SAF KAMI MANTAP!

Imam merangkap ketua berdiri tegak. Memandang ke arah barisan makmum di belakangnya. “Luruskan dan rapatkan saf...”. Setelah yakin saf makmum di belakangnya telah lurus, imam kembali memandang ke hadapan, bersedia untuk mengangkat takbir. “Allah Akbar”, takbir imam disusuli oleh makmum di belakangnya...

Solat Isya diteruskan, tanpa apa-apa yang menghalang. Selepas tahiyyat awal dan semua jemaah bangun untuk rakaat ketiga, seorang makmum baru masuk untuk menyertai jemaah. Oleh kerana barisan di hadapan telah penuh, dia berdiri di barisan belakang. Setelah mengangkat takbiratul-ihram, dia mencuit bahu pemuda di hadapannya, yang berdiri di tengah-tengah barisan hadapan. Pemuda tersebut melangkah ke belakang untuk menemani pemuda yang keseorangan tadi, meninggalkan saf hadapan kosong di ruang tengah. Sebaik 2 pemuda tersebut membentuk barisan kedua, Imam mengangkat takbir meneruskan rakaat ketiga...

Imam dan jemaah bangun untuk rakaat keempat. Ruang tengah barisan hadapan masih lopong. Pemuda pertama di sebelah kanan dalam barisan hadapan memulakan langkah untuk mengisi ruangan kosong tersebut, diikuti pemuda kedua di sebelah kanan. Begitulah selanjutnya, kesemua pemuda di sebelah kanan barisan hadapan bergerak sedikit demi sedikit sehingga tiada renggang antara jemaah barisan pertama. Segala ini berlaku dalam tempoh yang begitu pantas, tidak sampai seminit, mungkin juga tidak sampai 30 saat, tanpa sedikit pun mengganggu perjalanan solat. Akhirnya, solat Isya sempurna terlaksana...

Begitulah analoginya perjuangan umat Islam. Setiap kali berjuang, kami berdiri rapat, tegak dan teguh, bahu bertemu bahu dan kaki bertemu kaki. Semua menghadap lurus ke arah yang sama, tanpa serong. Setiap pejuang mendengar dengan teliti arahan ketua merangkap panglima. Setelah barisan dipastikan sempurna, barulah kami mula berjuang. Begitulah hakikat perjuangan dalam Islam. Setiap perjuangan Islam itu hanya terlaksana setelah segalanya sempurna dan saf pejuang mantap...

Perjuangan dalam Islam, tiada halangan bagi sesiapa sahaja yang ingin menyertai saf pejuang. Setiap yang ingin turut berjuang dalam saf, diterima dengan terbuka. Sekiranya saf pejuang di hadapan telah penuh, tidak salah untuk membuka saf baru denga niat perjuangan yang sama. Dalam saf perjuangan Islam, tidak dibiarkan pejuang di barisan belakang berjuang sendirian. Yang menemani, bukanlah yang cikai. Pejuang tengah dari barisan hadapan sanggup turun untuk menemani ahli saf belakang yang mulanya keseorangan. Padahal pejuang tengah ini mulanya berdiri betul-betul di belakang ketua...

Perjuangan Islam, saf yang lopong tidak kan terbiar lama. Dalam tempoh yang begitu pantas, pejuang kanan pertama akan bergerak menggantikan tempat pejuang tengah. Begitulah seterusnya, kesemua pejuang kanan akan bergerak ke kiri sehingga saf perjuangan kembali rapat. Bukannya bermakna pejuang-pejuang kiri tidak mampu atau disia-siakan, tetapi yang di kanan lebih afdhal. Sepanjang pembentukan kembali saf ini, perjuangan tidak sedikit pun terusik sehingga matlamat perjuangan tercapai...

Kepada sesiapa yang ingin cuba memutuskan saf perjuangan kami, silakan... Akan tetapi, maklumlah bahawa saf kami sentiasa lurus dan teguh, tidak pernah terpesong dari halanya... Maklumlah bahawa saf kami tidak pernah menolak sesiapa untuk turut bersama berjuang dengan niat yang sama... Maklumlah bahawa pejuang yang keseorangan di barisan belakang akan ditemani oleh pejuang tengah barisan hadapan kami... Maklumlah bahawa yang menggantikan tempat pejuang tengah adalah pejuang kanan kami... Maklumlah bahawa kami sentiasa merapatkan saf kami dalam perjuangan kami, sehingga tiada terlihat lopong di tengah-tengah barisan kami... Apa yang pasti, tiada lopong di tengah saf kami untuk membuatkan kami renggang dalam perjuangan... Bolehlah dicuba kredibiliti pejuang-pejuang kanan dan kiri kami sekiranya ada yang berani berkeinginan demikian... Maklumlah bahawa perjuangan kami tidak akan terhenti mahupun terusik sebelum kami sampai ke matlamat kami...

Usah persoalkan saf kami kerana SAF KAMI MANTAP!

(Analogi Isyak 6 Muharram)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal