RUSA MASUK KAMPUNG...


2 rusa masuk satu kampung... Dikisahkan ceritera mereka satu per satu...

            Rusa pertama, masuk ke kampung, terjumpa kumpulan orang kampung... Diajak berjalan, diikut... Diajak berpesta, menurut... Diikut, diturut sahaja kumpulan orang kampung, penuh rasa seronok, galak rasa berbangga... Tidak disedari ia akhirnya dibawa ke satu ceruk, dikepung... Hingga akhirnya ia terkorban, disembelih dilapah beramai-ramai...

            Rusa kedua, masuk ke kampung, juga terjumpa kumpulan orang kampung... Diajak berjalan, juga diikut... Dalam ia berjalan bersama, matanya turut melilau mencari jalan-jalan alternatif... Ingin diajak berpesta, dikatakannya sibuk... Padahal ia sibuk meneroka lorong-lorong yang dirasakannya jalan-jalan yang elok... Turut sama berjalan, namun sering menolak ke pesta, ia membuatkan orang kampung selalu jemu... Hasrat asal orang kampung untuk melapah rusa ini akhirnya terbantut...

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

            Inilah cerita 2 rusa Nani, versi Ahmad Zakry Haikal... Apa yang ingin saya sampaikan melalui cerita 2 rusa ni? Saya ibaratkan rusa-rusa itu sebagai insan-insan yang berpeluang meneroka tempat-tempat baru... Saya khaskan warkah ini pada insan-insan yang berpeluang melanjutkan pelajaran atau bekerja di luar negara, terutama negara-negara yang agama Persekutuannya bukan Islam dan masyarakat Islam hanya minoriti di sana... Sungguhpun begitu, saya juga niatkan warkah ini pada insan-insan yang berada di dalam negara... Kerana pada hemat saya, ramai juga antara kita yang ibarat rusa masuk kampung di negara sendiri...

            Kadang-kadang, kita rasa kita dah kenal negara kita, negeri kita... Kita rasa kita sudah tepu dengan selok belok tempat sendiri... Tapi, hakikatnya masih ramai yang masih terpinga-pinga mencari arah di tempat sendiri... Masih ramai yang masih terkontang-kanting dihanyutkan arus di tempat sendiri... Sekali gelombang masuk ke tempat kita, sekali bah melanda... Kita turut hanyut bersama arus yang entahkan apa penghujungnya, samada buruk atau kurang baik... Yang baik-baik, cepat je kita menolak, kerna kita rasakan tidak seronok dan tidak serasi dengan galak jiwa kita...

            Janganlah kita jadi seperti rusa pertama... Terlalu seronok dengan persekitaran, sehingga akhirnya terkorban... ‘Terkorban’ bukanlah hanya bermaksud mati, diri dinodai, atau yang sewaktu dengannya... Tapi, yang lebih digeruni, iman mereka dinodai... Jati mereka sebagai warga negara yang budiman diragut oleh unsur-unsur luar... Itu kerana terlalu terikut-ikut dengan budaya asing, tanpa menapis terlebih dahulu dan bila diterima, terus disematkan ke dalam jiwa... Akhirnya jadi terbiasa, sehingga dirinya hanyut... Sedang dia berbangga dengan perubahannya, di belakangnya dia ditertawakan oleh golongan yang berjaya menyesatkan dia...

            Alangkah moleknya jika kita jadi seperti rusa kedua... Bercampur dengan masyarakat di tempat baru, dalam waktu yang sama turut mengintai peluang-peluang dan meneliti jalan... Agar di saat memerlukan, dia tahu ke mana ingin dituju...

            Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘ular menyusur akar tidak kan hilang bisanya...’. Namun begitu, janganlah kita terlalu berbangga dan terlebih yakin bahawa kita akan masih ‘berbisa’ walaupun setelah kita bergaul terlalu bebas dengan masyarakat baru... Itu hanyalah bergantung pada rezeki dan izin Allah SWT, untuk kita mengekalkan ‘bisa’ kita... Apa yang penting, kita sendiri harus bijak menyusun langkah dan selalu beringat untuk menyimpan ‘bisa’ kita agar tidak terbazir... Kita juga harus sentiasa beringat, jangan sampai kita terlupa ‘kemahiran menggunakan bisa’... Apatah lagi, sehingga kita terlupa hakikat yang kita sebenarnya berbisa...

            Itulah sebabnya saya lebih selesa mengumpamakan kita sebagai rusa yang masuk kampung... Agar kita sentiasa beringat bahawa kita sebenarnya sentiasa diintai untuk dilapah, selain hakikat kita mempunyai kemahiran dan kelebihan tersendiri...

            Oleh itu, kepada abang-abang, kakak-kakak, adik-adik, golongan anak-anak yang diberikan kepercayaan berkelana, ingatlah bahawa dalam menjunjung langit, berpijaklah pada bumi... Selalunya, orang akan menasihatkan golongan anak-anak supaya tidak lupa bangsa, harapan ibu bapa dan macam-macam pengharapan lagi... Asbab itu, ramai anak-anak kadang-kadang terlupa, kerna tida berupaya mengingati kesemua harapan yang disandarkan pada bahu mereka... Tidak kurang juga yang memberontak... Jadi, dalam warkah ini, suka untuk saya ringkaskan dan permudahkan pengharapan buat golongan anak-anak yang berkelana... Sentiasa ingatlah satu perkara sahaja, iaitu agamamu... Kerna pada agamamu ada segalanya... Pada agama, ada harapan ibu bapa, ada impian bangsa dan negara... Apa jua yang perlu ada pada bahumu, ada pada agamamu.. Selagi anak-anak teguh pada agama, selagi itu ia memenuhi kesemua pengharapan lain...

            Buat ibu bapa, setelah ayah dan ibu sekalian memberikan pengkongsian ilmu agama dan didikan yang berguna pada anak-anak, silakan menarik nafas lega... Anak-anakmu bakal membanggakan kalian... Relakan anak-anak pergi berkelana... Selalulah mendoakan mereka... Kerna doa kalian akan membantu menerangi jalan mereka di sana...

            Kadang-kadang, seekor rusa tidak sedar kelebihannya, ketika ia tetap di habitatnya... Rusa itu perlu keluar meneroka tempat baru... Namun, ia tetap perlu berada dalam koloninya, agar apa yang masing-masing dapat dapat dikongsikan dan dipraktikkan bersama... Rusa yang keluar berkumpulan lebih cepat berkembang kemahirannya berbanding rusa yang sendirian... Rusa yang tetap dalam koloninya juga mampu saling menasihati agar tiada yang tersesat...

            Oleh itu, ibu bapa persiapkanlah anak-anak... Periksa juga siapa teman-temannya, agar ia tiada akan lepas daripada lingkungan yang baik... Anak-anak juga perlu pandai bergaul... Bukan hanya kemahiran bergaul itu diasah menjelang keberangkatan, tapi perlu bermula lebih awal, sejak timbulnya kesedaran bahawa anak-anak tidak mampu keseorangan...

            Sudah menjadi lumrah, banyak jalan dan banyak simpang dalam hidup ini... Namun, seperkara yang perlu kita ingat, jalan yang salah itu tidak panjang... Makna kata, sekiranya kita tersesat, hakikatnya kita masih tidak jauh dari jalan kebenaran... Di mana pun kita tersesat, ingatlah bahawa kita masih tidak jauh dari jalan yang benar, dan masih mudah untuk kita kembali ke jalan benar itu... Boleh jadi kita hanya perlu kembali ke pertengahan jalan, kerna kita tersilap memilih simpang... Oleh itu, kita janganlah cepat kecewa memikirkan kita perlu kembali ke permulaan perjalanan kita setelah kita tersesat... Kerna ramai yang sedar mereka tersesat, namun berputus asa kerana memikirkan mereka perlu bermula semula... Sehingga akhirnya mereka memilih untuk terus berkelana dalam kesesatan... Renungkanlah atau bertanyalah, agar kita tahu di mana pangkalnya untuk kita kembali berkelana di jalan benar...

            Hakikatnya, itulah yang dikatakan ‘jauh berjalan, luas pandangan’... Ramai yang sudah mencuba bermacam jalan, namun masih mampu kembali ke jalan benar, setelah mereka sedar mereka sedang menuju kesesatan... Kerna mereka sedar, mereka menyimpang tidak jauh, dan mereka mampu mencari kembali haluan jalan untuk mereka pulang ke jalan kebenaran... Ingatlah, insan yang hebat itu bukanlah insan yang tidak pernah tersesat, namun insan yang hebat itu adalah insan yang tidak berputus asa dari kebenaran dan mereka yang pulang kepada kebenaran setelah mereka sedar mereka tersesat...

            Jelajahlah jalan-jalan yang belum diterokai orang lain, yang kita yakini benar... Namun begitu, setelah kita sedar itu bukan sebahagian daripada jalan kebenaran, pulanglah dan khabarkanlah, agar menjadi pedoman buat umat sejagat... Janganlah kita diamkan, kerna dikhuatiri ada yang bakal mengikut jejak kita dan tersesat lebih jauh... Dalam berlayar, bukan hanya satu haluan kapal... Boleh jadi banyak, asalkan haluan-haluan itu membawa kepada destinasi yang benar, bukan sekadar ilusi... Di negeri sendiri, di perairan sendiri, di angkasa sendiri, boleh jadi kita telah mahir membawa diri... Namun, apakah nasib kita di negeri orang, perairan asing dan angkasa raya lain? Apakah kita akan tersesat, tidak menemui jalan pulang... Jika kita mampu merentasinya, adakah kita sudi berkongsi sebagai panduan orang lain? Di situlah letaknya diri kita, setakat mana kita mampu berjasa kepada orang lain, selain pandai membawa diri...

            Akhir kata, bergaullah dan pandai-pandailah untuk hidup... Sentiasa berpegang pada agama adalah langkah terbaik... Kerna agamalah yang mampu menerangi saat kegelapan... Agama juga yang mampu menjadi pengukur samada kita tersesat atau masih di jalan yang betul... Agama juga mampu menjadi penanda aras ketika kita perlu kembali ke pangkal jalan yang benar... Jadilah seperti seekor rusa yang setelah masuk kampung, masih mampu keluar dengan sejahtera dan berkongsi panduan dengan yang lain...

ILMU UNTUK ‘COUPLE’ (PUJUK SEBELUM DIA MERAJUK)...


            Merajuk... Masalah tu... Terutama bagi mereka yang dah berkahwin... Fenomena pasangan merajuk ni, sangat ditakuti oleh insan yang berumah tangga, sehingga akhirnya ramai memutuskan untuk tidak memujuk pasangan masing-masing... Ada juga yang terlebih rezeki, rela tidak ke pejabat demi mengatur makan malam sebagai usaha memujuk pasangan...(banyak tengok drama ni). Ada juga insan yang terlalu sibuk, sehingga tidak sempat untuk perasan bahawa pasangan telah merajuk... Masalah juga tu...
           
            Macam-macam gaya orang memujuk ni ye... Boleh sakit kepala mencari jalan memujuk, bila si dia merajuk... Jadi, apa kata kita berhenti? Berhenti daripada memberi ruang untuk si dia merajuk, boleh tak? Takpe, kita cuba... Macam mana? Dengan cara memujuk si dia sebelum sempat si dia merajuk...(wah, boleh tahan juga idea ni).

            Macam mana nak pujuk tu, terpulang pada kreativiti masing-masing, tertakluk pada situasi... Persoalan yang perlu hadir sebelum tu adalah macam mana nak tahu si dia akan merajuk? Teknologi membuktikan bahawa banyak ramalan boleh dibuat... Gempa bumi mampu diramal, tsunami mampu diramal, musim banjir pun mampu dijangka, dan macam-macam lagi mampu diramal... Kehidupan menjadi senang dengan adanya teknologi, kan? Tapi, kita lupa bahawa kebanyakan fitrah manusia juga mampu diramal dan dijangka... Sebelum tidur, ada petanda iaitu mengantuk... Sebelum buang air, ada rasa... Sebelum kenyang, ada petanda, sebab tu kita mampu berhenti makan sebelum kenyang... Bahkan, sesetengah penyakit juga ada petanda, dipanggil simptom-simptom... Jadi, takkan merajuk tak ada petanda? Haa... Fikirlah sendiri ye, saudara/saudari...

            Sebenarnya, itulah salah satu hikmah perkahwinan... Insan menjadi lebih sensitif bila berkahwin... Seorang bujang/dara yang keras hati, mampu lembut hatinya setelah berkahwin... Seorang yang bujang/dara yang pemarah, mampu kerap menitiskan air setelah berkahwin... Sebab setelah berkahwin, Insya-Allah hati menjadi lembut dan diri menjadi sensitif... Oleh itu, sebaik sahaja selesai akad nikah, sensitifkan diri awak agar mampu cepat memahami pasangan, dan dapat lekas mengesan sebarang perubahan emosi pada pasangan... Paling kurang, keraplah berdoa...

Seawal perkahwinan, sematkan dalam fikiran untuk cuba mengesan apa yang si dia suka dan juga apa yang si dia tidak suka... Selalunya, ramai insan yang sudah berpasangan akan cuba mencari kegemaran pasangan, sebagai modal kejutan di hari-hari bermakna seperti hari ulangtahun perkahwinan, ulangtahun kelahiran, Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Kekasih... Kita sibuk mencari modal pemanis untuk hari tertentu sahaja, tetapi bagaimana dengan hari-hari? Adakah kita nak biarkan hari-hari itu hambar? Kalau nak dibiarkan hari-hari itu biasa-biasa saja, apakah tahap ‘biasa-biasa’ kita tu? Takkan kita tak nak kebiasaan hari-hari kita bersama si dia sentiasa terselit senyuman, dan terhindar daripada bermuka masam apatah lagi tangisan?

Dah tahu si dia tak suka, tapi kita tersilap cakap atau buat, cepat-cepat la minta maaf...  Cepat-cepat la pujuk, sebelum si dia merajuk... Sama la juga kalau kita terlupa, apa kata kita sebut sepatah, “Maafkan Ayang/Abang...”. Nak lagi pendek, ‘Sorry...”. Kita tak perlu jadikan lafaz maaf tu sesuatu yang formal, sehingga kita rasa kekok dengannya... Masukkan sedikit lenggok untuk menjadikan ia lebih kasual atau romantis... Yang penting, kita terbiasa menuturkannya...
           
Takut dikatakan tidak ikhlas meminta maaf? Ya, memang ada bidalan yang berbunyi, “If you don’t mean it, then don’t say it”... Jika itu yang menjadi persoalan, jika keikhlasan yang menjadi isunya, selamanya ia akan menjadi persoalan atau isu... Kerana soal ‘mean it’ atau keikhlasan adalah urusan kita dengan Allah SWT... Jika si dia meragukan tentang itu, maksudnya si dia dah merajuk dan belum bersedia untuk memaafkan kita... Jadi, sekalipun kita buat macam-macam, atau terus meminta maaf cara formal, belum tentu si dia akan memaafkan kita... Maknanya, kita memang kena pujuk la... Insya-Allah, jika dikurniakan rezeki untuk membincangkan bab pujuk memujuk ni, kita akan lakukan di lain masa...
           
Kembali kepada topik warkah kita... Apa hikmah atau manfaatnya kita pujuk si dia sebelum si dia merajuk? Insya-Allah, jika kita minta maaf sebelum si dia merajuk, kita mampu terus menjernihkan hubungan kita sebelum ia menjadi keruh... Si dia juga akan merasakan kasih sayang kita dan betapa kita memahaminya... Selain itu, kata maaf seperti “Ops, sorry...” bukan setakat mampu membuatkan si dia tersenyum, tetapi juga mampu menjadi jenaka dan gurauan antara kita dan dia... Insya-Allah, itu mampu mencari sebahagian rencah pemanis hidup kita bersama si dia...

            Baiklah, mungkin masa membataskan kita... Atau mungkin ada beberapa faktor yang menghalang kita daripada memahami si dia... Jadi, apa nak buat? Nak biarkan sahaja si dia merajuk, baru kita cuba pujuk? Tak perlu... Cubalah kesan ketidaksenangan si dia... Paling kurang, riak muka si dia akan berubah... Mungkin juga si dia akan menjadi tidak senang duduk... Haa... Masa tu la kita beri ‘suntikan penenang’... Kata-kata seperti, “Ayang/Abang marah ke pasal tadi?” mampu menerangkan sesuatu... Jadi, bertindaklah mengikut keadaan... Paling tak, cakap je terus, “Kalau Ayang/Abang marah pasal tadi, Abang/Ayang minta maaf”... Nak lagi ‘gentleman/gentle-lady’? “Abang/Ayang minta maaf pasal tadi... Abang/Ayang tak sepatutnya cakap/buat macam tu”... Naa... Itulah suami/isteri yang ‘sweet’...

            Pendekatan paling mudah, kita lekas refleksi diri... Kalau kita tak suka, jangan mengharapkan orang lain suka... Jadi, bila kita bertindak, berbuat sesuatu, cuba fikirkan... Adakah kita akan senang jika diperlakukan atau dikatakan demikian? Kalau tak, lekas-lekas la minta maaf pada si dia... Sekalipun si dia berkata, “Eh, Ayang tak marah la... Abang jangan la risau sangat...”, kita masih boleh membalas, “Bukan apa... Mungkin kalau Abang jadi Ayang, mesti Abang dah marah dengan apa yang berlaku tadi... Jadi, Abang minta maaf awal-awal...”. Rasanya, itu mampu juga menjadi pemula jenaka atau topik perbualan sepanjang hari... Jika benar demikian, bermakna ia juga mampu menjadi kenangan tika rindu... Asalnya bermula dari satu kesalahan, terpahat di ingatan... Bukan kerana salahnya, tapi kerana tawa susulannya...

            Jadi saudara/saudari, belajar-belajar la menjeling untuk memandang si dia secara curi-curi... Kerana kebanyakan orang tidak suka sentiasa direnung, apatah lagi masa ‘angin hangat’ sedang meningkat naik... Selain itu, latihlah hati untuk lebih celik... Selamat berjaya...

            Mulakan sekarang... Berlatihlah, praktikkan kemahiran menjeling dan sensitifkan diri awak sekarang... Awak ada ramai insan yang halal bagi awak melatih kemahiran mata dan rasa hati awak... Berlatihlah sehingga awak mampu meneka emosi ayah, ibu, dan adik-beradik sendiri... Kalau berkesempatan, cuba-cubalah meneka emosi mereka yang ada di sekeliling awak... Insya-Allah, kalau awak sudah mampu meneka emosi orang sebelum awak berkahwin, awak akan lebih senang dan lebih kerap mempraktikkannya selepas berkahwin... Kata kebanyakan daripada kita, dari mata turun ke hati... Maknanya, kalau mata sudah meningkat sensitivitinya, Insya-Allah hati pun akan turut lebih sensitif lagi...

            Sekian daripada saya untuk warkah kali ini... Alhamdulillah, atas ilham yang spontan ini... Terima kasih kepada insan yang sudi menjadi perantara ilham itu...

Ilham : Aisyah Humaira

ISLAMI DALAM POLITIK...


Assalamualaikum...
Baru-baru ni, ada sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) mengumumkan untuk bergiat dalam politik. Kepimpinan organisasi itu turut menyatakan hasrat untuk turut serta dalam undian PRU 13 nanti... Organisasi itu adalah sebuah organisasi yang dikenali ramai sebagai organisasi Islami... Tiba-tiba, berhasrat untuk turut serta dalam politik... Kenyataan itu mengejutkan dan membuatkan ramai orang hairan, termasuk saya... Ini kerana saya sangat mengagumi organisasi tersebut atas dasar Islaminya...

Jadi, saya ingin mendapatkan reaksi saudara terhadap perkembangan organisasi tersebut... Apa kata saudara?

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Waalaikumussalamwarahamtullahiwabarakatuh...
            Alhamdulillah, saya berpeluang mengikuti tersebut... Jadi, Insya-Allah saya dapat mengagak organisasi yang dimaksudkan oleh saudara/saudari... Namun begitu, tak mengapa... Saya akan berkongsi pendapat saya secara umum...

            Jika saudara/saudari bertanya apa kata saya, kan saya jawab, “Bagus la”... Sebelum saya teruskan warkah ini, saya ingin nyatakan bahawa saya menulis ini tulus dari hati saya, tanpa sebarang kepentingan tersendiri pada saya mahupun imej saya di mata mana-mana pihak...

            Sebagai sebuah negara Islam, yang terkenal di mata dunia, yang dijadikan contoh oleh negara sejagat, wajarlah kita memiliki suara-suara Islam dalam kepimpinan, tidak hanya di peringkat rakyat jelata... Ya, pimpinan menteri telah mempunyai penasihat-penasihat agama mereka sendiri... Namun begitu, alangkah lebih baik jika menteri-menteri itu sendiri yang mempunyai pengetahuan Islam yang meluas... Ya, memang pimpinan kita telah mempunyai beberapa orang menteri yang berkelayakan ustaz kini... Namun begitu, alangkah lebih baik jika menteri-menteri berkelayakan ustaz itu mampu menyuarakan suara dan mengutarakan pendapat dalam isu-isu berkaitan Islam, tanpa berbaur memihak mana-mana parti politik...

            Sebagai rakyat, tentunya kita ingin mendengar kata-kata dan pendapat berkaitan Islam, yang neutral... Saya, secara peribadi, telah muak dengan kata-kata yang kononnya pendapat berkaitan isu Islam, tetapi yang lantangnya saling menjatuhkan dan saling memperolok-olok parti lawan... Pada pandangan saya, permasalahan politik negara kini adalah kerana kita hanya ada 2 belah pihak, yang seakan berikrar tidak akan bersatu dengan satu sama lain... Adanya pemerhati, adalah untuk berpihak pada satu pihak dan memerhatikan pihak satu lagi bagi mencari kesalahan pihak lawan... Seakan tiada seorang pun pemerhati yang cuba mencari kesamaan ke arah kesatuan kedua belah pihak... Betapa kita sebagai rakyat, memerlukan pemerhati-pemerhati yang bersifat neutral tampil sebelum kita dikucar-kacirkan oleh pihak-pihak yang hanya mementingkan keuntungan sendiri...

            Oleh itu, saya bersetuju hadirnya pihak ketiga, yang tiada kepentingan pada mana-mana antara 2 pihak bertelagah ni... Sungguhpun khabar angin banyak mengatakan organisasi tersebut pro pada mana-mana parti politik, saya dapati itu semua hanya permainan media... Walaupun saya ada membuat kajian yang mungkin tidak seberapa, namun hasilnya saya dapati organisasi tersebut bertindak adil dalam menegur mana-mana parti politik, tidak mengira parti kerajaan atau pembangkang... Oleh itu, saya yakin dengan organisasi tersebut...

            Latar belakang organisasi tersebut yang Islami, mengukuhkan lagi sokongan saya terhadap tindakan organisasi itu terlibat dalam politik negara... Selain itu, kita juga harus sedar bahawa organisasi itu bukan tertubuh seperti cendawan selepas hujan, dan bukan didokong oleh orang sembarangan... Ahli-ahli yang mendokong organisasi tersebut adalah mereka yang profesional dan terdiri daripada semua lapisan umur dan banyak lapisan kemahiran dan pengetahuan... Selain itu, jika tidak silap saya, organisasi itu telah diikitiraf ketelusan pentadbiran dan penyampaian maklumat dalam organisasinya...  Oleh itu, Insya-Allah organisasi tersebut tidak akan mudah dikelentong...

Mungkin kita sebenarnya bimbang dengan keadaan politik kini yang boleh dikatakan kotor... Mungkin itulah sebabnya kita ragu-ragu dengan tindakan mana-mana pihak yang menyatakan hasrat untuk terjun ke dalam politik negara... Apatah lagi jika hasrat itu disuarakan oleh sebuah organisasi yang Islami... Saya, secara peribadi menyokong tindakan sebuah organisasi yang Islami bergiat dalam politik negara... Tidak hanya sebuah organisasi ini, bahkan mana-mana organisasi yang yakin dengan keupayaan mereka dan perubahan yang mampu mereka bawakan, patut menerima sokongan kita...

Saya bawakan beberapa analogi... Harap-harapnya, sinonim dengan maksud yang benar... Ramai antara kita yang pernah melihat iklan Harpic kan... Kejuruteraan bendalir pencuci Harpic mampu mengajar kita sesuatu... Kita amati teknik pembersihan Harpic... Cecair pembersih Harpic larut dalam kotoran untuk menanggalkan daki kotoran... Jika kita besarkan skop teknik pembersihan ini, apa salahnya unsur-unsur pembersih menyerap ke dalam kotoran untuk membersihkan? Walaupun unsur yang membersih itu kelihatan larut bersama kotoran, namun hasil akhirnya adalah permukaan atau imej yang bersih bersinar... Jika itu mampu terlaksana, atau ada pihak yang sanggup berjanji hasil itu mampu direalisasikan, usaha ke arah itu harus disokong dan didokong oleh segenap masyarakat...

Analogi kedua, izinkan saya berkongsi hakikat cahaya dan kegelapan yang Insya-Allah dapat kita ambil pengajaran... Harap-harapnya, hakikat yang saya kongsikan ini tidak terpesong daripada hakikat sebenar... Saudara/Saudari, cahaya tidak mencipta ruangnya sendiri, tetapi cahaya masuk ke dalam kegelapan dan menerangi... Contohnya, cahaya lampu suluh... Cahayanya perlu masuk ke dalam kegelapan malam, untuk menerangi... Jika pergerakan cahaya lampu suluh dirakam dari saat ia dinyalakan, dan rakaman itu diperlahankan, Insya-Allah kita mampu melihat pergerakan cahaya bergerak memasuki kegelapan dan menerangi... Kesimpulannya, mana mungkin cahaya itu dapat mencari ruang untuk menerangi, jika tidak masuk ke dalam kegelapan, kan? Begitu juga dengan tindakan organisasi Islami ini, memasuki kancah yang dianggap kelam bagi kebanyakan pihak, untuk menerangi sepertimana asal fitrah sepatutnya...

Kata orang, matlamat tak menghalalkan cara... Kata orang juga, kita mampu mencipta berjuta alasan untuk menghalalkan sesuatu... Maafkan saya yang cetek ilmu dan pengetahuannya, tapi saya bukan berniat untuk menghalalkan tindakan yang tidak benar... Ya, mungkin mampu organisasi itu terus sepertimana asalnya, bergerak sebagai sebuah organisasi yang tidak terlibat dengan politik... Mungkin organisasi itu mampu mencipta ruangnya sendiri, tanpa masuk ke dalam kancah politik, dan menyuarakan suaranya sebagai sebuah badan berkecuali... Namun demikian, sampai bila suara-suara berbentuk teladan harus bergerak sebagai ‘suara dari luar’? Lambat laun, suara itu mungkin akan hanya tinggal suara...

Ya, negara kita sebuah negara berdemokrasi, di mana rakyatnya mampu bersuara... Namun, adakah kesemua suara berbaur kebaikan itu diambil cakna? Tapisan suara yang berlaku, adakah ianya bersifat adil, atau hanya untuk kepentingan politik oleh pihak tertentu sahaja? Oleh itu, lebih baik kita serapkan suara-suara yang baik ke dalam pentadbiran, agar suara-suara baik itu menjadi ‘suara dari dalam’ bukan lagi ‘suara dari luar’... Insya-Allah, ‘suara baik dari dalam’ lebih efektif dan praktikal bagi kita...

Oleh itu, saya puji usaha murni organisasi tersebut mengambil inisiatif untuk masuk ke dalam kancah politik negara, yang digeruni kerana dianggap kotor itu, bagi membersihkannya dan cuba membawakan pencahayaan ke dalam kegelapan politik yang telah menakutkan kita semua...

Sampai sini dahulu respon saya berkenaan tindakan pihak yang dianggap Islami cuba masuk kancah politik... Diharapnya, yang baik itu kita benar-benar ambil teladan... Kerna yang baik itu hanyalah daripada Allah SWT, dan kembali kepada Allah SWT untuk dinilai... Tiada satu milik saya... Yang tidak baik, juga kita ambil teladan... Agar tiada antara kita yang akan mengulangi kekhilafan seperti mana saya...

ISLAM ITU DARIPADA ALLAH SWT...
POLITIK ITU JUGA DARIPADA ALLAH SWT...
SEMUANYA, DARIPADA ALLAH SWT...
TIADA SATU PUN YANG MENYESATKAN...
KECUALI SYAITAN LAKNATULLAH...
JADI, JIKA ADA YANG MENYESATKAN...
ITU ADALAH KERANA KITA YANG MENYESATKAN IA...
KEMBALILAH KEPADA ALLAH SWT...
KERANA ALLAH SWT PUNYA PETUNJUK...


CANTIKNYA, HATI DIA…


Seorang pengantin lelaki ditanya tentang isterinya...

Soalan :
Apa yang paling cantik pada isteri saudara?

Pengantin :
Kalau kecantikan isteri saya ni adalah pada kakinya, saya tak perlu menunggu lama, untuk berkahwin dengan dia... Semasa saya tunduk ke bawah ketika berjalan, saya cuma perlu cari mana-mana wanita yang tak pakai stoking... Setelah saya terjumpa wanita yang berkaki cantik, siap pakai gelang kaki lagi, terus saya boleh pinang untuk dijadikan isteri...

Kalau kecantikan isteri saya ni adalah pada tangannya, saya mungkin perlu pegang-pegang dulu tangan dia sebelum kahwin... Sebab saya perlu ‘check’ samada tangan dia cukup lembut, cukup mulus atau tak...

Kalau kecantikan isteri saya ni adalah pada mukanya, saya mungkin perlu ‘couple’ lama terlebih dahulu sebelum kahwin... Sebab saya perlu tengok elok-elok muka dia, kut-kut ada jerawat ke jeragat ke, tahi lalat kat mana...

Kecantikan isteri saya ni adalah pada hatinya... Untuk tahu hati dia ni benar-benar cantik atau tak, saya perlu tanyakan pada Allah SWT... Sebab Allah SWT yang Maha Mengetahui kecantikan hatinya... Dan setelah hatinya cantik, akan cantiklah yang lain-lain padanya... Matanya akan cantik... Telinganya akan cantik... Hidungnya akan cantik... Mulutnya akan cantik... Segala apa yang ada pada mukanya - jerawat, jeragat, tahi lalat, semuanya elok pada tempatnya, menambahkan lagi mulus wajah dia... Tangannya akan lembut, sebab hatinya cantik... Kakinya cantik walaupun berstoking, sebab hatinya cantik...

Jadi, pendek kata, kalau isteri yang cantik luar dalam, carilah isteri yang cantik hatinya...



ABANG BELUM JUMPA…


Di pertengahan jalan dia menuju kedai dari rumah, seorang adik terserempak dengan seorang jejaka yang duduk di atas wakaf tepi jalan...
Kelihatan si jejaka itu sedang merenung gambar seseorang sambil termenung...

Adik :
Assalamualaikum bang... Tengah buat apa tu? Termenung jauh nampak...

Jejaka :
Waalaikumussalam dik... Hurm... Abang tengah tengok gambar awek ni... Tapi, dah jadi isteri orang dah dia... Sayang betul... Kalau la abang dapat kahwin dengan dia, abang la orang yang paling beruntung di dunia ni...

Adik :
(berjalan ke arah si jejaka dan duduk di tepinya, sempat menjeling gambar di tangannya) Eh, itu bukan Kak ‘L’ ke? Dia awek abang ke?

Jejaka :
(tersengih) Ha’ah... Kira awek la... Abang suka sangat kat ‘L’ ni... Dia ni, dah la cantik, baik, manis betul... Nak nak kalau dia pakai tudung, fuhh memang penyeri hati kanda la...

Adik :
Betul, mana-mana perempuan, kalau pakai tudung, memang cantik... Tapi, sayang sikit la... Kesian pulak saya bila mengenangkan nasib abang ni... Moga-moga Allah kurniakan peluang dan rezeki kepada abang...

Jejaka :
Apa maksudnya tu, dik?

Adik :
Kak ‘L’ ni, memang cantik, manis... Tapi, ramai lagi perempuan yang lebih cantik, lebih manis daripada Kak ‘L’ ni... Mungkin abang belum jumpa perempuan yang lebih cantik dan lebih manis daripada Kak ‘L’ ni... Sebab tu, abang sedih bila Kak ‘L’ kahwin dengan orang lain... Alhamdulilllah saya berpeluang dan ada rezeki terjumpa ramai perempuan yang lebih cantik dan lebih manis daripada Kak ‘L’ ni... Dan saya percaya, kalau kita rajin mencari, selalu terbuka untuk menerima, kita akan jumpa yang selayaknya... Lagi satu, Kak ‘L’ ni memang bertambah manis bila bertudung, tapi jarang sangat dapat tengok dia bertudung... Akak-akak lain, yang lebih cantik dan lebih manis daripada Kak ‘L’, yang saya pernah jumpa, semua suka pakai tudung... Walaupun diorang bertudung labuh, tapi Masya-Allah cantik... Muka putih berseri, kulit putih melepak, senyum manis... Pendek kata, kalau letak diorang sebaris dengan Kak ‘L’ ni, boleh kelabu mata... Cuma, mungkin diorang tak sepopular Kak ‘L’... Diorang biasa-biasa je...

Jejaka :
Ye ke dik? Sebab setakat ni, Abang tak pernah jumpa orang yang cantik, manis macam ‘L’ ni...

Adik :
Betul, bang... Nak senang, abang pergi je ke madrasah kampung tu dekat-dekat dalam pukul 12 tengahari nanti... Akak-akak yang pergi mengaji kat situ, pun ramai yang cantik-cantik dan manis-manis macam Kak ‘L’ tu... Tu, belum lagi abang pusing kampung ni... Kalau nak pilihan yang lagi meluas, abang pusing satu Malaysia ni...
Kita ni, terutama anak muda macam abang, lelaki... Kalau nak perempuan macam mana, cantik ke, manis ke, macam orang tu, orang ni, kita boleh pilih... Kita siap boleh ‘request’ dengan Allah SWT, nak perempuan macam mana... Tak payah fikir nak buat awek, fikir nak buat isteri terus... Insya-Allah, bahagia... Sekarang, abang rasa Kak ‘L’ tu paling cantik, paling manis... Silap-silap, lepas kahwin nanti abang sedar bahawa isteri abang tu sebenarnya jauh lebih cantik dan lebih manis berbanding Kak ‘L’ tu...
Kita ni, kalau Allah nak bagi suruh buat pilihan, belum sepetik jari, sepuluh mari...
Dah la, bang... Tak payah nak layan sangat perasaan tu... Yang dah bertemu jodoh tu, biarlah dia bahagia dengan jodoh dia... Kalau dia tak bertemu jodoh sekarang pun, mungkin esok lusa bertemu juga... Tapi, kalau abang tak ada rezeki dengan dia, tetap abang tak berpeluang... Dia selebriti, layaklah kahwin sama selebriti... Sama fikrah, sama minat, sama corak pemikiran, sama memahami... Abang pun, kalau setakat nak kahwin dengan selebriti, boleh bah kalau kau, kalau Allah dah takdirkan... Buat masa sekarang, anggaplah abang belum jumpa orang yang lebih cantik dan manis berbanding Kak ‘L’ ni, untuk dijadikan isteri... Tapi, itu tak bermakna abang perlu termenung macam ni, hanya kerana Kak ‘L’ tu dah kahwin... Lebih baik abang mula mencari sekarang... Mana tahu, abang akan jumpa orang yang lebih cantik, lebih manis, lebih berbanding dia... Baik abang jumpa dulu, sebelum orang lain jumpa dan kebas... Melepas nanti...

Jejaka :
Hurm...

Adik :
Dah, tak payah nak ‘hurm’ sangat... Sekarang ni, abang ambik gambar ni, buang... Lebih baik, abang terus jalan, sambil berdoa semoga bertemu jodoh yang sesuai, yang lebih cantik dan jauh lebih manis berbanding Kak ‘L’... Mana tahu, sampai kat madrasah tu nanti, terjumpa seseorang yang mampu memikat hati abang dengan kecantikan, kemanisan dan sopan santun dia... Kan rezeki tu... Insya-Allah, abang akan jumpa insan bertuah itu...
Baiklah, abang... Saya nak sambung perjalanan ke kedai... Ingat, lebih baik abang cepat... Kalau saya jumpa akak yang cantik dan manis macam Kak ‘L’, saya ambik buat kakak ipar saya...
Assalamualaikum...

Jejaka :
(senyum) Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal