Soalnya...:
Assalamualaikum
saudara... Baru-Baru ni, saya ada menonton rancangan Kalau Dah Jodoh Ustaz
Kazim... Dalam rancangan tu, Ustaz Kazim
ada menyebut tentang seorang insan sepatutnya disenangi apabila dia berada
dalam sesebuah kelompok manusia... Persoalan saya, bagaimana jika seseorang
insan tu berada dalam satu kelompok manusia yang jahat, sedangkan insan itu
baik... Tentunya kelompok manusia jahat tidak akan menyenangi seorang insan
baik... Adakah itu mampu menjadi kayu ukur, dan membuktikan bahawa insan itu
tidak cukup baik?
Saudara Q
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Jawabnya...:
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...
Bagus soalan saudara ni... Satu kebarangkalian yang kerap berlaku, seakan satu
fenomena biasa... Bagus untuk kita berfikir dan merenung sejenak... Jadi, saya
cuba jawab la ye...
Ya, betul... Saya
setuju... Seseorang insan yang baik itu akan membuatkan satu kelompok manusia
berasa senang bila ada insan itu di kalangan mereka... Alangkah baiknya
apabila sehinggakan kelompok manusia itu berasa resah apabila insan tersebut
tidak bersama mereka... Sebaliknya, seorang insan yang yang tidak baik akan
membuatkan kelompok manusia resah apabila insan itu bersama mereka, dan
kelompok manusia itu berasa senang apabila insan itu tidak bersama mereka...
Persis seperti yang Ustaz Kazim sebutkan dalam slot Kalau Ada Jodoh itu...
Tapi, bagaimana pula jika insan itu memang baik, berada dalam kelompok yang
tidak baik??? Erm...
Satu hakikat yang saya
rasa kita terlupa saat mempersoalkan isu ni... Hakikat bahawa seorang insan
itu haruslah berasa senang dengan kelompok itu terlebih dahulu, sebelum
mengharapkan kelompok itu senang dengannya... Jadi, tanya pada diri kita...
Apakah kita senang saat kita ingin bersama mereka? Kiranya kita sendiri tidak
senang dengan mereka, apakah layak kita mengharapkan mereka senang dengan kita?
Seharusnya kita adil dalam
situasi sebegini... Jika kita tidak ingin memberi kesenangan hati kita
kepada mereka, kita tidak layak untuk mengharapkan mereka memberikan kesenangan
hati mereka kepada kita... Kalau kita sendiri tidak senang dengan ahli
kelompok itu, kita tetap tidak akan senang dan tenang apatah lagi tersenyum,
apabila mereka melemparkan senyuman atau menghulurkan salam kepada kita...
Inikan pula tatkala mereka tidak mengendahkan kita... Berganda-ganda rasa
terguris kita...
Segalanya bermula dengan
kita... Jika kita senang saat menyertai sesebuah kelompok manusia, tapi mereka
tidak senang dengan kita, cuba periksa balik apa yang tidak kena... Boleh
jadi ada khilaf kita terhadap mereka yang kita tidak sedari... Sekiranya
kita tidak senang dengan kelompok manusia itu, namun sebenarnya mereka senang
dengan kita, periksa juga hati kita... Boleh jadi hati kita ada sekumit noda
yang meresahkan jiwa, dan menyebabkan kita buruk sangka terhadap mereka...
Inikan pula, bila kita tidak senang dengan kelompok manusia itu, dan mereka
juga tidak senang dengan kita... Ini memerlukan kita muhasabah diri kita
lebih-lebih lagi... Boleh jadi kekhilafan hati kita terjelma dalam perbuatan
kita terhadap mereka itu...
Kelompok yang bersama
kita, adalah cerminan kendiri kita... Alhamdulillah, jika mereka senang dengan
kita, dan kita juga senang dengan mereka... Namun, sekiranya mereka tidak
senang dengan kita, boleh jadi ada silapnya... Sekiranya kita silap melayan
mereka, maka perbaikilah... Sekiranya kita telah melayan mereka dengan baik,
namun mereka masih sahaja bermasam muka, boleh jadi ada khilaf kita dengan Yang
Maha Esa... Boleh jadi kita ada tersilap dengan kelompok manusia itu, namun
Allah sembunyikan daripada pengetahuan kita, kerna Allah ingin kita memohon
kepada-Nya...
Sekalipun kita bersama
kelompok yang tidak baik, tetap kita perlu memperlakukan mereka dengan baik... Seharusnya
kita lebih kerap berdoa semoga kita mampu membawakan teladan yang baik (qudwah
hasanah) buat mereka, sehingga suatu hari mereka terbuka hati dan berubah ke
arah yang baik...
Rasulullah SAW, pernah
dihalau dari Bumi Thaif, saat Baginda SAW ingin berdakwah kepada mereka...
Adakah itu bermaksud Rasulullah SAW bukan insan yang baik? Adakah itu bermaksud
Rasulullah SAW tak mampu membawakan qudwah hasanah? Kadar penerimaan sebegitu
tidak mampu menjadi kayu ukur kebaikan seseorang... Namun, pernah ke Rasulullah
SAW berasa baginda lebih baik berbanding penduduk Thaif? Tidak pernah, bukan?
Perlu juga kita tahu,
Thaif bukanlah bumi pertama yang Rasulullah SAW masuk untuk berdakwah... Ada
banyak lagi bumi-bumi lain, yang asalnya penduduk di situ jahil dan berakhlak
buruk, namun akhirnya menerima Rasulullah SAW dan dakwah baginda... Salah
satu sebab kaum jahil itu menerima Nabi SAW dan dakwahnya adalah kerana akhlak
yang ditunjukkan oleh Baginda SAW...
Bahkan akhlak Nabi SAW
pernah menjangkau lingkungan kelompok tempat baginda berada... Ingat saat
penduduk Yathrib (Madinah) meminang Nabi SAW untuk berhijrah ke tempat mereka?
Saat itu Nabi SAW berada di Makkah... Begitulah qudwah hasanah Rasulullah
SAW... Sehinggakan penduduk yang berada di satu negeri jauh daripada tempat
baginda berada tertarik dengan baginda dan ajaran yang baginda bawakan...
Nabi Muhammad SAW telah
menunjukkan kita teladan yang cukup baik... Baginda SAW telah menjawab
persoalan saudara ni, lama dahulu, dengan pengalaman dan reaksi baginda kepada
situasi sedemikian...
Jadi, saudara/ saudari...
Rasulullah SAW, qudwah hasanah baginda telah tersebar melangkau beribu batu... Sehinggakan
orang yang tidak pernah melihat Nabi SAW terpikat dengan baginda... Walau
hanya dengan mendengar cerita-cerita tentang baginda, membuatkan mereka
bahagia... Bagaimana gamaknya kita? Sedangkan ‘coverage’ Celcom, Maxis, Digi,
mampu mencapai 4G, makin meluas liputannya... Inikan pula ‘coverage’ qudwah
hasanah kita...4G kan juga qudwah hasanah kita... Takkanlah kita tidak mampu berkongsi dan menyebarkan
teladan yang baik kepada ramai orang, kan?
Cukup dengan kita ajarkan
sesuatu kepada adik-adik, dan insan-insan sekeliling kita... Apabila mereka
ke sana ke mari, mereka kongsikan pula ajaran kita dengan orang lain...
Cukup dengan kita berakhlak baik dengan masyarakat... Apabila mereka mudik
ke hulu hilir, tersebut-sebut nama kita... Cukup dengan teguran kita secara
berhikmah kepada orang sekeliling kita... Apabila mereka berkelana ke utara
selatan timur dan barat, teguran kita menjadi pedoman...
Biarlah masyarakat
seluruh negeri, negara, nusantara bahkan dunia mampu mengambil manfaat daripada
apa yang kata dan buat... Tak perlu ramai orang kenal kita, kerana kita
tidak inginkan populariti... Tapi, jika ramai orang mencari-cari kita, bersyukurlah
Allah perbaikkan diri kita dan beri peluang kita berjasa...
Terkadang, ada antara kita
tersilap... Kita mengatakan, “Biar dibenci manusia, asalkan Allah sayang...”.
Kita asyik menyebut demikian apabila orang sekeliling menjauhi kita atau tidak sukakan
kita... Tapi, jangan lupa bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Aisyah, “Insan
yang paling rugi di dunia dan di akhirat adalah insan yang dijauhi orang lain
kerana takutkan kejahatannya...”. Jadi, fikir dan renung baik-baik mengapa
orang menjauhi kita... Mungkinkah kerana kita bertabiat buruk?
Wallahu a’lam... Yang baik
itu daripada Allah SWT melalui ilham kepada saya, semoga bermanfaat kepada
semua... Yang buruk, sekecil-kecil rasa riak yang timbul, harap maafkan saya...
Saya tidak sedar berbuat khilaf, kerana saya insan yang lemah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan