5 TAHUN SETENGAH…


Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh…
Kawan-kawan, ‘I Love You’…

Haa… Mesti awak semua terkejut kan? Terkesima? Jangan risau… Saya bukan buang tabiat… Seikhlas hati, saya sayangkan awak semua, kawan-kawan saya… Menurut riwayat Abu Daud dan Tirmizi :
“Barangsiapa menyayangi saudaranya, hendaklah dia melafazkan rasa sayangnya itu kepada saudaranya itu”.

            Suatu hari, ketika seorang sahabat berada di hadapan Rasulullah SAW, seorang sahabat lain melintas di hadapan mereka... Lalu, sahabat di hadapan Rasulullah tersebut mengatakan bahawa dia begitu menyayangi sahabatnya itu, yang melintas itu... Apa Rasulullah SAW kata kepada sahabat itu? Rasulullah tanya, “Adakah kamu telah beritahu perasaanmu itu kepada sahabatmu itu?”... Sahabat itu jawab, belum... Lalu, apa yang Rasulullah beritahu si sahabat itu? Rasulullah menyuruh sahabat itu melafazkan perasaannya itu kepada sahabatnya itu...

            Jadi, betul la tindakan saya melafazkan bahawa saya sayang awak semua kan? Maksudnya, awak semua boleh la katakan bahawa awak sayangkan kawan-kawan awak, setiap seorang daripada kita... Jangan malu, jangan segan...

            Apa yang ingin saya kongsikan dan bincangkan dengan awak semua malam ini, bukanlah betapa saya menyayangi awak semua, apatah lagi untuk mempersoalkan samada awak sayangkan saya atau tidak...

Kawan-kawan yang saya hargai dan hormati,
            5 tahun setengah... Tambah tolak, itulah usia persahabatan kita, persaudaraan kita... Jika permulaan kita adalah seumpama awal lahirnya seorang bayi, dalam usia 5 tahun setengah sudah banyak perkembangan pada bayi itu... Selama 5 tahun setengah, pelbagai kerenah bayi tersebut... Namun, pastinya membahagiakan insan sekelilingnya... Begitulah sepatutnya persaudaraan kita ini... Banyak suka dan duka, namun pastikannya membahagiakan... Menjadi tanggungjawab kita untuk berbahagia dengan apa yang ada... Tanggungjawab kita juga untuk membahagiakan mereka di sekeliling kita... Oleh itu, cuba kita tanya diri kita... Setakat mana kita berbahagia ketika bersama satu sama lain? Sejauh mana kita membahagiakan satu sama lain? Apakah kita lebih banyak mengeluh dengan sahabat-sahabat kita ini, berbanding merasa bahagia bersama? Jika kita banyak berbahagia, adakah dengan semua, atau hanya sebilangan sahaja? Jika kita merasa bahagia bersama mereka, adakah kita kerap membahagiakan mereka pula? Persoalan-persoalan ini untuk kita renungkan bersama... Bukan untuk mengungkit, tapi sebagai muhasabah diri...

Sahabat-sahabat sekalian,
            Satu bidalan popular, ‘Tidak sempurna iman seseorang insan itu, melainkan dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi diri dia sendiri’... Saya yakin, ramai antara kita, atau mungkin kesemua kita biasa dengan bidalan ini... Alhamdulillah, kita sedar hakikat itu... Tapi, adakah kita sentiasa mneyedari hakikat itu? Itu terpulang kepada setiap daripada kita untuk menjawabnya...

Seperkara yang ingin saya kongsikan... Serendah-rendah tahap dalam persaudaraan itu adalah ‘Husnuzon’, yakni bersangka baik... Manakala melebihkan kepentingan saudara melebihi kepentingan sendiri adalah tahap tertinggi dalam persaudaraan... Apa yang sering kita ungkapkan adalah tahap tertinggi itu... Alhamdulillah, kita bercita-cita ke arah itu... Tapi, kita harus ingat bahawa sesuatu yang ingin dibina, perlulah dari asasnya, dari serendah-rendahnya, sebelum mencapai setinggi-tingginya... Jadi, dalam persaudaraan kita selama 5 tahun setengah ini, adakah kita bersangka baik dengan satu sama lain? Saya faham, kadang-kadang kita lupa... Setelah kita lupa, kita ingat kembali... Itulah masanya untuk kita kembali muhasabah diri... Setelah peranan kita untuk ‘Husnuzon’ terhadap sesama kita, barulah kita boleh halakan ke arah melebihkan kepentingan mereka berbanding kita...

Satu lagi hakikat yang perlu kita sedar dan sentiasa ingat... Apa ertinya ‘melebihkan kepentingan saudara berbanding kepentingan sendiri’? Ertinya, memberikan yang terbaik buat mereka... Contohnya, jika kita ada 2 biji epal... Satu elok, satu lagi lebam... Yang mana akan kita berikan kepada sahabat kita? Tak perlu jawab kepada sesiapa... Jawablah kepada diri sendiri... Jangan tipu diri... Takde guna tipu diri sendiri...

Kawan-kawan yang diberkati Allah sekalian,
            Sepanjang 5 tahun setengah kita bersama sebagai satu kumpulan besar ni, apa hak kawan-kawan kita yang telah kita tunaikan? 2 hak mereka yang paling senang kita tunaikan, namun tak semua orang mampu lakukan... Apa dia hak-hak tu? Bermanis muka dan doakan mereka... Setiap insan yang hadir dalam hidup kita, berhak menerima muka manis daripada kita... Apatah lagi, jika insan-insan tersebut adalah mereka yang kita banyak luangkan masa hidup bersama mereka... 5 tahun setengah, tak cukup lama lagi ke untuk kita sentiasa senyum kepada kawan-kawan kita? Jangan risau... Takde orang nak kata kita gatal pun, kalau kita sentiasa bermanis muka... Hanya orang yang berhati kotor akan memandang negatif pada manis muka orang lain... Ya, memang tak semua orang baik... Tapi, yang mana lebih dipandang Allah, yang baik atau yang tak baik? Katanya, kita hidup kerana Allah... Jadi, kenapa kita takut menjadi ‘asing’ di kalangan manusia yang tidak berhati baik tu? Sebenarnya, petuanya mudah je... Kalau kita jarang senyum, tiba-tiba kita senyum, memang orang akan pandang lain macam... Tapi, kalau kita sentiasa senyum, lama-lama orang pun pandang biasa je... Orang pandang biasa, tapi Allah pandang dengan pahala...

            Selain tu, berapa kali kita doakan sahabat-sahabat kita ni? Kita nak bersahabat dalam suasana soleh dan solehah... Tapi, kita tak mendoakan sahabat-sahabat kita agar mereka membentuk suasana soleh dan solehah tu... Macam mana tu? Sama-samalah kita fikir-fikirkan dan amalkan apa yang patut... Kita tak perlu lafazkan depan diorang doa kita... Tapi, doakanlah mereka walaupun kita berjauhan dengan mereka... Sebelum kita bertemu muka 5 tahun setengah lalu, Allah telah tautkan hati kita... Itulah sebabnya kita boleh mesra sebegini... Jadi, sentiasalah suburkan tautan hati-hati ini, agar sentiasa sama-sama diberkati...

            Seorang sahabat Nabi, Abu Dzar, mendoakan setiap sahabatnya, satu per satu... Dia bukan mendoakan sahabatnya secara umum, tapi dia menyebut nama sahabat-sahabatnya satu per satu... Bayangkan betapa lama Abu Dzar meluangkan masa untuk berdoa tu... Dan bayangkan betapa dia menghargai dan mengasihi setiap sahabatnya... Nabi Muhammad SAW, pernah bersabda yang bermaksud, “Di Akhirat kelak, aku akan duduk bersama sahabat karibku seperti ini”, sambil baginda merapatkan jarinya... Siapa yang Nabi SAW maksudkan dengan ‘sahabat karib’ tu? Kita semua, kawan-kawan... Dan juga umat Islam akhir zaman ini... Bayangkan Nabi SAW tidak pernah bertemu kita, namun menganggap kita sahabat karib baginda dan mendoakan kita... Kita pula, gembira bersama, sedih bersama, selama 5 tahun setengah... Tak cukup akrab, tak cukup karib ke kita semua ni? Jadi, adakah antara kita ini yang tidak layak didoakan oleh sahabat-sahabat yang lain? Tepuk dada, tanya iman kita...

Tanyakan diri kita, pada setiap daripada sahabat-sahabat kita ini, berapa kali kita mendoakan kesejahteraannya ketika dia membahagiakan kita, berbanding kita mencemuhnya ketika dia melukai kita? Kita selalu lupa... Bila kita bahagia bersama sahabat kita, kita lupa mendoakan kesejahteraannya... Tapi, pantang dia melukai kita, terus kita melatah, mencemuh dan mendoakan kecelakaan baginya.. Itu yang melayakkan kita bersahabat?

Seorang sahabat sejati tidak akan ingat saat dia disakiti sahabatnya, namun akan sentiasa mengenang jasa sahabat terhadap dirinya... Seorang sahabat sejati, tidak hanya bersahabat untuk mendapatkan harum wangi sahabatnya... Namun, dia akan juga mewangikan... Biarlah sahabat kita dipandang mulia, kerna bersahabat dengan kita... Bukan hanya kita ingin dipandang mulia kerna bersahabat dengannya... Biarlah kita dianggap seorang saudagar minyak wangi yang bersahabat dengan saudagar minyak wangi... Janganlah hanya sahabat kita yang menjadi saudagar minyak wangi bagi kita, sedangkan kita adalah tukang besi baginya... Satu kuntuman mewangi akan mengharumkan jambangan berduri, namun satu kuntuman berduri tetap akan kelihatan biarpun dalam jambangan wangi...

Dalam bersahabat, besarkan hati kita untuk berjasa kepada sahabat-sahabat kita... Setelah kita berjasa kepada mereka, kecilkan jasa itu dalam hati kita... Kalau boleh, hilangkan terus dari ingatan kita... Seolah-olah kita tidak pernah berjasa kepada sahabat kita... Dengan itu, kita akan sentiasa berusaha untuk berjasa kepada mereka... Apa yang penting, sahabat kita mampu tersenyum tika bersama kita... Itu tandanya mereka bahagia bersama kita... Elakkan mereka bermasam muka tika bersama kita... Itu mungkin kerana kita yang membuat mereka menderita...

Akhir kata daripada saya, saya kagum dengan awak semua... Sepanjang 5 tahun setengah ini, banyak yang saya telah belajar dari kawan-kawan semua, banyak yang telah berubah pada diri saya... Saya berbangga mempunyai kawan-kawan seperti awak semua, di suka, duka dan selamba saya... Oleh itu, ikhlas dari hati saya, saya sangat sayang awak semua...

Apa yang baik daripada Allah SWT... Apa yang tidak baik, adalah kelemahan saya yang lemah... Alhamdulillah, saya dikurniakan sahabat seperti awak semua... Maaf atas segala kesalahan perbuatan dan kesilapan kata... Wassalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh...

(teks tazkirah Maghrib 17 Oktober 2012)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal