TESIS PhD AKHIRAT…


            Alhamdulillah, Malaysia dan juga dunia dilimpahi oleh cendekiawan-cendekiawan yang bijak pandai... Saban hari, jumlah penerima ijazah semakin bertambah... Anak-anak muda yang mengejar cita-cita menggenggam ijazah kedoktoran (PhD) juga bertambah... Tidak cukup dengan itu, ramai juga yang berusaha ke arah ‘post doctorate’... Tapi, maaf saya bertanya, ingin dikemanakan ijazah itu? Untuk peluang kerjaya lebih baik? Untuk pendapatan lebih tinggi? Menjanjikan masa depan hidup yang lebih cerah? Itu sahaja?

            Mungkin ada yang menyuarakan hasrat mereka untuk membantu hidup umat manusia dengan kajian PhD mereka... Bagus hasrat semurni itu... Tapi, cukup ke kita memudahkan hidup mereka di dunia ini dengan kajian kita? Mengapa tidak kita turut membahagiakan hidup akhirat mereka? Sayang kan? Ramai antara kita, bila disebut kajian, kita hanya terbayangkan kajian yang memudahkan kehidupan manusia di dunia... Tak ramai yang terfikirkan kajian-kajian yang mampu membahagiakan kehidupan manusia di akhirat...

            Pencapaian duniawi kita tinggi, sampai berpaten-paten, namun pencapaian kita untuk akhirat hanya sekadar ‘O-level’... Sayang kan? Kita hanya genius pada dunia, tidak pada akhirat... Bila tersebut tesis lanjutan ijazah sahaja, kita hanyalah menumpukan pada isu-isu duniawi... Hasil tesis kita hanyalah membantu umat manusia pada dunia... Mengapa tidak kita tampil dengan tesis-tesis PhD untuk akhirat juga, tidak duniawi semata?

Siapa nak terima tesis yang berobjektifkan akhirat? Tak praktikal!
Sekali lagi, sayang kan? Kita bijak pandai... Tapi, kita tidak mampu menyelesaikan persoalan ini... Islam itu cara hidup, dan Islam itu untuk akhirat... Takkan kita tidak mampu memikirkan tesis yang memudahkan hidup secara Islami? Jika bidang fokus awak adalah kejuruteraan, mungkin awak boleh tampil dengan tesis pembinaan unjuran lantai yang cukup kukuh tanpa menggunakan tiang... Aplikasinya, awak lanjutkan pada pembinaan lantai atas Masjidil Haram... Dengan harapan lebih ramai manusia boleh tawaf pada tingkat atas Masjidil Haram, tanpa menghalang mereka yang tawaf di tingkat bawah... Jika awak fokus pada bidang muzik, awak mungkin boleh tampil dengan tesis penggunaan bacaan al-Quran pada frekuensi tertentu, untuk membantu pembelajaran atau sebagai proses terapi... Cendekiawan Barat telah tampil dengan teknik ‘Suggestopedia’ untuk membantu proses pembelajaran, dan teknik itu terbukti berkesan... Mengapa tidak awak buktikan keberkesanan teknik bacaan al-Quran untuk tujuan yang sama? Siapa tahu, setelah tesis awak berhasil, ramai yang berminat dengan teknik terapi menggunakan bacaan al-Quran itu... Mulanya mereka berminat dengan tekniknya yang berkesan, akhirnya mereka terbuka hati dan tertarik dengan Islam... Itu saham awak untuk akhirat... Tesis awak, PhD di dunia, PhD juga di akhirat...

Tesis Islami, yang berobjektifkan akhirat, tidak semestinya tertulis ‘Tesis ini bertujuan untuk membantu umat Islam khasnya, dan manusia sejagat umumnya, untuk mencapai kehidupan di akhirat yang lebih baik’... Kita boleh pakai objektif-objektif tesis yang biasa... Yang penting, tesis kita diterima dan difahami oleh penyelia kita... Matlamat mutlak di sebalik tesis itu, hasilnya kelak turut mampu menyumbang ke arah kedaulatan Islam dan membantu manusia ke arah syurga di akhirat...

Kita bukan mengejar nama, gelaran atau pangkat dengan Islam... Kita bukannya ingin dikenali sebagai ‘si fulan yang mempunyai berpuluh paten, dan dia seorang Islam’... Makna kata, kita bukan berhasrat untuk menyandarkan Islam itu pada nama kita... Kita hanya ingin buktikan pada dunia bahawa Islam itu sendiri adalah bertaraf PhD, yang mempunyai paten-paten yang tidak terkira, dan kita, ‘si fulan’, hanyalah membentang tesis kecil Islam itu... Kita berharap, di dunia kita menyandang taraf PhD, mempunyai paten-paten hebat yang tertentu, di akhirat kita turut diiktiraf sebagai yang bertaraf PhD...

Seperti mana penulis ‘Angel Pakai Gucci’ menukilkan, “Kita lakukan terlalu sedikit dakwah, terlalu sedikit tarbiyah, dan terlalu banyak jahiliyyah. Tapi kita impikan Jannah..?? pffftttt.”, Ahmad Zakry Haikal juga ingin menukilkan, “Taraf akhirat kita hanyalah O-Level, tapi kita nak pengiktirafan Firdausi? Perasan, jangan mimpi...”.

Di dunia, kita diiktiraf, kita diberi kelebihan dan penghormatan, setelah kita berusaha mengkaji dan menghasilkan tesis PhD... Tapi, apa gunanya PhD dunia, jika akhirat kita hanya O-Level? Persoalan dunia dalam bidang fokus kita, mampu kita jawab panjang lebar, dengan yakin... Tapi, ilmu akhirat kita hanya sekadar pandai solat, tahu bulan puasa, dan ala kadar saja kesemuanya... Apatah lagi jika akhirat kita dungu? Sayang, di dunia kita genius, tapi buta huruf di akhirat... Kitalah sumber rujukan di dunia, tapi di akhirat kita terkapai-kapai tanpa tuju, kerna kita tiada ilmu akhirat...

Ayuhlah kita luangkan segalanya untuk tesis PhD akhirat kita... Ingat, “Di hari kematian seorang insan, terputuslah segalanya... Kecuali 3; anak yang soleh, sedekah jariah, dan ilmu yang bermanfaat”... Tesis PhD dunia kita belum tentu diterima keseluruhannya... Tapi, bila mana kita persiapkan tesis, atau mengusahakan PhD kita untuk akhirat, Insya-Allah Allah akan terima ia sepenuhnya... Insya-Allah, tesis PhD akhirat itu juga ilmu yang bermanfaat... Buktinya, kita telah dijanjikan, “Bila mana seorang insan mengejar akhirat, dunia akan menurutnya”...

Saudara/Saudari,
            Ingat Nabi kita... Nabi Muhammad SAW seorang ummi, buta huruf, di dunia... Tapi, Insya-Allah baginda adalah pemegang PhD terunggul akhirat... Itu kerana setiap sabda baginda adalah teori tesis PhD akhirat baginda, dan setiap perbuatan baginda adalah praktikal tesis PhD baginda... Hasil tesis PhD baginda, Nabi Muhammad SAW menuturkan kata-kata yang menenangkan, walaupun berbentuk amaran dan peringatan, dan akhlak baginda sangat murni... Hasil tesis PhD baginda, Muhammad SAW diiktiraf sebagai insan paling berpengaruh sehingga hari ini... Di dunia dia buta huruf, di akhirat dia pemegang PhD unggul... Sehingga baginda diangkat sebagai kekasih Allah, insan paling rapat dengan Yang mengiktiraf PhD akhirat setiap insan...

Apa yang saya cuba katakan, untuk memiliki PhD akhirat, bukan hanya mentafsirkan al-Quran untuk difahami oleh orang yang membacannya... Kita mampu memohon PhD akhirat dengan apa jua bidang fokus kita... Di akhirat, awak mampu diiktiraf sebagai berkelulusan PhD akhirat dan bidang perubatan, kejuruteraan, muzik, pendidikan, psikologi, pertanian, dan apa sahaja... Memang kesemuanya berbalik berpandukan pada al-Quran dan hadis, tapi kita terjemahkan dalam tesis kita, agar ianya lebih mudah difahami dan diterima oleh manusia sejagat amnya, dan umat Islam khasnya...

Jadi, apa tesis PhD awak? Atau awak masih memikirkan ‘proposal’nya? Teruskanlah berfikir... Setidaknya, awak ada luang dan cukup bijak untuk berusaha memikirkannya...

PENCAPAIAN DUNIA SAYA HANYALAH BIASA-BIASA, LEBIH RENDAH DARI INSAN LAIN...
TAPI, SAYA SANGAT BERHARAP DIIKTIRAF SEBAGAI PEMEGANG PhD DI AKHIRAT KELAK...
SAYA JUGA BERHARAP MEMILIKI BANYAK PATEN DI AKHIRAT...
JOM KITA SAMA-SAMA...
KITA SIAPKAN TESIS MASING-MASING, DAN BERJUMPA DI AKHIRAT KELAK DENGAN SENYUMAN BANGGA...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal