Dalam kebanyakan kehidupan percintaan, rajuk adalah antara fenomena biasa berlaku... Berhadapan dengan rajuk insan tercinta, sesetengah insan berputus asa dengan berkeputusan, “Mungkin aku tidak layak untuk bercinta...”. Ada juga yang melatah, “Ah, lantaklah dia nak merajuk, ada aku kisah?”. Gagal menguruskan rajuk boleh jadi satu asbab seseorang itu gagal dalam hidup... Sesetengah insan sanggup membunuh diri sendiri kerna tidak sanggup menghadapi rajuk pasangannya... Terdapat juga kebanyakan yang sanggup berdendam sampai mati...
Persoalan yang perlu setiap insan fikiri dan amati adalah setulus mana cintanya... Adakah cintanya kerana Allah SWT? Atau sekadar cinta berasaskan nafsu? Jika benar cinta itu kerana Allah SWT, mengapa harus berputus asa hanya kerana si dia merajuk? Dalam memujuk si dia, bukan praktikaliti mengambil hati yang diperlukan, apatah lagi teori dalam berkata-kata... Bukan semua itu yang didambakan... Bahkan, setakat mana kita mampu muhasabah dan menguruskan rajuk itu... Kembalilah kepada Allah SWT, jika benar cinta itu tulus kerana Allah SWT...
Ingat... Cinta itu milik Allah SWT... Semua insan juga hak Allah SWT... Oleh itu, jika kita menghadapi masalah dengan apa yang dimiliki Allah, usah buntu kerna kita masih mampu kembali kepada Allah selaku empunya...
Tatkala Allah SWT campakkan rajuk dalam hati si dia, ada sesuatu yang menjadi asbabnya... Semestinya ada sesuatu yang ingin Allah SWT isyaratkan kepada kita... Boleh jadi kerna kita terlupa akan Allah dalam kehidupan seharian kita... Boleh jadi juga kita ada berbuat silap sesama insan dalam meniti hari-hari kita... Dalam berhubungan dengan insan-insan sekeliling kita, boleh jadi kita agak tidak seimbang... Sebagai contoh, kita mungkin mengabaikan perhubungan dengan ibu bapa kita, kerna mengejar waktu untuk berhubung dengan si dia... Oleh itu, muhasabahlah diri tatkala si dia merajuk dengan kita... Kembalilah kepada Allah SWT...
Bila mana Allah SWT timbulkan rasa merajuk dalam hati si dia, Allah SWT telah tetapkan penawarnya... Boleh jadi kerna ilmu kita yang dangkal, kita tidak temui cara untuk memujuk si dia... Oleh itu, doa adalah langkah terbaik... Insya-Allah, Allah yang memiliki rasa cinta dan yang mencampakkan rajuk itu akan menghilangkan perasaan merajuk itu dari hati si dia... Ada kala, usaha manusia tidak berkesan... Doa dan tawakal jua harus jadi pilihan...
Kesimpulannya, istiqamahlah berdoa, teruskan meminta pada Dia dalam beribadat dan sentiasalah sandarkan pada Allah SWT dalam menguruskan rajuk si dia... Dalam ikhlas mencintai, bukan banyaknya tebu di bibir yang menjadi asas. Akan tetapi, sejauh mana kita mampu berserah kepada Allah SWT dan seberapa kerap kita ingat akan Allah SWT yang menjadi tunjang... Dan sedarilah bahawa rajuk si dia mampu mengingatkan kita akan Allah SWT... Jadi bersyukurlah dalam menghadapi rajuk si dia dan teruskan berdoa...
Satu fakta yang harus diamati oleh setiap insan yang punya rasa cinta... Cinta bukanlah sebab seseorang insan gagal... Rajuk dalam cinta jua bukan asbab seseorang sakit kepala atau mengalami migran... Sepertimana fitrah yang lain, cinta juga fitrah... Apa yang penting, bagaimana kita menguruskan fitrah itu... Bukan hanya, fitrah apa jua mampu merosakkan seseorang insan jika tidak diuruskan dengan betul dan berlandaskan syariat... Bahkan, bersyukurlah kerna dengan cinta, kita mampu belajar memahami perasaan seorang insan lain dan belajar menguruskan rajuknya...
Sekarang, fikirkanlah... Adakah insan lain yang mampu merajuk seperti dia? Adakah insan lain yang rajuknya mampu memberi pengajaran kepada kita? Adakah insan lain yang rajuknya mampu mendekatkan lagi kita dengan Allah SWT? Adakah insan lain yang rajuknya mampu membuatkan kita lebih muhasabah diri? Tanyalah diri sendiri... Apakah kita masih tidak bersyukur?