KITA YANG SESAT...


Allah ada dalam jubahku...
Allah ada dalam kocekku...
Akulah Allah...
            Itu kata-kata Al-Halaj yang popular... Siapa Al-Halaj? Pemimpin kumpulan ajaran sesat ke? Atau mungkinkah Al-Halaj adalah pengasas ajaran sesat, kerana mengaku sebagai Allah?

Saudara/Saudari yang diberkati Allah,
            Al-Halaj adalah seorang ahli tasawwur ketuhanan yang tersangat tinggi ilmunya... Tapi sayang, beliau telah dihukum bunuh kerana kata-katanya itu... Pemimpin menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Al-Halaj kerana dikhuatiri akan menyesatkan masyarakat... Tapi, betul ke kata-kata Al-Halaj itu bertujuan menyesatkan?

            Setelah Al-Halaj dihukum bunuh, latar belakang beliau telah diselidiki... Ilmuwan yang menyelidiki latar belakang Al-Halaj mengesahkan, bahkan menjamin bahawa Al-Halaj tidak pernah sekalipun melakukan percubaan untuk menyesatkan masyarakat...

            Apa maksud sebenar Al-Halaj dengan kata-kata tersebut? Maksud beliau melalui kata-kata beliau itu adalah, apa yang ada di dunia ini adalah jelmaan hasil kekuasaan Allah... Makna kata, segala apa yang ada dalam jubah Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah... Apa yang ada dalam kocek Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah... Bahkan, diri Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah... Makna kata lagi, jika Allah tidak jelmakan kesemuanya apa yang ada di dunia hari ini, termasuk manusia dan apa yang ada pada manusia, tidak akan terwujud... Oleh kerana Allah wujudkan, maka menjelmalah hasilnya seperti mana yang ada hari ini...

            Jumhur ulama memutuskan bahawa kata-kata Al-Halaj itu bersifat tidak cermat, dan tidak sesuai dengan tahap pemikiran masyarakat... Sungguhpun begitu, Al-Halaj betul, beliau tidak salah sama sekali... Cuma beliau sekadar cuai dalam kata-katanya... Mengapa tidak sesuai? Kerana masyarakat berpegang teguh bahawa Allah bersifat tidak bertempat... Pada pemikiran biasa masyarakat, masakan Allah boleh berada dalam jubah dan kocek? Pada pemikiran manusia biasa, jika seseorang itu mengaku sebagai Allah, maka itu sudah semestinya sesat... Sedangkan Al-Halaj tidak berniat sama sekali untuk mengaku sebagai Allah, Tuhan Yang Maha Esa... Sedangkan Al-Halaj mengatakan yang benar, yakni beliau dan juga seluruh apa yang ada di dunia adalah hasil jelmaan oleh Allah SWT...

            Baiklah, cukup sekadar itu sebagai perkenalan kita dengan Al-Halaj, seorang ilmuan tasawwur ketuhanan yang sangat-sangat hebat... Persoalannya sekarang, kenapa saya mulakan warkah ini dengan perkenalan Al-Halaj secara panjang lebar?

Saudari/Saudari, hamba Allah bestari,
            Dalam kes Al-Halaj ni, salah siapa sebenarnya? Maafkan untuk saya katakan yang salah sebenarnya adalah masyarakat... Sekiranya masyarakat berilmu lebih sedikit daripada yang biasa, Insya-Allah Al-Halaj tidak akan dihukum sesat... Sekiranya masyarakat tidak terus menghukum, Insya-Allah Al-Halaj tidak akan dibunuh... Mengapa tiada yang sudi bertanya, “Wahai Al-Halaj, apa maksud katamu itu?”, dan berkongsi kefahaman yang sebenarnya dengan orang lain? Jika itu berlaku, Insya-Allah kita tidak akan kehilangan Al-Halaj, seorang ilmuwan tasawwur ketuhanan yang hebat, dengan begitu mudah... Jika Al-Halaj tidak dihukum bunuh ketika itu, kita mungkin dapat lebih mengenali Tuhan dan realiti ketuhanan Allah...

            Tapi, apa kan daya... Al-Halaj telah dihukum sesat dan dibunuh... Namun begitu, masih ada pengajaran yang mampu kita ceduk daripada peristiwa Al-Halaj ini... Insya-Allah, sama-sama kita ambil iktibar sebagai teladan hidup...

            Pengajaran yang paling penting, jangan kita lekas menghukum orang lain, apatah lagi seorang yang beilmu, dengan hanya tahap ilmu kita yang dangkal... Hanya kerana kita tidak faham ucapannya, atau kita salah faham dalam mentafsir kata-kata dia, kita terus menghukum dia sesat... Jangan, saudara/saudari... Niat kita mungkin suci dan murni, ingin membanteras kesesatan akidah di kalangan umat... Namun, apa salahnya kita menuntut ilmu lebih lagi, untuk memahami apa yang kita sendiri tidak pasti samada kefahaman kita adalah betul atau tidak? Setidaknya, apa salahnya kita berjumpa insan tersebut, bertanya dan meminta penjelasan kata-katanya... Sampai nyata kita fahami maksud katanya dengan jelas, barulah kita menghukum samada insan itu benar-benar sesat atau tidak... Itu saya ambil dengan anggapan kita semua bersifat neutral... Apatah lagi, jika ada di kalangan yang menghukum itu cenderung pada mana-mana fahaman politik... Dek kerna taksub, semua yang diungkapkan parti lawan kita cop karut... Pantang ahli parti lawan mengeluarkan kata-kata yang tidak tercapai oleh akal kita, kita labelkan sesat... Nauzubillah, itu salah sama sekali...

Izinkan saya berkongsi satu analogi... Harap-harap ini mampu meringkaskan maksud saya...
Katakan seorang ustaz, dalam satu ceramah agama yang dihadiri ramai orang, berkata, “Walaupun sudah sah selesai kita akad nikah, semuanya yang haram sebelum kahwin, belum halal buat kita...”. Agak-agak, apa kata orang yang hadir tu? Saya rasa, tidak kurang mereka yang akan menganggap ustaz itu memberikan ajaran yang salah dan sesat... Cuba kita bertanya, “Apa maksud ustaz tu?”. Kalau ustaz yang lawak (macam Ustaz Azhar Idrus), akan jawab, “Ye la... Walaupun aurat isteri yang haram sebelum kahwin, dah halal buat suami selepas kahwin, takkanlah si isteri nak buka aurat terus lepas akad nikah... Masih haram aurat isteri tu dibuka depan-depan mereka yang hadir dalam masjid untuk akad nikah...”. Kalau ustaz yang serius sikit, akan jawab, “Tak semua yang haram itu dihalalkan hanya dengan ikatan perkahwinan... Contohnya, berjimak melalui dubur... Haram sebelum kahwin, haram juga selepas kahwin...”.

            Nampak tak? Asalnya, nampak kata-kata tu seakan mengelirukan... Kata-kata yang diucapkan nampak macam ajaran sesat... Tapi, setelah diperjelaskan, panjang lebar, menggunakan bahasa yang lebih mudah, memang benar kata-kata yang diucapkan... Cuba kalau kita tidak bertanya dan ustaz tu tidak menjelaskan kata-katanya, apa yang mungkin berlaku? Tidak mustahil ustaz itu akan dicop sesat, di’ban’ oleh penduduk, dan dilaporkan kepada Majlis Agama... Silap-silap, ustaz tu arwah direjam oleh penduduk kampung yang marah...

            Persoalan yang mungkin timbul, tak menjadi kesalahan ke ilmuwan yang mengeluarkan kata-kata yang mengelirukan ni? Bagi saya, bukan salah mereka... Tapi, salah kita yang tidak berilmu setinggi mereka... Sesetengah lmuwan, mungkin juga sebahagian besar daripada mereka, terlalu tinggi ilmu mereka, bahkan mereka masih sibuk menimba ilmu untuk menambahkan lagi pengetahuan mereka, sampaikan tidak begitu mementingkan gaya bahasa... Oleh itu, mereka akan berkongsi ilmu mereka dengan gaya bahasa yang mereka tahu... Apatah lagi, jika kita ajukan persoalan secara spontan... Sesetengah ilmuwan akan memberi respon, yang pada mereka wajar... Jika ada yang kita rasakan tidak kena atau tidak faham dengan respon mereka, menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan hal sebenar berkaitan persoalan kita... Menjadi tanggungjawab kita juga untuk memohon penjelasan lebih lanjut sehingga jawapan mereka yang berilmu ini benar-benar kita faham... Jika kita masih tidak faham, wajib bagi kita mencari ilmuwan lain yang boleh mentafsir kata-kata tersebut dalam bahasa yang lebih mudah...

            Apatah lagi, jika kita adalah pihak pengantara... Jika kita bertanggungjawab mendapatkan jawapan berkenaan sesuatu persoalan, daripada ilmuwan tertentu, kita wajib memahami betul-betul jawapan ilmuwan itu, sehingga kita mampu hadam dengan hati yang tenang... Setelah itu, barulah kita boleh kongsikan apa yang dikatakan... Haram untuk kita memandai-mandai mentafsir jawapan yang kita terima, sehingga akhirnya apa yang kita kongsikan menjadi fitnah... Apatah lagi, jika kita menghukum ilmuwan tersebut sesat, hanya kerana kita tak begitu memahami respon yang diberikan... Jika kita menghukum ilmuwan itu sesat, dan kita kongsikan pula pendapat kita yang dangkal tu dengan orang lain, itu nyata sebenarnya KITA YANG SESAT!

            Satu lagi contoh yang saya ingin kongsikan... Sebenarnya, contoh ini bukanlah buah fikiran saya... Ini adalah contoh yang telah lama Allah SWT persembahkan untuk kita ambil pedoman... Contoh itu adalah Al-Quran... Silakan saudara/saudari bertanya kepada ahli tafsir Al-Quran, apa erti sebenar ayat-ayat Al-Quran, secara bahasanya, diterjemahkan bait demi bait... Saya rasa, jika Al-Quran diterjemahkan bait demi bait, mahu berputar ligat kepala kita yang membacanya... Kenapa? Kerana karangan bahasa ayat-ayat Al-Quran itu tersangat tinggi dan rumit, namun indah... Penyusunan bahasa dan maksud Al-Quran diakui sebagai syair yang tidak terkira tahapnya oleh pakar-pakar syair Arab... Terjemahan Al-Quran yang kita baca hari ini adalah terjemahan dalam bahasa yang telah dipermudahkan... Itu bertujuan membantu kita memahami maksud ayat-ayat Al-Quran...

            Pernah tak saudara/saudari terfikir, kenapa masyarakat Arab dan golongan yang memahami maksud sebenar al-Quran mampu menangis saat ayat-ayat Al-Quran dibacakan? Sedangkan kita bagaikan tiada perasaan... Sungguhpun kita dan mereka membaca ayat yang sama, dengan makhraj yang sama dan tajwid yang serupa, berserta lenggok yang serupa, kita masih tidak mampu menangis seperti mereka... Mengapa begitu? Ini kerana kita hanya memahami maksud ayat-ayat itu dalam bahasa yang telah dipermudahkan... Sedangkan mereka memahami ayat-ayat yang sama dengan pengertian sebenar ayat-ayat itu...

            Lantas, sekiranya kita mengetahui terjemahan Al-Quran yang asli, yang membuatkan kita tidak faham, adakah kita akan menghukum Al-Quran sebagai sesuatu yang menyesatkan? Cubalah kita berfikir, saudara/saudari yang dirahmati Allah... Jika kita tidak faham sesuatu kata itu, itu nyata salah kita yang tidak cukup tinggi ilmu... Sekalipun kita mampu mengagak maksud kata itu, itu bukanlah mohor untuk kita terus membuat kesimpulan berkenaan maksud kata itu... Seandainya kita mampu memahami kata itu secara permukaannya, boleh jadi secara dasarnya maksudnya lain dan kontra sama sekali... Pendek kata, kita kenalah ambil pengajaran dan iktibar, dan berusaha agar kita tidak mencetuskan fitnah kerana kejahilan kita...

Contohnya, maksud sebenar ayat ke-3, surah Yaasin, “Sungguh, engkau adalah salah seorang dari rasul-rasul”... Adakah itu bermakna setiap daripada kita adalah rasul, kerana kita membaca ayat tersebut dan merasakan ayat itu ditujukan kepada kita? Nasib baik la terjemahan ayat itu dicetak dengan “Sungguh, engkau (Muhammad) adalah salah seorang dari rasul-rasul”, yang merujuk ‘engkau’ sebagai Nabi Muhammad SAW... Jika diambil terjemahan asalnya, tidak mustahil ramai yang akan mengaku sebagai rasul hari ini...

Bukanlah saya bermaksud bahawa kita tidak layak atau tidak boleh sama sekali menegur orang lain, hanya kerana tahap ilmu kita cetek... Maksud saya adalah, kita perlu sangat berhati-hati, apatah lagi dalam menegur insan-insan yang berilmu... Jangan hanya kerana kata-katanya tidak lunak dan enak didengar oleh telinga kita, kita terus menghukum dia sesat... Kadang-kadang, di kalangan kita sesama insan yang cetek ilmu, mempunyai tafsiran berbeza atas sesuatu perkara yang sama... Inikan pula tafsiran insan yang lebih tinggi ilmunya daripada kita... Sudah ternyata gelaran ilmuwan bukanlah gelaran yang dibeli oleh mereka... Pastinya mereka telah diiktiraf sebagai ilmuwan oleh ramai orang... ‘Ilmuwan’ adalah gelaran orang kepada mereka, bukan gelaran yang mereka guna untuk diri mereka sendiri... Jadi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum mereka sesat...

Imam Syafie ada berkata, “Aku boleh berdebat dengan 10 orang yang berilmu, akan tetapi aku tidak mampu berdebat dengan seorang yang jahil...”. Adakah beliau bermaksud kita harus berilmu tinggi sebelum berdebat? Saya ingin berkongsi pendapat beberapa orang ustaz berkenaan kata-kata Imam Syafie ini, yang saya turut sangat bersetuju dengan mereka... Mereka mengkiaskan kata-kata Imam Syafie ini sebagai, kita dibenarkan berdebat demi ilmu... Makna kata, jika niat kita untuk menambahkan ilmu atau memperbaiki fahaman yang sedia ada, kita dibenarkan berdebat dengan ilmuwan... Tetapi, jika kita tidak berilmu, malah berniat untuk menjatuhkan martabat ilmuwan atau mempersendakan mereka, itu adalah kejahilan yang nyata... Apatah lagi jika tindakan jahil kita itu menimbulkan fitnah, kita tergolong sebagai pemfitnah tegar... Ingat, dosa memfitnah lebih besar nilaiannya berbanding membunuh... Dosa memfitnah hanya boleh terhapus setelah kita menghilangkan fitnah itu... Makna kata, tak cukup dengan bertaubat, kita harus meminta maaf pada orang yang kita fitnah, dan berusaha menghilangkan fitnah di kalangan orang yang menerima fitnah daripada kita... Selagi fitnah itu masih wujud dalam mana-mana insan, kita dianggap berdosa...

Ya, dosa pahala hak Allah... Akan tetapi, Allah sendiri ada menyatakan dengan tegas bahawa dosa kita dengan Allah, boleh terhapus dengan taubat nasuha; dosa kita dengan insan, hanya boleh terhapus dengan taubat dan memohon ampun pada insan tersebut... Dengan memfitnah, kita berdosa dengan Allah, kita bersalah dengan insan yang difitnah, dan kita turut berdosa dengan orang ramai yang menerima perkhabaran fitnah... Jadi, kita harus selesaikan salah kita dengan semua pihak tersebut untuk bebas dari dosa kita memfitnah... Justeru itu, berhati-hatilah saudara/saudari, dalam mengkritik, apatah lagi mengkritik ilmuwan... Alangkah lebih baik jika kita berfikir, berbanding kita terus melatah...

Di akhir warkah kali ini, saya tersangat-sangat berharap tiada lagi antara kita yang dengan bangga berkongsi fitnah, hasil tafsiran sendiri, hanya kerana tidak berapa faham kata-kata ilmuwan... Kurangkanlah rasa iri, rasa benci, sehinggakan setiap apa yang diungkapkan oleh orang yang kita tidak suka itu, kita anggap karut dan menyesatkan... Boleh jadi orang itu tersangat tinggi ilmunya berbanding kita... Dia telah mengabdikan sebahagian daripada usianya untuk memahami sesuatu hakikat... Kini, dia hanya ingin berkongsi ilmunya... Tapi, kita terus menghukumnya sesat, hanya berpandukan pengetahuan kita yang dangkal... Hakikatnya, kita yang menyesatkan dengan fahaman kita yang bercampur baur dengan sifat mazmumah...

Sekiranya kita tidak faham, belajar la lebih lagi... Atau, mintalah penjelasan lebih lanjut... Kita juga boleh tanyakan pada orang lain yang memahami dan mampu menerangkan dalam bahasa mudah... Yang penting, kita kena bersangka baik, jangan sesekali sedikitpun bersangka buruk... Insya-Allah, Allah SWT akan buka hati dan bukakan peluang untuk kita memahami hakikat sebenar...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal