Aisyah,
Hari ni, saya termenung lagi. Lama, hampir seharian saya termenung. Namun, berbeza dari sebelum ni, bukan kenangan bersama awak yang membuatkan saya termenung kali ini. Hati saya sayu. Apa yang berlaku malam tadi benar-benar membuatkan saya sedih...
“Hidupkan ‘webcam’ Haikal. Abah ingin bercakap dengan Haikal...”, kata Umi setelah saya membalas salamnya melalui ‘Yahoo Messenger’ malam tadi. Namun, sebaik saya saya membuat panggilan video kepada Umi, notis ‘No camera input detected’ pada skrin komputer riba saya benar-benar menghairankan saya. Saya membalas mesej Umi dengan mengatakan tak dapat hidupkan ‘webcam’. “Rosak ‘software’ kut...”, terang saya kepada Umi. “Tak pa la... ‘Voice call’ je la...”, saya menyambung. Tetapi, sebaik sahaja panggilan ‘Yahoo Messenger’ dijawab, tiada suara Umi mahupun Abah kedengaran. “Kalau macam tu, kita taip je la...”, kata saya kepada Umi dengan penuh kekecewaan. Tak lama saya borak dengan Umi malam tu sebelum Umi kata, “Haikal, Umi dan Abah nak berehat dulu. Letih sebab tadi balik lambat...”. Begitulah berakhirnya perbualan saya dengan Umi tanpa mampu mengubat rasa rindu ini...
Aisyah,
Kekecewaan menyebabkan saya merebahkan diri atas katil agak awal malam tadi. “Teknologi kadang-kadang amat mengecewakan... Mengapa di saat-saat begini, talian internet teramat teruk?”, bentak saya sendirian. “Mesti ada sesuatu yang ingin Abah katakan... Atau mungkin Abah rindukan saya...”, itulah yang bermain di fikiran saya sehingga saya memejamkan mata...
Pagi ini, awal saya bangun... Selesai solat Subuh dan rutin pagi saya, saya mula termenung. Gambar-gambar zaman kecil saya tilik. Dalam, dan penuh sayu... Melihat gambar bersama Abah masa kecil kecil, sama-sama membasuh kereta membuat saya terfikir manisnya saat itu... Fikiran saya mula melayang.
Aisyah,
Masa mula belajar mengaji dulu, selalu saya kena marah dengan Umi sebab baca kesalahan pembacaan. Sampai satu hari Umi menyuruh saya mula mengaji dengan Abah. “Tak sempat Umi nak masak dan buat kerja rumah...”, kata Umi. Berdebar juga hati saya kerana tak tahu macam mana pendekatan Abah mengajar mengaji. Namun, ternyata cara Abah ajar mengaji lain berbanding Umi. Berbeza dengan lahiriah dia yang nampak garang (kata orang la...), cara Abah ajar mengaji lebih lembut. Bukan saya ingin bandingkan Abah dengan Umi, tapi itulah kenangan tersendiri kami adik beradik bersama Abah dan Umi. Sempat juga saya mengaji bersama Abah selama 2, 3 hari sebelum Umi kembali mengajar kami. Alhamdulillah, berkat ajaran mengaji Abah dan Umi, kami adik beradik sempat khatam Al-Quran berkali-kali...
Teringat zaman sekolah rendah dulu. Seorang cikgu pernah berkata kepada saya, “ Adik cikgu kata Abah kamu memang garang...”. Saya dengan selamba berkata, “Tak la... Umi lagi garang...”. Bila dah masuk sekolah menengah, kawan-kawan pun ada kata Abah memang garang. Hati saya pula terdetik, “Mungkin sebab lahiriah Abah nampak garang. Lagipun, Abah kan guru disiplin...”. Kini, bila difikirkan balik, mungkin apa yang dimaksudkan oleh cikgu-cikgu dan kawan-kawan dulu adalah ketegasan Abah. Sebab Abah memang tegas terutama dalam mendidik. Mungkin kerana kami adik-beradik dah biasa dengan ketegasan Abah, jadi Abah tak nampak garang di mata kami...
Zaman sekolah dulu, acap juga Umi meninggalkan rumah berkursus. Kadang-kadang, Umi pulang lambat kerana ada mesyuarat. Abah la yang menguruskan kami adik-beradik. Kadang-kadang, Abah belikan lauk untuk makan tengahari dan makan malam. Kadang-kadang, Abah bawa kami keluar makan di luar. Hujung minggu, Abah bawa kami keluar makan roti canai. Setiap pagi, Abah kejutkan kami untuk solat Subuh dan bersiap untuk ke sekolah. Pagi-pagi itu, Abah terpaksa bersiap awal dari biasa kerana terpaksa hantar adik yang bongsu ke sekolah. Selalunya, hanya saya dan adik yang kedua bersama Abah ke sekolah dan Umi yang hantar adik bongsu ke sekolah. Kadang-kadang, kereta Umi rosak. Abah terpaksa menghantar kami sekeluarga ke sekolah masing-masing. Semestinya, Abah kena bersiap awal agar kami semua tak lewat sampai ke sekolah. Begitu Abah, komited melaksanakan tanggungjawabnya... Apa jua keadaan yang dihadapinya dan masalah menimpa, Abah sentiasa tampak tenang. Bahagia rasanya kami punya Abah bersama Umi...
Aisyah,
Saat ini, air mata saya menitis. Mengenangkan malam yang nyata mengubah diri ini. Daripada seorang yang suka bercakap bohong dan berbuat jahat, kepada seorang yang tak ingin berbohong apatah berbuat jahat lagi... Kata-kata Abah di atas buaian malam itu, dengan nada perlahan dan tenang amat menusuk sanubari ini. “Haikal dah besar. Insya-Allah, akan hidup lebih lama lagi. Jadi, Haikal kena fikir macam mana nak hidup nanti. Takkan nak hidup macam ni sampai tua? Kesannya, kini saya kehilangan teknik berbohong yang suatu masa dulu amat saya banggakan...
Kini, saya telah dewasa. Pendekatan didikan Abah tak lagi sama seperti masa kecil dulu. Abah dah tak garang seperti dulu. Baru kini saya sedar saya punya seorang Abah yang lawak dan ceria. Abah sangat suka bergurau. Setelah lebih 2 dekad saya hidup dan membesar di sisi Abah, hanya kini saya sedar semua ni... Kini, sungguhpun Abah jarang menunjukkan amarahnya, namun kadang-kadang saya dapat rasakan Abah kecewa. Saya harap saya sentiasa diilhamkan oleh Allah SWT untuk melakukan yang terbaik untuk Abah dan juga Umi. Syukur Alhamdulillah, bijaknya Abah mengawal emosinya sehingga kekecewaan Abah tak begitu tergambar. Setiap kali di mata anak-anaknya, abah akan tampil tenang dan ceria.
Aisyah,
Ingat lagi tak hari saya ke rumah awak? Sebenarnya pada malam tu, ketika saya ingin makan malam, Abah ada bertanya ke mana saya petang itu. Saya cuma menjawab dengan biasa dan mengatakan saya ke rumah kawan. Tiba-tiba, Abah bertanya, “Rumah kawan perempuan?”. Terkejut juga saya dengan reaksi Abah tu... Jadi, saya hanya membalas dengan senyuman. Abah pun turut tersenyum. Hairan, bagaimana Abah boleh tahu saya ke rumah seorang perempuan? Padahal, adik saya selalu keluar ke rumah kawan-kawannya. Tiada pula Abah menunjukkan reaksi sedemikian. Begitu naluri Abah, seorang bapa yang sangat memahami seolah mampu membaca naluri anaknya...
Aisyah,
Awal tahun ini, selama lebih kurang sebulan saya di rumah, saya ada tolong buat kerja rumah ketika Abah dan Umi bekerja dan adik-adik kembali bersekolah dan kerkuliah. Lebih kurang jam 10 pagi setiap hari, saya akan mula memasak nasi, lauk dan sedikit sayur untuk santapan tengahari kami sekeluarga. Sungguhpun tempohnya hanya sebulan, kenangannya amat bermakna buat saya. Setiap kali Abah pulang ke rumah, dia akan bertanya, “Dah masak?”. Kemudian dia akan berkata, “Ni, tengok apa yang ada dalam ni...”, sambil menunjukkan beg-beg plastik di tangannya. Begitulah keadaan setiap hari, tak kira di mana pun saya, Abah akan mengucapkan kata-kata yang sama dengan gayanya yang hampir sama. Walaupun saya baru selesai solat Zohor, Abah akan menjenguk saya dan meminta saya menghidangkan bungkusan yang dibawanya pulang. Betapa Abah ambil tahu keadaan saya seharian di rumah...
Hari berganti hari, akhirnya tibalah masa saya meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pelajaran. Abah dan Umi banyak membantu saya mengisi borang dan membuat persiapan sebelum tu. Abah malah sanggup tolong memilih beg ‘luggage’ yang paling besar dan paling ringan untuk saya dan melayan kerenah saya turun naik pasaraya semasa memilih ‘sleeping bag’. Di hari saya berlepas, Abah dan Umi menunggu saya sehingga saat saya melangkah ke balai berlepas. Ketika menunggu nama saya dipanggil untuk masuk ke balai berlepas, Abah menghulurkan telefon bimbitnya kepada saya dan menyuruh saya bercakap dengan adik di rumah. Abah meminta saya berpesan supaya adik tekun belajar. Bijak kan Abah, memanipulasi keadaan untuk memotivasikan anak-anaknya...
Kini, sudah hampir setahun saya berjauhan dari kampung halaman dan keluarga. Selama tempoh ini, kerap juga saya telefon bimbit saya berdering. Jika dilihat pada nombor yang mendail, ia adalah nombor telefon bimbit Abah. Namun, sebaik sahaja saya menjawab panggilan-panggilan itu, yang kedengaran adalah suara Umi. Abah hanya bercakap selepas Umi. Setiap kali, begitu la keadaannya. Abah juga tak bercakap lama denga saya kerana dia akan meminta saya kembali bercakap dengan Umi. Selalu juga saya terfikir, kenapa Umi menelefon saya menggunakan telefon Abah? Apakah Abah yang meminta Umi menelefon saya?
Aisyah,
Itulah sebabnya saya tersangat sedih dan agak kecewa bila malam tadi, ‘webcam’ saya rosak dan talian internet teruk saat Abah dan Umi ingin bercakap dengan saya. Apatah lagi, inilah pertama kali Abah meminta untuk bercakap dengan saya. Abah meminta untuk melihat wajah anaknya ini... Semoga saya dikurniakan rezeki untuk menggantikan ‘webcam’ saya dan saya diberi kelapangan masa untuk bercakap lebih lama dengan Abah dan Umi. Betapa saya ingin menebus kesilapan malam tadi. Semoga Allah SWT memberi peluang kepada saya untuk buktikan betapa saya sayang dan hargai Abah seperti mana saya kasihkan Umi... Insya-Allah...
Sekian warkah dari saya. Sebagai ingatan kita bersama, renungkan kata hati saya...
‘Kasih ibu membawa ke syurga, Kasih ayah penyeri dunia...’
Yang merindu,
HAIKAL