“Haikal
dah layak mengundi kan? Jadi, Haikal sokong parti mana? UMNO atau PAS?”
Begitulah pertanyaan
seorang insan kepada saya, sebelum beliau meneruskan kata-katanya dengan
mempromosikan sebuah parti politik... Lantas, tergerak hati saya untuk
menukilkan warkah ini... Bukan saya tujukan warkah ini buat insan tersebut...
Bukan niat saya untuk membidas kata-katanya... Bahkan, saya sangat berterima
kasih kepada insan tersebut kerana mencetuskan persoalan bagi saya... Sebuah
persoalan yang harus saya jawab kepada diri saya dan saya harap dapat saya
kongsikan dengan orang lain... (Sebelum
saya meneruskan warkah ini, izinkan saya menjelaskan maksud saya bahawa PAS dan UMNO dalam warkah ini turut merujuk kepada parti-parti komponen
yang seangkatan)
Jawapan saya untuk persoalan tersebut, “PAS
saya sokong, UMNO pun saya sokong”... Sebab saya sokong ISLAM... Dalam PAS, ada Islam... Dalam UMNO, pun ada
Islam...
Buktinya?
PAS, memang terkenal
dengan kepimpinan ulama’ parti itu... Betapa ramai ulama yang berada dalam
parti PAS... UMNO, tidak kurang hebat Islam di dalam parti itu... Betapa ramai
tokoh-tokoh agama, Imam-Imam Muda, dalam parti UMNO... Tokoh-tokoh agama, tidak
akan menyokong UMNO jika di dalamnya tiada Islam... Imam-Imam Muda, bukan
calang-calang orangnya... Mereka bukanlah seperti insan-insan yang ke ‘audition’ semberono... Bukan main redah
je ke ‘audition’... Mereka yang menghadiri ‘audition’ Imam Muda, adalah insan-insan yang telah ditapis tahap
ilmu agamanya... Itulah sebabnya, walaupun mereka tidak memenangi program Imam
Muda, mereka tetap dipanggil ‘Imam Muda’... Makna kata, Imam-Imam Muda adalah
insan-insan yang dihormati kerana ilmu Islamnya... Jadi, takkan mereka tidak
membuat kajian terlebih dahulu sebelum mereka memilih untuk menyokong sesebuah
organisasi... Maksudnya, Imam-Imam Muda yang menyokong UMNO telah memutuskan
bahawa tahap keislaman dalam UMNO adalah baik... Kesimpulannya, dalam PAS ada Islam, dalam UMNO pun ada
Islam...
Walau sekecil mana pun tahap keislaman dalam diri
seseorang, dia harus diberi sokongan... Begitu juga halnya dengan parti PAS dan
parti UMNO... Walau kecil atau besar
kadar Islam dalam kedua-dua parti ini, kita perlu memberi sokongan... Oleh
itu, saya memutuskan untuk menyokong kedua-duanya...
Jujur saya katakan, saya terkilan dengan perpecahan yang
berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia sekarang... Ya, wajar untuk kita marah jika rakan parti PAS atau rakan UMNO buat hal
yang boleh mencemarkan maruah Islam... Tapi, wajar ke kita marahkan PAS
atau UMNO, yang Islam? Mengapa tidak
kita tegur secara elok, secara diplomatik?
Saya cuba bawakan sebuah perkaitan berhubung perkara
ini... Sekiranya seorang penganut agama
Islam berakhlak buruk, wajarkah kita letakkan kesalahan itu pada Islam?
Wajarkah kita berkata Islam mengajarkan keganasan, Islam tidak aman. Islam itu,
Islam ini, yang buruk-buruk, hanya kerana penganutnya membuat kesalahan?
Semestinya tidak!!! Bahkan, kita amat marah jika ada pihak yang menuduh
sedemikian... Tapi, kenapa kita salahkan
PAS atau UMNO secara keseluruhan, yang Islam, hanya kerana ahlinya tersilap
kata, atau tersalah langkah? Apatah lagi jika yang membuat onar itu adalah
rakan parti mereka?
Satu lagi analogi... Saya berkawan dengan ramai
kawan-kawan yang bukan Islam... Jika ada antara kawan saya yang berakhlak
buruk, wajarkah orang salahkan saya? Agak-agak adil ke jika ada yang berkata, “Tengok tu... Tu, kawan Haikal tu... Si
Haikal tu, beragama Islam... Mana ajaran Islamnya, kalau kawan sendiri
berakhlak buruk macam tu?”... Secara umumnya, wajar ke jika ada insan yang
salahkan awak, kerana kawan awak berakhlak buruk? Begitu juga halnya, dengan
isu parti politik di Malaysia ni... Jangan
kerana rakan-rakan parti mereka membuat hal, kita salahkan rakan partinya yang
Islam...
Tapi,
jika rakan itu tidak baik, kita tidak seharusnya berkawan dengannya sejak awal
lagi...
Ya, betul tu... Tapi,
adakah kita akan menolak untuk berkawan dengan seseorang yang pada hemat kita
baik, hanya kerana kita takut dia akan mencalarkan imej kita, atau imej Islam?
Adakah kita akan mengelak untuk menanam satu pokok, hanya kerana kita khuatir
pokok itu tidak menjadi, akan membusuk, dan mengundang ulat? Mengapa Rasulullah SAW, saat membuka kota
Makkah, mengundang orang kafir untuk tinggal bersama dalam Makkah, jika baginda
khuatiri ada antara kafir tersebut akan memburukkan imej Islam yang dibawa
baginda?
Ayuh kita ubah persepsi
kita... Jika sebelum ini, kita beratkan fikiran memikirkan bagaimana caranya
untuk mengekalkan PAS atau UMNO dalam pemerintahan di Malaysia... Ayuh, sekarang kita beratkan fikiran
memikirkan bagaimana caranya mengekalkan Islam dalam pemerintahan, bukan hanya
di Malaysia, bahkan dunia!!! Jika sebelum ini, kita beratkan fikiran
memikirkan bagaimana untuk menukarkan pemerintahan di Malaysia kepada
pemerintahan PAS atau UMNO... Ayuh,
sekarang kita beratkan pemikiran memikirkan bagaimana untuk menukarkan
pemerintahan di Malaysia kepada pemerintahan Islami...
Lambat
lagi kut PAS dan UMNO nak bersatu...
Biarlah lambat, asalkan
tak putus doa daripada rakyat Malaysia... Biarlah sekalipun PAS dan UMNO tidak
bersatu pada realitinya... Asalkan kita
satukan PAS dan UMNO di dalam hati kita semua... Insya-Allah, menyimpan
impian itu seumpama berdoa... Setiap detik kita menyimpan impian itu, setiap
detik itu jugalah doa kita panjatkan... Kita
satukan dahulu PAS dan UMNO di dalam hati kita, agar kita tidak bergaduh hanya
kerana kita berbeza parti politik dengan orang lain... Ayuh kita bersatu
kerana Islam, bukannya berpecah kerana PAS dan UMNO... Jika kita berpolitik kerana Allah, kerana Allah jualah kita bersatu...
Wajib kita memperbetulkan
kesilapan mereka yang tersilap... Wajib juga kita menjaga air muka mereka
itu... Jika mereka tersilap, bersualah dengan mereka untuk menegur mereka...
Jika masa membataskan kita, mengapa pula masa kita terluang untuk menegur mereka
di khalayak umum... Jika mereka membataskan kita, jika mereka tidak pernah mahu
bersua dengan kita, kirimkanlah warkah teguran kepada mereka... Khalifah Islam
terdahulu juga pernah mengirimkan warkah teguran kepada gabenor yang memerintah
negeri-negeri Islam... Bahkan, warkah kiriman mereka dinukilkan dalam bentuk
yang hanya dapat ditafsir oleh gabenor itu... Betapa mereka menjaga air muka
gabenor mereka, walaupun niat mereka untuk menegur... Di zaman itu, Islam
berdaulat... Kini, apakah kita ingin mendaulatkan Islam dengan menegur mereka
di khalayak? Kita hantarkan warkah teguran kepada mereka, terpulang kepada
mereka samada untuk membacanya atau tidak... Di pihak kita, kita doakan semoga
hati mereka terbuka dengan teguran kita... Niat
yang murni, tidak kelihatan suci jika kita mengaibkan orang lain... Apatah
lagi, jika niat kita telah terpalit kekotoran... Akhirnya, muka kita sendiri
yang dihitamkan oleh Allah SWT...
Bukankah ada hadis yang
mengatakan orang yang paling kuat itu adalah orang yang tidak membalas
kejahatan orang lain dengan kejahatan lain, walaupun dia mampu... Biarlah
mereka jaja keburukan kita ke sana ke mari... Cukuplah sekadar kita berusaha memperbetulkan kesilapan mereka itu
dengan menjelaskan kebenaran perbuatan kita, tanpa cuba menjatuhkan mereka
kembali... Apa yang ada pada kata-kata kita yang menderu kuat untuk
mendedahkan kekhilafan mereka? Nak tunjuk kita ambil peduli? Nak tunjuk kita
lebih baik? Nak tunjuk kitalah yang paling layak? Bukankah kita berpolitik
kerana Allah? Mengapa sampai nak menunjuk-nunjuk kebaikan kita dan menjatuhkan
mereka? Kita ikhlaskan sahaja... Ramai
pemimpin Islam terdahulu yang jasanya lebih besar daripada kita... Tapi,
ada mereka menceritakan kebaikan mereka atau mengungkit perbuatan baik mereka?
Kebaikan dan jasa mereka hanya diketahui setelah diceritakan oleh orang lain...
Itupun perkongsian sebagai pedoman, tanpa niat mencari populariti... Perkongsian yang dilakukan, supaya kita
ambil pedoman untuk kita cuba buat... Bukan sebagai ungkitan, apatah lagi sebagai
memancing undi...
“Pak Ali, dulu pemimpin parti ini membuat jasa...
Sekiranya Pak Ali fikir kami pemimpin kini masih berjasa, Pak Ali boleh undi
calon kami... Jika tidak, Pak Ali bebas memilih calon yang mengikut Pak Ali
cocok...”
“Pak Abu, ni ada duit bantuan sedikit... Bukan rasuah...
Bukan pancing undi... Ikhlas... Pilihanraya nanti, Pak Abu masih boleh pilih
calon parti lain, kalau calon kami tidak sesuai menjadi pemimpin...”
“Pak Mat, niat kami untuk memperjuangkan Islam...
Sekiranya Pak Mat rasa calon kami Islami, Pak Mat boleh undi dia... Jika tidak,
Pak Mat boleh undi insan lain yang lebih sesuai...”
Calon tidak baik, walaupun
dari parti baik, juga tidak bermanfaat buat masyarakat... Kerna calon itu tidak
mampu mencurahkan bakti, bahkan mungkin lebih banyak mengambil kesempatan dan
mengaut untung semata... Kebajikan anak buah di kawasannya akan terabai...
Calon yang baik, dari parti tidak baik, agak susah juga buat masyarakat...
Kerna calon itu mungkin ingin membuat kebajikan, tetapi tiada ruang baginya,
kerna tidak mendapat sokongan dari pihak atasan... Perbandingan PAS dan UMNO,
Insya-Allah keduanya parti yang baik dan berjasa... Yang tinggal hanyalah medium, yakni wakil yang baik, dan keadilan
dalam menjayakan perancangan baik... Insya-Allah, itu lebih senang
dilakukan jika keduanya bersatu... Mereka
boleh saling berbincang dan menerangkan perancangan mereka kepada satu sama
lain, dan saling memberi bantuan dalam perancangan baik masing-masing...
Jika bersatu, pastinya lebih mudah mereka saling menerangkan, dan Insya-Allah
tidak berlaku salah faham yang membawa perpecahan...
Mengapa tidak kita jadikan perbezaan politik ini sebagai perkongsian
tafsiran dari sudut berbeza? Itu pastinya lebih baik, kerna saling
melengkapi... Itulah pentingnya perbincangan, bukannya lekas melatah bila insan
berbeza fahaman politik kita bersuara...
Para Sahabat bersatu
dengan Rasulullah SAW dalam perjuangan baginda, ketika Islam masih lemah, juga
ketika Islam kuat... Islam pernah menaungi dunia... Baik ketika Islam kuat mahupun saat Islam kelihatan lemah di beberapa
negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam, pemimpin Islam lain tidak pernah cuba
menjatuhkan pemimpin negara tersebut... Itulah rahsia Islam kekal lama di
dunia... Islam pernah jatuh, tapi jatuhnya Islam ketika itu kerana umat Islam
lemah dan terlalu alpa dengan dunia... Pada saat Islam jatuh dulu, bukan kerana
perpecahan pemimpin Islam... Apakah kita, kini, ingin menjatuhkan Islam hanya
kerana saling jatuh menjatuhkan? Kita
ingin mengulangi sejarah kegemilangan Islam, bukannya mencipta sejarah baru
kejatuhan Islam!!!
Siapa bersama saya? Saya
tidak akan mengajak sesiapa yang sekata dengan saya untuk berarak... Saya tidak
akan mengajak sesiapa yang sekata dengan
saya untuk berhimpun... Saya tak mampu turun dari negeri ke negeri, atau
kawasan ke kawasan, untuk mengajak semua yang sekata dengan saya... Biarlah
setiap yang sekata dengan saya itu bangkit di tempat masing-masing... Sama-sama
kita laungkan perjuangan kita untuk bersatu atas dasar Islam, dan bukannya
berpecah kerana parti... Insya-Allah,
laungan kita itu lebih luas, lebih bersifat seluruh Malaysia... Jika kita
berarak, itu hanya bersifat sehaluan, tidak menyeluruh atau tersebar luas...
Jika kita berhimpun untuk melaungkan perjuangan
kita, hanya bersifat setempat... Apatah lagi jika kita berhimpun dalam
kawasan tertutup... Ayuh kita suarakan dari mana sahaja kita berada, agar suara
itu bergema di Malaysia... Insya-Allah,
suara kita menjadi satu dalam penilaian Allah SWT, kerna Allah akan membantu
umatnya yang berniat ke arah kebaikan... Sungguhpun kita hanya mampu
merangkak demi untuk Islam, Allah akan berlari untuk kita...
Jika saya benar,
sebarkanlah... Ini hanya suara hati seorang insan kerdil, yang kecil tiada
apa-apa... Jika saya tersilap, betulkanlah... Sebelum menjadi fitnah... Saya niatkan ini menjadi usaha kecil pendorong
kepada kesatuan kerana Islam... Tidak pernah saya niatkan ini menjadi
fitnah, ancaman, atau pencetus apa-apa yang bersifat keburukan... Saya hanya
mengutuskan warkah ini sebagai suatu suara
kecil yang mengharapkan perpaduan umat Islam atas dasar Islam, yang ingin
melihat kita semua bersatu kerana Islam... Kecewa hati kecil saya saban
setiap hari dipaparkan perpecahan umat Islam kerana perbezaan politik...
Tanpa fahaman politik... Cuma
fahaman Islam yang sedikit... Saya nukilkan warkah ini...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan