NAK KAHWIN, SOLAT DULU…

“Saya betul-betul ikhlas nak kahwin dengan S, pak cik...” ucap K pada Pak Cik N. “Baiklah. Tapi pakcik ada satu permintaan dan pakcik benar-benar berharap K akan penuhi permintaan pakcik ni”, Pak cik N membalas. “Apa dia pak cik? Insya-Allah, saya cuba penuhi permintaan pak cik tu...”. “Pak cik nak minta K temankan pak cik di rumah hujung minggu ni... S nak ke luar kota untuk temankan mak ciknya hujung minggu ni...”. “Oh, boleh je pak cik... Takde masalah...”.

Petang Jumaat minggu tersebut, N sampai di rumah Pak Cik N. “Assalamualaikum pak cik...”. “Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh... Wah, awal sampai... Bagus...”. Maka bermalam la N di rumah Pak Cik N.

Sebaik sahaja masuk waktu Maghrib, mereka solat Maghrib berjemaah. Oleh kerana kenyang bercampur letih bekerja, K terlelap di atas katil. Bila waktu Isyak telah masuk, Pak Cik N mengetuk pintu bilik untuk mengejut K bersolat Isyak berjemaah. “Pak cik solat la dulu... Nanti saya solat sendiri...”, kata K dalam keadaan separuh sedar bila terdengar ketukan pintu dan suara Pak Cik N mengajak solat berjemaah. Maka solatlah Pak Cik N sendirian... Selepas solat, Pak Cik N duduk di ruang tamu menonton televisyen sampai tengah malam. Melangkah ke biliknya, Pak Cik N terlintas, “Eh, K belum bangun solat Isyak lagi... Mungkin dia bangun tengah malam nanti kut...”.

Keesokan harinya, sebaik sahaja azan Subuh berkumandang, Pak Cik N mengetuk pintu bilik K. “Assalamualaikum K... Bangun K, kita solat Subuh berjemaah jom...”. “Erm... Okey, okey...”, kata K dalam keadaan sedar tak sedar. Lama Pak Cik N menunggu, namun K tak juga keluar dari biliknya untuk solat Subuh. Lalu, Pak Cik N solat Subuh sendirian.

Kira-kira matahari telah terbit di ufuk Timur, K bangun. Terjumpa Pak Cik N semasa hendak ke bilik air, K bertanya, “Erm... Waktu Subuh dah habis ke pak cik?”. Sambil tersenyum, Pak Cik N menjawab, “Matahari dah tegak dah K...”. “Oh, okey... Terpaksalah qada solat Subuh ni...”, kata K seraya melangkah ke bilik air.

Matahari mula meninggi. Pak Cik N duduk menjamah kuih-muih dan teh bersama K di ruang tamu. Disuruhnya K menceritakan bagaimana dia boleh kenal dengan anaknya, S dan kenapa K ingin mengahwini anaknya itu. Ketika K tengah asyik mengutarakan sebab-sebab dia ingin mengahwini S, telefon Pak Cik N berbunyi. “Maafkan pak cik kejap ye K...”.

“S minta tolong ambil dia di rumah mak ciknya. Boleh tak K temankan pak cik?”, kata Pak Cik N selepas meletakkan gagang telefon dan berjalan ke arah K. “Boleh je pak cik... Kita pergi dengan kereta saya je la... Saya bawa pak cik pergi ambil S... Jom la kita bersiap...”, jawab K, spontan. “Nak pergi jemput S sekarang ke? Apa kata kita jemput dia lepas Zohor nanti?”, tanya Pak Cik N dengan dahi sedikit berkerut. “Kita jemput dia sekarang la pak cik. Kesian pulak S nak tunggu sampai lepas Zohor...”, jawab K dengan muka sedikit tersenyum. “Baiklah...”, jawab Pak Cik N, pendek sambil melangkah ke biliknya.

Di pertengahan jalan balik selepas menjemput S, Pak Cik N hanya senyum segaris sedangkan K kelihatan berseri-seri senyumnya. Memecah kesunyian di dalam kereta, S berkata, “Awal betul ayah dan K datang jemput S... Sempat solat Zohor tak tadi?”. “Tak...”, jawab Pak Cik N dengan nada perlahan. “Jadi, nak singgah masjid tepi jalan kejap untuk solat Zohor?”, S mencadang. “Eh, takpe la... Nanti kami solat jemaah kat rumah je... Boleh kan, pak cik?”, K menjawab dengan pantas. “Erm...”, respon Pak Cik N. Suasana dalam kereta kembali sunyi.

Sebaik sampai di rumah, K berkata, “Jom la pak cik, kita solat Zohor, dah lambat dah ni... Takut tak sempat...”, sambil menghamparkan sejadah. “Baiklah, K jadi imam...”, kata Pak Cik N sambil menyarungkan kopiah.

Selepas berjemaah Zohor, K bangun sambil berkata, “Maafkan saya pak cik... Saya nak tidur dulu... Letih sangat rasanya badan ni...”. “Eh, alang-alang dah nak masuk Asar ni...”, getus Pak Cik N kehairanan. “Takpe la, saya nak tidur kejap je... Nak bagi hilang lenguh badan ni...”, kata K sedikit tersenyum. “Baiklah, nanti pak cik kejut bila dah masuk waktu Asar...”, respon Pak Cik N. “Okey...”, balas K sambil menutup pintu bilik.

Sedang K nyenyak tidur, pintunya diketuk kuat. “K!!! K!!! Ya Allah, dah bangun ke belum ni? Dah masuk Maghrib dah ni...”, terdengar Pak Cik N menjerit di balik pintu. “Ya Allah...”, sentak K sambil berlari ke bilik air untuk berwuduk.

Selepas menggantikan solat Asar dan sekaligus solat Maghrib, K melangkah keluar dari bilik. Terlihat S sedang menghidangkan makan malam. “Ada apa-apa yang boleh ditolong?”, K cuba menawarkan bantuan kepada S. Selamba S menjawab, “Dah siap hidang dah pun... Kalau nak tolong, tolong habiskan je...”. “Boleh je...”, jawab K berseloroh.

Selesai makan malam, Pak Cik N berkata, “Haa... Sedang elok masuk waktu Isyak... Jom kita jemaah Isyak...”. “Baiklah...”, jawab K dan S, agak serentak. S mengangkat pinggan mangkuk yang digunakan dan diletakkan dalam singki untuk dibasuh nanti. K pula, mula menghamparkan sejadah.

Selepas mengaminkan doa, Pak Cik N berpaling ke arah K dan berkata, “K temankan pak cik tengok berita nanti ye...”. “Baiklah...”, balas K, tersenyum. “Nanti S buatkan air...”, S mencelah.

Semasa menonton televisyen, Pak Cik N berkata kepada K, “K, rasanya K dah boleh pulang ke rumah K, sebab S pun dah balik ke rumah... Terima kasih kerana temankan pak cik hujung minggu ni...”. “Baiklah, Insya-Allah esok lepas Subuh saya bertolak balik...”, jawab K. “Erm... Pak cik, macam mana dengan lamaran saya?”, K cuba menambah.

Sambil tersenyum, Pak Cik N menjawab, “K, rasanya K perlu memikirkan solat fardhu K terlebih dahulu sebelum memikirkan dan bimbang akan perkahwinan... K, solat fardhu adalah perkara pertama yang akan dihisab kelak. Jadi, NAK KAHWIN, SOLAT DULU ye...”.

“Baiklah pak cik... Insya-Allah, saya akan cuba menjaga solat fardhu saya... Kalau takdir Allah jodoh saya dengan S, nanti saya datang melamar S lagi... Selepas saya mampu mendisiplinkan diri saya untuk solat di awal waktu...”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal