KEHIDUPAN INI SINGKAT, TERUSKAN MERINDU...


Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh...
Syukur Alhamdulillah atas rahmat Allah SWT ke atas kita semua... Betapa banyak dan besarnya nikmat dan rahmat Allah SWT kepada kita semua, tidak kira tika kita sedar atau di luar sedar kita...

Tidak lama lagi, Ramadhan bakal meninggalkan kita... Pastinya ramai yang menangisi pemergian Ramadhan ini... Bagi saya, Ramadhan ini meninggalkan memori berharga dalam diri saya... Sungguhpun Aidilfitri yang bakal disambut, jauh dari sisi keluarga, saya tidak begitu sedih... Kerana saya akan merindukan Ramadhan ini... Ada suatu kenangan dalam Ramadhan ini, lebih spesifik, menjelang akhir Ramadhan ini, yang membuatkan saya tidak percaya Ramadhan ini akan berlalu... Apa-apa pun, itulah Qada’ dan Qadar Allah SWT... Tidak hanya manusia, tidak hanya makhluk bernyawa akan terus pergi sehingga akhirnya meninggalkan apa sahaja di sisi mereka... Ketentuan Ramadhan yang hadir lebih kurang sebulan yang lalu juga akan turut berlalu sehingga berakhirnya bulan yang mulia ini buat tahun ini...

            Tidak hairanlah saya begitu menghargai Ramadhan ini, sungguhpun sepanjang lebih 1 per 5 abad usia saya, banyak kali sudah saya bertemu Ramadhan... Ini kerana Ramadhan ini membuatkan saya berfikir sedalamnya... Sehinggakan saya terlintas bahawa hidup ini terlalu singkat... Terharunya saya dengan Ramadhan tahun ini, sehinggakan saya membuat keputusan untuk berkongsi dengan semua...

            Saya memulakan Ramadhan tahun ini, tanpa sebarang perbezaan dengan kebanyakan kita semua... Sahur, kadang-kadang awal, kadang-kadang lewat... Pengisian lebih kurang... Ada aktiviti yang diusulkan pada masa terluang, saya ikuti... Ke sana, ke sini... Ikuti program itu, pengisian ini... Pendek kata, biasa-biasa je... Dalam kesibukan yang kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada ini, beberapa kali saya terhenti seketika... Saya bertanya pada diri sendiri, dalam hati, “Bagaimana keadaan ‘Aisyah’ ye? Apakah perkhabarannya? Bagaimana tahap kesihatannya? Bagaimana pula Ramadhannya?”... Ya, saudara dan saudari, sidang pembaca sekalian... Saya merindu... Bukanlah bermaksud ini kali pertama saya merindu, sejak berjauhan benua dengan ‘Aisyah’... Sebelum ini, tidak kurang juga kekerapan kerinduan hadir dalam diri saya... Tapi, di bulan Ramadhan, perasaan yang hadir lebih kepada kerisauan... Ada sesuatu yang membuatkan saya risau akan keadaan ‘Aisyah’... Tidak perlulah saya berkongsi apa yang berlaku, kerana saya sendiri tidak pasti... Saya sekadar mendengar perkhabaran tanpa gambaran depan mata... Namun, perkhabaran itu cukup membimbangkan saya...

            Begitulah hari-hari di awal dan pertengahan Ramadhan saya... Produktif atau tidak, tergantung pada penilaian Allah SWT... Perasaan risau akan keadaan ‘Aisyah’, kadang-kadang timbul membuatkan saya terkedu seketika, kadang-kadang saya tenggelamkan agar tidak terlalu membuai perasaan sehingga hilang fokus pada apa yang seharusnya saya lakukan... Memang saya ada menerima perkhabaran bahawa keadaan ‘Aisyah’ semakin pulih... Tapi, bagi saya, tak salah saya mendoakan kesejahteraan seorang insan agar insan tersebut terus makmur...

            Apa yang ingin saya kongsikan, yang membuatkan saya mengarang nukilan ini, adalah perkhabaran yang saya terima menjelang akhir Ramadhan ini... Tidak pula saya pasti berapa lama perkara ini telah berlaku... Namun, ternyata inilah impian saya selama ini... Inilah doa saya selama ini... Perkhabaran yang saya terima menjelang akhir Ramadhan ini, seakan mencerminkan bahawa doa saya termakbul...

Pengajaran yang ingin saya kongsikan, hidup ini terlalu singkat untuk kita ratapi apa tidak kita miliki... Hidup ini terlalu singkat untuk kita tanyakan, “Lambat lagi ke diri ini akan berkahwin?”. Hidup ini terlalu singkat untuk kita merindukan buah hati kita... Logiknya, jika kita sematkan di jiwa bahawa hidup ini terlalu singkat, mana mungkin kita merasakan lamanya penantian... Logiknya, jika kita ingat bahawa hidup ini terlalu singkat, kita tidak akan membazirkan masa merindukan kekasih hati kita...

Satu lagi pengajaran yang saya ingin kongsikan... Ternyata jika kita ingin mengubah seseorang, tidak semestinya kita mesti mengubahnya secara fizikal... Jika kita inginkan seseorang itu berubah, tidak semestinya kita harus selalu meluangkan masa bersamanya... Jika ditanya, pastinya ada sekurangnya sekumit rasa tidak puas dalam diri insan yang bercinta, meskipun selalu meluangkan masa bersama... Jika ditanya pada insan tersebut akan bagaimana dia ingin mengubah si dia, antara jawapan popular adalah, “Alaa... Lepas kahwin nanti, dia berubah la...”. Dah hangat bercinta, namun masih menunggu setelah berkahwin untuk si dia berubah... Ada juga yang agak ekstrim, cuba mengubah pasangan mereka semasa sedang hangat ber’couple’... Lepas tu, mula la tertekan... Akhirnya, ada yang putus di tengah jalan... Dalam kes saya, kami bukanlah pasangan yang sedang hangat bercinta... Kami sekarang, boleh dikatakan tidak lebih daripada kawan... Setakat termampu, kami saling membantu dalam pelajaran... Setakat termampu, kami saling menasihati...

Apa yang saya ada kini, adalah cinta untuk si dia, bukanlah si dia secara fizikal... Dalam memelihara cinta ini, banyak yang terlintas di fikiran saya... Kebanyakan impian saya adalah inginkan yang terbaik buat dia... Antara harapan saya, semoga saya mampu menjadi yang terbaik juga buat dia, kerna saya inginkan dia memiliki yang terbaik... Oleh kerana itu, saya tidak letih menanti... Ini kerana saya percaya bahawa dalam penantian ini, ada proses yang berlaku, yang mempersiapkan kami ke arah yang terbaik... Jika akhirnya, takdir kami dijodohkan bersama, kami telah siap sebagai pasangan terbaik untuk satu sama lain... Insya-Allah... Jika takdir Allah SWT menetapkan kami bukanlah untuk satu sama lain, setidaknya saya mampu tersenyum kerana mendoakan seseorang sehingga akhirnya dia menjadi pasangan terbaik buat pasangannya...

Apa yang saya titipkan adalah doa berterusan... Hingga akhirnya gambaran hadir menandakan doa saya termakbul... Alhamdulillah, gambaran itu hadir di akhir Ramadhan ini... Jadi benarlah bahawa Ramadhan ini penuh berkah... Benar jugalah janji Allah yang menyuruh kita terus berdoa, nescaya dia akan memperkenankan doa-doa hambanya... Mungkin perubahan ‘Aisyah’ ke arah kebaikan itu bermula dari sebelum Ramadhan... Namun, Ramadhan tetap membawa berkah ke dalam hidup saya kerana perkhabaran tentang ‘Aisyah’ itu benar-benar membuatkan hati saya lega dan seakan melonjak kegirangan... Jika Ramadhan ini turut membawa berkah ke dalam hidup ‘Aisyah’, bermakna berkah Ramadhan itu telah mencapai hidup dua insan... Sejujurnya, saya percaya hidup ‘Aisyah’ turut disinari berkah Ramadhan, kerna ‘Aisyah’ orang yang baik... Dan orang yang baik itu sentiasa disayangi Allah SWT...

Sidang pembaca budiman,
Itulah kegembiraan Ramadhan tahun ini yang ingin saya kongsikan... Semoga nukilan ini membawa manfaat kepada semua... Maafkan saya dari tulus hati saya, jika nukilan ini sekadar membuang masa awak...
Kesimpulannya, Ramadhan benar-benar membawa barakah kepada setiap insan, walaupun insan itu tidak sedari atau mungkin dalam perkara yang di luar jangkauan insan tersebut...
Selain itu, doa bukanlah kata-kata semata... Doa adalah senjata yang hasilnya pasti walaupun mengambil masa yang lama... Jadi, teruskan berdoa tanpa putus asa...
Ketiga, punya cinta tidak semestinya ber’couple’... Kadang-kadang, insan yang tidak ber’couple’ lebih mampu mempersiapkan pasangannya untuk kehidupan bersama, berbanding insan yang selalu bersama...
Akhir kata, hidup ini singkat, teruskanlah merindu... Kerna dalam rindu, ada harapan dan harapan berpanjangan yang tulus Insya-Allah mampu menjadi doa...

HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK KITA BERSIKAP LEMAH DAN CEPAT PUTUS ASA... SIAPA TAHU, JIKA KITA CEPAT PUTUS ASA, AKHIRNYA HIDUP KITA BERAKHIR DALAM PUTUS ASA... PASTINYA KITA MENYESAL AKHIRNYA... SETIDAKNYA, TERUSKANLAH BERDOA DAN KURANGKANLAH MELAKUKAN DOSA...

Ahmad Zakry Haikal
(Ramadhan, 1433 Hijrah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal