Terlalu kerap dan banyak
keluhan yang didengari, daripada para guru, mahupun bakal guru... Sakitnya hati
mereka setelah kerjaya guru seakan dianaktirikan... Kerjaya mereka
diperkotak-katikkan... Salah sebahagian mereka dperbesar-besarkan, malah
dihebah-hebahkan... Baru-baru ini, ada beberapa orang kawan-kawan saya, para
guru pelatih, berkongsi satu artikel tentang seorang insan yang mempertikaikan
tindakan kerajaan membiayai pengajian guru-guru pelatih melanjutkan pengajian
ijazah mereka ke luar negara...
Secara spesifiknya, insan tersebut mempertikaikan tindakan
kerajaan membiayai pelajar-pelajar perguruan ke luar negara untuk mengikuti
pengajian bahasa... Menurut insan itu, kerajaan seharusnya menggunakan wang
tersebut untuk membiayai pelajar-pelajar kursus lain yang lebih kritikal,
seperti perubatan dan kejuruteraan...
Sebagai rakyat Malaysia, sebuah negara yang harmoni, saya
merasakan tindakan insan tersebut sangat tidak patut... Bukan saya ingin
bertindak berat sebelah dengan mengatakan kursus perguruan sangat penting, dan
kursus-kursus lain tidak penting... Menurut pendapat saya, kursus perguruan
juga sama penting dan sama kritikal seperti kursus-kursus lain...
Menurut beberapa kawan-kawan saya yang mengikuti kursus
perubatan, hakikatnya lambakan pelajar perubatan tersangat ramai sehingga
menimbulkan kebimbangan... Menurut mereka, jumlah pelajar yang terlalu ramai
menyebabkan julat doktor muda yang bakal bertugas jauh lebih ramai berbanding
doktor-doktor senior... Sedangkan doktor-doktor muda yang baru berkhidmat
seharusnya terus belajar banyak perkara daripada doktor-doktor senior... Apa
yang bakal berlaku sekiranya doktor-doktor muda terlalu ramai sehingga tidak
sempat belajar dengan doktor-doktor senior? Bukan niat saya untuk
mempertikaikan kualiti doktor yang bakal berkhidmat, tetapi seakan perkongsian
yang bakal berlaku di kalangan doktor muda dengan doktor senior akan menjadi
tidak seimbang... Sedangkan seorang doktor muda perlu terus belajar dengan
doktor senior...
Memang benar Malaysia kekurangan doktor buat masa
sekarang... Akan tetapi, jumlah bakal doktor yang bakal dilahirkan oleh
Malaysia perlu juga dikawal, agar masa depan perubatan di Malaysia lebih
terjamin... Mungkin kawalan pada fasa penghantaran pelajar perubatan perlu
diteliti dengan lebih terperinci...
Maafkan saya... Saya bukan sesiapa, yang pastinya tidak
layak untuk menimbulkan pertikaian berkenaan tindakan kerajaan... Akan tetapi,
pertikaian yang ditimbulkan terhadap pelajar-pelajar kursus perguruan membuatkan
saya terdetik untuk menukilkan sesuatu sebagai tanda prihatin...
Guru-guru adalah golongan yang mencorakkan hidup
anak-anak Malaysia, bakal peneraju negara... Begitu juga bakal guru... Mungkin
jika dilihat pada lahiriahnya, guru boleh dikatakan kerjaya tidak profesional
kerna rutin hidupnya lebih kurang sama setiap hari, berbanding kerjaya-kerjaya
lain yang lebih mencabar... Orang ramai membandingkan kerjaya guru dengan
doktor yang terpaksa berhadapan evolusi virus dan penyakit yang kian kronik... Tapi,
hakikatnya kerjaya guru teramat mencabar, kerna saban hari mereka terpaksa
berhadapan dengan anak-anak yang kian terdedah dengan berbagai anasir tidak baik...
Selain itu, guru-guru juga perlu membangunkan minda anak-anak agar seiring
dengan edaran zaman yang kian moden... Jadi, siapa kata kerjaya guru bukan
kerjaya profesional dan mencabar?
Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya... Boleh
dikatakan setiap hari, kita bercakap tentang globalisasi... Perkembangan minda
amat ditekankan... Beberapa negara diketengahkan sebagai contoh buat kita, juga
generasi muda... Persoalannya, bagaimana kita ingin kongsikan perubahan
tersebut dengan anak-anak sekarang? Bagaimana kita ingin menerangkan
contoh-contoh kemajuan tersebut dengan anak-anak sekarang? Pastinya, ramai akan
mengatakan sekolah sebagai medium penyampaian tersebut... Semestinya
tanggungjawab itu digalas pada bahu guru-guru... Namun, bagaimana guru-guru
ingin berkongsi contoh-contoh tersebut, jika guru-guru sendiri tidak pernah
menyaksikan dan memahami contoh-contoh tersebut?
Kita bercakap tentang perkembangan minda generasi muda,
namun kita menyekat tindakan untuk memajukan medium perkembangan tersebut...
Kita menekankan kemajuan pemikiran warga negara-negara Eropah sebagai contoh
untuk memajukan bangsa kita, tetapi kita mempertikaikan tindakan guru-guru
dihantar ke negara-negara Eropah untuk mengambil contoh dari sana, untuk dibawa
pulang ke Malaysia... Tidakkah perkara ini tersangat ironi?
Menurut sebahagian daripada kita, kerajaan membazirkan
wang jika menghantar pelajar-pelajar perguruan ke luar negara untuk belajar
bahasa... Menurut mereka, Malaysia juga mampu memperkembangkan bahasa bakal
guru-guru tersebut... Ya, mereka benar, jika mereka hanya memikirkan tindakan
kerajaan tersebut semata-mata supaya pelajar-pelajar perguruan dapat mendalami
bahasa... Akan tetapi, pelajar-pelajar perguruan yang dihantar ke luar negara
bukan sekadar diharapkan untuk mendalami bahasa... Pelajar-pelajar itu
diharapkan dapat mengambil teladan dari negara-negara tersebut, untuk dibawa
pulang sebagai perkongsian dalam kerjaya mereka...
Jika pelajar-pelajar jurusan perubatan perlu dihantar ke
luar negara untuk mendalami sistem perubatan, mengapa tidak perlu
pelajar-pelajar jurusan perguruan dihantar ke luar negara untuk mendalami
sistem sistem pendidikan? Jika pelajar-pelajar jurusan kejuruteraan perlu
dihantar ke luar negara untuk mendalami teknologi kejuruteraan, mengapa tidak
perlu pelajar-pelajar perguruan dihantar ke luar negara untuk mendalami
teknologi dan metodologi pendidikan? Jika pelajar-pelajar jurusan lain perlu
dihantar ke luar negara demi pembangunan negara, mengapa pelajar-pelajar
jurusan perguruan tidak perlu dihantar ke luar negara demi pembangunan modal
insan yang bakal menerajui negara?
Jika jurusan-jurusan profesional lain dianggap jurusan
kritikal, mengapa jurusan profesional perguruan tidak dianggap kritikal? Jika
benar kita ingin penghantaran pelajar ke luar negara dihentikan, kita patut
menyarankan penghantaran pelajar-pelajar setiap jurusan dihentikan, bukan hanya perguruan... Jika
kita ingin penghantaran pelajar ke luar negara dihentikan secara berkala,
seharusnya penghantaran pelajar-pelajar jurusan pendidikan dihentikan akhir
sekali... Pada pendapat saya, setiap pelajar perlukan pendidik... Jika kita
inginkan pelajar maju, mengapa mesti kita hentikan kemajuan pendidik... Jika
kita inginkan pelajar-pelajar mendapat pendidikan tempatan bertaraf
antarabangsa, mengapa kita harus mempertikaikan tindakan agar para pendidik
bertaraf antarabangsa?
Jika dikira daripada perspektif tanggungjawab yang bakal
digalas oleh mereka, bakal guru patut dihantar ke setiap negara di dunia ini...
Supaya mereka dapat mengambil pedoman dari setiap negara tersebut, demi
membangunkan generasi muda yang bakal diajar oleh mereka... Dengan itu, barulah
kita dapat bercakap tentang contoh dari negara-negara luar ke arah transformasi
kemajuan negara kita, terutama terhadap kemajuan pemikiran rakyat...
Tiada amarah mahupun dendam dalam saya menulis nukilan
ini... Sekadar pendapat seorang insan yang kerdil, yang masih cuba memahami fenomena-fenomena
di Malaysia... Masih diri ini cuba memahami apa yang sedang berkeliaran di
sekitar masyarakat, dalam setiap insan di Malaysia... Diri ini sekadar
berkongsi pendapat, tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana pihak... Tidak
juga diri ini bersikap berat sebelah, atas apa jua unsur atau elemen diri
ini... Sekadar diri ini cuba membela nasib guru-guru dan bakal guru yang seakan
semakin anaktirikan oleh segelintir pihak...
Jika kita berbicara tentang ADIL, ADILkanlah diri kita seADIL-ADILnya...
Jika kita berbicara tentang JIMAT, JIMATkanlah diri kita
seJIMAT-JIMATnya...
Jika kita berbicara tentang KRITIKAL, KRITIKALkanlah diri kita
seKRITIKAL-KRITIKALnya...
Jika kita berbicara tentang perTIMBANGan, TIMBANGkanlah diri kita
seTIMBANG-TIMBANGnya...
Wujudnya doktor, demi kemajuan perubatan...
Wujudnya arkitek dan jurutera, demi kemajuan perindustrian...
Wujudnya saintis, demi kemajuan kajian...
Wujudnya guru, demi kemajuan pendidikan bangsa...
Setiap yang wujud, ada tujuannya...
Apa pun yang ditampilkan oleh seseorang insan hari ini,
Adalah kerna didikan ibu bapanya,
Atau mungkin ajaran gurunya...
Jika ibu bapanya begitu cemerlang,
Boleh jadi juga hasil ajaran guru mereka dahulu...
Fikirkanlah tentang siapa kita kini, dan bagaimana kita boleh berada di
sini...
Fikirkan hasil keringat siapa kita berjaya...
Siapapun dia, dia telah berjaya mendidik kita...
Kerna dia digelar pendidik...
Maka, layaklah dia digelar guru...
Sungguhpun kita bergelar doktor, profesor, atau apa jua,
Itu kerna kita punya dia sebagai guru...
Seorang guru layak menerima Ijazah Kedoktoran,
Sungguhpun dia tidak menyambung pengajian Ijazahnya,
Sungguhpun dia masih di sekolah biasa,
Kerna seorang guru sentiasa belajar dan mengkaji tentang
pelajar-pelajarnya...
Saban hari, setiap masa dia terkenang, dia berfikir...
MASIHKAH ADA YANG SANGGUP MEMPERSOALKAN KERJAYA GURU SEBAGAI TIDAK
PROFESIONAL DAN TIDAK KRITIKAL???
Jika hari ini seorang insan berfikiran kritikal, ia adalah kerna seorang
guru yang dianggap biasa...
Nota:
SELAMAT HARI GURU... Buat guru-guru seluruh dunia... Mungkin agak awal
kerna belum 16 Mei, namun dirimu guru tetap ku hormati...
Buat guru-guru saya, mungkin cikgu tidak kenal siapa sebenarnya Ahmad Zakry
Haikal ini... Namun, ketahuilah bahawa saya amat sayangkan cikgu dan hormati
cikgu kerna berjaya mendidik saya yang biasa-biasa je ni... Saban waktu wajah
cikgu muncul di ingatan, setiap waktu, selepas solat, saya doakan cikgu... Saya
harap, apa jua yang saya lakukan, mampu membuatkan cikgu bangga...