TERUSKAN BERUBAH, SAYANG…


Perubahan... Selalunya sinonim dengan perkahwinan... Sebab ramai insan, bila nak kahwin, nak berubah... Nak berubah, sebab nak jadi pasangan yang terbaik... Tak berapa ramai insan yang berubah secara percuma, kerana mereka rasa ingin berubah, tanpa apa-apa sebab... Oleh itu, saya akan banyak kaitkan perubahan dengan perkahwinan dalam warkah ini...

Bila kita cakap pasal perubahan untuk menjadi pasangan terbaik, ada beberapa persoalan...
“Macam mana kita nak tahu, samada kita sudah bersedia untuk menjadi suami/isteri?”
Dan...
“Sampai bila nak berubah? Tak cukup lagi ke perubahan ni?”

            Jawapannya, teruskanlah perubahan kita ke arah perubahan... Terus berubah sehingga kita betul-betul puas hati dengan keadaan kita... Kita tahu bila masanya kita tak berapa baik, bila masanya kita baik, dan bila kita lebih baik... Kalau kita sendiri tak puas hati dengan keadaan kita, macam mana kita boleh harapkan orang lain dapat berpuas hati dan menerima keadaan kita... Kalau kita sekadar berpuas hati dengan keadaan kita yang hakikatnya tak baik, itu syok sendiri namanya... Jadi, jangan menyesal jika orang yang kita sayang lari meninggalkan kita suatu hari nanti...

Seorang sahabat saya pernah berkata...
            “Awak nak ke kahwin dengan diri awak ni, kalau awak adalah orang lain?”
            (Mohd Faiz bin Ahmad, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UNIMAS)

Haa... Jadi, sama-samalah kita jawab persoalan sahabat saya ni... Ini bukan soal terima seadanya... Ini bukan soal ‘give and take’... Ini soal apa yang kita nak, kita kena memberi dahulu... Jika kita impikan yang terbaik, kita kena beri yang terbaik terlebih dahulu... Yang betulnya, kita terima seadanya, tapi kita berikan yang terbaik... Yang salahnya, kita harap kita diterima seadanya, tapi kita harapkan yang terbaik daripada mereka...

Maknanya, kita kena terus berubah, sehingga jadi sempurna?
Tak perlu sampai sempurna, sebenarnya... Jika tiba suatu hari, seorang insan datang kepada awak, dan berkata, “Saya sudi berkahwin dengan awak. Saya sudi terima baik buruk diri awak sekarang...”. Dan awak yakin itu kata-kata tulus seikhlas hatinya, maka berkahwinlah...

Yang penting, kita hari ini lebih baik berbanding kita yang semalam... Kita harapkan kita di hari esok lebih baik berbanding kita di hari ini... Tak susah pun nak berubah ni... Tak perlu difikirkan perubahan besar, seperti hari ini kita mampu mengangkat beban 50kg, esok kita mesti mampu mengangkat beban seberat 100kg... Bukan salah, tapi takut kita akhirnya berputus asa dengan diri kita sendiri, kerana berimpian terlalu tinggi... Cukuplah sekadar perubahan kecil... Contohnya, jika hari ini, kita mampu tersenyum melihat orang lain, esok kita buatlah orang lain tersenyum melihat kita... Itu juga perubahan bagi kita...

Wajar untuk kita menyimpan impian untuk melakukan perubahan besar dalam hidup ini... Tapi, tidak berapa realistik jika kita mengharapkan perubahan itu berlaku dalam masa sehari... Cukuplah asalkan kita bergerak ke arah matlamat itu, sedikit demi sedikit... Kerna Insya-Allah itu lebih mengajar kita untuk istiqamah dalam bersyukur... Itu jauh lebih baik berbanding jika perubahan itu berlaku terus, menyebabkan kita bersyukur hanya seketika... Apatah lagi jika kita mengharapkan perubahan dalam masa terdekat, tapi ia tidak kunjung tiba... Hingga akhirnya kita berputus asa, dan menjadikan kita kufur dengan nikmat yang Allah berikan...

Contohnya, kita ditetapkan akan berkahwin minggu depan... Lalu, kita melakukan sesuatu dengan harapan kita mampu menjadi pasangan terbaik sebaik sahaja kita berkahwin kelak... Namun, kita masih belum mencapai matlamat kita walaupun setelah seminggu berkahwin... Jangan kecewa... Sesungguhnya Allah Maha Perancang... Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap kita... Oleh itu, bersyukurlah kerana kita sedang berubah...

Sekiranya seorang isteri mengharapkan untuk mampu memasakkan hidangan paling sedap buat suaminya, pertimbangkan keyakinan dan peningkatan kemahiran memasak yang bertambah baik sehari demi sehari, walaupun hidangan yang dimasak tidak sesedap yang diimpikan... Bersyukurlah kerna masih mampu berubah dengan berusaha...
           
Sekiranya seorang suami berimpian untuk menjadi imam terbaik untuk solat bersama isterinya, pertimbangkanlah keyakinan dalam memimpin solat dan kelancaran bacaan solat yang bertambah fasih saban waktu, walaupun masih tidak mampu berwirid panjang... Insya-Allah, suatu hari nanti pembelajaran wirid itu akan kita kuasai... Bersyukurlah kerna masih mampu berubah dengan belajar...
           
Dalam berubah, kita jangan bergantung sepenuhnya pada hasil... Tapi, sandarkanlah pada pembaikan yang kita buat sehari demi sehari, sejam demi sejam, sesaat demi sesaat... Andainya kita sandarkan pada sempurnanya diri kita, dibimbangi Allah tetapkan bagi kita, “si fulan ibni si fulan, hari ini telah sempurna dirimu, maka kembalilah kepada-Ku”... Sekiranya Allah tetapkan sebegitu pada kita, khuatir kita tidak sempat berkongsi dengan orang lain terutama orang yang kita sayangi... Khuatir juga kita akan kecewa di akhir hayat kita kerana kita hanya mampu menyempurnakan diri kita, tanpa dapat berjasa pada orang lain... Turut dikhuatiri, kita akan menyesal di akhir hidup kita... Kita terlalu sibuk mengumpul wang hingga berjuta, sehingga tidak sempat kita merasa sesen pun bersama mereka yang kita sayang...

Sekiranya Allah telah takdirkan pengakhiran hidup kita begitu, apa daya kita untuk mengubahnya?
            Saudara/Saudari, Allah tidak zalim... Jika Allah telah takdirkan di akhir hayat seorang insan itu adalah kesempurnaan baginya, maka Allah akan juga buka peluang untuk dia berbakti dalam usahanya menuju kesempurnaan... Persoalannya, bakhil atau tidak insan itu untuk mempergunakan perubahan baik pada dirinya? Allah juga Maha Mengetahui, pastinya Allah telah tahu kebaikan yang insan itu lakukan sebelum dia mati... Tapi, adakah insan itu tahu dan mampu berpuas hati dengan kebaikan yang dia lakukan ketika hidupnya sejahtera?

Teladan kisah seorang sahabat Nabi SAW, Abu Darda’ namanya, sampai ke tua dia suka menanam pokok kurma... Bila ditanya mengapa beliau masih menanam pokok kurma, walaupun sudah tua, sempat ke beliau makan buah kurma dari pokok itu, apa jawab Abu Darda’? Beliau berkata, “Salah ke aku ingin berbakti? Salah ke aku inginkan pahala dari pokok yang hasilnya dirasai oleh orang lain?”. Naa... Kenapa takut berubah dan berbakti, hanya kerana kita takut kita akan mati?
           
Sekiranya semalam kita tahu bahawa huruf pertama jawi adalah Alif, dan hari ini kita belajar bahawa selepas Alif adalah Ba, maka kongsikanlah bahawa huruf kedua jawi adalah Ba...
           
Insan yang terbaik dalam perhubungan sesama manusia adalah insan yang mengharapkan orang lain mendapat kebaikan sama sepertinya, bahkan lebih berbanding dia... Jika kita letakkan dunia di kulit kita, bukan di hati kita, pastinya kita akan mudah berkongsi kerana apa yang kita ada itu sudah di luar, bukannya jauh di dalam untuk dikeluarkan... Jika kita letakkan kebaikan akhirat itu di dalam hati, maka bukalah hati agar senang dikongsi...

            Akhir kata, teruslah berubah... Agar kita menjadi insan yang lebih baik, waktu ke waktu... Teruslah berubah... Agar kita ada sesuatu untuk dikongsikan bersama orang lain, terutama orang yang kita sayang... Teruslah berubah... Kerna kita sayang mereka... Insya-Allah, Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat dan niatkan... Insya-Allah, kita tahu kita telah berubah serta berbakti, dan kita ikhlas...

DALAM BERUBAH…
CUBALAH UNTUK IKHLAS…
BARULAH KITA SENANG DENGAN PERUBAHAN KITA…
BARULAH KITA TENANG MENDEPANI APA JUA CABARAN…
HINGGA AKHIRNYA QUDWAH KITA MENJADI DAKWAH…

Nota : ‘Sayang’ di atas merujuk kepada ‘Diriku Sayang’, Adikku Sayang, ‘Abangku Sayang, Kakakku Sayang, Kawanku Sayang, dan semua ‘Sayang yang sewaktu halal dengannya... Tidak sesekali merujuk kepada ‘Sayang’-‘Sayang’ yang haram...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal