MASJID

Jika kita katakan, “Saya ingin membina masjid...”, bayangkan betapa ramai jiran tetangga, kenalan yang akan membantu. Pastinya ramai yang memuji, “Alhamdulillah, ada insan yang berhati mulia, sanggup membina masjid untuk insan beribadat...” dan khalayak akan sentiasa bermanis muka dan memuji tindakan kita.
Jika kita katakan pula, “Saya ingin meruntuhkan masjid...”, bayangkan betapa mereka sekeliling akan mencemuh kita. Sungguhpun masjid yang ingin diruntuhkan itu adalah masjid kita, pasti ada yang mencemuh, “Ya Allah, tegarnya insan itu meruntuhkan masjid yang dibina setelah banyak keringat dicurahkan dalam pembinaannya dan penjagaannya...”. atau yang seumpamanya. Apa lagi, jika masjid yang ingin diruntuhkan itu adalah masjid orang lain, pasti lebih ramai yang mencemuh,  “Subhanallah, apa jenis insan yang sanggup meruntuhkan masjid orang lain?”, dan bermacam lagi.

“Mendirikan rumah tangga ibarat membina masjid”
Ini adalah apa yang ingin saya ketengahkan... Bayangkan mereka yang akan gembira, jika kita nyatakan hasrat kita untuk mendirikan rumahtangga...  Selagi mana insan yang mendengarnya tidak berhati busuk dan berkepentingan lain, selagi mana insan yang menjadi pilihan kita adalah yang terbaik buat kita dan menenangkan insan sekeliling, dan selagi mana jalan yang kita pilih dalam proses ke arah mendirikan rumahtangga tidak bertentangan dengan syariat Islam, Insya-Allah mereka yang mendengar perkhabaran kita akan bermanis muka dan memuji kita...
Jika kita sedar akan besarnya hikmah perkahwinan itu, pastinya kita sedar betapa pembinaannya akan membahagiakan dan  menyenangkan orang lain. Pastinya kita akan sedar akibat jika rumahtangga itu diruntuhkan... Dalam membina rumahtangga itu, Insya-Allah ramai yang membantu kerana semua sedar akan mulianya dan betapa ia akan membahagiakan mereka... Banyaknya kudrat yang dicurahkan, banyaknya pengorbanan untuk membina rumahtangga itu, seharusnya membuatkan kita berfikir berjuta kali untuk meruntuhkannya, kerna kita patut sedar akan impaknya setelah rumahtangga itu runtuh...
Semurni niat, sepertimana pembinaan masjid, tiada apa yang perlu disulitkan dalam mendirikan rumahtangga... Oleh itu, mudahkan proses membina rumahtangga itu... Dengan mas kahwin berpatutan, mahar seikhlas yang memberi, izinkanlah rumahtangga itu terbina dengan redha Allah Taala, dalam majlis yang seadanya... Apa yang penting? Ya, kerjasama... Kerjasama dua buah keluarga dalam bertimbang rasa, kerjasama jiran tetangga dalam gotong-royong majlis dan menerima sekadarnya... Tidak perlu mengharapkan yang berlebihan... Apa yang penting? Kerjasama... Apa yang lebih penting? Rumahtangga terbina...
Ibu bapa si dara sayangkan anak mereka? Apakah mas kahwin dan mahar yang tinggi menjadi bukti ibu bapa sayangkan anak mereka? Apakah kita lupa, bahawa perkahwinan itu punya maksud yang lebih bermakna? Dengan mengahwinkan anak gadis, ibu bapa menambahkan jumlah anak lelaki dalam keluarga mereka... Sekurangnya, mereka tidak lagi perlu bimbang keselamatan anak gadis mereka, kerna sudah ada yang sudi menjaga... Pergi dan pulang dari rumah, sudah ada yang memantaunya... Sekurangnya, anak gadis mereka sudah terbukti berdikari... Jika ibu bapa sakit, tidak lagi perlu bimbang keselamatan anak gadis mereka untuk balik kampung, kerna sudah ada yang sudi menghantarnya... Dari sudut ibu bapa si teruna, seharusnya mereka berbahagia kerana sudah ada yang sudi menjaga makan minum anak mereka...

Majlis yang gilang gemilang? Teringat saya akan seorang hamba Allah yang pernah berkata, “Sepertimana gemilang majlis perkahwinan itu diraikan dulu, seperti itu jua perceraian harus diraikan kini”... Bukanlah saya bermaksud perkahwinan harus sekadar sahaja, supaya perceraian lebih senang nanti... Tapi, sepertimana masjid yang kita seharusnya berbangga dengan masjid yang bertahan lama, yang membuktikan bahawa Allah memeliharanya, bukanlah berbangga dengan majlis perasmian masjid yang besar-besaran... Berniat untuk menyampaika perkhabaran terbinanya masjid itu, cukuplah sekadar papan tanda... Begitulah jua perkahwinan, mulakan perkahwinan itu sekadarnya, pohonlah agar Allah memeliharanya supaya ia bertahan lama, dan doakan jua supaya rumahtangga itu tidak akan roboh... Sebagai perkhabaran kepada tetangga, cukuplah majlis kecilan sekadarnya dan cincin kahwin sebagai tanda... Jangan dibazirkan duit yang ada pada majlis perasmiannya, lebih baik duit itu dibelanjakan pada pemeliharaannya dan baik pulih kelak...
Sepertimana masjid, rumahtangga juga memerlukan asas yang kukuh... Allah Maha Besar dalam menetapkan hukum alam untuk kita ambil sebagai pengajaran... Sesuatu yang dibina pada asas yang tidak kukuh, pastinya menanti roboh... Namun, jika sesuatu itu dibina pada asas yang kukuh, Insya-Allah, kan kukuh... Letaklah seberapa banyak pasak yang kita ingin dalam membina rumah tangga, sekurangnya jika satu pasak retak, ada lagi pasak lain menahan sementara kita baiki pasak yang retak itu... Tapi, harus diingat, tiang serinya harus kuat dan sentiasa dijaga agar tidak goyang dan rumahtangga yang dibina tidak menjadi bala buat manusia... Apa itu tiang seri rumah tangga? Jika harta, berjutalah kepingan syiling, emas, perak yang kita perlukan untuk membina tiang seri itu... Jika senyum tawa, berteraburlah gigi dalam membina tiang seri itu... Jika tubuh badan sasa, lebih baik membina gymnasium dari membina rumahtangga... Tiang seri rumahtangga adalah agama... Dengan erti kata lain, keredhaan Allah SWT membuktikan keteguhan tiang seri rumahtangga... Sepertimana namanya ‘tiang’, tegakkan dan teguhkanlah ia... Sepertimana namanya ‘seri’, gilaplah dan kilatkanlah ia agar ia kekal seri... Unsur-unsur lain, cukuplah sebagai pasak-pasak biasa sekadarnya berdasarkan keperluan rumahtangga yang terbina...
Jika ia ‘masjid’, janganlah dirobohkannya... Perkahwinan bukanlah sekadar menyatukan dua jiwa sebagai suami isteri, yang mana bila sudah hilang minat, boleh sekadar dicatu... Perkahwinan adalah penyatuan dua buah keluarga, boleh jadi memakmurkan dua buah kampung atau daerah... Perkahwinan juga mampu menjalinkan dua buah negeri atau negara... Jika kita sedar hakikat perkahwinan itu, bukan sekadar kita bersatu dengan dia, adakah kita masih memikirkan perceraian? Pernahkah kita fikirkan akan mengapa perkahwinan itu disenangkan dalam Islam, sedangkan perceraian memerlukan tempoh yang agak lama dan harus melalui banyak tapisan? Soalnya, mengapa demikian? Kerna fitrah perkahwinan itu Insya-Allah menyenangkan, sedangkan perceraian itu merumitkan... Rumitnya perceraian itu, bukan sekadar merobohkan rumahtangga yang terbina, namun sehingga menggegarkan Arasy Allah SWT, kerna perceraian itu mampu memutuskan silaturahim dan membuatkan berlaku permusuhan...
Cuba renungkan, apakah mungkin bagi lelaki dan wanita yang telah bercerai untuk duduk berbincang, sepertimana sewaktu mereka masih suami isteri? Pergaulan lelaki dalam Islam, haram sebelum kahwin, halal sewaktu berkahwin, dan kembali haram setelah bercerai... Itu hakikat yang perlu kita faham... Mengapa mengharamkan kembali apa yang pernah halal antara suami isteri, dengan melangsungkan perceraian? Bukanlah saya ingin mengajak semua menolak takdir Allah... Tetapi, saya ingin semua berfikir, adakah sudah tiada jalan lain, selain perceraian? Jika sebelum bercerai, kita katakan, “tidak boleh dibawa berbincang”, apakah “sudah boleh dibawa berbincang” setelah bercerai? Jadi, mengapa tergesa-gesa?

Di mana kita letakkan Islam dalam kronologi kita? Pada peringkat memulakannya, memeliharanya, atau mengakhirkannya? Jika kita letakkan Islam pada semuanya, Insya-Allah tiada masalah bagi kita... Jika hanya pada peringkat memulakannya, mengapa tidak pada peringkat memeliharanya? Jika hanya pada peringkat memulakannya dan memeliharanya, mengapa tidak pada mengakhirkannya? Jika kita tidak memulakannya denga Islam, sukar untuk kita memeliharanya dengan Islam, dan kemungkinan besar kita akan akhirinya tanpa syariat Islam... Jika telah kita mulakannya dan pelihara rumahtangga itu dengan syariat Islam, dan kita terpaksa mengakhirinya, akhirilah ia dengan syariat Islam, pastinya lebih tenang dan tiada masalah...
Dalam Islam, seorang lelaki mampu mengenali seorang wanita di waktu pagi, bertunang di waktu petang dan mengahwininya di malam hari... Insya-Allah, ianya senang dan mampu berlaku dalam satu hari... Itu kahwin dalam Islam...
Untuk bercerai, jika suami isteri bergaduh di waktu pagi dan bercerai di tengah hari, hari yang sama, apakah itu perceraian dalam Islam? Tidak, salah sekali... Dalam Islam, jika suami isteri bergaduh, mereka perlu cuba untuk berbincang... Jika perbincangan gagal dan tidak berkeputusan baik, mereka perlu berpisah tempat tidur... Jika berpisah tempat tidur gagal dan masih meledakkan marah, mereka perlu berpisah tempat tinggal... Jika berpisah tempat tinggal masih gagal dan tiada perkembangan positif, barulah mereka boleh berbincang untuk bercerai secara damai... Logik akal, apakah mungkin semua proses ini dilakukan dalam sehari atau sekadar tempoh masa yang singkat? Pastinya tidak...

Fikirkanlah akan senangnya perkahwinan itu dan sedarilah hakikat rumitnya perceraian itu... Kerna apa yang disyariatkan itu ada hikmahnya... Bukan untuk menyusahkan umat, tetapi agar kita berfikir...

MENDIRIKAN RUMAH TANGGA ITU IBARAT MENDIRIKAN MASJID... BINALAH, DAN JANGAN PERNAH TERFIKIR UNTUK MEROBOHKANNYA KERNA SETIAP MASJID YANG DIBINA KERANA ALLAH, AKAN DIPELIHARA OLEH ALLAH... INSYA-ALLAH...

DENGAN ISLAM, INSYA-ALLAH BERTAMBAH KADAR PERKAHWINAN DAN BERKURANG PERCERAIAN... INSYA-ALLAH, BERKURANGLAH MAKSIAT, DENGAN ISLAM... KERNA ISLAM ITU CARA HIDUP DAN ISLAM INGINKAN KESENANGAN BAGI UMATNYA...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal