KITA YANG SESAT...


Allah ada dalam jubahku...
Allah ada dalam kocekku...
Akulah Allah...
            Itu kata-kata Al-Halaj yang popular... Siapa Al-Halaj? Pemimpin kumpulan ajaran sesat ke? Atau mungkinkah Al-Halaj adalah pengasas ajaran sesat, kerana mengaku sebagai Allah?

Saudara/Saudari yang diberkati Allah,
            Al-Halaj adalah seorang ahli tasawwur ketuhanan yang tersangat tinggi ilmunya... Tapi sayang, beliau telah dihukum bunuh kerana kata-katanya itu... Pemimpin menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Al-Halaj kerana dikhuatiri akan menyesatkan masyarakat... Tapi, betul ke kata-kata Al-Halaj itu bertujuan menyesatkan?

            Setelah Al-Halaj dihukum bunuh, latar belakang beliau telah diselidiki... Ilmuwan yang menyelidiki latar belakang Al-Halaj mengesahkan, bahkan menjamin bahawa Al-Halaj tidak pernah sekalipun melakukan percubaan untuk menyesatkan masyarakat...

            Apa maksud sebenar Al-Halaj dengan kata-kata tersebut? Maksud beliau melalui kata-kata beliau itu adalah, apa yang ada di dunia ini adalah jelmaan hasil kekuasaan Allah... Makna kata, segala apa yang ada dalam jubah Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah... Apa yang ada dalam kocek Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah... Bahkan, diri Al-Halaj (dan setiap insan) itu adalah hasil jelmaan oleh Allah... Makna kata lagi, jika Allah tidak jelmakan kesemuanya apa yang ada di dunia hari ini, termasuk manusia dan apa yang ada pada manusia, tidak akan terwujud... Oleh kerana Allah wujudkan, maka menjelmalah hasilnya seperti mana yang ada hari ini...

            Jumhur ulama memutuskan bahawa kata-kata Al-Halaj itu bersifat tidak cermat, dan tidak sesuai dengan tahap pemikiran masyarakat... Sungguhpun begitu, Al-Halaj betul, beliau tidak salah sama sekali... Cuma beliau sekadar cuai dalam kata-katanya... Mengapa tidak sesuai? Kerana masyarakat berpegang teguh bahawa Allah bersifat tidak bertempat... Pada pemikiran biasa masyarakat, masakan Allah boleh berada dalam jubah dan kocek? Pada pemikiran manusia biasa, jika seseorang itu mengaku sebagai Allah, maka itu sudah semestinya sesat... Sedangkan Al-Halaj tidak berniat sama sekali untuk mengaku sebagai Allah, Tuhan Yang Maha Esa... Sedangkan Al-Halaj mengatakan yang benar, yakni beliau dan juga seluruh apa yang ada di dunia adalah hasil jelmaan oleh Allah SWT...

            Baiklah, cukup sekadar itu sebagai perkenalan kita dengan Al-Halaj, seorang ilmuan tasawwur ketuhanan yang sangat-sangat hebat... Persoalannya sekarang, kenapa saya mulakan warkah ini dengan perkenalan Al-Halaj secara panjang lebar?

Saudari/Saudari, hamba Allah bestari,
            Dalam kes Al-Halaj ni, salah siapa sebenarnya? Maafkan untuk saya katakan yang salah sebenarnya adalah masyarakat... Sekiranya masyarakat berilmu lebih sedikit daripada yang biasa, Insya-Allah Al-Halaj tidak akan dihukum sesat... Sekiranya masyarakat tidak terus menghukum, Insya-Allah Al-Halaj tidak akan dibunuh... Mengapa tiada yang sudi bertanya, “Wahai Al-Halaj, apa maksud katamu itu?”, dan berkongsi kefahaman yang sebenarnya dengan orang lain? Jika itu berlaku, Insya-Allah kita tidak akan kehilangan Al-Halaj, seorang ilmuwan tasawwur ketuhanan yang hebat, dengan begitu mudah... Jika Al-Halaj tidak dihukum bunuh ketika itu, kita mungkin dapat lebih mengenali Tuhan dan realiti ketuhanan Allah...

            Tapi, apa kan daya... Al-Halaj telah dihukum sesat dan dibunuh... Namun begitu, masih ada pengajaran yang mampu kita ceduk daripada peristiwa Al-Halaj ini... Insya-Allah, sama-sama kita ambil iktibar sebagai teladan hidup...

            Pengajaran yang paling penting, jangan kita lekas menghukum orang lain, apatah lagi seorang yang beilmu, dengan hanya tahap ilmu kita yang dangkal... Hanya kerana kita tidak faham ucapannya, atau kita salah faham dalam mentafsir kata-kata dia, kita terus menghukum dia sesat... Jangan, saudara/saudari... Niat kita mungkin suci dan murni, ingin membanteras kesesatan akidah di kalangan umat... Namun, apa salahnya kita menuntut ilmu lebih lagi, untuk memahami apa yang kita sendiri tidak pasti samada kefahaman kita adalah betul atau tidak? Setidaknya, apa salahnya kita berjumpa insan tersebut, bertanya dan meminta penjelasan kata-katanya... Sampai nyata kita fahami maksud katanya dengan jelas, barulah kita menghukum samada insan itu benar-benar sesat atau tidak... Itu saya ambil dengan anggapan kita semua bersifat neutral... Apatah lagi, jika ada di kalangan yang menghukum itu cenderung pada mana-mana fahaman politik... Dek kerna taksub, semua yang diungkapkan parti lawan kita cop karut... Pantang ahli parti lawan mengeluarkan kata-kata yang tidak tercapai oleh akal kita, kita labelkan sesat... Nauzubillah, itu salah sama sekali...

Izinkan saya berkongsi satu analogi... Harap-harap ini mampu meringkaskan maksud saya...
Katakan seorang ustaz, dalam satu ceramah agama yang dihadiri ramai orang, berkata, “Walaupun sudah sah selesai kita akad nikah, semuanya yang haram sebelum kahwin, belum halal buat kita...”. Agak-agak, apa kata orang yang hadir tu? Saya rasa, tidak kurang mereka yang akan menganggap ustaz itu memberikan ajaran yang salah dan sesat... Cuba kita bertanya, “Apa maksud ustaz tu?”. Kalau ustaz yang lawak (macam Ustaz Azhar Idrus), akan jawab, “Ye la... Walaupun aurat isteri yang haram sebelum kahwin, dah halal buat suami selepas kahwin, takkanlah si isteri nak buka aurat terus lepas akad nikah... Masih haram aurat isteri tu dibuka depan-depan mereka yang hadir dalam masjid untuk akad nikah...”. Kalau ustaz yang serius sikit, akan jawab, “Tak semua yang haram itu dihalalkan hanya dengan ikatan perkahwinan... Contohnya, berjimak melalui dubur... Haram sebelum kahwin, haram juga selepas kahwin...”.

            Nampak tak? Asalnya, nampak kata-kata tu seakan mengelirukan... Kata-kata yang diucapkan nampak macam ajaran sesat... Tapi, setelah diperjelaskan, panjang lebar, menggunakan bahasa yang lebih mudah, memang benar kata-kata yang diucapkan... Cuba kalau kita tidak bertanya dan ustaz tu tidak menjelaskan kata-katanya, apa yang mungkin berlaku? Tidak mustahil ustaz itu akan dicop sesat, di’ban’ oleh penduduk, dan dilaporkan kepada Majlis Agama... Silap-silap, ustaz tu arwah direjam oleh penduduk kampung yang marah...

            Persoalan yang mungkin timbul, tak menjadi kesalahan ke ilmuwan yang mengeluarkan kata-kata yang mengelirukan ni? Bagi saya, bukan salah mereka... Tapi, salah kita yang tidak berilmu setinggi mereka... Sesetengah lmuwan, mungkin juga sebahagian besar daripada mereka, terlalu tinggi ilmu mereka, bahkan mereka masih sibuk menimba ilmu untuk menambahkan lagi pengetahuan mereka, sampaikan tidak begitu mementingkan gaya bahasa... Oleh itu, mereka akan berkongsi ilmu mereka dengan gaya bahasa yang mereka tahu... Apatah lagi, jika kita ajukan persoalan secara spontan... Sesetengah ilmuwan akan memberi respon, yang pada mereka wajar... Jika ada yang kita rasakan tidak kena atau tidak faham dengan respon mereka, menjadi tanggungjawab kita untuk menerangkan hal sebenar berkaitan persoalan kita... Menjadi tanggungjawab kita juga untuk memohon penjelasan lebih lanjut sehingga jawapan mereka yang berilmu ini benar-benar kita faham... Jika kita masih tidak faham, wajib bagi kita mencari ilmuwan lain yang boleh mentafsir kata-kata tersebut dalam bahasa yang lebih mudah...

            Apatah lagi, jika kita adalah pihak pengantara... Jika kita bertanggungjawab mendapatkan jawapan berkenaan sesuatu persoalan, daripada ilmuwan tertentu, kita wajib memahami betul-betul jawapan ilmuwan itu, sehingga kita mampu hadam dengan hati yang tenang... Setelah itu, barulah kita boleh kongsikan apa yang dikatakan... Haram untuk kita memandai-mandai mentafsir jawapan yang kita terima, sehingga akhirnya apa yang kita kongsikan menjadi fitnah... Apatah lagi, jika kita menghukum ilmuwan tersebut sesat, hanya kerana kita tak begitu memahami respon yang diberikan... Jika kita menghukum ilmuwan itu sesat, dan kita kongsikan pula pendapat kita yang dangkal tu dengan orang lain, itu nyata sebenarnya KITA YANG SESAT!

            Satu lagi contoh yang saya ingin kongsikan... Sebenarnya, contoh ini bukanlah buah fikiran saya... Ini adalah contoh yang telah lama Allah SWT persembahkan untuk kita ambil pedoman... Contoh itu adalah Al-Quran... Silakan saudara/saudari bertanya kepada ahli tafsir Al-Quran, apa erti sebenar ayat-ayat Al-Quran, secara bahasanya, diterjemahkan bait demi bait... Saya rasa, jika Al-Quran diterjemahkan bait demi bait, mahu berputar ligat kepala kita yang membacanya... Kenapa? Kerana karangan bahasa ayat-ayat Al-Quran itu tersangat tinggi dan rumit, namun indah... Penyusunan bahasa dan maksud Al-Quran diakui sebagai syair yang tidak terkira tahapnya oleh pakar-pakar syair Arab... Terjemahan Al-Quran yang kita baca hari ini adalah terjemahan dalam bahasa yang telah dipermudahkan... Itu bertujuan membantu kita memahami maksud ayat-ayat Al-Quran...

            Pernah tak saudara/saudari terfikir, kenapa masyarakat Arab dan golongan yang memahami maksud sebenar al-Quran mampu menangis saat ayat-ayat Al-Quran dibacakan? Sedangkan kita bagaikan tiada perasaan... Sungguhpun kita dan mereka membaca ayat yang sama, dengan makhraj yang sama dan tajwid yang serupa, berserta lenggok yang serupa, kita masih tidak mampu menangis seperti mereka... Mengapa begitu? Ini kerana kita hanya memahami maksud ayat-ayat itu dalam bahasa yang telah dipermudahkan... Sedangkan mereka memahami ayat-ayat yang sama dengan pengertian sebenar ayat-ayat itu...

            Lantas, sekiranya kita mengetahui terjemahan Al-Quran yang asli, yang membuatkan kita tidak faham, adakah kita akan menghukum Al-Quran sebagai sesuatu yang menyesatkan? Cubalah kita berfikir, saudara/saudari yang dirahmati Allah... Jika kita tidak faham sesuatu kata itu, itu nyata salah kita yang tidak cukup tinggi ilmu... Sekalipun kita mampu mengagak maksud kata itu, itu bukanlah mohor untuk kita terus membuat kesimpulan berkenaan maksud kata itu... Seandainya kita mampu memahami kata itu secara permukaannya, boleh jadi secara dasarnya maksudnya lain dan kontra sama sekali... Pendek kata, kita kenalah ambil pengajaran dan iktibar, dan berusaha agar kita tidak mencetuskan fitnah kerana kejahilan kita...

Contohnya, maksud sebenar ayat ke-3, surah Yaasin, “Sungguh, engkau adalah salah seorang dari rasul-rasul”... Adakah itu bermakna setiap daripada kita adalah rasul, kerana kita membaca ayat tersebut dan merasakan ayat itu ditujukan kepada kita? Nasib baik la terjemahan ayat itu dicetak dengan “Sungguh, engkau (Muhammad) adalah salah seorang dari rasul-rasul”, yang merujuk ‘engkau’ sebagai Nabi Muhammad SAW... Jika diambil terjemahan asalnya, tidak mustahil ramai yang akan mengaku sebagai rasul hari ini...

Bukanlah saya bermaksud bahawa kita tidak layak atau tidak boleh sama sekali menegur orang lain, hanya kerana tahap ilmu kita cetek... Maksud saya adalah, kita perlu sangat berhati-hati, apatah lagi dalam menegur insan-insan yang berilmu... Jangan hanya kerana kata-katanya tidak lunak dan enak didengar oleh telinga kita, kita terus menghukum dia sesat... Kadang-kadang, di kalangan kita sesama insan yang cetek ilmu, mempunyai tafsiran berbeza atas sesuatu perkara yang sama... Inikan pula tafsiran insan yang lebih tinggi ilmunya daripada kita... Sudah ternyata gelaran ilmuwan bukanlah gelaran yang dibeli oleh mereka... Pastinya mereka telah diiktiraf sebagai ilmuwan oleh ramai orang... ‘Ilmuwan’ adalah gelaran orang kepada mereka, bukan gelaran yang mereka guna untuk diri mereka sendiri... Jadi, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum mereka sesat...

Imam Syafie ada berkata, “Aku boleh berdebat dengan 10 orang yang berilmu, akan tetapi aku tidak mampu berdebat dengan seorang yang jahil...”. Adakah beliau bermaksud kita harus berilmu tinggi sebelum berdebat? Saya ingin berkongsi pendapat beberapa orang ustaz berkenaan kata-kata Imam Syafie ini, yang saya turut sangat bersetuju dengan mereka... Mereka mengkiaskan kata-kata Imam Syafie ini sebagai, kita dibenarkan berdebat demi ilmu... Makna kata, jika niat kita untuk menambahkan ilmu atau memperbaiki fahaman yang sedia ada, kita dibenarkan berdebat dengan ilmuwan... Tetapi, jika kita tidak berilmu, malah berniat untuk menjatuhkan martabat ilmuwan atau mempersendakan mereka, itu adalah kejahilan yang nyata... Apatah lagi jika tindakan jahil kita itu menimbulkan fitnah, kita tergolong sebagai pemfitnah tegar... Ingat, dosa memfitnah lebih besar nilaiannya berbanding membunuh... Dosa memfitnah hanya boleh terhapus setelah kita menghilangkan fitnah itu... Makna kata, tak cukup dengan bertaubat, kita harus meminta maaf pada orang yang kita fitnah, dan berusaha menghilangkan fitnah di kalangan orang yang menerima fitnah daripada kita... Selagi fitnah itu masih wujud dalam mana-mana insan, kita dianggap berdosa...

Ya, dosa pahala hak Allah... Akan tetapi, Allah sendiri ada menyatakan dengan tegas bahawa dosa kita dengan Allah, boleh terhapus dengan taubat nasuha; dosa kita dengan insan, hanya boleh terhapus dengan taubat dan memohon ampun pada insan tersebut... Dengan memfitnah, kita berdosa dengan Allah, kita bersalah dengan insan yang difitnah, dan kita turut berdosa dengan orang ramai yang menerima perkhabaran fitnah... Jadi, kita harus selesaikan salah kita dengan semua pihak tersebut untuk bebas dari dosa kita memfitnah... Justeru itu, berhati-hatilah saudara/saudari, dalam mengkritik, apatah lagi mengkritik ilmuwan... Alangkah lebih baik jika kita berfikir, berbanding kita terus melatah...

Di akhir warkah kali ini, saya tersangat-sangat berharap tiada lagi antara kita yang dengan bangga berkongsi fitnah, hasil tafsiran sendiri, hanya kerana tidak berapa faham kata-kata ilmuwan... Kurangkanlah rasa iri, rasa benci, sehinggakan setiap apa yang diungkapkan oleh orang yang kita tidak suka itu, kita anggap karut dan menyesatkan... Boleh jadi orang itu tersangat tinggi ilmunya berbanding kita... Dia telah mengabdikan sebahagian daripada usianya untuk memahami sesuatu hakikat... Kini, dia hanya ingin berkongsi ilmunya... Tapi, kita terus menghukumnya sesat, hanya berpandukan pengetahuan kita yang dangkal... Hakikatnya, kita yang menyesatkan dengan fahaman kita yang bercampur baur dengan sifat mazmumah...

Sekiranya kita tidak faham, belajar la lebih lagi... Atau, mintalah penjelasan lebih lanjut... Kita juga boleh tanyakan pada orang lain yang memahami dan mampu menerangkan dalam bahasa mudah... Yang penting, kita kena bersangka baik, jangan sesekali sedikitpun bersangka buruk... Insya-Allah, Allah SWT akan buka hati dan bukakan peluang untuk kita memahami hakikat sebenar...

CUKUP DENGAN SOLAT?


X :
Assalamualaikum Saudara H…

H :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh… Ya, apa boleh saya bantu saudara? Atau mungkin ada sesuatu yang ingin dikongsikan dengan saya?

X :
Macam ni… Pertamanya, saya ingin jelaskan bahawa apa yang saya bakal perkatakan ni, bukan berniat kufur atau mempersoalkan syariat Islam… Cuma saya penasaran… Mungkin saudara boleh usulkan penjelasan…

H :
Baiklah… Insya-Allah… Sama-sama kita bincangkan…

X :
Saya hairan… Solat adalah tiang agama… Di akhirat kelak, kalau kita berjaya dalam bab solat, kita tidak akan dihisab tentang ibadat-ibadat lain kan?

H :
Ya, Insya-Allah kalau kita lulus bila hisab tentang solat, kita tidak akan ditanya tentang amalan lain... Kerna solat menunjukkan kesempurnaan ibadah kita...

X :
Tapi, kenapa kita masih perlu buat ibadah-ibadah lain... Kenapa tak cukup dengan solat je? Kenapa kita masih perlu mengucap, sedangkan dalam solat dah mengucap... Kenapa kita masih perlu puasa, tunaikan haji, bayar zakat? Kan kita dah solat?

H :
Masya-Allah, bagus soalan saudara tu... Saya tak pernah terfikir tentang tu... Tapi, izinkan saya menjawab sekadarnya, dengan ilmu saya yang tak seberapa ni...

X :
Silakan...

H :
Ya, dalam solat ada ucapan syahadah... Tapi, kita masih perlu sentiasa memperbaharui syahadah kita... Sebab kita tak pasti sempurna ke syahadah kita dalam solat tu... Boleh jadi ucapan syahadah kita dalam solat tu tidak sempurna... Atau, kesan syahadah tu pada hati kita tidak berapa berkesan... Jadi, kita kena selalu perbaharui syahadah kita...

Dalam solat tu sendiri, dah ada aplikasi puasa... Bukan sekadar menahan makan dan minum, bahkan turut mengekang nafsu... Tapi, kenapa kita masih perlu puasa di bulan Ramadhan? Bahkan, ada yang puasa sunat... Kenapa? Sebab kita tak tahu puasa kita dalam solat tu sempurna atau tak... Mungkin kita tak makan dan minum dalam solat, sebab itu akan membatalkan solat... Tapi, terkekang ke nafsu kita masa kita bersolat? Berapa ramai yang masa solat, ingat makanan? Berapa ramai yang ingat awek masa bersolat? Jadi, kita kena puasa jugak, sebagai latihan intensif mengekang nafsu... Juga supaya Allah redha dengan kesan puasa kita, walaupun kita sebenarnya dah puasa dalam solat...

Dalam solat, dah ada nilai haji... Kita melakukan pergerakan-pergerakan kerana Allah... Tapi, kenapa kita masih perlu menunaikan haji jika mampu? Sama jugak, sebab kita tak yakin dengan nilai haji dalam solat kita... Alhamdulillah, kita mampu untuk mengerjakan pergerakan-pergerakan dalam solat... Jadi, bila kita mampu untuk mengerjakan ibadat haji, maknanya itu rezeki kita untuk menggerakkan anggota kita menunaikan lebih pergerakan-pergerakan haji di Tanah Suci...

Dalam solat juga ada nilai zakat... Kita infakkan, kita sedekahkan apa yang kita ada, demi Allah SWT... Kita infakkan masa kita, tenaga kita dalam solat... Kita mungkin juga infakkan wang kita, untuk kesempurnaan solat... Namun begitu, kita masih perlu menunaikan zakat... Ini kerana dikhuatiri infak kita masih tidak cukup dalam solat... Jadi, kita infakkan apa yang kita ada melalui zakat...

Pendek kata, saudara... Semua Rukun Islam tu dah dirangkumkan dalam solat... Sebab itu, solat menentukan kesempurnaan ibadat... Namun begitu, kerana kita tidak yakin adakah rukun-rukun Islam itu terlunas melalui solat kita, jadi kita wajib tunaikan juga rukun-rukun Islam itu...

X :
Ooo... Jadi, maksudnya kita tetap wajib menunaikan Rukun Islam yang lain, kerna kita nak yakinkan bahawa rukun-rukun itu sempurna... Sebab kita takut rukun-rukun itu tidak sempurna hanya dengan solat?

H :
Lebih kurang begitu la... Tapi, saudara jangan salah faham... Ini bukan soal was-was dalam solat... Bukan juga untuk memperkecilkan solat... Pendek kata, macam ni... Kita ambil contoh Rasulullah SAW dan para Sahabat...

Para Sahabat, yang ramainya telah dijanjikan syurga, masih berusaha menunaikan ibadah-ibadah wajib seperti dalam Rukun Islam dan juga ibadah-ibadah sunat... Bukan sebab mereka was-was, tapi kerana mereka benar-benar inginkan keredhaan Allah SWT... Mereka tak nak cukup-cukup makan je dalam beribadah...

Rasulullah SAW sendiri, seorang yang maksum, disahkan suci bersih, dan dijanjikan darjat tertinggi oleh Allah SWT, masih beribadah siang malam... Sampai menangis-nangis, bengkak-bengkak, beribadah wajib dan sunat... Bila ditanya kenapa, apa jawab baginda? Baginda kata, “Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”...

Saudara, ini semua contoh teladan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat yang darjatnya disahkan tinggi oleh Allah SWT... Mana kita? Apa janji Allah kepada kita? Adakah kita lebih tinggi darjat berbanding mereka di akhirat, sampaikan kita nak berpuas hati dengan solat je? Sampaikan kita nak merasakan cukup dengan solat kita, sempurna Rukun Islam kita?

Minta maaf, saudara... Saya bukan berniat untuk mengenakan saudara... Cuma, saya sekadar menulis sebagai terjemahan kepada apa yang terlintas di fikiran saya...

X :
Tak mengapa... Saya faham...

H :
Rasanya, itu je yang saya nak kongsikan... Terima kasih, saudara... Terima kasih sebab sedarkan saya tentang persoalan ni...

X :
Sama-sama... Terima kasih sebab sudi berkongsi ... Assalamualaikum...

H :
Sama-sama... Alhamdulillah, ilham kurniaan Allah SWT... Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

TESIS PhD AKHIRAT…


            Alhamdulillah, Malaysia dan juga dunia dilimpahi oleh cendekiawan-cendekiawan yang bijak pandai... Saban hari, jumlah penerima ijazah semakin bertambah... Anak-anak muda yang mengejar cita-cita menggenggam ijazah kedoktoran (PhD) juga bertambah... Tidak cukup dengan itu, ramai juga yang berusaha ke arah ‘post doctorate’... Tapi, maaf saya bertanya, ingin dikemanakan ijazah itu? Untuk peluang kerjaya lebih baik? Untuk pendapatan lebih tinggi? Menjanjikan masa depan hidup yang lebih cerah? Itu sahaja?

            Mungkin ada yang menyuarakan hasrat mereka untuk membantu hidup umat manusia dengan kajian PhD mereka... Bagus hasrat semurni itu... Tapi, cukup ke kita memudahkan hidup mereka di dunia ini dengan kajian kita? Mengapa tidak kita turut membahagiakan hidup akhirat mereka? Sayang kan? Ramai antara kita, bila disebut kajian, kita hanya terbayangkan kajian yang memudahkan kehidupan manusia di dunia... Tak ramai yang terfikirkan kajian-kajian yang mampu membahagiakan kehidupan manusia di akhirat...

            Pencapaian duniawi kita tinggi, sampai berpaten-paten, namun pencapaian kita untuk akhirat hanya sekadar ‘O-level’... Sayang kan? Kita hanya genius pada dunia, tidak pada akhirat... Bila tersebut tesis lanjutan ijazah sahaja, kita hanyalah menumpukan pada isu-isu duniawi... Hasil tesis kita hanyalah membantu umat manusia pada dunia... Mengapa tidak kita tampil dengan tesis-tesis PhD untuk akhirat juga, tidak duniawi semata?

Siapa nak terima tesis yang berobjektifkan akhirat? Tak praktikal!
Sekali lagi, sayang kan? Kita bijak pandai... Tapi, kita tidak mampu menyelesaikan persoalan ini... Islam itu cara hidup, dan Islam itu untuk akhirat... Takkan kita tidak mampu memikirkan tesis yang memudahkan hidup secara Islami? Jika bidang fokus awak adalah kejuruteraan, mungkin awak boleh tampil dengan tesis pembinaan unjuran lantai yang cukup kukuh tanpa menggunakan tiang... Aplikasinya, awak lanjutkan pada pembinaan lantai atas Masjidil Haram... Dengan harapan lebih ramai manusia boleh tawaf pada tingkat atas Masjidil Haram, tanpa menghalang mereka yang tawaf di tingkat bawah... Jika awak fokus pada bidang muzik, awak mungkin boleh tampil dengan tesis penggunaan bacaan al-Quran pada frekuensi tertentu, untuk membantu pembelajaran atau sebagai proses terapi... Cendekiawan Barat telah tampil dengan teknik ‘Suggestopedia’ untuk membantu proses pembelajaran, dan teknik itu terbukti berkesan... Mengapa tidak awak buktikan keberkesanan teknik bacaan al-Quran untuk tujuan yang sama? Siapa tahu, setelah tesis awak berhasil, ramai yang berminat dengan teknik terapi menggunakan bacaan al-Quran itu... Mulanya mereka berminat dengan tekniknya yang berkesan, akhirnya mereka terbuka hati dan tertarik dengan Islam... Itu saham awak untuk akhirat... Tesis awak, PhD di dunia, PhD juga di akhirat...

Tesis Islami, yang berobjektifkan akhirat, tidak semestinya tertulis ‘Tesis ini bertujuan untuk membantu umat Islam khasnya, dan manusia sejagat umumnya, untuk mencapai kehidupan di akhirat yang lebih baik’... Kita boleh pakai objektif-objektif tesis yang biasa... Yang penting, tesis kita diterima dan difahami oleh penyelia kita... Matlamat mutlak di sebalik tesis itu, hasilnya kelak turut mampu menyumbang ke arah kedaulatan Islam dan membantu manusia ke arah syurga di akhirat...

Kita bukan mengejar nama, gelaran atau pangkat dengan Islam... Kita bukannya ingin dikenali sebagai ‘si fulan yang mempunyai berpuluh paten, dan dia seorang Islam’... Makna kata, kita bukan berhasrat untuk menyandarkan Islam itu pada nama kita... Kita hanya ingin buktikan pada dunia bahawa Islam itu sendiri adalah bertaraf PhD, yang mempunyai paten-paten yang tidak terkira, dan kita, ‘si fulan’, hanyalah membentang tesis kecil Islam itu... Kita berharap, di dunia kita menyandang taraf PhD, mempunyai paten-paten hebat yang tertentu, di akhirat kita turut diiktiraf sebagai yang bertaraf PhD...

Seperti mana penulis ‘Angel Pakai Gucci’ menukilkan, “Kita lakukan terlalu sedikit dakwah, terlalu sedikit tarbiyah, dan terlalu banyak jahiliyyah. Tapi kita impikan Jannah..?? pffftttt.”, Ahmad Zakry Haikal juga ingin menukilkan, “Taraf akhirat kita hanyalah O-Level, tapi kita nak pengiktirafan Firdausi? Perasan, jangan mimpi...”.

Di dunia, kita diiktiraf, kita diberi kelebihan dan penghormatan, setelah kita berusaha mengkaji dan menghasilkan tesis PhD... Tapi, apa gunanya PhD dunia, jika akhirat kita hanya O-Level? Persoalan dunia dalam bidang fokus kita, mampu kita jawab panjang lebar, dengan yakin... Tapi, ilmu akhirat kita hanya sekadar pandai solat, tahu bulan puasa, dan ala kadar saja kesemuanya... Apatah lagi jika akhirat kita dungu? Sayang, di dunia kita genius, tapi buta huruf di akhirat... Kitalah sumber rujukan di dunia, tapi di akhirat kita terkapai-kapai tanpa tuju, kerna kita tiada ilmu akhirat...

Ayuhlah kita luangkan segalanya untuk tesis PhD akhirat kita... Ingat, “Di hari kematian seorang insan, terputuslah segalanya... Kecuali 3; anak yang soleh, sedekah jariah, dan ilmu yang bermanfaat”... Tesis PhD dunia kita belum tentu diterima keseluruhannya... Tapi, bila mana kita persiapkan tesis, atau mengusahakan PhD kita untuk akhirat, Insya-Allah Allah akan terima ia sepenuhnya... Insya-Allah, tesis PhD akhirat itu juga ilmu yang bermanfaat... Buktinya, kita telah dijanjikan, “Bila mana seorang insan mengejar akhirat, dunia akan menurutnya”...

Saudara/Saudari,
            Ingat Nabi kita... Nabi Muhammad SAW seorang ummi, buta huruf, di dunia... Tapi, Insya-Allah baginda adalah pemegang PhD terunggul akhirat... Itu kerana setiap sabda baginda adalah teori tesis PhD akhirat baginda, dan setiap perbuatan baginda adalah praktikal tesis PhD baginda... Hasil tesis PhD baginda, Nabi Muhammad SAW menuturkan kata-kata yang menenangkan, walaupun berbentuk amaran dan peringatan, dan akhlak baginda sangat murni... Hasil tesis PhD baginda, Muhammad SAW diiktiraf sebagai insan paling berpengaruh sehingga hari ini... Di dunia dia buta huruf, di akhirat dia pemegang PhD unggul... Sehingga baginda diangkat sebagai kekasih Allah, insan paling rapat dengan Yang mengiktiraf PhD akhirat setiap insan...

Apa yang saya cuba katakan, untuk memiliki PhD akhirat, bukan hanya mentafsirkan al-Quran untuk difahami oleh orang yang membacannya... Kita mampu memohon PhD akhirat dengan apa jua bidang fokus kita... Di akhirat, awak mampu diiktiraf sebagai berkelulusan PhD akhirat dan bidang perubatan, kejuruteraan, muzik, pendidikan, psikologi, pertanian, dan apa sahaja... Memang kesemuanya berbalik berpandukan pada al-Quran dan hadis, tapi kita terjemahkan dalam tesis kita, agar ianya lebih mudah difahami dan diterima oleh manusia sejagat amnya, dan umat Islam khasnya...

Jadi, apa tesis PhD awak? Atau awak masih memikirkan ‘proposal’nya? Teruskanlah berfikir... Setidaknya, awak ada luang dan cukup bijak untuk berusaha memikirkannya...

PENCAPAIAN DUNIA SAYA HANYALAH BIASA-BIASA, LEBIH RENDAH DARI INSAN LAIN...
TAPI, SAYA SANGAT BERHARAP DIIKTIRAF SEBAGAI PEMEGANG PhD DI AKHIRAT KELAK...
SAYA JUGA BERHARAP MEMILIKI BANYAK PATEN DI AKHIRAT...
JOM KITA SAMA-SAMA...
KITA SIAPKAN TESIS MASING-MASING, DAN BERJUMPA DI AKHIRAT KELAK DENGAN SENYUMAN BANGGA...

TERUSKAN BERUBAH, SAYANG…


Perubahan... Selalunya sinonim dengan perkahwinan... Sebab ramai insan, bila nak kahwin, nak berubah... Nak berubah, sebab nak jadi pasangan yang terbaik... Tak berapa ramai insan yang berubah secara percuma, kerana mereka rasa ingin berubah, tanpa apa-apa sebab... Oleh itu, saya akan banyak kaitkan perubahan dengan perkahwinan dalam warkah ini...

Bila kita cakap pasal perubahan untuk menjadi pasangan terbaik, ada beberapa persoalan...
“Macam mana kita nak tahu, samada kita sudah bersedia untuk menjadi suami/isteri?”
Dan...
“Sampai bila nak berubah? Tak cukup lagi ke perubahan ni?”

            Jawapannya, teruskanlah perubahan kita ke arah perubahan... Terus berubah sehingga kita betul-betul puas hati dengan keadaan kita... Kita tahu bila masanya kita tak berapa baik, bila masanya kita baik, dan bila kita lebih baik... Kalau kita sendiri tak puas hati dengan keadaan kita, macam mana kita boleh harapkan orang lain dapat berpuas hati dan menerima keadaan kita... Kalau kita sekadar berpuas hati dengan keadaan kita yang hakikatnya tak baik, itu syok sendiri namanya... Jadi, jangan menyesal jika orang yang kita sayang lari meninggalkan kita suatu hari nanti...

Seorang sahabat saya pernah berkata...
            “Awak nak ke kahwin dengan diri awak ni, kalau awak adalah orang lain?”
            (Mohd Faiz bin Ahmad, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan UNIMAS)

Haa... Jadi, sama-samalah kita jawab persoalan sahabat saya ni... Ini bukan soal terima seadanya... Ini bukan soal ‘give and take’... Ini soal apa yang kita nak, kita kena memberi dahulu... Jika kita impikan yang terbaik, kita kena beri yang terbaik terlebih dahulu... Yang betulnya, kita terima seadanya, tapi kita berikan yang terbaik... Yang salahnya, kita harap kita diterima seadanya, tapi kita harapkan yang terbaik daripada mereka...

Maknanya, kita kena terus berubah, sehingga jadi sempurna?
Tak perlu sampai sempurna, sebenarnya... Jika tiba suatu hari, seorang insan datang kepada awak, dan berkata, “Saya sudi berkahwin dengan awak. Saya sudi terima baik buruk diri awak sekarang...”. Dan awak yakin itu kata-kata tulus seikhlas hatinya, maka berkahwinlah...

Yang penting, kita hari ini lebih baik berbanding kita yang semalam... Kita harapkan kita di hari esok lebih baik berbanding kita di hari ini... Tak susah pun nak berubah ni... Tak perlu difikirkan perubahan besar, seperti hari ini kita mampu mengangkat beban 50kg, esok kita mesti mampu mengangkat beban seberat 100kg... Bukan salah, tapi takut kita akhirnya berputus asa dengan diri kita sendiri, kerana berimpian terlalu tinggi... Cukuplah sekadar perubahan kecil... Contohnya, jika hari ini, kita mampu tersenyum melihat orang lain, esok kita buatlah orang lain tersenyum melihat kita... Itu juga perubahan bagi kita...

Wajar untuk kita menyimpan impian untuk melakukan perubahan besar dalam hidup ini... Tapi, tidak berapa realistik jika kita mengharapkan perubahan itu berlaku dalam masa sehari... Cukuplah asalkan kita bergerak ke arah matlamat itu, sedikit demi sedikit... Kerna Insya-Allah itu lebih mengajar kita untuk istiqamah dalam bersyukur... Itu jauh lebih baik berbanding jika perubahan itu berlaku terus, menyebabkan kita bersyukur hanya seketika... Apatah lagi jika kita mengharapkan perubahan dalam masa terdekat, tapi ia tidak kunjung tiba... Hingga akhirnya kita berputus asa, dan menjadikan kita kufur dengan nikmat yang Allah berikan...

Contohnya, kita ditetapkan akan berkahwin minggu depan... Lalu, kita melakukan sesuatu dengan harapan kita mampu menjadi pasangan terbaik sebaik sahaja kita berkahwin kelak... Namun, kita masih belum mencapai matlamat kita walaupun setelah seminggu berkahwin... Jangan kecewa... Sesungguhnya Allah Maha Perancang... Allah tahu apa yang terbaik untuk setiap kita... Oleh itu, bersyukurlah kerana kita sedang berubah...

Sekiranya seorang isteri mengharapkan untuk mampu memasakkan hidangan paling sedap buat suaminya, pertimbangkan keyakinan dan peningkatan kemahiran memasak yang bertambah baik sehari demi sehari, walaupun hidangan yang dimasak tidak sesedap yang diimpikan... Bersyukurlah kerna masih mampu berubah dengan berusaha...
           
Sekiranya seorang suami berimpian untuk menjadi imam terbaik untuk solat bersama isterinya, pertimbangkanlah keyakinan dalam memimpin solat dan kelancaran bacaan solat yang bertambah fasih saban waktu, walaupun masih tidak mampu berwirid panjang... Insya-Allah, suatu hari nanti pembelajaran wirid itu akan kita kuasai... Bersyukurlah kerna masih mampu berubah dengan belajar...
           
Dalam berubah, kita jangan bergantung sepenuhnya pada hasil... Tapi, sandarkanlah pada pembaikan yang kita buat sehari demi sehari, sejam demi sejam, sesaat demi sesaat... Andainya kita sandarkan pada sempurnanya diri kita, dibimbangi Allah tetapkan bagi kita, “si fulan ibni si fulan, hari ini telah sempurna dirimu, maka kembalilah kepada-Ku”... Sekiranya Allah tetapkan sebegitu pada kita, khuatir kita tidak sempat berkongsi dengan orang lain terutama orang yang kita sayangi... Khuatir juga kita akan kecewa di akhir hayat kita kerana kita hanya mampu menyempurnakan diri kita, tanpa dapat berjasa pada orang lain... Turut dikhuatiri, kita akan menyesal di akhir hidup kita... Kita terlalu sibuk mengumpul wang hingga berjuta, sehingga tidak sempat kita merasa sesen pun bersama mereka yang kita sayang...

Sekiranya Allah telah takdirkan pengakhiran hidup kita begitu, apa daya kita untuk mengubahnya?
            Saudara/Saudari, Allah tidak zalim... Jika Allah telah takdirkan di akhir hayat seorang insan itu adalah kesempurnaan baginya, maka Allah akan juga buka peluang untuk dia berbakti dalam usahanya menuju kesempurnaan... Persoalannya, bakhil atau tidak insan itu untuk mempergunakan perubahan baik pada dirinya? Allah juga Maha Mengetahui, pastinya Allah telah tahu kebaikan yang insan itu lakukan sebelum dia mati... Tapi, adakah insan itu tahu dan mampu berpuas hati dengan kebaikan yang dia lakukan ketika hidupnya sejahtera?

Teladan kisah seorang sahabat Nabi SAW, Abu Darda’ namanya, sampai ke tua dia suka menanam pokok kurma... Bila ditanya mengapa beliau masih menanam pokok kurma, walaupun sudah tua, sempat ke beliau makan buah kurma dari pokok itu, apa jawab Abu Darda’? Beliau berkata, “Salah ke aku ingin berbakti? Salah ke aku inginkan pahala dari pokok yang hasilnya dirasai oleh orang lain?”. Naa... Kenapa takut berubah dan berbakti, hanya kerana kita takut kita akan mati?
           
Sekiranya semalam kita tahu bahawa huruf pertama jawi adalah Alif, dan hari ini kita belajar bahawa selepas Alif adalah Ba, maka kongsikanlah bahawa huruf kedua jawi adalah Ba...
           
Insan yang terbaik dalam perhubungan sesama manusia adalah insan yang mengharapkan orang lain mendapat kebaikan sama sepertinya, bahkan lebih berbanding dia... Jika kita letakkan dunia di kulit kita, bukan di hati kita, pastinya kita akan mudah berkongsi kerana apa yang kita ada itu sudah di luar, bukannya jauh di dalam untuk dikeluarkan... Jika kita letakkan kebaikan akhirat itu di dalam hati, maka bukalah hati agar senang dikongsi...

            Akhir kata, teruslah berubah... Agar kita menjadi insan yang lebih baik, waktu ke waktu... Teruslah berubah... Agar kita ada sesuatu untuk dikongsikan bersama orang lain, terutama orang yang kita sayang... Teruslah berubah... Kerna kita sayang mereka... Insya-Allah, Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat dan niatkan... Insya-Allah, kita tahu kita telah berubah serta berbakti, dan kita ikhlas...

DALAM BERUBAH…
CUBALAH UNTUK IKHLAS…
BARULAH KITA SENANG DENGAN PERUBAHAN KITA…
BARULAH KITA TENANG MENDEPANI APA JUA CABARAN…
HINGGA AKHIRNYA QUDWAH KITA MENJADI DAKWAH…

Nota : ‘Sayang’ di atas merujuk kepada ‘Diriku Sayang’, Adikku Sayang, ‘Abangku Sayang, Kakakku Sayang, Kawanku Sayang, dan semua ‘Sayang yang sewaktu halal dengannya... Tidak sesekali merujuk kepada ‘Sayang’-‘Sayang’ yang haram...

PELENGKAP SUP ABANG...


Seorang isteri baru pulang dari kerja… Ketika memandu keretanya masuk ke garaj, kelihatan kereta suaminya telah tersedia diletakkan di sana... Makna kata, suaminya balik dari kerja lebih awal berbanding dia hari ini...

Masuk ke dalam rumah, si isteri terus ke dapur, kerna kedengaran seakan seseorang sedang memasak...

Di dapur...
Isteri :
Assalamualaikum Abang... Abang buat apa tu?

Suami :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh, sayang... Tengah cuba masak sup yang Abang suka...

Isteri :
Sup apa? Nak rasa sikit...

Suami :
Eh, tak masak lagi la tu... Takut sakit perut nanti...

Isteri :
Takpe, rasa sikit je... (ambil sudu, ceduk sikit sup dan rasa)
Erm, boleh tahan... Cuba tambah ni... (masukkan sesuatu ke dalam sup)

Suami :
Okey, terima kasih sayang... Sayang pegi la tukar baju, Solat Zohor, siap-siap dulu... Nanti, kita makan tengahari sama-sama...

Isteri :
Baik...

Sebaik sahaja si isteri siap solat Zohor, terdengar suara suami dari dapur...
Suami :
Sayang!!!

Si isteri terus berlari ke dapur...
Isteri :
Kenapa, Abang?

Suami :
Sayang... Ni la rasa sup yang Abang cari selama ni... Rasa sup yang Abang suka... Dulu, masa bujang, bertahun Abang cuba buat sup yang rasanya macam ni... Alhamdulillah, hari ni Abang temui rasa sup yang sedap tu... Rasa sup yang sedap ni, datang bersama Sayang... Alhamdulillah, Abang dapat pakej yang mantap... Seorang isteri yang membahagiakan dan rasa sup yang sangat sedap... Allah telah buktikan bahawa Sayang adalah isteri yang terbaik untuk Abang... Insya-Allah, mulai hari ni, sup Abang telah lengkap resepinya, selagi Abang ada Sayang di sisi...

Isteri :
Alhamdulillah... Jom makan...

Suami :
Jom... Bismillahirrahmanirrahim...

PUKUL BERAPA SUBUH?


Suatu hari yang mana anginnya bertiup sepoi-sepoi bahasa, seorang lelaki (Ujang) ke teratak sederhana yang didiami oleh sepasang suami isteri (Pak Cik & Makcik) bersama seorang anak dara mereka... Niat Ujang, untuk meminang anak dara Pak Cik dan Mak Cik itu...
Ujang :
Assalamualaikum Pak Cik, Mak Cik...

Pak Cik & Mak Cik :
Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

Pak Cik :
Apa hajatnya Nak Ujang datang ke teratak kami ni?

Ujang :
Hajat saya, untuk meminang anak dara Pak Cik dan Mak Cik yang seorang tu... Adakah Pak Cik atau Mak Cik mempunyai sebarang syarat untuk saya penuhi?

Mak Cik :
Mak Cik tak ada apa-apa syarat... Cuma, Mak cik nak tanya satu soalan je… Kalau Nak Ujang dapat jawab soalan Mak Cik ni, Mak Cik akan pertimbangkan untuk Nak Ujang mengahwini anak dara Mak Cik…

Ujang :
Insya-Allah, Mak Cik...

Mak Cik :
Boleh Nak Ujang beritahu makcik, pukul berapa masuk waktu Subuh sepanjang bulan ni?

Ujang :
Minta maaf, Mak Cik... Saya tak pasti pukul berapa masuk waktu Subuh sepanjang bulan ni...

Mak Cik :
Erm... Izinkan Mak Cik dan Pak Cik berbincang di dapur sekejap...

Ujang :
Silakan, Mak Cik, Pak Cik...

Di dapur...
Mak Cik :
Abang cuba tengok... Dia tak tahu pukul berapa masuk waktu Subuh... Mesti selalu lambat bangun solat Subuh ni...

Pak Cik :
Jadi?

Mak Cik :
Jadi, kita tak dapat terima dia sebagai menantu kita... Kita nakkan seorang lelaki yang boleh jadi imam kepada anak dara kita... Kita nak seorang suami yang boleh selalu kejut anak dara kita untuk solat Subuh berjemaah... Bukannya anak dara kita yang kena selalu kejut dia untuk solat Subuh...
Abang kena tolak pinangan Ujang tu...

Pak Cik :
Saya ke kena tolak pinangan dia?
Erm... Kita nak tolak terus ke? Tak nak fikir dulu?

Mak Cik :
Tolak je terus... Memang jelas dia tak sesuai untuk anak dara kita...

Pak Cik :
Baiklah

Pak Cik & Mak Cik ke depan semula...
Pak Cik :
Minta maaf, Nak Ujang... Kami terpaksa menolak pinangan Nak Ujang...

Mak Cik :
Ya, mungkin Nak Ujang boleh cari seorang wanita yang sesuai untuk Nak Ujang... Bukan anak dara kami, mungkin anak dara lain...

Ujang :
Tak mengapa la kalau Pak Cik dan Mak Cik dah memutuskan begitu... Bukan rezeki saya agaknya untuk memperisterikan anak dara Pak Cik dan Mak Cik...
Saya minta diri dulu, Pak Cik, Mak Cik...

Mak Cik :
Baiklah...

Pak Cik :
Baiklah... Biar Pak Cik hantar Nak Ujang sampai ke halaman...

Sejurus turun dari tangga...
Pak Cik :
Nak Ujang, izinkan Pak Cik bertanya sedikit... Pak Cik harap Nak Ujang jujur menjawab pertanyaan Pak Cik ni...

Ujang :
Insya-Allah, Pak Cik...

Pak Cik :
Sejujurnya, pukul berapa Nak Ujang bangun bersolat Subuh setiap hari? Mengapa sampaikan waktu Subuh pun Nak Ujang tak tahu?

Ujang :
Minta maaf Pak Cik... Kalau pak cik tanya saya, pukul berapa masuk waktu Subuh, saya memang tak boleh jawab... Setiap pagi, saya bangun pukul 3 pagi untuk bertahajjud... Saya akan qiam sampai azan Subuh di surau... Sebab tu, saya tak pasti pukul berapa masuk waktu Subuh... Dah lama saya tak tengok takwim waktu solat... Saya hanya mengharapkan azan untuk mengetahui waktu solat...

Pak Cik :
Masya-Allah! Maafkan Pak Cik, Nak Ujang... Pak Cik nyaris-nyaris melepaskan seorang pemuda yang tersangat sesuai dijadikan suami buat anak dara Pak Cik, kerana salah sangka... Pak Cik menyangkakan Nak Ujang selalu terlambat bangun untuk bersolat Subuh... Ternyata Nak Ujang sangat sesuai untuk mengejutkan anak dara Pak Cik setiap hari dan menjadi imam solat Subuh dia...
Oleh kerana Pak Cik dah terlanjur menolak pinangan Nak Ujang tadi, sekarang Pak Cik ingin melamar Nak Ujang untuk menjadi suami kepada anak dara Pak Cik... Adakah Nak Ujang sudi?

Ujang :
Alhamdulillah... Insya-Allah, saya sudi...

(Ilham : IslamIsOurDeen Instagram)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal