Allah ada dalam jubahku...
Allah ada dalam kocekku...
Akulah Allah...
Itu kata-kata Al-Halaj yang
popular... Siapa Al-Halaj? Pemimpin kumpulan ajaran sesat ke? Atau mungkinkah
Al-Halaj adalah pengasas ajaran sesat, kerana mengaku sebagai Allah?
Saudara/Saudari yang diberkati Allah,
Al-Halaj adalah seorang ahli
tasawwur ketuhanan yang tersangat tinggi ilmunya... Tapi sayang, beliau telah
dihukum bunuh kerana kata-katanya itu... Pemimpin menjatuhkan hukuman bunuh ke
atas Al-Halaj kerana dikhuatiri akan menyesatkan masyarakat... Tapi, betul ke
kata-kata Al-Halaj itu bertujuan menyesatkan?
Setelah Al-Halaj dihukum bunuh,
latar belakang beliau telah diselidiki... Ilmuwan yang menyelidiki latar
belakang Al-Halaj mengesahkan, bahkan menjamin bahawa Al-Halaj tidak pernah sekalipun melakukan percubaan untuk menyesatkan
masyarakat...
Apa maksud sebenar Al-Halaj dengan
kata-kata tersebut? Maksud beliau melalui kata-kata beliau itu adalah, apa yang ada di dunia ini adalah jelmaan
hasil kekuasaan Allah... Makna kata, segala apa yang ada dalam jubah
Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah... Apa yang ada
dalam kocek Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah...
Bahkan, diri Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah...
Makna kata lagi, jika Allah tidak
jelmakan kesemuanya apa yang ada di dunia hari ini, termasuk manusia dan apa
yang ada pada manusia, tidak akan terwujud... Oleh kerana Allah wujudkan,
maka menjelmalah hasilnya seperti mana yang ada hari ini...
Jumhur ulama memutuskan bahawa
kata-kata Al-Halaj itu bersifat tidak cermat, dan tidak sesuai dengan tahap
pemikiran masyarakat... Sungguhpun
begitu, Al-Halaj betul, beliau tidak salah sama sekali... Cuma beliau sekadar
cuai dalam kata-katanya... Mengapa tidak sesuai? Kerana masyarakat berpegang
teguh bahawa Allah bersifat tidak bertempat... Pada pemikiran biasa masyarakat,
masakan Allah boleh berada dalam jubah dan kocek? Pada pemikiran manusia biasa,
jika seseorang itu mengaku sebagai Allah, maka itu sudah semestinya sesat...
Sedangkan Al-Halaj tidak berniat sama sekali untuk mengaku sebagai Allah, Tuhan
Yang Maha Esa... Sedangkan Al-Halaj
mengatakan yang benar, yakni beliau dan juga seluruh apa yang ada di dunia
adalah hasil jelmaan oleh Allah SWT...
Baiklah, cukup sekadar itu sebagai
perkenalan kita dengan Al-Halaj, seorang ilmuan tasawwur ketuhanan yang
sangat-sangat hebat... Persoalannya sekarang, kenapa saya mulakan warkah ini
dengan perkenalan Al-Halaj secara panjang lebar?
Saudari/Saudari, hamba Allah bestari,
Dalam kes Al-Halaj ni, salah siapa
sebenarnya? Maafkan untuk saya katakan yang salah sebenarnya adalah
masyarakat... Sekiranya masyarakat
berilmu lebih sedikit daripada yang biasa, Insya-Allah Al-Halaj tidak akan
dihukum sesat... Sekiranya masyarakat tidak terus menghukum, Insya-Allah Al-Halaj
tidak akan dibunuh... Mengapa tiada yang sudi bertanya, “Wahai Al-Halaj,
apa maksud katamu itu?”, dan berkongsi kefahaman yang sebenarnya dengan orang
lain? Jika itu berlaku, Insya-Allah kita
tidak akan kehilangan Al-Halaj, seorang ilmuwan tasawwur ketuhanan yang hebat,
dengan begitu mudah... Jika Al-Halaj tidak dihukum bunuh ketika itu, kita
mungkin dapat lebih mengenali Tuhan dan realiti ketuhanan Allah...
Tapi, apa kan daya... Al-Halaj telah
dihukum sesat dan dibunuh... Namun
begitu, masih ada pengajaran yang mampu kita ceduk daripada peristiwa Al-Halaj
ini... Insya-Allah, sama-sama kita ambil iktibar sebagai teladan hidup...
Pengajaran yang paling penting, jangan kita lekas menghukum orang lain,
apatah lagi seorang yang beilmu, dengan hanya tahap ilmu kita yang dangkal...
Hanya kerana kita tidak faham ucapannya, atau kita salah faham dalam mentafsir
kata-kata dia, kita terus menghukum dia sesat... Jangan, saudara/saudari... Niat
kita mungkin suci dan murni, ingin membanteras kesesatan akidah di kalangan
umat... Namun, apa salahnya kita
menuntut ilmu lebih lagi, untuk memahami apa yang kita sendiri tidak pasti
samada kefahaman kita adalah betul atau tidak? Setidaknya, apa salahnya kita berjumpa insan tersebut, bertanya dan meminta
penjelasan kata-katanya... Sampai nyata kita fahami maksud katanya dengan
jelas, barulah kita menghukum samada insan itu benar-benar sesat atau tidak...
Itu saya ambil dengan anggapan kita semua bersifat neutral... Apatah lagi, jika
ada di kalangan yang menghukum itu cenderung pada mana-mana fahaman politik... Dek kerna taksub, semua yang diungkapkan
parti lawan kita cop karut... Pantang ahli parti lawan mengeluarkan kata-kata
yang tidak tercapai oleh akal kita, kita labelkan sesat... Nauzubillah, itu
salah sama sekali...
Izinkan saya
berkongsi satu analogi... Harap-harap ini mampu meringkaskan maksud saya...
Katakan seorang ustaz, dalam satu ceramah agama yang dihadiri ramai orang,
berkata, “Walaupun sudah sah selesai kita akad nikah, semuanya yang haram
sebelum kahwin, belum halal buat kita...”. Agak-agak, apa kata orang
yang hadir tu? Saya rasa, tidak kurang mereka yang akan menganggap ustaz itu
memberikan ajaran yang salah dan sesat... Cuba kita bertanya, “Apa maksud ustaz tu?”. Kalau ustaz yang
lawak (macam Ustaz Azhar Idrus), akan jawab, “Ye la... Walaupun aurat isteri
yang haram sebelum kahwin, dah halal buat suami selepas kahwin, takkanlah si
isteri nak buka aurat terus lepas akad nikah... Masih haram aurat isteri tu
dibuka depan-depan mereka yang hadir dalam masjid untuk akad nikah...”.
Kalau ustaz yang serius sikit, akan jawab, “Tak semua yang haram itu dihalalkan hanya
dengan ikatan perkahwinan... Contohnya, berjimak melalui dubur... Haram sebelum
kahwin, haram juga selepas kahwin...”.
Nampak tak? Asalnya, nampak kata-kata tu seakan mengelirukan... Kata-kata yang
diucapkan nampak macam ajaran sesat... Tapi, setelah diperjelaskan, panjang lebar, menggunakan bahasa yang lebih
mudah, memang benar kata-kata yang diucapkan... Cuba kalau kita tidak
bertanya dan ustaz tu tidak menjelaskan kata-katanya, apa yang mungkin berlaku?
Tidak mustahil ustaz itu akan dicop sesat, di’ban’ oleh penduduk, dan
dilaporkan kepada Majlis Agama... Silap-silap, ustaz tu arwah direjam oleh
penduduk kampung yang marah...
Persoalan yang mungkin timbul, tak menjadi kesalahan ke ilmuwan yang
mengeluarkan kata-kata yang mengelirukan ni? Bagi saya, bukan salah
mereka... Tapi, salah kita yang tidak
berilmu setinggi mereka... Sesetengah lmuwan, mungkin juga sebahagian besar
daripada mereka, terlalu tinggi ilmu mereka, bahkan mereka masih sibuk menimba
ilmu untuk menambahkan lagi pengetahuan mereka, sampaikan tidak begitu mementingkan
gaya bahasa... Oleh itu, mereka akan berkongsi
ilmu mereka dengan gaya bahasa yang mereka tahu... Apatah lagi, jika kita
ajukan persoalan secara spontan... Sesetengah ilmuwan akan memberi respon, yang
pada mereka wajar... Jika ada yang kita
rasakan tidak kena atau tidak faham dengan respon mereka, menjadi tanggungjawab
kita untuk menerangkan hal sebenar berkaitan persoalan kita... Menjadi
tanggungjawab kita juga untuk memohon penjelasan lebih lanjut sehingga jawapan
mereka yang berilmu ini benar-benar kita faham... Jika kita masih tidak faham,
wajib bagi kita mencari ilmuwan lain yang boleh mentafsir kata-kata tersebut
dalam bahasa yang lebih mudah...
Apatah lagi, jika kita adalah pihak
pengantara... Jika kita bertanggungjawab mendapatkan jawapan berkenaan sesuatu
persoalan, daripada ilmuwan tertentu, kita
wajib memahami betul-betul jawapan ilmuwan itu, sehingga kita mampu hadam
dengan hati yang tenang... Setelah itu, barulah kita boleh kongsikan apa
yang dikatakan... Haram untuk kita
memandai-mandai mentafsir jawapan yang kita terima, sehingga akhirnya apa yang
kita kongsikan menjadi fitnah... Apatah lagi, jika kita menghukum ilmuwan
tersebut sesat, hanya kerana kita tak begitu memahami respon yang diberikan...
Jika kita menghukum ilmuwan itu sesat, dan kita kongsikan pula pendapat kita
yang dangkal tu dengan orang lain, itu nyata sebenarnya KITA YANG SESAT!
Satu lagi contoh yang saya ingin
kongsikan... Sebenarnya, contoh ini bukanlah buah fikiran saya... Ini adalah
contoh yang telah lama Allah SWT persembahkan untuk kita ambil pedoman...
Contoh itu adalah Al-Quran... Silakan saudara/saudari bertanya kepada ahli
tafsir Al-Quran, apa erti sebenar ayat-ayat Al-Quran, secara bahasanya,
diterjemahkan bait demi bait... Saya rasa, jika Al-Quran diterjemahkan bait demi
bait, mahu berputar ligat kepala kita yang membacanya... Kenapa? Kerana karangan bahasa ayat-ayat Al-Quran
itu tersangat tinggi dan rumit, namun indah... Penyusunan bahasa dan maksud
Al-Quran diakui sebagai syair yang tidak terkira tahapnya oleh pakar-pakar
syair Arab... Terjemahan Al-Quran yang kita baca hari ini adalah terjemahan
dalam bahasa yang telah dipermudahkan... Itu bertujuan membantu kita memahami
maksud ayat-ayat Al-Quran...
Pernah tak saudara/saudari terfikir,
kenapa masyarakat Arab dan golongan yang memahami maksud sebenar al-Quran mampu
menangis saat ayat-ayat Al-Quran dibacakan? Sedangkan kita bagaikan tiada
perasaan... Sungguhpun kita dan mereka membaca ayat yang sama, dengan makhraj
yang sama dan tajwid yang serupa, berserta lenggok yang serupa, kita masih
tidak mampu menangis seperti mereka... Mengapa begitu? Ini kerana kita hanya memahami maksud ayat-ayat itu dalam bahasa yang
telah dipermudahkan... Sedangkan mereka memahami ayat-ayat yang sama dengan
pengertian sebenar ayat-ayat itu...
Lantas, sekiranya kita mengetahui terjemahan Al-Quran yang asli, yang
membuatkan kita tidak faham, adakah kita akan menghukum Al-Quran sebagai sesuatu
yang menyesatkan? Cubalah kita berfikir, saudara/saudari yang dirahmati
Allah... Jika kita tidak faham sesuatu kata itu, itu nyata salah kita yang
tidak cukup tinggi ilmu... Sekalipun kita mampu mengagak maksud kata itu, itu
bukanlah mohor untuk kita terus membuat kesimpulan berkenaan maksud kata itu...
Seandainya kita mampu memahami kata itu secara permukaannya, boleh jadi secara
dasarnya maksudnya lain dan kontra sama sekali... Pendek kata, kita kenalah
ambil pengajaran dan iktibar, dan berusaha agar kita tidak mencetuskan fitnah
kerana kejahilan kita...
Contohnya, maksud sebenar ayat ke-3, surah Yaasin, “Sungguh, engkau adalah salah
seorang dari rasul-rasul”... Adakah itu bermakna setiap daripada kita
adalah rasul, kerana kita membaca ayat tersebut dan merasakan ayat itu
ditujukan kepada kita? Nasib baik la terjemahan ayat itu dicetak dengan “Sungguh,
engkau (Muhammad) adalah salah seorang dari rasul-rasul”, yang merujuk ‘engkau’ sebagai Nabi Muhammad SAW...
Jika diambil terjemahan asalnya, tidak mustahil ramai yang akan mengaku sebagai
rasul hari ini...
Bukanlah saya bermaksud bahawa kita tidak layak atau tidak boleh sama
sekali menegur orang lain, hanya kerana tahap ilmu kita cetek... Maksud saya
adalah, kita perlu sangat berhati-hati,
apatah lagi dalam menegur insan-insan yang berilmu... Jangan hanya kerana
kata-katanya tidak lunak dan enak didengar oleh telinga kita, kita terus
menghukum dia sesat... Kadang-kadang, di
kalangan kita sesama insan yang cetek ilmu, mempunyai tafsiran berbeza atas
sesuatu perkara yang sama... Inikan pula tafsiran insan yang lebih tinggi
ilmunya daripada kita... Sudah ternyata gelaran ilmuwan bukanlah gelaran
yang dibeli oleh mereka... Pastinya mereka telah diiktiraf sebagai ilmuwan oleh
ramai orang... ‘Ilmuwan’ adalah gelaran orang kepada mereka, bukan gelaran yang
mereka guna untuk diri mereka sendiri... Jadi,
kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum mereka sesat...
Imam Syafie ada berkata, “Aku boleh
berdebat dengan 10 orang yang berilmu, akan tetapi aku tidak mampu berdebat
dengan seorang yang jahil...”. Adakah beliau bermaksud kita harus berilmu tinggi
sebelum berdebat? Saya ingin berkongsi pendapat beberapa orang ustaz berkenaan
kata-kata Imam Syafie ini, yang saya turut sangat bersetuju dengan mereka...
Mereka mengkiaskan kata-kata Imam Syafie ini sebagai, kita dibenarkan berdebat
demi ilmu... Makna kata, jika niat kita
untuk menambahkan ilmu atau memperbaiki fahaman yang sedia ada, kita dibenarkan
berdebat dengan ilmuwan... Tetapi, jika kita tidak berilmu, malah berniat
untuk menjatuhkan martabat ilmuwan atau mempersendakan mereka, itu adalah
kejahilan yang nyata... Apatah lagi jika
tindakan jahil kita itu menimbulkan fitnah, kita tergolong sebagai pemfitnah
tegar... Ingat, dosa memfitnah lebih besar nilaiannya berbanding
membunuh... Dosa memfitnah hanya boleh
terhapus setelah kita menghilangkan fitnah itu... Makna kata, tak cukup
dengan bertaubat, kita harus meminta maaf pada orang yang kita fitnah, dan
berusaha menghilangkan fitnah di kalangan orang yang menerima fitnah daripada
kita... Selagi fitnah itu masih wujud
dalam mana-mana insan, kita dianggap berdosa...
Ya, dosa pahala hak Allah... Akan tetapi, Allah sendiri ada menyatakan
dengan tegas bahawa dosa kita dengan Allah, boleh terhapus dengan taubat
nasuha; dosa kita dengan insan, hanya boleh terhapus dengan taubat dan memohon
ampun pada insan tersebut... Dengan
memfitnah, kita berdosa dengan Allah, kita bersalah dengan insan yang difitnah,
dan kita turut berdosa dengan orang ramai yang menerima perkhabaran fitnah...
Jadi, kita harus selesaikan salah kita dengan semua pihak tersebut untuk bebas
dari dosa kita memfitnah... Justeru itu, berhati-hatilah saudara/saudari, dalam
mengkritik, apatah lagi mengkritik ilmuwan... Alangkah lebih baik jika kita berfikir, berbanding kita terus
melatah...
Di akhir warkah kali ini, saya tersangat-sangat berharap tiada lagi antara
kita yang dengan bangga berkongsi fitnah, hasil tafsiran sendiri, hanya kerana
tidak berapa faham kata-kata ilmuwan... Kurangkanlah
rasa iri, rasa benci, sehinggakan setiap apa yang diungkapkan oleh orang yang
kita tidak suka itu, kita anggap karut dan menyesatkan... Boleh jadi orang
itu tersangat tinggi ilmunya berbanding kita... Dia telah mengabdikan
sebahagian daripada usianya untuk memahami sesuatu hakikat... Kini, dia hanya
ingin berkongsi ilmunya... Tapi, kita terus menghukumnya sesat, hanya
berpandukan pengetahuan kita yang dangkal... Hakikatnya, kita yang menyesatkan dengan fahaman kita yang bercampur
baur dengan sifat mazmumah...
Sekiranya kita tidak faham, belajar la lebih lagi... Atau, mintalah
penjelasan lebih lanjut... Kita juga boleh tanyakan pada orang lain yang
memahami dan mampu menerangkan dalam bahasa mudah... Yang penting, kita kena bersangka baik, jangan sesekali sedikitpun
bersangka buruk... Insya-Allah, Allah SWT akan buka hati dan bukakan peluang
untuk kita memahami hakikat sebenar...