Betapa Allah inginkan kita menjadi ummah berilmu... Diciptakan dunia ini, disusun hari-hari urusan kita... Semuanya diisi dengan ilmu... Tepatlah saranan Rasulullah SAW, “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga liang lahad”... Hanya mati penamat pengembaraan ilmu kita...

            Oleh itu, berkelanalah kita mencari ilmu... Kenapa takut jauh dari keluarga??? Cuba bayangkan bakti yang semakin luas dapat kita curahkan pada keluarga kita, dengan kita berkelana mengembara mendapatkan ilmu... Kita mungkin bukan sarjana, atau ahli falsafah terkemuka... Kita mungkin hanya insan biasa... Tapi, Alhamdulillah kita dikurniakan sedikit ilmu yang tidak dipelajari oleh ahli sarjana dan ahli falsafah... Kerna Allah Maha Mengetahui ilmu itu baik bagi kita dan boleh dikongsikan... Maka, kita berharap ada yang sudi mendengar... insya-Allah, akan ada yang menegur jika kita khilaf... Insya-Allah, kita terimalah dengan hati terbuka, kerna kita ingin belajar...

Meskipun sekian lama saya meninggalkan zaman persekolahan, saya rasa masih ada yang boleh dan perlu saya pelajari daripada murid-murid sekolah rendah... Semestinya mereka tidak berkata, “Abang Haikal, dengar ni adik nak beritahu...”. Tapi, setidaknya bila mereka berkata, “Eh Abang Haikal, bukan macam ni ke???”, membuatkan saya terfikir...

Semoga kita semua terbuka menerima ilmu yang mendatang... Kongsikanlah, agar semua boleh ambil manfaat, dan kita boleh berbincang ke arah lebih baik... Jangan takut akan tersalah, kerna kesilapan itu juga sebahagian daripada pengembaraan ilmu...

ILMU ALLAH SWT ITU TERLALU BANYAK... MESKIPUN SEMUA LAUTAN DIJADIKAN DAKWAT, DAN SEMUA PEPOHON DIJADIKAN KALAM, MASIH TIDAK HABIS ILMU ALLAH DINUKILKAN...
Pernah dengar bidalan ini??? Tapi, kita masih berkata itu sia-sia, ini ‘nonsense’ dan apa saja yang menghalang kita menerima ilmu itu???
#facepalm

ALBERT EINSTEIN DIIKTIRAF SEBAGAI MANUSIA GENIUS... TAPI, PENGKAJI MENYATAKAN ALBERT EINSTEIN HANYA MENGGUNAKAN 10% DARIPADA OTAKNYA SEPANJANG HIDUPNYA...
10% daripada otak untuk jadi genius... Tapi, kita disuruh berfikir sikit, mengeluh kepala hampir meletup???
#doublefacepalm

SEPANJANG HAYAT BAGINDA, NABI MUHAMMAD SAW MEMIKIRKAN PERIHAL SELURUH UMAT... BILA BAGINDA WAFAT, UBANNYA BOLEH DIHITUNG DENGAN JARI...
Kita sampai kepala penuh uban, masih malas berfikir demi manfaat masyarakat kecil???
#headshot

MENARUH HARAPAN = BERSANGKA BAIK...

Suatu hari, ketika saya ingin menjamu selera di kantin organisasi saya, saya berkesempatan bersembang panjang dengan ketua jabatan saya... Kebetulan kami berdua saja ketika tu, dia memulakan bicara...
“Haikal... Mungkin ramai, baik orang luar mahupun staf dalam, yang rasa pelik kenapa saya pilih projek ni untuk dilaksanakan oleh organisasi kita... Ramai juga yang mengeluh, marah-marah, saya tahu... Saya memilih projek ni, sebab saya tahu kita semua mampu... Kita kan ada kapasiti dan kemahiran yang diperlukan untuk laksanakan projek ni... Walaupun ramai yang sinis dengan kapasiti kita, saya masih yakin dengan staf-staf saya... Walaupun semua orang kata staf saya ramai yang pemalas, tak salah kita bersangka baik, dengan meletakkan harapan, kan???”

Selain kagum dengan sikap positif beliau, kata-katanya tu membuat saya berfikir panjang... Apa yang penting dalam sesebuah organisasi, bukan sahaja kerjasama... Sikap positif semua ahli juga penting, terutama pemimpin organisasi... Kalau pemimpin organisasi bersikap pesimis, apa pun tak boleh... Akhirnya, jadilah organisasi layu, dan ahlinya semua seperti katak bawah tempurung, tiada peluang mengembangkan ilmu dan kemahiran...

Bahkan, sebagai insan sekalipun, kita perlu optimis... Setidaknya, optimis terhadap diri kita sendiri... Menaruh harapan pada diri sendiri, bermakna kita bersangka baik kita pasti dapat lakukan sesuatu pekerjaan itu... Barulah kita dapat majukan diri...

Mungkin ramai yang berpendapat, “Dunia ini sementara, jangan dikisahkan sangat...”. Isunya di sini, bukanlah ambil kisah akan dunia atau sangat mementingkan dunia... Disebabkan dunia ini sementara lah, kita harus bersangka baik, supaya kita dapat bahagia, dan supaya kita senang mesra dengan isi dunia... Sehingga akhirnya, ada yang sudi mendoakan kita berbahagia di akhirat sana...

Kita tahu, ahli organisasi kita ada kemahiran... Cuma, kadang-kadang mungkin datang malas mereka... Jadi, mengapa kita takutkan ‘malas’, yang cuma menjadi sebahagian kecil itu... Bukankah ada ‘kemahiran’ yang menjadi bahagian besar itu??? Mestikah kita berhenti melangkah, haruskah kita duduk terperap di rumah, hanya kerana takutkan duri di jalanan akan menghalang pengembaraan kita???

Bukan ke lebih baik kita bersangka baik, bahawa semua akan baik-baik sahaja??? Jauh lebih molek jika kita terus berdoa mengharap kapasiti dan kemahiran yang ada akan dioptimumkan... Anggap sahaja sikap malas atau apa jua cabaran yang ‘kecil-kecil’ tu umpama duri di jalanan, yang mampu kita kuis ke tepi... Atau anggaplah saat bertemu cabaran tu sebagai persinggahan sementara, untuk kita berehat seketika, dan muhasabah apa yang telah dikerjakan bersama...

Seketika, kalaupun bukan selamanya, kita harus ingat... Menaruh harapan bukan bermaksud kita sudah kehabisan ikhtiar... Bersangka baik, bukanlah bermakna kita terlalu naif, atau senang dibuli... Menaruh harapan, bersangka baik, kerna kita ada iltizam yang tinggi... Menaruh harapan, bersangka baik, kerna kita sayangkan semua kerana Allah Ta’ala... Menaruh harapan, bersangka baik, kerna kita harapkan semua menjadi terbaik di mata Allah SWT...

Oleh itu, yuk kita menaruh harapan, dan bersangka baik, semoga dunia menjadi lebih baik... Terbaik buat kita, terbaik buat generasi selepas kita... Insya-Allah...

LEBIH BAIK KITA BERSANGKA BAIK TERHADAP MEREKA YANG SEBENARNYA BERNIAT JAHAT PADA KITA...
BERBANDING KITA BERSANGKA BURUK TERHADAP MEREKA YANG SEBENARNYA BERNIAT BAIK PADA KITA...

WARKAHKU BUATMU, ANAK…

Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh…

Menemui saudara/saudari yang saya hormati,
            Hidup ini sementara… Kita tidak tahu bila kita akan mati, meninggalkan semuanya, termasuk sanak saudara dan juga ibu bapa yang kita sayangi… Tiada siapa dapat menjamin bahawa ibu bapanya akan meninggal terlebih dahulu sebelum dirinya… Begitu juga saya… Terfikir saya mungkin meninggal sebelum ibu bapa saya, maka saya rasa terpanggil untuk berkongsi hasrat dengan saudara/saudari… Oleh itu, warkah ini adalah sebuah warkah nukilan seorang anak khas buat anak-anak yang membaca...

Saudara/Saudari,
            Insya-Allah, semua ustaz dan ustazah, juga sesiapa sahaja pasti bersetuju bahawa anak-anak perlu mencari apa jua amalan yang mampu menyampaikan pahala kepada arwah ibu bapa mereka... Acap kali juga saya mendengar ceramah atau kata-kata ustaz dan ustazah yang berkata demikian... Dan saya memang setuju sangat-sangat...

            Saya terfikir, bagaimana pula keadaannya bagi anak-anak yang kedua ibu bapanya masih hidup, seperti saya??? Jika difikirkan sejenak, mudah je... Berbaktilah kepada ibu bapa, sementara mereka masih hidup... Jawapan ‘standard’ kan...

            Tapi, saya terfikir, samada anak-anak boleh buat satu atau beberapa amalan untuk dikirimkan kepada ibu bapa mereka, walaupun ibu bapa masih hidup??? Fikir punya fikir, saya berpendapat, “Mengapa tidak???”, “Why not???”. Kan???

            Kenapa mesti kita nak tunggu ibu bapa pergi meninggalkan kita, meninggal dunia, baru kita nak kirimkan pahala kepada mereka??? Macam mana kalau kita yang meninggal dunia terlebih dahulu sebelum ibu bapa kita???

Saudara/Saudari anak soleh/solehah,
            Oleh itu, ayuh kita cari satu, dua dan banyak-banyak amalan untuk kita sedekahkan pahalanya buat ibu bapa kita, tidak kira mereka masih ada, atau sudah tiada... Kan kita sayangkan mereka, seumur hayat kita... Jika ada daya upaya dan peluang, buatlah amalan sebanyak mungkin dan niatkan pahalanya buat mereka... Jika ada keterbatasan, memadai satu atau dua, asalkan istiqamah...

            Jika kita ada rezeki dan berpeluang bersedekah, titipkan pahala sedekah itu kepada ibu bapa kita... Semoga pahala sedekah itu mampu menjadi syafaat buat mereka tika hidup, juga setelah meninggal... Semoga pahala itu menjadi syafaat kita dan mereka bersama, tidak hanya syafaat buat kita semata...

            Jika datuk atau nenek kita masih hidup, kita boleh wakilkan ibu bapa kita untuk berbakti pada orang tua mereka... Insya-Allah, berkat bakti kita pada datuk dan nenek, datuk dan nenek menganggap anak-anak mereka adalah anak yang soleh dan solehah... Insya-Allah, hasil bakti kita pada datuk dan nenek, datuk dan nenek mendoakan ibu bapa kita... Insya-Allah, bagi datuk dan nenek, ibu bapa kita soleh dan solehah kerana mendidik kita menjadi insan berbakti...
           
            Ini hanya dua contoh yang dapat saya fikirkan... Saudara/Saudari insan yang lebih bestari berbanding saya... Jadi, Insya-Allah saudara/saudari dapat fikirkan lebih banyak lagi amalan yang lebih beerti...

Saudari/Saudari insan budiman,
            Carilah amalan yang mampu menyebabkan ibu bapa kita terus-menerus mendapat pahala... Buat ibu bapa bahagia, bukan hanya lahiriah, tetapi juga jasmaniah... Semoga ibu bapa kita berasa tenang dan bahagia bukan kerana anak-anak mereka berkongsi secara material, tetapi juga menyebabkan mereka diberkati...

            Walaupun ibu bapa kita tidak akan menyedari bakti kita secara rohani ini, Insya-Allah mereka akan sedar jua nanti... Setidaknya, Akhirat kelak Allah sendiri menjadi saksi bahawa kita telah berbakti pada ibu bapa...

            Kita mungkin tidak mampu membahagiakan mereka dengan harta benda dan material di dalam hidup ini... Tetapi, Insya-Allah berkat amalan yang kita titipkan pahalanya buat ibu ayah, hati mereka tenang, hidup mereka diberkati, dan mereka bahagia di akhirat kelak... Insya-Allah...

Saudara/Saudari,
            Jangan pernah bimbang pahala amalan tidak cukup buat kita... Bukan ke Allah dah janji, amalan yang dilakukan dengan niat pahalanya disedekahkan, Insya-Allah si pelaku dan si penerima akan menerima jumlah pahala yang sama... Tidak akan terbahagi pahala itu... Masing-masing mendapat 100% pahala setiap seorang, Insya-Allah... Makna kata, amalan yang kita buat, pahalanya kita dapat penuh dan ibu bapa kita juga dapat penuh... Insya-Allah...

Akhir kata,
            Jika ibu bapa kita sudah tiada di dunia, semoga mereka tenteram di sisi Allah Yang Esa... Jika ibu bapa kita masih bernyawa, semoga hidup mereka bahagia dan sentiasa diberkati Allah SWT...

            Saya masih bertatih dalam beramal... Saya masih bertatih untuk menjadi anak yang baik... Saya masih mengharap moga saya mampu jadi anak yang soleh... Oleh itu, jika apa yang saya nukilkan ini salah, atau mungkin menyimpang, walau sedikit, mohon dibetulkan... Moga ada yang sudi menegur jika saya terkhilaf... Saya cuma ingin membuat amalan-amalan sebagai bakti dan token saya sayangkan ibu bapa saya... Insya-Allah, tiada niat untuk menunjuk pandai, memandai-mandai, apatah lagi menyesatkan...

JIKA WARKAH INI BAIK,
SUDILAH SAUDARA/SAUDARI TITIPKAN DOA SEMOGA IBU BAPA SAYA SEJAHTERA DAN SENTIASA DIBERKATI...
JIKA WARKAH INI TIDAK BAIK,
MOHON JANGAN DISABITKAN IBU BAPA SAYA, KERNA KHILAF SAYA SEMATA...
SAYA MASIH MENGHARAPKAN SAUDARA/SAUDARI SUDI MENDOAKAN KESEJAHTERAAN DAN KEBERKATAN IBU BAPA SAYA...

Saya yang ingin berkongsi,

AHMAD ZAKRY HAIKAL

SAYANG ALLAH PADANYA...

Alkisah seorang ayah, perwatakannya alim... Si ayah mencari rezeki dengan mengambil upah memotong rumput dari rumah ke rumah, bagi menyara kehidupan keluarganya... Si ayah mempunyai beberapa orang anak... Sedikit tidak bertuah, kesemuanya anaknya agak kasar dan sering melawan cakap si ayah... Namun, si ayah redha... Si ayah sentiasa redha, dan tidak berhenti mendoakan kebahagiaan anak-anaknya, walaupun sering katanya dibantah...

Dijadikan cerita, suatu hari si ayah bersiap untuk memotong rumput sepertin kebiasaannya... Cuma hari itu, sedikit awal dia bersiap, kerna ingin memotong rumput di rumah seorang bangsawan...

Ke dapur, si ayah ingin bersarapan... Masih tiada sajian sarapan pagi itu... Bertanya si ayah pada anaknya, “Nak, sarapan belum siap??? Ayah dah nak pergi memotong rumput... Hari ni, ayah kena pergi awal sikit, takut tak sempat siap sebelum petang...”. Namun, dijawab kasar anaknya, “Ayah ni!!! Tak sabar-sabar!!! Orang bangun lambat, nak buat macam mana?!”. Sedikit terguris hati si ayah... Namun, seperti biasa, dia sabar... Duduk dia di meja makan, menanti sarapan siap... Selesai bersarapan, bertolak si ayah ke rumah bangsawan untuk memotong rumput...

Di rumah bangsawan, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar bagi si ayah... Terfikirlah si ayah, “Alhamdulillah, tinggal sedikit saja lagi rumput untuk dipotong... Insya-Allah, sebelum Zohor sempat habis potong semua rumput ni...”. Malangnya, dengan tidak semena-mena motor pemotong rumput mati... Diperiksa minyak dalam tangki motor, masih banyak... Diperiksa kalau-kalau ada rosak, motor tu baik-baik saja... Si ayah cuba menghidupkan motor tu, berulang-ulang kali sehingga penat... Terduduk si ayah, kehairanan dalam kepenatan, sehingga terlelap di pondok berteduh...

Tersedar si ayah dari lena, tatkala bahunya disentuh anak tuan rumah... Sudah masuk waktu Zohor, katanya... Si ayah meminta izin untuk menumpang solat di rumah itu, dan dibenarkan... Seusai solat, terlintas di minda si ayah tentang apa yang berlaku pagi itu... Lalu, si ayah teringat bahawa dia belum meredhai perlakuan anaknya... Si ayah beristighfar, dan meredhai apa yang berlaku pagi itu...

Selepas menyarung kembali pakaian kerjanya, si ayah cuba menghidupkan motor pemotong rumput... Alhamdulillah, motor pemotong rumputnya hidup... Maka, si ayah meneruskan kerjanya sehingga selesai...

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

            Pengajaran segera yang dapat kita ambil daripada kisah ini, ibu bapa hendaklah sentiasa redha dengan anak-anak... Saya kongsikan kisah ini, bukan berniat untuk menyatakan bahawa ibu bapa wajib redha dengan anak-anak, walaupun diperlakukan tidak selayaknya... Tersangat besar pengorbanan ibu bapa yang sanggup berbuat begitu... Dan, tersangat tidak patut dan amat tidak layak, saya sebagai seorang anak, mengharapkan sedemikian daripada ibu bapa...

            Sebenarnya, jika kita amati dengan teliti kisah ini, Insya-Allah kita dapat kesan pengajaran hebat yang tersirat... Betapa Allah SWT redha dan sayangkan si ayah itu... Sungguhpun layak bagi si ayah yang terguris hati untuk tidak meredhai anaknya, namun Allah tidak benarkan itu berlaku... Sayangnya dan redhanya Allah SWT pada ayah itu, tidak mengizinkan si ayah menyimpan dendam akan anaknya...

            Selain itu, kesan daripada redha si ayah yang berpanjangan akan anak-anaknya, Allah SWT turut redha pada anak-anak tersebut... Tidak Allah SWT benarkan anak-anak tersebut hidup tanpa redha ayah mereka, walhal cuma sehari... Allah SWT tetap menginginkan anak-anak tersebut hidup dengan redha si ayah, walaupun perangai mereka agak kasar... Itu kesan daripada sikap si ayah yang sentiasa redha akan anak-anaknya...

            Sejauh soal sampai bila anak-anak itu akan bersikap kasar, Insya-Allah sampai saat Allah SWT inginkan mereka berubah menjadi insan yang baik, anak yang terbaik, mereka akan berubah... Kun fa yakun... Jika Allah SWT menginginkan sesuatu terjadi, maka jadilah sesuatu itu... Kita sebagai hambanya yang lemah, perlu terus berdoa dan yakin akan kekuasaan Allah SWT...

            Persoalannya, di mana duduknya kita, berbanding si ayah tersebut??? Si ayah yang bekerja memotong rumput, tiap hari lelah membanting tulang mencari rezeki untuk keluarganya... Namun, mampu berlapang dada dan redha dengan sikap anak-anaknya... Sedangkan kita, balik dari pejabat, penat hanya sedikit, asyik berkecil hati dengan kerenah seorang dua anak-anak... Begitu mudah kita rasa hilang ketenangan dan goyah pertimbangan, lantas terus menjadikan anak-anak derhaka... Tapi, kita masih mengharapkan Allah redha dengan kita??? Bayangkan jika Allah SWT senang berkecil hati, seperti kita... Entah berapa banyak azab Allah menimpa kita... Allah SWT Maha Sabar dengan kerenah hamba-hambanya... Namun, kita begitu mudah hilang sabar dengan seorang dua anak kita... Apatah lagi, jika kita berurusan dengan anak orang lain (kerjaya seperti guru), yang keberkatan anak-anak orang itu turut tergantung pada kita... Pendek kata, kita kena lebih bijak jaga hati, kawal emosi, agar tidak mudah tersinggung... Kita kena lebih banyak muhasabah diri, agar lebih mudah berlapang dada dan redha...

            Sebagai anak, jangan pula kita suka mengambil kesempatan... Ibu bapa selalu berlapang dada, bukan bermaksud peluang untuk kita terus menderhaka... Cuba renungkan, kenapa hidup kita masih bahagia??? Boleh jadi, kita masih belum diazab Allah kerna ibu bapa selalu redha akan kita... Menderhaka pada ibu bapa, azabnya terus di dunia dan berpanjangan sehingga akhirat... Jadi, jika hidup kita masih senang, itu maksudnya redha ibu bapa masih ada... Redha itu masih rezeki kita, lantas Allah masih sayangkan kita... Oleh itu, bersyukurlah pada Allah SWT dan berterima kasihlah pada ibu bapa kita... Doakan ibu bapa dan hargailah mereka, kerna mereka masih redha akan kita...

            Sebuah citra, semoga menjadi pengajaran bagi ibu bapa juga anak-anak... Ibu bapa, redhalah... Kerna redha ibu bapa sangat bermakna, buat anak-anak, juga untuk diri ibu bapa sendiri... Kepada anak-anak, jika hidup kita senang, boleh jadi itu berkat redha ibu bapa... Bersyukurlah... Berterima kasihlah... Hargailah...

REDHA ALLAH LETAKNYA PADA REDHA IBU BAPA...
KATA-KATA YANG ADA MAKSUD MENDALAM...
PADA ANAK-ANAK...
JUGA IBU BAPA...

BAGI SETIAP KELEBIHAN, ADA AMANAH YANG BESAR...

IBU BAPA PERLUKAN REDHA ALLAH…

Macam pelik pula kan tajuk warkah saya ni??? Kebiasaannya, orang akan kata, “Anak-anak perlukan redha ibu bapa”, atau “Anak-anak perlukan redha Allah”… Kerna kedua-dua kata ini saling berkaitan, dan membawa maksud “Redha ibu bapa adalah redha Allah”…

Sebenarnya, tujuan warkah ini bagi menyatakan respon saya akan persoalan yang agak biasa ditanya... Persoalan “Bagaimana cara terbaik untuk ibu bapa mendidik anak-anak?”, memerlukan jawapan yang tidak bersifat berat sebelah... Jika persoalan ini dijawab oleh ibu bapa yang tegas, jawabnya “Anak-anak tidak boleh dimanjakan sangat... Mereka perlu didisiplinkan sejak kecil...”. Orang yang mendengar mungkin akan beranggapan tidak mengapa memarahi anak-anak sejak kecil... Jika persoalan itu dijawab oleh ibu bapa yang manja, jawabnya “Anak-anak kecil lagi... Tidak mengapa manjakan mereka semasa mereka kecil... Bila mereka semakin besar, kita tegas la sikit-sikit... Sebab masa tu, mereka dah mula memahami...”. Persoalan lain pula timbul, pada usia berapa anak-anak dianggap besar??? Bagaimana pula jika mempunyai ramai anak, bermacam peringkat umur??? Mampukah ibu bapa membezakan pendekatan bagi setiap anak???

Saya faham, kadang-kadang kita berasa sulit menjadi ibu bapa... Memikirkan kesulitan ini, mungkin ramai yang melengahkan untuk mempunyai anak, dan mungkin ramai juga yang bertindak menjarakkan anak, atau berkeputusan mempunyai anak yang sedikit...

Maka, Insya-Allah saya ingin cuba menjawab persoalan yang mampu membingungkan minda ibu bapa ini... Kepada ibu bapa, harap jangan marahkan Ahmad Zakry Haikal jika jawab Haikal ini salah, atau menyimpang... Mohon dikongsikan apa yang sebetulnya, agar kita sama-sama dapat belajar... Ini perkongsian saya, yang kurang berpengalaman...

Jawab saya, “Didikan terbaik ibu bapa terhadap anak-anak adalah didikan yang diiringi doa...”. Tidak kira apa pun jua pendekatan didikan ibu bapa, perlukan redha Allah SWT... Tidak kisah betapa tegasnya didikan kita, atau meskipun orang berkata kita memanjakan anak-anak, yakinlah selagi mana kita iringi didikan kita itu dengan doa... Biar orang memandang jelek cara kita mendidik anak-anak, Insya-Allah jika Allah redha, hasilnya yang terbaik...

Biarpun kita mengkaji selama berpuluh tahun sebelum kita menemui pendekatan terbaik mendidik anak-anak, dan kita didik anak-anak menggunakan pendekatan itu, itu bukan didikan terbaik, tanpa iringan doa... Tanpa redha Allah, ibu bapa terbaik, berpengalaman lengkap dengan pendekatan didikan terbaik, belum tentu menghasilkan anak-anak terbaik... Walhal anak-anak itu berjaya dunia, belum tentu akhirat bahagia... Sekalipun ibu bapa masih bertatih mendidik anak, dengan serba kekurangan, berkat doa menyebabkan Allah redha, Insya-Allah anak-anak yang membesar itu bakal menjadi yang terbaik...

Didikan dengan iringan doa, pendekatan paling senang dan fleksibel untuk mendidik anak-anak, biarpun selang umur antara anak dekat-dekat... Tak perlu lagi kita pening kepala, “Anak kecil, cara didiknya begini... Anak remaja, cara didiknya macam ni pula...”. Doa, dan tawakal... Didiklah anak-anak itu mengikut naluri ibu bapa... Insya-Allah, semoga Allah bimbing hati kita tatkala itu... Dan juga semoga Allah buka hati anak-anak tatkala ibu bapa mendidik mereka itu... Insya-Allah, semoga kita tidak pening kepala dan anak-anak tidak mudah memberontak...

Anak ada 2... Dua-dua diasuh dengan iringan doa... Tapi, kenapa yang pertama begini, yang kedua begitu???
            Boleh jadi doanya tidak seimbang... Mungkin semasa mengasuh anak pertama, doa kita lain... Sudah masuk asuhan anak kedua, doa kita lain... Atau mungkin juga kadar doa itu yang tidak seimbang... Boleh jadi anak pertama kita doakan 100 kali, namun anak yang kedua kita doakan cuma 90 kali... Almaklum, anak dah masuk 2 orang, jadi hidup agak sibuk sedikit sehingga kurang kerap kita berdoa...

            Apa-apa pun, cuba semak... Kemenjadian anak-anak tu sama-sama membahagiakan ibu bapa atau tidak??? Jika mereka sudah cukup membahagiakan, ibu bapa redha lah akan mereka... Jika masih kurang membahagiakan, tambahkan doa... Lebihkan pada yang kurang doa itu...

Sudah penat berdoa, namun anak-anak masih seakan menderhaka???
            Pertamanya, jangan terlintas rasa penat berdoa... Sepertimana Allah tidak penat mengurniakan nikmat, kita jangan rasa penat meminta... Allah memang akan beri, kerna Allah Maha Mengurniakan... Apa yang Allah mahukan, cuma kita terus berdoa... Jika anak-anak masih seakan menderhaka, boleh jadi kurang doa ibu bapa... Boleh jadi, anak itu memerlukan 1000 doa untuk dia menjadi baik, sedangkan doa ibu bapa hanya 999... Masih kurang 1 kan??? Maka, tambahkan banyak-banyak... Biar jadi 1111 doa pun tidak mengapa... Insya-Allah, tiada istilah doa ‘overdose’...

            Mungkin ada yang terlintas, “Ish, apa Haikal ni... Macam tak logik, macam tak layak, untuk dikatakan ‘kurang doa’... Kan Allah Maha Mengetahui, Maha Pemurah, Maha Penyayang... Semestinya Allah tahu niat hati hambanya... Takkan Allah nak tunggu jumlah doa secukupnya, baru Allah nak berikan kurniaan???”. Saya harap tiada yang tersalah faham... Maksud kata saya, kita jangan sampai hilang kebergantungan pada Allah... Insya-Allah, Allah akan kurniakan sesuai dengan niat kita... Tapi, kita pun kena tunjukkan betapa kita inginkan kurniaan itu... Maka, kita doa, doa dan tidak berhenti berdoa...
           
            Akhir kata, apa pun jua pendekatan dalam mendidik anak-anak, didikan dengan iringan doa adalah yang terbaik... Dalam setiap perbuatan atau percakapan kita, doakan semoga inilah yang terbaik untuk anak, dan jangan lupa doakan semoga kita redha akan hasilnya...

            Lepas ni, jangan hairan bagaimana anak orang berjaya, tapi anak kita sengsara... Usah termenung sendiri atau mengeluh bersama pasangan, “Mengapa oh mengapa... Anak kita seakan derhaka???”. Lebih baik kita tambahkan doa, moga-moga anak itu berubah dan sempat dia berjaya... Usah lagi pening kepala, “Saya multiple PhD dalam bidang psikologi anak-anak... Saya ke sana ke mari membimbing ibu bapa pendekatan mendidik anak-anak... Tapi, anak-anak saya sendiri hanyut entah ke mana...”. Doa doktor, doa... Boleh jadi doktor kurang doa...

DOA ADALAH SENJATA ORANG MUKMIN...
MAKA,

IBU BAPA MUKMIN SETIA DENGAN DOA...

BAIKKAH DIRI INI???

Lama sudah saya tidak mengirimkan warkah kepada dunia… Disibukkan dengan tugas rasmi dan kehendak diri… Boleh jadi Allah SWT ingin saya muhasabah dan merenung dalam sejenak pada hakikat peribadi…

Tatkalanya diri ini dipuji, “Haikal ni, baik betul…”, atau seumpama dengannya… Ikhlas saya katakan terkadang timbul rasa riak, bongkak dan ujub dalam diri… Alhamdulillah, ada yang mengingatkan, “Jika benar kita baik, kebaikan itu seharusnya sampai pada orang sekeliling kita…”. Saya setuju, lantas timbul rasa kuat untuk mengkajinya… Alhamdulillah, Allah permudahkan, dan sentiasa memberikan pedoman… Maka benarlah firman Allah:
“Sekiranya kamu benar-benar berfikir…”

Baiknya diri kita, bukan untuk kita buktikan… Baiknya diri kita, untuk insan-insan lain rasai saat mereka bertemankan kita… Bukan melalui pujian mereka, tetapi untuk mereka rasai dan nikmati… Tidak semestinya untuk mereka rasai hanya tika bersama kita, tetapi untuk mereka rasai sepanjang hidup mereka, kesan daripada perbuatan kita… Jika apa yang kita buat mampu membuatkan mereka meninggalkan tabiat buruk, dan mengamalkan tabiat baik, Alhamdulillah itu lebih baik…

Kebaikan kita, untuk siapa???
Cetusan untuk berbuat baik itu bukanlah hanya untuk sahabat handai kita, akan tetapi alangkah tersangat baik jika kita mampu mencetuskan mereka yang hanya hadir sejenak dalam hidup kita agar berbuat baik...

Contohnya, saat kita duduk dalam saf, datang seorang yang bersubang penuh di muka, bercincin penuh di jari, bergelang besi besar di tangan, duduk sebelah kita... Jika dilihat pada mata kasar, seakan dia seorang yang bermasalah sosial... Adabnya juga mungkin tidak seberapa, getus hati kita... Tapi, apa salahnya kita hulurkan tangan bersalam dan senyum padanya??? Siapa sangka, adab kita yang baik terhadapnya mampu membuatkan hatinya terdetik untuk berubah??? Siapa sangka, saat dia balik ke rumah, melihat cermin, terlintas di hatinya, “Insan yang bersalam dan senyum denganku tadi, mukanya boleh tahan, bersih, tidak perlu memakai aksesori sepertiku... Sedangkan aku, sudahlah muka tidak seberapa, penuh pula aksesori yang entah apa-apa, menjelekkan...”. Maka, insan itu nekad untuk berubah...

(boleh tahan imaginasi Haikal ni...). Tapi, itu semua mustahil ke??? Ingat, apa yang mustahil bagi manusia, tidak mustahil bagi Allah SWT... Makanya, kita kena husnuzon, bersangka baik... Jangan menilai orang lain bak sekilas pandang air di kolam... Kita tidak tahu pengakhiran kita dan dia... Boleh jadi pengakhiran dia jauh lebih baik berbanding kita... Jangan anggap dia mnyerabut mata kita, bikin sakit hati kita... Tapi, anggaplah dia sebagai peluang kita berkongsi kasih dan sayang kurniaan Allah SWT untuk sesama insan...

Jangan pernah anggap diri kita lebih baik daripada seseorang atau sesuatu kelompok... Jika benar kita baik, pastinya seseorang atau sesuatu kelompok itu juga baik, kerana ada kita (yang baik) hadir dalam siratan hidup mereka... Jika seseorang atau sesuatu kelompok itu tidak baik, maknanya kita, sebagai unsur dalam siratan hidup mereka, belum cukup baik...


Rasanya cukup sampai sini warkah saya... Perlu bertatih kembali, setelah lama menyepi... Jadi, cukup la warkah yang ringkas ini... Semoga niatnya sampai... Insya-Allah, kita bertemu lagi di warkah yang lain...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal