Terkenangkan satu bahagian kisah Nabi Ibrahim...
Ketika Nabi Ibrahim AS dibakar oleh Firaun,
ada seekor burung kecil menggunakan paruhnya untuk mengambil air dan menitiskan
air itu ke atas api yang sedang marak... Pabila ditanya kenapa ia berbuat
demikian sedangkan tindakannya itu tidak sedikitpun terlihat terkesan ke atas
api... Tindakannya dianggap sia-sia... Jawab burung kecil itu, setidaknya ia
berbuat sesuatu berbanding hanya melihat...
Persoalannya, kenapa
burung kecil itu tidak menyuruh gajah, yang besar, yang punya belalai, yang
mampu menyedut lebih banyak air untuk memadamkan api itu? Apa pendapat saudara
dan saudari sekalian?
Jawapan saya, kerana
burung itu tak nak cakap je... Burung kecil itu ingin berusaha dengan apa
adanya pada ia... Burung kecil itu merasakan tanggungjawabnya dalam membantu
Nabi Ibrahim AS... Burung itu tidak ingin melepaskan tanggungjawab dengan hanya
mencari gajah dan berkata, “Gajah, kau mampu memadamkan api tu... Gunakanlah
kelebihan kau tu untuk menyedut air dan memadamkan api tu...”.
Burung kecil itu
sebenarnya memberi pengajaran berguna kepada kita semua... Tanggungjawab tidak
menanti insan yang sempurna... Apa yang penting, bukan kejayaan, tetapi
usaha... Dalam sesuatu tanggungjawab, semua insan mampu berusaha, dengan
kelebihan masing-masing... Walaupun hasilnya sukar terlihat, atau tidak
tertampak, sekurangnya kita berusaha...
Insya-Allah, tiada yang
sia-sia dalam usaha ke arah kebaikan... Kadang-kadang, sekecil-kecil peluru
lebih mampu membunuh berbanding sebesar-besar jerat... Sedangkan sebesar-besar
senapang tidakkan mampu digunakan untuk menembak, tanpa sekecil-kecil picu...
Maksudnya, berusahalah walaupun usaha kita hanya kecil di mata insan lain...
Siapa tahu, usaha kecil kita mampu memberi impak yang besar dalam usaha
kebaikan... Boleh jadi, sekecil-kecil usaha kita diperlukan untuk pergerakan
sesuatu jentera kebaikan...
Usahlah kita hanya diam
menantikan kehadiran insan yang TERBAIK untuk melaksanakan sesuatu... Semampu
kita berusaha, kita usahakan...
Insya-Allah, usaha kita akan dikira sebagai pahala, sebagai bekalan kita
di akhirat nanti... Siapa tahu, usaha kecil kita tu mungkin menjadi bekalan
kita sepanjang hidup ini... Dalam berusaha, mungkin kita belajar sesuatu untuk
pedoman hidup... Itu pastinya lebih baik, berbanding insan lain yang menantikan
masa untuk mencurahkan bakti berimpak besar. Mereka telah melepaskan peluang
untuk belajar sesuatu, kerna mereka terlambat dalam berusaha...
Seperkara lagi, pernahkah kita terfikir akan sesuatu?
Mengapa Allah SWT temukan kita dengan sesuatu perkara atau cabaran? Mungkinkah
perkara atau cabaran itu didedikasikan kepada kita? Jika demikian, mengapa kita
mengelak darinya? Sesuatu perkara atau cabaran yang ditemukan dengan kita oleh
Allah SWT, adalah untuk kita usahakan dan kita belajar, setidaknya belajar
bagaimana untuk mendapatkan bantuan atau siapa yang boleh kita minta bantuan
dan menemani kita sepanjang perjuangan... Tidak sesekali ia ditemukan dengan
kita, untuk kita elakkan...
Begitulah seharusnya kita
dalam hidup ini... Tidak hanya dalam usaha kita, tetapi juga dalam menghargai
insan sekeliling kita... Janganlah sekali-kali memperkecilkan usaha insan
lain... Apatah lagi, hakikatnya tidak layak kita mentertawakan seseorang kerana
kita anggap usahanya sia-sia... Jika kita benar-benar yakin usahanya sia-sia,
nasihatilah insan itu elok-elok, dengan sebaik-baik nasihat... Tetapi,
janganlah sekali-kali kita memperlekehkan insan itu, kerna kita tak tahu dan
mungkin kita tak sedar apa yang telah dia belajar dalam tempoh usahanya...
Kadang-kadang, kejayaan
mengambil masa... Kita mungkin mampu usahakan sesuatu dalam masa sehari,
sedangkan teman kita mengambil masa seminggu mengusahakannya... Namun,
janganlah kita terlalu berbangga, kerna mungkin hasil usaha kita bergred B
sedangkan hasil usaha teman kita bergred A... Sungguhpun kita mampu
mengusahakan sesuatu dalam masa singkat dan mencapai gred A, kita masih tidak
layak untuk terlalu berbangga kerna teman kita mungkin mengusahakan sesuatu itu
dalam tempoh yang agak lama, namun hasilnya berbilang-bilang atau bertali arus
dan berkaitan dengan perkara lain... Kita masih layak berbangga dengan usaha
kita, namun kita tidakkan pernah memperlekehkan usaha insan lain kerna ada
hikmah di sebalik segala sesuatu...
Dalam soal berbuat silap,
semua insan berbuat silap... Namun, silap seseorang insan akan nampak begitu
besar, hanya kerna ia digembar-gemburkan... Kalau ada yang silap, seharusnya
pembetulan dilakukan dalam keadaan sulit atau setidaknya secara terhormat...
Rugi RM 1 daripada RM 10, tidak sama dengan rugi RM 1 juta daripada RM 10 juta,
walaupun kedua-dua kerugian adalah 10% daripada jumlah asalnya... Akan tetapi,
pertimbangan kerugian itu adalah tertakluk pada setiap individu... Ada insan
yang memperkatakan kerugian RM 1 sehingga sekampung, sedangkan kerugian RM 1
juta didiamkan... Ada juga insan yang memperkatakan kedua-dua kerugian, namun
tidak bertindak... Ada insan yang memperkatakan kedua-dua kerugian, dan turut
memperkatakan tindakannya... Ada juga segelintir insan yang mendiamkan
kedua-dua kerugian, namun dalam diam bertindak... Apa jua pertimbangan dan
tindakan, terpulang kepada individu dan keadaan, dan pastikan tidak bertujuan
untuk kepentingan peribadi...
Rasanya, cukuplah celoteh
saya kali ini... Apa yang saya ingin sampaikan, USAHA TETAP USAHA, TIDAK
MENGIRA USAHA KECIL ATAU USAHA BESAR... Yang penting, kita sedar
tanggungjawab kita berdasarkan kebolehan kita... Penciptaan manusia punya
tujuan tersendiri, bukan sia-sia... Sekalipun sehingga saat ini, kita masih
tidak menyedari kebolehan kita, tiada salahnya kita berusaha... Apa yang
penting, kita sudi belajar sepanjang perjuangan kita... Apa yang penting juga,
kerjasama... Sudilah membantu perjuangan teman-teman kita, kerna ia juga satu
usaha ke arah kemajuan insan... Lebih baik kita fokuskan kepada kekuatan kita
ke arah kebaikan, berbanding terlalu asyik menyebut kelemahan insan lain...
Selain itu, janganlah sesekali kita menyesali kelemahan kita, kerna kita masih
mampu belajar dari kehidupan...
RM 9.90 masih bukan RM 10, tanpa RM 0.10...
Satu set ‘puzzle’ memerlukan kepingan bermacam bentuk, berbilang saiz...
Satu angkatan tentera merupakan satu pasukan askar dari jawatan prebet
sehingga Mejar Jeneral (atau jawatan yang lebih tinggi)...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan