BAKTI...


Berbakti kepada ibu bapa... Suatu perkara yang pastinya menjadi dambaan setiap yang bergelar anak... Sana-sini, anak-anak memikirkan apa yang boleh mereka lakukan ... Demi membalas jasa dan berbakti kepada ibu bapa...
Di kesempatan ini, izinkan saya berkongsi sedikit hakikat buat kita yang bergelar anak-anak... Maaf saya pohon seawalnya... Bukan bermaksud untuk melunturkan semangat atau merobohkan motivasi anak-anak sekalian dalam perjuangan berbakti kepada ibu bapa... Sekadar sebagai renungan bersama...

Bakti kita kepada ibu bapa kita, adalah ketika kita senang…
Bakti ibu bapa kita kepada kita, tidak mengira ketika susah atau senang…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Mendoakan ibu bapa...
Bakti yang paling mudah untuk kita lakukan terhadap ibu bapa...
Namun, sedarkah kita?
Kita mendoakan ibu bapa kita, saat iman kita kuat dan berada pada tahap yang tinggi…
Sedangkan ibu bapa sentiasa mendoakan kita, tidak mengira saat iman mereka kuat atau lemah, di mana jua tahap iman mereka ketika itu…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Anak-anak yang berkerjaya...
Anak-anak yang telah punya pendapatan sendiri...
Berkongsi atau menyerahkan pendapatan kepada ibu bapa...
Lebih berkat rezeki, katanya...
Namun, sedarkah kita?
Kita memberi wang kepada ibu bapa kita ketika wang kita banyak…
Ibu bapa sentiasa memberi wang kepada kita, tidak mengira ketika wang mereka banyak atau sedikit…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Kita ingin carikan seorang pasangan hidup yang unggul...
Agar mampu menjadi menantu terbaik buat ibu bapa kita...
Sememangnya anak yang menghargai ibu bapa...
Kerna sanggup memikirkan masa depan demi ibu bapa...
Namun, sedarkah kita?
Ibu kita telah carikan seorang lelaki unggul untuk menjadi bapa kita yang terbaik, sejak dulu lagi…
Sedangkan bapa kita telah carikan seorang wanita unggul untuk menjadi ibu kita yang terbaik, sejak dulu lagi…
Demi kita, anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Ibu bapa kita telah berbakti kepada anak-anak mereka sejak berpuluh tahun dahulu… Sedangkan kita hanya cuba berbakti kepada mereka kini dan mungkin berpuluh tahun akan datang, selagi hayat dan rezeki kita masih bersama mereka…
Persoalannya, adakah setiap saat di berpuluh tahun akan datang itu, ibu bapa kita telah berhenti berbakti kepada kita? Pastinya tidak, bukan? Jadi, bakti ibu bapa kita terhadap anak-anak mereka adalah sejak berpuluh tahun dahulu, kini, dan sehingga berpuluh tahun akan datang… Oleh itu, bakti ibu bapa di saat mana yang ingin kita balas, wahai anak-anak sekalian?
Satu analogi mudah... Seakan ibu bapa kita telah mula berlari sejak lama dulu... Sedangkan kita hanya baru bermula berlari dari garis permulaan yang sama...  Mampukah kita memintas ibu bapa kita?
Saudara/Saudari, anak budiman, benar edaran dunia kini semakin pantas... Namun, itu tidak bermaksud kita mampu memintas ibu bapa kita dalam bab berbakti... Sedarlah kita akan hakikat bahawa bakti ibu bapa kita di edaran dunia kini turut mencurah semakin pantas terhadap kita... Jika tidak, manakan mungkin kita mampu hidup hari ini, dalam dunia yang pantas ini? Dari mana ilmu yang kita belajar, kemahiran yang kita mahir dan semua kelengkapan pada diri kita kini, untuk kita harungi arus dunia ini, jika tidak hasil bakti ibu bapa kita?

Pengalaman yang kita ceduk...
Hasil daripada jalan yang ibu bapa kita tunjuk...

Sekolah yang mendewasakan kita...
Hasil daripada langkah ibu bapa yang menghantar kita...

Masihkah ada antara kita yang berbangga hanya kerana mereka sentiasa mendoakan ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang berbangga kerana memberikan kesemua wang gaji bulanan mereka kepada ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang berbangga kerana mampu carikan pasangan hidup terbaik sebagai menantu unggul ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang yakin berkata, “Aku telah berbakti kepada ibu bapa, demi membalas jasa mereka”?
Terbalaskah bakti ibu bapa kita semenjak dahulu hanya dengan bakti kita kini???

Persoalannya lagi, bagaimana harus kita balas bakti ibu bapa kita? Adakah bermakna kita tidak seharusnya cuba untuk membalas bakti ibu bapa kita, kerna kita tidak akan pernah mampu?
Jawapannya, sentiasalah menjadi anak yang soleh/solehah... Kerna anak yang soleh/solehah merupakan bekalan ibu bapa kita saat mereka hidup dan jua setelah mereka meninggal dunia...
Ibu bapa kita telah menjadi seorang ibu yang solehah dan bapa yang soleh buat kita sebelum kehidupan kita, di setiap saat kehidupan kita dan jua sehingga akhir hayat mereka dan hingga akhir hayat kita...
Ingin membalas bakti ibu bapa, tidak kita tahu kemampuan kita... Namun, setidaknya kita cuba menjadi anak yang soleh/solehah saat kehidupan mereka dan setelah mereka meninggal dunia... Soal terbalas atau tidak jasa itu, terserahlah pada Allah SWT untuk menilainya... Mungkin jua kita yang akan meninggalkan mereka terlebih dahulu... Namun, setidaknya kita telah berbakti kepada ibu bapa kita dan membahagiakan mereka dengan menjadi anak yang soleh/solehah... Setidaknya, pemergian kita diredhai ibu bapa kita... Kerna redha ibu ayah itu, juga redha Allah SWT...

Insan yang gemilang...
Bukanlah insan yang berjaya dalam berjuang...
Tetapi, insan yang terus berjuang walaupun terhalang...

Anak yang soleh dan solehah...
Bukanlah anak yang telah berbakti pada ibu ayah...
Tetapi, anak yang terus berbakti demi Allah...



PERSIS SEPERTI ABI DAN UMI...


Abi      :
Amir, Abi dan Umi ada sesuatu yang ingin ditanyakan pada Amir…

Amir   :
Apa itu, Abi?

Umi     :
Berkenaan Qaisara…

Amir   :
Ya, Umi?

Abi      :
Betul Amir berkenan kat Qaisara?

Amir   :
Insya-Allah betul, Abi…

Umi     :
Boleh Umi dan Abi tahu kenapa Amir berkenan kat Qaisara?

Amir   :
Amir berkenan kat Qaisara, sebab Qaisara mengingatkan Amir pada Abi dan Umi... Saat Amir jauh dari Abi dan Umi, jauh dari adik-adik, Amir sangat rindukan Abi, Umi dan adik-adik... Namun, persahabatan Amir dengan Qaisara sedikit sebanyak mengubat kerinduan Amir pada Abi dan Umi, pada adik-adik...

Abi      :
Maksud Amir?

Amir   :
Abi, Umi, Qaisara nampak pemalu... Namun, kadang-kadang Qaisara suka bergurau, sama macam Abi... Kadang-kadang, Qaisara juga seorang yang serius, sama macam Umi... Jadi, setiap kali Amir bercakap dengan Qaisara, seolahnya Amir bercakap dengan Abi dan Umi... Terubatlah sedikit rindu Amir...

Umi     :
Maksudnya, Amir selalu bersembang dengan Qaisara?

Amir   :
Umi, bukanlah bermaksud Amir selalu bersembang denga Qaisara setiap kali Amir rindukan Umi dan Abi... Amir tidak menjadikan Qaisara tempat Amir melepaskan rindu... Cuma, Amir selalu berbincang dengan Qaisara tentang pelajaran... Amir juga selalu meminta nasihat Qaisara bila Amir menghadapi masalah dalam hidup...

Abi      :
Kenapa Amir tidak terus menelefon Abi, supaya Abi atau Umi dapat membantu Amir?

Amir   :
Abi, kadang-kadang Amir tahu masanya tidak sesuai untuk Amir menelefon Abi... Amir tahu, kadang-kadang Abi dan Umi terlalu sibuk... Jadi, Amir tidak ingin mengusutkan lagi fikiran Abi dan Umi... Kadang-kadang juga, waktunya tidak sesuai kerna telah lewat malam... Jadi, Amir tidak ingin mengganggu tidur Abi dan Umi... Amir rasa, Abi dan Umi pun faham bahawa perbezaan benua turut meletakkan jurang masa antara kita... Di ketika sebeginilah Amir meminta pendapat Qaisara tentang penyelesaian masalah-masalah itu... Setiap respon Qaisara, Amir terima dengan hati terbuka, seperti Amir menerima nasihat Abi dan Umi... Kerna cara Qaisara menasihati Amir juga seakan cara Abi dan Umi...

Abi      :
Jadi, macam mana pula Amir tahu samada waktu itu sesuai untuk Amir menghubungi Qaisara?

Amir   :
Amir hanya menghubungi Qaisara melalui Yahoo Messenger... Jadi, sekiranya Qaisara online, Amir akan cuba bertanya samada dia sibuk dan meminta pendapatnya berkenaan masalah Amir...

Umi     :
Sekiranya Qaisara offline?

Amir   :
Sekiranya Qaisara offline, maksudnya dia tak ingin diganggu... Jadi, Amir pendamkan je la... Seperti yang Abi dan Umi selalu nasihatkan kepada anak-anak Abi dan Umi, apa-apa hal dalam hidup ni, kita pohonlah petunjuk pada Allah SWT... Amir memang selalu berdoa, memohon petunjuk Allah SWT... Cuma kadang-kadang Amir perlukan seseorang untuk nasihatkan Amir... Di saat itulah, Amir perlukan Abi dan Umi, atau Qaisara...

Umi     :
Baiklah jika begitu, Amir... Abi dan Umi percaya Amir dapat fikirkan yang terbaik dan buat pilihan yang paling sesuai dalam hidup...

Amir   :
Terima kasih, Umi, Abi... Bukanlah bermaksud Amir meletakkan Qaisara sebagai ganti Abi dan Umi... Cuma kadang-kadang Amir memerlukan nasihat dari seseorang seperti Abi dan Umi... Dan Amir melihat seakan bayangan Abi dan Umi ada pada Qaisara... Jadi, Alhamdulillah hati Amir lebih terbuka untuk menerima nasihat-nasihat daripada Qaisara...
Abi dan Umi, Qaisara mengingatkan Amir kepada Abi dan Umi... Saatnya Amir terkenangkan Abi dan Umi, pastinya Amir turut terkenangkan adik-adik... Tatkala Amir teringat akan Abi dan Umi, semestinya nasihat Abi dan Umi seolah turut terngiang di telinga Amir... Amir akan turut teringat nasihat Umi tentang betapa kita perlu meletakkan agama sebagai yag terutama dalam hidup... Nasihat Abi tentang betapa kita perlu menjaga perhubungan sesama manusia turut sama melekat dalam ingatan Amir...

Abi      :
Alhamdulillah...

Amir   :
Syukur pada Allah SWT, rezeki Amir dipertemukan dengan Qaisara dan Amir dapat berkenalan dengan Qaisara... Sehingga kini, hati Amir terpaut pada Qaisara... Sekiranya rezeki Amir dan jodoh Amir dimakbulkan oleh Allah SWT untuk terus bersama Qaisara, Amir benar-benar bersyukur... Hati Amir terpaut pada seorang wanita persis seperti Abi dan Umi...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal