Assalamualaikum Aisyah,
Apa khabar awak di sisi keluarga dalam meniti hari-hari sebelum awak kembali berkuliah? Pastinya awak sedang memanfaatkan setiap saat sebelum awak merindukan mereka dan mereka juga merindukan awak nanti...
Aisyah,
Baru-baru ini, saya ditanya oleh seorang kawan petua memikat hati seorang wanita. Lebar juga saya tersenyum ketika dia menceritakan keadaannya. Menurut dia, dia telah jatuh hati pada seorang perempuan tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengatakan isi hatinya. Lantas, saya berkata, “KALAU BENAR-BENAR BERKENAN, MINTA...”
Lucu juga rasa hati bila saya lihat riak mukanya, berkerut... Terkejut mungkin... Dengan nada penuh kehairanan, dia berkata, “Cepatnya... Takkan nak terus minta dari ibu bapa dia...”
Sebenarnya, saya dah menjangkakan reaksi sedemikian dari dia... Lalu, saya menerangkan bahawa apa yang saya maksudkan adalah MINTA DARIPADA ALLAH SWT... Saya katakan bahawa sekiranya dia benar-benar sudah jatuh hati dan merasakan sangat cinta akan seorang gadis, mulakan dengan memohon petunjuk Allah. Solat istikharah salah satu inisiatifnya selain doa... Setelah benar-benar pasti bahawa dialah pilihan hati, mintalah pada Allah...
Aisyah,
Hati wanita yang baik dan juga hati lelaki yang baik itu terserah pada Allah. Jadi, sekiranya seorang lelaki jatuh cinta pada seorang wanita yang baik, dia sepatutnya meminta dengan sepenuh hati pada Allah... Begitu juga seandainya seorang wanita jatuh cinta pada seorang lelaki yang baik... Jika seseorang itu benar-benar jatuh cinta, benar-benar berkenan, seharusnya mohonlah dalam doa dan bersolat hajat meminta daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mensia-siakan hambanya yang berdoa. Insya-Allah, Allah SWT akan mengabulkan doa hambanya...
Kita semua maklum bahawa Allah tidak akan mensia-siakan apa sahaja yang diserahkan kepada-Nya... Justeru, hati-hati wanita yang baik dan juga hati-hati lelaki yang baik yang diserahkan kepada Allah tidakkan Dia serahkan kepada golongan yang tidak sepatutnya. Allah SWT pasti memilih lelaki yang terbaik untuk memiliki hati wanita yang baik... Begitu juga Allah SWT memilih wanita terbaik untuk memiliki hati lelaki yang baik... Jadi, seorang lelaki sepatutnya meminta dengan sepenuh ketulusan hati kepada Allah SWT sekiranya dia telah benar-benar jatuh cinta pada seorang wanita. Begitulah juga, seorang wanita sepatutnya meminta dengan sepenuh ketulusan hati kepada Allah SWT sekiranya dia telah benar-benar jatuh cinta pada seorang lelaki.
Aisyah,
Peminangan seorang wanita oleh seorang lelaki melalui kedua ibu bapanya mungkin ada khilafnya. Lumrah manusia, tidak mampu membaca isi hati. Si lelaki mungkin dapat berlakon baik sepanjang tempoh peminangan semata-mata untuk memenangi hati ibu bapa si wanita. Kedua ibu bapa si wanita mungkin tertipu dengan lakonan si lelaki. Namun, peminangan seorang wanita oleh seorang lelaki melalui Allah SWT adalah sebaik-baik jalan pertama setelah seorang lelaki jatuh cinta pada seorang wanita... Begitulah juga, peminangan seorang lelaki oleh seorang wanita melalui Allah SWT adalah sebaik-baik jalan pertama...
Saya rasa, cukuplah saya berceloteh kali ini... Akhir kata daripada saya, saya ingin awak tahu bahawa sejak saya jatuh cinta pada awak, saya telah sematkan dalam setiap doa harian saya kepada Allah SWT supaya saya mampu memiliki awak saat tiba waktunya nanti...
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh...
HAIKAL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan