WANGIKAN IBU BAPA…


Assalamualaikum...
Saya punya seorang ibu... Sedih untuk saya katakan, ibu saya seorang pelacur... Ikhlas dari hati, saya malu dengan kenyataan ini.. Bantulah saya menghadapi kenyataan ini... Apa yang perlu saya lakukan?

(SAUDARI ‘I’)

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

Berat saya membaca, berat lagi saudari yang memikul kenyataan itu... Akan tetapi, ikhlas dari hati saya, saya nasihatkan saudari terimalah ibu saudari itu seikhlas hati sebagai ibu saudari... Dialah ibu yang telah melahirkan saudari dahulu... Dialah ibu yang telah berpenat lelah, bersengkang mata, berputih tulang, untuk memastikan saudari membesar sehingga sekarang... Insya-Allah, dialah juga seorang ibu yang akan memastikan kesejahteraan saudari di hari-hari mendatang...

Saya tidak pasti keberadaan kenyataan itu bagi saudari... Samada ibu saudari pernah, atau masih bekerja sedemikian... Saya juga tidak pasti samada kenyataan tersebut telah lama saudari tahu, atau saudari baru sahaja mengetahui kenyataan itu... Apa-apa pun, jika ia sejarah, anggaplah itu mimpi ngeri semalam yang saudari mampu lupakan, atau ketepikan untuk membina hidup baru bersama ibu saudari... Jika ibu saudari masih melakukan perbuatan itu, tanggungjawab saudari sebagai anak yang solehah adalah sentiasa mendoakan dan cubalah menasihati ibu saudari itu... Sekalipun ibu saudari tidak mengendahkan nasihat saudari, bukanlah bermaksud dia degil... Insya-Allah, bukan juga bermaksud dia bahagia dengan perbuatan itu... Boleh jadi, dia hanya buntu akan apa yang boleh dilakukannya... Teruskan berdoa, saudari... Insya-Allah, doa seorang anak yang solehah, yang ikhlas mendoakan kesejahteraan ibunya akan dimakbulkan Allah SWT...

Saudari,
            Seorang lelaki boleh memilih wanita untuk dijadikan isteri... Begitu juga seorang wanita boleh memilih lelaki untuk dijadikan suami... Sungguhpun begitu, pilihan mereka belum tentu tepat, kerna tentunya masih ada kelemahan pada pasangan pilihan mereka... Nak, tak nak, mereka perlu terima kelemahan pasangan mereka itu, dan berbahagialah...

            Akan tetapi, seorang anak tidak diberi peluang untuk memilih ibu bapa mereka... Maaf untuk saya katakan, ramai atau mungkin kesemua anak-anak, tidak berbahagia sepenuhnya dengan ibu bapa mereka... Pasti ada yang tidak kena di hati mereka berkenaan ibu bapa mereka... Mengapa begitu? Mengapa kita anak-anak tidak berpeluang memilih ibu bapa kita? Kita dilahirkan dan seakan terpaksa menerima ibu bapa kita apa adanya... Sedangkan Allah itu Maha Penyayang...  Tidak mungkin Allah ingin menzalimi hamba-hamba-Nya, apatah lagi yang bergelar anak-anak... Itu maksudnya, Allah kurniakan ibu bapa sebagai anugerah kepada anak-anak... Lain anak, lain anugerahnya... Anak-anak yang bersyukur akan menerima ibu bapa mereka... Itulah sebab ramai anak-anak mampu bahagia berbahagia dengan ibu bapa mereka, walaupun di mata orang, ibu bapa mereka itu bukanlah ibu bapa terbaik... Jika kita masih tidak mampu berbahagia dengan ibu bapa kita, itu ertinya kita masih belum cukup mensyukuri nikmat Allah SWT...

            Mengapa ibu saudari sedemikian? Mengapa tidak seperti ibu bapa insan-insan lain? Itu maksudnya, jauh dalam diri saudari, ada kekuatan untuk mengubah keluarga saudari ke arah yang lebih baik... Insan lain, yang mempunyai ibu bapa lebih baik berbanding saudari, mungkin hanya perlu berusaha 10% untuk mencapai keluarga bahagia... Akan tetapi, saudari mungkin perlu berusaha 90% untuk memastikan keluarga saudari bahagia... Maksudnya, saudari adalah istimewa... Saudari mampu berusaha 90%, sedangkan insan lain hanya mampu berusaha 10%... Itulah kekuatan dan keistimewaan yang ada pada saudari, yang Allah kurniakan buat saudari dalam hidup ini... Berbahagialah saudari, dengan anugerah sebegini besar...

            Jika penerimaan seorang suami/isteri terhadap pasangannya harus 100%, penerimaan seorang anak terhadap ibu bapanya, terhadap ahli keluarganya, terhadap saudara-maranya, perlu lebih banyak lagi... 1000% mungkin... Ini kerana untuk berkahwin, kita yang memilih untuk menjalinkan silaturahim dengan pasangan dan keluarga pasangan kita... Akan tetapi, dalam ikatan keluarga, itu adalah anugerah silaturahim buat kita... Masam manis, pahit payau atau masin sekalipun, tidak kiralah apa rasanya, itulah hak kita, itulah tanggungjawab buat kita... Kita harus terima apa adanya... Apa yang tidak kena, tanggungjawab kita untuk mengubahnya ke arah lebih baik... Tidak kira apa jua caranya, ubahlah dengan harapan kita dan mereka akan bahagia di bawah redha Allahu Rabbi...

            Apa yang baik, untuk kita syukuri... Apa yang tidak baik, juga untuk kita syukuri dan berdoa ke arah yang lebih baik lagi...

            Ikhlas dan tulus dari hati saya, saya amat berbangga dengan saudari... Saya di sini, hanya mampu menasihati, tanpa merasai... Tiada apa yang konkrit untuk saya sandarkan sebagai pedoman... Akan tetapi, saudari berhadapan dengan situasi itu... Masya-Allah, betapa kental jiwa saudari... Buktinya, saudari masih ingin mencari sebab untuk saudari menerima ibu saudari itu, tidak terus menghukum dia... Apatah lagi untuk saudari menyesali sehingga menyalahkan Allah SWT atas keadaan saudari... Terimalah penghargaan dan setinggi tahniah daripada saya... Terima juga rasa terima kasih yang tak terhingga kerana membawakan satu situasi yang mampu menyedarkan saya...

            Terimalah ibu bapa saudari, seperti mana mereka telah menerima saudari sejak lahir... Tidak terkira ramainya ibu bapa lain yang tidak mampu menerima anak mereka, sehingga sanggup membuang anak darah daging mereka sendiri...

Saudari,
            Dalam Islam, suami isteri disuruh memelihara aib rumah tangga mereka daripada pengetahuan orang lain... Sebenarnya, seruan itu juga dikenakan kepada anak-anak (maaf jika tafsiran saya ni salah, saya hanya insan biasa yang cetek ilmunya)...  Mengapa saya katakan demikian? Ini kerana pada hemat saya, anak-anak wajib memelihara aib keluarga mereka... Contohnya, insan seperti saudari... Janganlah kerana ibu saudari seorang yang tersilap langkahnya, saudari tampil sebagai anak yang tidak elok... Sehinggakan orang ramai menilai buruk akan saudari dan keluarga, dan mengutuk saudari sebagai “Dasar anak p******!”... Maaf kerna saya terpaksa menggunakan contoh sedemikian... Maafkan bahasa saya, kerna kekhilafan saya... Saudari tampillah sesempurna penampilan... Insya-Allah, penampilan saudari yang sempurna itu mampu menjadi sebahagian dari doa saudari...

            Insya-Allah, saya telah mengatakan apa yang sepatutnya... Tidak terkata sebenarnya betapa saya mengagumi saudari... Sekali lagi, terimalah tahniah daripada saya, kerana saudari sedang berusaha menjadi anak yang solehah buat keluarga saudari... Dan, terima kasih yang tidak terkira, kerna saudari telah mengutarakan isu ini yang Insya-Allah mampu menjadi pedoman buat saya dan juga sesiapa sahaja yang membaca warkah ini...

TIDAK KIRA BETAPA BUSUK IBU BAPA KITA...
JIKA KITA BERUSAHA UNTUK MEWANGIKAN MEREKA...
INSYA-ALLAH, HARUMAN SYURGA MENANTI KITA...

Semoga saudari ‘I’ dan keluarga dilimpahi keberkatan Allah SWT sentiasa...
AHMAD ZAKRY HAIKAL



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal