BAKTI...


Berbakti kepada ibu bapa... Suatu perkara yang pastinya menjadi dambaan setiap yang bergelar anak... Sana-sini, anak-anak memikirkan apa yang boleh mereka lakukan ... Demi membalas jasa dan berbakti kepada ibu bapa...
Di kesempatan ini, izinkan saya berkongsi sedikit hakikat buat kita yang bergelar anak-anak... Maaf saya pohon seawalnya... Bukan bermaksud untuk melunturkan semangat atau merobohkan motivasi anak-anak sekalian dalam perjuangan berbakti kepada ibu bapa... Sekadar sebagai renungan bersama...

Bakti kita kepada ibu bapa kita, adalah ketika kita senang…
Bakti ibu bapa kita kepada kita, tidak mengira ketika susah atau senang…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Mendoakan ibu bapa...
Bakti yang paling mudah untuk kita lakukan terhadap ibu bapa...
Namun, sedarkah kita?
Kita mendoakan ibu bapa kita, saat iman kita kuat dan berada pada tahap yang tinggi…
Sedangkan ibu bapa sentiasa mendoakan kita, tidak mengira saat iman mereka kuat atau lemah, di mana jua tahap iman mereka ketika itu…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Anak-anak yang berkerjaya...
Anak-anak yang telah punya pendapatan sendiri...
Berkongsi atau menyerahkan pendapatan kepada ibu bapa...
Lebih berkat rezeki, katanya...
Namun, sedarkah kita?
Kita memberi wang kepada ibu bapa kita ketika wang kita banyak…
Ibu bapa sentiasa memberi wang kepada kita, tidak mengira ketika wang mereka banyak atau sedikit…
Kerna kita anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Kita ingin carikan seorang pasangan hidup yang unggul...
Agar mampu menjadi menantu terbaik buat ibu bapa kita...
Sememangnya anak yang menghargai ibu bapa...
Kerna sanggup memikirkan masa depan demi ibu bapa...
Namun, sedarkah kita?
Ibu kita telah carikan seorang lelaki unggul untuk menjadi bapa kita yang terbaik, sejak dulu lagi…
Sedangkan bapa kita telah carikan seorang wanita unggul untuk menjadi ibu kita yang terbaik, sejak dulu lagi…
Demi kita, anak mereka, unsur terpenting hidup mereka... Setiap saat, ketika dan selamanya...

Ibu bapa kita telah berbakti kepada anak-anak mereka sejak berpuluh tahun dahulu… Sedangkan kita hanya cuba berbakti kepada mereka kini dan mungkin berpuluh tahun akan datang, selagi hayat dan rezeki kita masih bersama mereka…
Persoalannya, adakah setiap saat di berpuluh tahun akan datang itu, ibu bapa kita telah berhenti berbakti kepada kita? Pastinya tidak, bukan? Jadi, bakti ibu bapa kita terhadap anak-anak mereka adalah sejak berpuluh tahun dahulu, kini, dan sehingga berpuluh tahun akan datang… Oleh itu, bakti ibu bapa di saat mana yang ingin kita balas, wahai anak-anak sekalian?
Satu analogi mudah... Seakan ibu bapa kita telah mula berlari sejak lama dulu... Sedangkan kita hanya baru bermula berlari dari garis permulaan yang sama...  Mampukah kita memintas ibu bapa kita?
Saudara/Saudari, anak budiman, benar edaran dunia kini semakin pantas... Namun, itu tidak bermaksud kita mampu memintas ibu bapa kita dalam bab berbakti... Sedarlah kita akan hakikat bahawa bakti ibu bapa kita di edaran dunia kini turut mencurah semakin pantas terhadap kita... Jika tidak, manakan mungkin kita mampu hidup hari ini, dalam dunia yang pantas ini? Dari mana ilmu yang kita belajar, kemahiran yang kita mahir dan semua kelengkapan pada diri kita kini, untuk kita harungi arus dunia ini, jika tidak hasil bakti ibu bapa kita?

Pengalaman yang kita ceduk...
Hasil daripada jalan yang ibu bapa kita tunjuk...

Sekolah yang mendewasakan kita...
Hasil daripada langkah ibu bapa yang menghantar kita...

Masihkah ada antara kita yang berbangga hanya kerana mereka sentiasa mendoakan ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang berbangga kerana memberikan kesemua wang gaji bulanan mereka kepada ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang berbangga kerana mampu carikan pasangan hidup terbaik sebagai menantu unggul ibu bapa mereka?
Masihkah ada antara kita yang yakin berkata, “Aku telah berbakti kepada ibu bapa, demi membalas jasa mereka”?
Terbalaskah bakti ibu bapa kita semenjak dahulu hanya dengan bakti kita kini???

Persoalannya lagi, bagaimana harus kita balas bakti ibu bapa kita? Adakah bermakna kita tidak seharusnya cuba untuk membalas bakti ibu bapa kita, kerna kita tidak akan pernah mampu?
Jawapannya, sentiasalah menjadi anak yang soleh/solehah... Kerna anak yang soleh/solehah merupakan bekalan ibu bapa kita saat mereka hidup dan jua setelah mereka meninggal dunia...
Ibu bapa kita telah menjadi seorang ibu yang solehah dan bapa yang soleh buat kita sebelum kehidupan kita, di setiap saat kehidupan kita dan jua sehingga akhir hayat mereka dan hingga akhir hayat kita...
Ingin membalas bakti ibu bapa, tidak kita tahu kemampuan kita... Namun, setidaknya kita cuba menjadi anak yang soleh/solehah saat kehidupan mereka dan setelah mereka meninggal dunia... Soal terbalas atau tidak jasa itu, terserahlah pada Allah SWT untuk menilainya... Mungkin jua kita yang akan meninggalkan mereka terlebih dahulu... Namun, setidaknya kita telah berbakti kepada ibu bapa kita dan membahagiakan mereka dengan menjadi anak yang soleh/solehah... Setidaknya, pemergian kita diredhai ibu bapa kita... Kerna redha ibu ayah itu, juga redha Allah SWT...

Insan yang gemilang...
Bukanlah insan yang berjaya dalam berjuang...
Tetapi, insan yang terus berjuang walaupun terhalang...

Anak yang soleh dan solehah...
Bukanlah anak yang telah berbakti pada ibu ayah...
Tetapi, anak yang terus berbakti demi Allah...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal