Yang patah, kan tumbuh…
Yang hilang, kan berganti…
Itu pepatah yang terpopular di kala perpisahan bertamu…
Namun begitu, di saat kita akan pergi meninggalkan mereka... Apakah kita
benar-benar adalah ‘Yang Patah’? Atau kita sekadar ‘Yang Reput’? Apakah kita
benar-benar ‘Yang Hilang’? Atau kita hanyalah ‘Yang Ghaib’? Adakah
pemergian kita akan benar-benar ditangisi mereka? Atau tiada bezanya sungguhpun
kita sudah tiada, kerana kita tiada berjasa sepanjang keberadaan kita dengan
mereka?
Ini bukan soal nama yang kita tempa... Ini bukan isu jasa
yang diungkit untuk dibanggakan... Ini
adalah tentang apa yang kita laksana, seikhlasnya, yang boleh kita bekal
bersama tatkala kita disoal di hadapan Yang Maha Esa...
Biarlah kita lebih daripada sekadar ‘Yang Patah’... Kerna
kita bukan semata-mata DAHAN, bahkan
kitalah AKAR... Kita bukan setakat
menyokong mereka, bahkan kitalah yang menjadi teras pencambahan bagi mereka...
Biarlah kita lebih daripada sekadar ‘Yang Hilang’... Kerna
kita bukan semata-mata KACA, bahkan
kitalah hakikatnya adalah BERLIAN...
Kita bukan setakat menyebarkan terang, bahkan kitalah yang menyinari bagi
mereka...
Saat kita pergi meninggalkan mereka, tidak mengapa jika
mereka tidak terus menangisi pemergian kita... Akan tetapi, semoga mereka akan
menitiskan air mata jua suatu hari nanti, tatkala mereka merasakan kehilangan
kita... Semoga suatu hari, saat mereka
sedar bahawa sesuatu telah hilang dalam hidup mereka, mereka akan terkenangkan
kita dan akhirnya sedar hasil keberadaan kita sebelumnya...
Ayuhlah kita mengambil teladan daripada kisah seorang
hamba Allah di zaman kegemilangan Islam dahulu (maaf, saya terlupa siapa gerangan insan tersebut)... Beliau selalu
membahagi-bahagikan makanan kepada penduduk setempat, dengan meninggalkan
bekalan di depan pintu mereka... Setiap kali mereka mendapat makanan, mereka
tidak pernah tahu siapa gerangan pemberinya... Tiada seorang pun yang menerima
makanan itu tahu siapa insan mulia itu... Sehinggalah insan tersebut meninggal
dunia, mereka akhirnya tahu siapa gerangan insan tersebut... Itu adalah kerana
mereka tidak menerima bekalan di depan pintu mereka sekian lama... Setelah
diselidiki, tahulah mereka bahawa seorang insan telah meninggal dunia...
Tahulah mereka bahawa ternyata insan tersebut yang meninggalkan bekalan di
depan pintu mereka selama sebelum dia meninggal... Hebat kan, saudara dan
saudari? Betapa lama ketika hayatnya,
dia berjasa kepada penduduk setempat... Tidak pernah sekali pun dia
mengharapkan pujian... Hanya setelah dia
meninggal dunia, mereka tahu jasanya...
Jadikan peristiwa tersebut sebagai panduan kita,
pendorong semangat kita untuk terus berjasa... Buatlah jasa dengan apa cara
sekalipun, yang penting keberadaan kita bermakna... Biarlah tiada seorang pun
di kalangan mereka di sekeliling kita sedar akan jasa kita, yang penting Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita
lakukan... Biarlah mereka tidak pernah sekali memuji apa yang telah kita
lakukan, yang penting Allah Maha
Mengetahui bahawa mereka sedang merasai nikmat hasil jasa kita...
Kekadang, kita juga perlu ingatkan hati kita tentang
seperkara... Bahawa kita harus merelakan jika ada yang mengambil kesempatan
dengan menempa nama menggunakan jasa kita... Di saat zaman masyarakat yang
menghimpit, boleh jadi ramai yang terdesak... Lantas mereka memanipulasi apa
sahaja untuk menguntungkan mereka... Contohnya, kita utarakan suatu pendapat...
Kita, dan seorang kawan kita, tahu bahawa itu adalah idea kita... Namun, dia
mengusulkan pendapat itu tanpa sedikit pun menyebut nama kita, seolah itu
adalah ideanya semata... Di saat ini berlaku, kita perlu ikhlaskan sahaja... Insya-Allah, kita mendapat pahala berganda
kerna mengilhamkan sesuatu yang bermanfaat, dan juga tidak riak atau mengungkit...
Semoga Allah jaga hati kita semua...
Saudara dan saudari,
Kita tak selalu ada untuk semua… Tapi, biarlah keberadaan kita memberi makna
kepada mereka… Biarlah kita tidak dirindui mereka… Namun, pastikan ada usaha kita yang memberi impak
pada hidup mereka…
Setiap
kelompok masyarakat memerlukan bakti yang berbeza... Bakti kita ketika bersama
kawan-kawan kita, tidak akan sama dengan bakti kita ketika bersama keluarga...
Bahkan, bakti kita ketika bersama ibu bapa, mungkin tidak sama bakti kita
ketika bersama atuk dan nenek... Contohnya, ibu bapa kita selalu inginkan
pendapat kita dalam hal ehwal pengurusan keluarga... Manakala, atuk dan nenek
kita hanya menginginkan kita menjadi pendengar mereka ketika mereka bersuara
tentang hal ehwal keluarga... Insya-Allah, keduanya bakti daripada kita,
sungguhpun berbeza pendekatannya...
Hakikatnya, kita tidak akan mampu berada di dua tempat
berbeza pada satu masa... Itu benar... Namun begitu, kita tidak seharusnya panasaran
(bingung) terus... Sehinggakan kita tidak berbuat apa-apa yang bermanfaat di
mana kita berada... Apatah lagi, jika panasaran kita itu menyusahkan... Di mana pun kita saat dan ketika itu,
berbaktilah... Insya-Allah, Allah tidak letakkan kita di sesuatu tempat
untuk sia-sia... Pasti ada hikmahnya, bagi kita, dan juga bagi mereka
sekeliling kita...
Selain itu, apa jua keputusan yang kita ambil tatkala
kita diminta membuat pilihan, cubalah untuk tekad kerana mengikut kita, itulah
yang terbaik... Pohonlah kepada Allah semoga apa yang kita putuskan adalah yang
terbaik... Biarlah mengikut hemat orang lain, itu bukanlah satu keputusan yang
terbaik, asalkan kita sedar manfaat yang dapat kita capai dengan keputusan
kita... Mereka yang melihat mungkin tidak tahu dengan lengkap, seperti yang
kita ketahui... Insya-Allah, jika niat
kita untuk berbakti, Allah akan bantu kita untuk berbakti demi kesejahteraan
dunia dan akhirat, selagi kita ikhlas berbakti...
Adat hidup, bukan kita seorang sahaja yang berjasa kepada
orang sekeliling kita... Makna kata saya, janganlah
kita terlalu fokus pada jasa kita sehingga kita terlepas pandang jasa orang
lain terhadap kita...
Insan
yang terbaik...
Cuba
untuk berjasa...
Lantas
melupakannya setelah terlaksana...
Apa
yang dikenang adalah khilafnya...
Insan
terbaik itu sering terkenang jasa orang terhadapnya...
Khilaf
mereka, tiada di memorinya...
Suri teladan terbaik, Rasulullah SAW... Betapa baginda
menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup baginda... Salah satu buktinya,
kisah Baginda menghargai seorang penyapu sampah masjid... Suatu hari, baginda
SAW tidak melihat kelibat insan yang selalu menyapu sampah di masjid... Lalu,
baginda bertanya kepada para Sahabat yang ada ketika itu... Para Sahabat
memberitahu bahawa insan tersebut telah meninggal dunia... Baginda bertanya
mengapa tiada sesiapa yang mengkhabarkan berita itu kepada baginda... Sahabat
menjawab mereka kira khabar itu tidak penting bagi Rasulullah SAW... Rasulullah SAW memberitahu bahawa insan
tersebut telah berjasa, jadi dia layak diberi penghormatan oleh semua orang
termasuk baginda...
Renungkanlah betapa baginda Rasulullah SAW begitu
menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup baginda... Jika dikira, jasa
baginda jauh lebih besar berbanding jasa si penyapu sampah... Namun, baginda
tidak mengira percaturan itu... Bagi
baginda, jasa orang lain jauh lebih besar berbanding jasa baginda...
Sungguhpun Rasulullah SAW boleh dikatakan sangat sibuk dengan urusan
pentadbiran dan dakwah, baginda masih ingin meluangkan masa untuk hadir memberi
penghormatan kepada insan yang bagi baginda sangat berjasa...
Sekian, saya tinggalkan
warkah ini buat sidang pembaca sekalian, sebagai warkah akhir tahun 2012
daripada saya... Terima kasih kerana terus setia menyokong penulisan saya... Setinggi
penghargaan (tidak terkira) dan salam sayang daripada saya... Semoga sepanjang
tempoh kita bersama, saya mampu berada di sini, di saat saudara dan saudari
memerlukan... Makna kata, saya mampu menyentuh aspek-aspek yang sepatutnya, dan
sentuhan saya mampu memberi impak... Saya sentiasa sangat berharap semoga saya
mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang membaca... Niat saya, untuk melihat
kita semua bersatu atas dasar Islam yang satu, dan kita mampu sebulat suara
sebagai umat akhir zaman yang akan dibanggakan oleh Rasulullah SAW di Akhirat
kelak... Maaf atas sentuhan saya yang tidak kena pada tempatnya dan
percanggahan yang saya timbulkan...
Mohon doa semua semoga saya terus dikurniakan ilham dan
kekuatan dalam meneruskan penulisan saya... Saya doakan saudara dan saudari
sekalian sentiasa hidup diberkati Allahu Rabbi...
INSYA-ALLAH,
SAYA
SAYANG SAUDARA DAN SAUDARI, KERANA ALLAH SWT!!!