JANGAN POLITIKKAN SAYA…


“Haikal dah layak mengundi kan? Jadi, Haikal sokong parti mana? UMNO atau PAS?”
            Begitulah pertanyaan seorang insan kepada saya, sebelum beliau meneruskan kata-katanya dengan mempromosikan sebuah parti politik... Lantas, tergerak hati saya untuk menukilkan warkah ini... Bukan saya tujukan warkah ini buat insan tersebut... Bukan niat saya untuk membidas kata-katanya... Bahkan, saya sangat berterima kasih kepada insan tersebut kerana mencetuskan persoalan bagi saya... Sebuah persoalan yang harus saya jawab kepada diri saya dan saya harap dapat saya kongsikan dengan orang lain... (Sebelum saya meneruskan warkah ini, izinkan saya menjelaskan maksud saya bahawa PAS dan UMNO dalam warkah ini turut merujuk kepada parti-parti komponen yang seangkatan)

Jawapan saya untuk persoalan tersebut, “PAS saya sokong, UMNO pun saya sokong”... Sebab saya sokong ISLAM... Dalam PAS, ada Islam... Dalam UMNO, pun ada Islam...

Buktinya?
            PAS, memang terkenal dengan kepimpinan ulama’ parti itu... Betapa ramai ulama yang berada dalam parti PAS... UMNO, tidak kurang hebat Islam di dalam parti itu... Betapa ramai tokoh-tokoh agama, Imam-Imam Muda, dalam parti UMNO... Tokoh-tokoh agama, tidak akan menyokong UMNO jika di dalamnya tiada Islam... Imam-Imam Muda, bukan calang-calang orangnya... Mereka bukanlah seperti insan-insan yang ke ‘audition’ semberono... Bukan main redah je ke ‘audition’...  Mereka yang menghadiri ‘audition’ Imam Muda, adalah insan-insan yang telah ditapis tahap ilmu agamanya... Itulah sebabnya, walaupun mereka tidak memenangi program Imam Muda, mereka tetap dipanggil ‘Imam Muda’... Makna kata, Imam-Imam Muda adalah insan-insan yang dihormati kerana ilmu Islamnya... Jadi, takkan mereka tidak membuat kajian terlebih dahulu sebelum mereka memilih untuk menyokong sesebuah organisasi... Maksudnya, Imam-Imam Muda yang menyokong UMNO telah memutuskan bahawa tahap keislaman dalam UMNO adalah baik... Kesimpulannya, dalam PAS ada Islam, dalam UMNO pun ada Islam...

Walau sekecil mana pun tahap keislaman dalam diri seseorang, dia harus diberi sokongan... Begitu juga halnya dengan parti PAS dan parti UMNO... Walau kecil atau besar kadar Islam dalam kedua-dua parti ini, kita perlu memberi sokongan... Oleh itu, saya memutuskan untuk menyokong kedua-duanya...

Jujur saya katakan, saya terkilan dengan perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia sekarang... Ya, wajar untuk kita marah jika rakan parti PAS atau rakan UMNO buat hal yang boleh mencemarkan maruah Islam... Tapi, wajar ke kita marahkan PAS atau UMNO, yang Islam? Mengapa tidak kita tegur secara elok, secara diplomatik?

Saya cuba bawakan sebuah perkaitan berhubung perkara ini... Sekiranya seorang penganut agama Islam berakhlak buruk, wajarkah kita letakkan kesalahan itu pada Islam? Wajarkah kita berkata Islam mengajarkan keganasan, Islam tidak aman. Islam itu, Islam ini, yang buruk-buruk, hanya kerana penganutnya membuat kesalahan? Semestinya tidak!!! Bahkan, kita amat marah jika ada pihak yang menuduh sedemikian... Tapi, kenapa kita salahkan PAS atau UMNO secara keseluruhan, yang Islam, hanya kerana ahlinya tersilap kata, atau tersalah langkah? Apatah lagi jika yang membuat onar itu adalah rakan parti mereka?

Satu lagi analogi... Saya berkawan dengan ramai kawan-kawan yang bukan Islam... Jika ada antara kawan saya yang berakhlak buruk, wajarkah orang salahkan saya? Agak-agak adil ke jika ada yang berkata, “Tengok tu... Tu, kawan Haikal tu... Si Haikal tu, beragama Islam... Mana ajaran Islamnya, kalau kawan sendiri berakhlak buruk macam tu?”... Secara umumnya, wajar ke jika ada insan yang salahkan awak, kerana kawan awak berakhlak buruk? Begitu juga halnya, dengan isu parti politik di Malaysia ni... Jangan kerana rakan-rakan parti mereka membuat hal, kita salahkan rakan partinya yang Islam...

Tapi, jika rakan itu tidak baik, kita tidak seharusnya berkawan dengannya sejak awal lagi...
            Ya, betul tu... Tapi, adakah kita akan menolak untuk berkawan dengan seseorang yang pada hemat kita baik, hanya kerana kita takut dia akan mencalarkan imej kita, atau imej Islam? Adakah kita akan mengelak untuk menanam satu pokok, hanya kerana kita khuatir pokok itu tidak menjadi, akan membusuk, dan mengundang ulat? Mengapa Rasulullah SAW, saat membuka kota Makkah, mengundang orang kafir untuk tinggal bersama dalam Makkah, jika baginda khuatiri ada antara kafir tersebut akan memburukkan imej Islam yang dibawa baginda?

            Ayuh kita ubah persepsi kita... Jika sebelum ini, kita beratkan fikiran memikirkan bagaimana caranya untuk mengekalkan PAS atau UMNO dalam pemerintahan di Malaysia... Ayuh, sekarang kita beratkan fikiran memikirkan bagaimana caranya mengekalkan Islam dalam pemerintahan, bukan hanya di Malaysia, bahkan dunia!!! Jika sebelum ini, kita beratkan fikiran memikirkan bagaimana untuk menukarkan pemerintahan di Malaysia kepada pemerintahan PAS atau UMNO... Ayuh, sekarang kita beratkan pemikiran memikirkan bagaimana untuk menukarkan pemerintahan di Malaysia kepada pemerintahan Islami...

Lambat lagi kut PAS dan UMNO nak bersatu...
            Biarlah lambat, asalkan tak putus doa daripada rakyat Malaysia... Biarlah sekalipun PAS dan UMNO tidak bersatu pada realitinya... Asalkan kita satukan PAS dan UMNO di dalam hati kita semua... Insya-Allah, menyimpan impian itu seumpama berdoa... Setiap detik kita menyimpan impian itu, setiap detik itu jugalah doa kita panjatkan... Kita satukan dahulu PAS dan UMNO di dalam hati kita, agar kita tidak bergaduh hanya kerana kita berbeza parti politik dengan orang lain... Ayuh kita bersatu kerana Islam, bukannya berpecah kerana PAS dan UMNO... Jika kita berpolitik kerana Allah, kerana Allah jualah kita bersatu...

            Wajib kita memperbetulkan kesilapan mereka yang tersilap... Wajib juga kita menjaga air muka mereka itu... Jika mereka tersilap, bersualah dengan mereka untuk menegur mereka... Jika masa membataskan kita, mengapa pula masa kita terluang untuk menegur mereka di khalayak umum... Jika mereka membataskan kita, jika mereka tidak pernah mahu bersua dengan kita, kirimkanlah warkah teguran kepada mereka... Khalifah Islam terdahulu juga pernah mengirimkan warkah teguran kepada gabenor yang memerintah negeri-negeri Islam... Bahkan, warkah kiriman mereka dinukilkan dalam bentuk yang hanya dapat ditafsir oleh gabenor itu... Betapa mereka menjaga air muka gabenor mereka, walaupun niat mereka untuk menegur... Di zaman itu, Islam berdaulat... Kini, apakah kita ingin mendaulatkan Islam dengan menegur mereka di khalayak? Kita hantarkan warkah teguran kepada mereka, terpulang kepada mereka samada untuk membacanya atau tidak... Di pihak kita, kita doakan semoga hati mereka terbuka dengan teguran kita... Niat yang murni, tidak kelihatan suci jika kita mengaibkan orang lain... Apatah lagi, jika niat kita telah terpalit kekotoran... Akhirnya, muka kita sendiri yang dihitamkan oleh Allah SWT...

            Bukankah ada hadis yang mengatakan orang yang paling kuat itu adalah orang yang tidak membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan lain, walaupun dia mampu... Biarlah mereka jaja keburukan kita ke sana ke mari... Cukuplah sekadar kita berusaha memperbetulkan kesilapan mereka itu dengan menjelaskan kebenaran perbuatan kita, tanpa cuba menjatuhkan mereka kembali... Apa yang ada pada kata-kata kita yang menderu kuat untuk mendedahkan kekhilafan mereka? Nak tunjuk kita ambil peduli? Nak tunjuk kita lebih baik? Nak tunjuk kitalah yang paling layak? Bukankah kita berpolitik kerana Allah? Mengapa sampai nak menunjuk-nunjuk kebaikan kita dan menjatuhkan mereka? Kita ikhlaskan sahaja... Ramai pemimpin Islam terdahulu yang jasanya lebih besar daripada kita... Tapi, ada mereka menceritakan kebaikan mereka atau mengungkit perbuatan baik mereka? Kebaikan dan jasa mereka hanya diketahui setelah diceritakan oleh orang lain... Itupun perkongsian sebagai pedoman, tanpa niat mencari populariti... Perkongsian yang dilakukan, supaya kita ambil pedoman untuk kita cuba buat... Bukan sebagai ungkitan, apatah lagi sebagai memancing undi...

“Pak Ali, dulu pemimpin parti ini membuat jasa... Sekiranya Pak Ali fikir kami pemimpin kini masih berjasa, Pak Ali boleh undi calon kami... Jika tidak, Pak Ali bebas memilih calon yang mengikut Pak Ali cocok...”
“Pak Abu, ni ada duit bantuan sedikit... Bukan rasuah... Bukan pancing undi... Ikhlas... Pilihanraya nanti, Pak Abu masih boleh pilih calon parti lain, kalau calon kami tidak sesuai menjadi pemimpin...”
“Pak Mat, niat kami untuk memperjuangkan Islam... Sekiranya Pak Mat rasa calon kami Islami, Pak Mat boleh undi dia... Jika tidak, Pak Mat boleh undi insan lain yang lebih sesuai...”

            Calon tidak baik, walaupun dari parti baik, juga tidak bermanfaat buat masyarakat... Kerna calon itu tidak mampu mencurahkan bakti, bahkan mungkin lebih banyak mengambil kesempatan dan mengaut untung semata... Kebajikan anak buah di kawasannya akan terabai... Calon yang baik, dari parti tidak baik, agak susah juga buat masyarakat... Kerna calon itu mungkin ingin membuat kebajikan, tetapi tiada ruang baginya, kerna tidak mendapat sokongan dari pihak atasan... Perbandingan PAS dan UMNO, Insya-Allah keduanya parti yang baik dan berjasa... Yang tinggal hanyalah medium, yakni wakil yang baik, dan keadilan dalam menjayakan perancangan baik... Insya-Allah, itu lebih senang dilakukan jika keduanya bersatu... Mereka boleh saling berbincang dan menerangkan perancangan mereka kepada satu sama lain, dan saling memberi bantuan dalam perancangan baik masing-masing... Jika bersatu, pastinya lebih mudah mereka saling menerangkan, dan Insya-Allah tidak berlaku salah faham yang membawa perpecahan...

            Mengapa tidak kita jadikan perbezaan politik ini sebagai perkongsian tafsiran dari sudut berbeza? Itu pastinya lebih baik, kerna saling melengkapi... Itulah pentingnya perbincangan, bukannya lekas melatah bila insan berbeza fahaman politik kita bersuara...

            Para Sahabat bersatu dengan Rasulullah SAW dalam perjuangan baginda, ketika Islam masih lemah, juga ketika Islam kuat... Islam pernah menaungi dunia... Baik ketika Islam kuat mahupun saat Islam kelihatan lemah di beberapa negara yang dipimpin oleh pemimpin Islam, pemimpin Islam lain tidak pernah cuba menjatuhkan pemimpin negara tersebut... Itulah rahsia Islam kekal lama di dunia... Islam pernah jatuh, tapi jatuhnya Islam ketika itu kerana umat Islam lemah dan terlalu alpa dengan dunia... Pada saat Islam jatuh dulu, bukan kerana perpecahan pemimpin Islam... Apakah kita, kini, ingin menjatuhkan Islam hanya kerana saling jatuh menjatuhkan? Kita ingin mengulangi sejarah kegemilangan Islam, bukannya mencipta sejarah baru kejatuhan Islam!!!
           
            Siapa bersama saya? Saya tidak akan mengajak sesiapa yang sekata dengan saya untuk berarak... Saya tidak akan mengajak sesiapa yang  sekata dengan saya untuk berhimpun... Saya tak mampu turun dari negeri ke negeri, atau kawasan ke kawasan, untuk mengajak semua yang sekata dengan saya... Biarlah setiap yang sekata dengan saya itu bangkit di tempat masing-masing... Sama-sama kita laungkan perjuangan kita untuk bersatu atas dasar Islam, dan bukannya berpecah kerana parti... Insya-Allah, laungan kita itu lebih luas, lebih bersifat seluruh Malaysia... Jika kita berarak, itu hanya bersifat sehaluan, tidak menyeluruh atau tersebar luas... Jika kita berhimpun untuk melaungkan perjuangan  kita, hanya bersifat setempat... Apatah lagi jika kita berhimpun dalam kawasan tertutup... Ayuh kita suarakan dari mana sahaja kita berada, agar suara itu bergema di Malaysia... Insya-Allah, suara kita menjadi satu dalam penilaian Allah SWT, kerna Allah akan membantu umatnya yang berniat ke arah kebaikan... Sungguhpun kita hanya mampu merangkak demi untuk Islam, Allah akan berlari untuk kita...

            Jika saya benar, sebarkanlah... Ini hanya suara hati seorang insan kerdil, yang kecil tiada apa-apa... Jika saya tersilap, betulkanlah... Sebelum menjadi fitnah... Saya niatkan ini menjadi usaha kecil pendorong kepada kesatuan kerana Islam... Tidak pernah saya niatkan ini menjadi fitnah, ancaman, atau pencetus apa-apa yang bersifat keburukan... Saya hanya mengutuskan warkah ini sebagai suatu suara kecil yang mengharapkan perpaduan umat Islam atas dasar Islam, yang ingin melihat kita semua bersatu kerana Islam... Kecewa hati kecil saya saban setiap hari dipaparkan perpecahan umat Islam kerana perbezaan politik...

Tanpa fahaman politik... Cuma fahaman Islam yang sedikit... Saya nukilkan warkah ini...
ISLAMKAN SAYA, JANGAN POLITIKKAN SAYA!!!

ILMU UNTUK ‘COUPLE’ (PERSIAPKAN DIA)...


            Setiap insan berimpian untuk ‘sweet’ bersama pasangan masing-masing selepas berumah tangga kelak... Insya-Allah, kita mampu persiapkan diri sendiri untuk menjadi pasangan terbaik... Namun, apa pula khabarnya si dia? Sudah bersedia ke dia untuk jadi pasangan kita? Sungguhpun si dia itu pernah menjadi kawan kita, kita masih tidak mengerti dirinya sepenuhnya... Kita masih tidak pasti apakah kita mampu serasi dengan si dia itu setelah berkahwin kelak... Bahkan, bagi pasangan yang pernah bermadu asmara sebelum ini pun belum tentu mampu serasi dengan satu sama lain setelah berkahwin... Apatah lagi jika ada antara kita masih lagi tertanya-tanya siapa pasangan hidupnya...

            Jadi, macam mana la? Jawabnya, itulah pentingnya berdoa... Ringan-ringankanlah tangan menadah tangan dan memohon kepada Allah... Insya-Allah, kita pastinya akan berdoa semoga si dia adalah yang terbaik buat kita... Itu doa secara umum... Namun, berapa ramai antara kita yang sanggup meluangkan masa lebih sedikit untuk berdoa secara spesifik?

            Ya, berumah tangga adalah menuntut pengorbanan... Rumah tangga menuntut tolak ansur, memberi dan menerima... Bagi perkara yang boleh bertolak ansur, Insya-Allah kata-kata ini tersangat sesuai... Namun, bagaimana jika berkait dengan hidup dan mati?

            Contohnya, awak mempunyai alahan terhadap makanan laut... Bukan calang-calang alahan... Bukan setakat gatal-gatal... Tapi, alahan yang dialami itu sangat teruk, sehingga mampu membuatkan pembengkakan dalaman dan mengundang kepada penyempitan pernafasan... Bila dah berpasangan, kebetulan si dia jenis yang sangat sukakan makanan laut... Hari-hari, mesti dia masak makanan laut... Tak nak makan, ada hati untuk dijaga... Nak makan, mengundang bahaya... Nak tegur terus, masih di awal perkahwinan... Nak kena bermanis-manisan dulu... Jadi, rasa dipendam sahaja... Makan la apa yang termampu sahaja... Lama-lama, dah tak tahan, sebab jemu... Terkeluarlah, “Ayang ni, asyik masak makanan laut je... Abang mana boleh makan makanan laut!!!”... Maka, berlakulah perang... Sebab seorang alahan teruk terhadap makanan laut, seorang lagi kegemarannya makanan laut...

            Sekiranya dulu awak berdoa semoga si dia jenis yang sesuai dengan alahan awak, rasanya keadaan pasti lebih baik... Siapa tahu, Insya-Allah si dia mampu mengesan terus alahan awak... Mungkin juga, tak lama sebelum perkahwinan, si dia mengalami pengalaman buruk dengan spesis-spesis laut... Kena sepit ketam ke... Tertusuk kepala udang ke... Asbab pengalaman buruk itu, si dia menjadi fobia dengan spesis-spesis laut, dan memutuskan untuk tidak lagi menyukai makanan laut... Haa, rezeki bagi awak... Sebuah nikmat hadir saat hampir kepada kehidupan bersama si dia...

Kenapa gigih sangat meminta-minta ni? Bukankah Allah akan memberikan yang terbaik kepada setiap hamba-Nya?
            Maaf jika saya tersilap... Namun, pada pendapat saya, ini bukanlah konsep meminta-minta atau ‘demanding’ dengan Allah... Bagi saya, inilah konsep pengharapan kita kepada Allah SWT, menyedari kita adalah hamba-Nya yang tidak berupaya... Kita selalu berdoa... Namun, doa kita selalunya umum sahaja... Mengapa tidak kita berdoa secara lebih spesifik... Ketika insan lain berdoa, “Ya Allah, kurniakanlah  insan yang terbaik buatku untuk ku jadikan isteri...”, apa salahnya kita berdoa, “Ya Allah, kurniakanlah isteri yang solehah dan mendamaikan kepadaku... Kurniakanlah seorang insan yang menurut-Mu serasi dengan alahan ku ini...”.

            Sekiranya pengharapan kita bersifat umum, besar kemungkinan penerimaan kita kelak juga secara umum... Kita mengharapkan insan terbaik sebagai pasangan, kita terima si dia di depan kita kerana boleh jadi dialah yang terbaik... Apa yang bakal kita terima daripada insan terbaik itu? Kita tunggu untuk dia buktikan dalam meniti hari-hari kelak... Makna kata, kita hanya menanti... Jika ada kejutan, kita seronok... Jika seperti biasa, kita akan merasa hambar... Setiap hari, kita mulakan secara tawar, mengharapkan si dia memaniskan hari itu buat kita...

Berbanding sekiranya kita letakkan pengharapan secara spesifik, Insya-Allah penerimaan kita kelak juga akan lebih mendalam... Saat kita menerima si dia sebagai pasangan hidup kita, kita tahu Allah telah tetapkan kejutan dalam hari-hari kita bersamanya kelak... Setiap hari, kita menaruh impian, yang membuatkan kita bersemangat untuk memulakan hari baru bersamanya... Harus diingat, impian juga doa... Jika setiap hari kita berimpian, samalah seperti kita berdoa semoga si dia serasi dengan kita... Setiap hari, kita mulakan hari secara manis... Kita memaniskan hidup si dia, semoga si dia juga memaniskan hari kita... Kerana kita menyimpan impian indah dalam meniti hari bersamanya...

Berbalik kepada contoh alahan tadi... Sekiranya setelah kita berdoa, kita masih dikurniakan pasangan yang sukakan makanan laut, mungkin Allah ingin menunjukkan kekuasaan-Nya kepada kita... Siapa tahu, timbul rasa terliur kita melihat masakan si dia... Saat kita mengecap rasa sedikit, ternyata memang sedap! Dan kita tidak diserang alahan! Maknanya, alahan kita terhadap makanan laut telah hilang! Kekuasaan Allah sangat luas dan Maha Hebat... Kita meminta semoga si dia serasi dengan alahan kita, namun Allah serasikan alahan kita dengan kegemaran si dia... Hebat bukan?

Pendek kata, luangkan lebih masa untuk berdoa secara spesifik kepada Allah SWT... Biarlah banyak masa kita berdoa, berbanding kita meluangkan terlalu banyak masa untuk memahami si dia atau membuatkan si dia memahami kita selepas berumah tangga kelak... Bahkan kita turut mengundang redha Allah dalam kita meluangkan masa berdoa... Insya-Allah, semakin kita luang lebih lama untuk berdoa, Allah akan lebih redha dengan kita kerana kita ternyata meletakkan begitu tinggi pengharapan pada Allah SWT...

Setiap hari, setiap detik, setiap kali kita berdoa, percayalah bahawa setiap detik itulah Allah sedang mempersiapkan si dia untuk kita... Atau mungkin Allah sedang mempersiapkan diri kita untuk si dia... Sesungguhnya persiapan Allah itu lebih menyeluruh berbanding persiapan manusia... Oleh itu, percayalah pada kekuasaan Allah mempersiapkan kita dan si dia, dan teruslah tersenyum menuju hari bahagia...

ACAP KALI,
KITA TIDAK BERHARAP SEPENUHNYA...
PADA ALLAH SWT...
KITA HANYA BERHARAP...
ALLAH TEMUKAN KITA DENGAN INSAN TERBAIK...
SOAL KESERASIAN...
KITA TANGGUHKAN SELEPAS KAHWIN...

PADAHAL,
KITA MAMPU BERDOA...
SEMOGA SERASI SEMENJAK SEBELUM KAHWIN...

SOAL HATI,
DI TANGAN ALLAH...
UNTUK ALLAH SERASIKAN...

BARULAH,
KITA DAN SI DIA SAMA PADAN...
BAHAGIA DI BAWAH REDHA ALLAH...
INSYA-ALLAHU TAALA...

nota : Bagi yang dah berkahwin, masih sempat lagi berdoa semoga dipermudahkan keserasian dengan si dia... Cuma, kena intensif sikit, supaya kesannya cepat...

SEBELUM KITA KAHWIN…


(Bunyi macam tajuk nukilan Hilal Asyraf pulak kan? Minta maaf saudara Hilal Asyraf… Saya tumpang popular dengan menggunakan tajuk yang lebih kurang sama…)

Selalunya, pasangan yang akan berkahwin akan membuat ‘wishlist’ selepas kahwin... Ada juga yang buat ‘wishlist’ semasa kahwin... Makna kata, apa yang ingin dilakukan pada hari perkahwinan, nak pakai baju warna apa, nak majlis ala-ala apa dan apa-apa je... Jadi, persoalan yang ingin saya timbulkan dalam warkah ini, berapa ramai antara kita yang mempunyai ‘wishlist’ sebelum kahwin? Tak kisah la samada kita sudah tahu bila kita akan kahwin, atau masih tertunggu-tunggu masa untuk kahwin... Persoalannya, ada tak kita menyimpan impian untuk kita penuhi sebelum kita kahwin?

Apa yang saya maksudkan, bukanlah impian seperti ini...
“Sebelum kahwin, nak beli sebuah motosikal, nak keliling Malaysia... Dah kahwin nanti, dah tak dapat, sebab dah ada isteri... Dah takde rasa bujang...”

“Sebelum kahwin, nak kumpul duit banyak-banyak dulu... Dah kahwin nanti, senang nak urus rumah tangga...”

“Sebelum kahwin, nak ‘enjoy’ puas-puas... Sebab masih bujang, bebas... Bila dah kahwin, dah ada komitmen, tak boleh ‘enjoy’ dah...”

Apa yang saya maksudkan, adalah impian sebagai seorang anak... Sementara kita masih bergelar anak bujang/anak dara, apa yang ingin kita lakukan bersama ibu bapa kita? Sebagai anak bujang, Insya-Allah selamanya mampu jadi ‘anak bujang’ kepada ibu bapa, kerna sampai mati dia terikat untuk taat ibu bapa... Namun begitu, harus diingat bahawa seorang suami tidak lagi sama dengan seorang lelaki yang bujang sepenuhnya... Selepas bergelar suami, bertambah sebuah keluarga untuk diambil kisah, bertambah hati seorang insan untuk dijaga... Apatah lagi, buat anak-anak dara yang sudah bergelar isteri... Setelah bergelar isteri, sudah beralih ketaatan sepenuhnya pada suami...  Selepas kahwin, agak-agak saudara/saudari mampu ke meluangkan masa bersama ibu bapa seperti waktu-waktu bujang?

Oleh, ayuh kita sama-sama fikirkan apa yang boleh kita lakukan bersama ibu bapa, keluarga, dan sanak saudara kita, sebelum kita kahwin...

Sebelum kita kahwin, apa kata kita jadi anak yang paling manja… Manja dalam konteks perbincangan kita ini bukanlah yang jenis mengada-ngada macam anak kecil, suka minta wang dan macam-macam... Ayuh, sebelum kita kahwin, kita jadilah peneman ibu bapa kita ke mana sahaja mereka pergi, selagi keadaan membenarkan... Kalau ibu bapa kita ingin ke rumah kawan-kawan mereka, ayuhlah kita ikut bersama... Biarlah ibu bapa merasai kembali detik-detik mereka bersama anak-anak, walaupun anak-anak mereka telah dewasa, sudah boleh memacu haluan sendiri... Setidaknya, mereka rasa berteman ketika bersua dengan kawan-kawan mereka... Sekurang-kurangnya, mereka ada kita untuk diperkenalkan kepada kawan-kawan mereka... Insya-Allah, hati ibu bapa kita akan tenang tatkala kawan mereka berkata, “Dah besar rupanya si (fulan) ni... Rasanya macam baru semalam tengok dia berlari-lari terkedek-kedek tanpa selipar...”. Insya-Allah, ibu bapa kita akan berasa bangga kerana mereka telah berjaya membesarkan kita dan melihat kita dewasa di depan mereka... Berbanding jika kawan mereka berkata, “Apa khabar si (fulan) sekarang? Lama tak nampak dia... Sibuk benar gamaknya...”. Ya, ibu bapa akan tetap merasa bangga kerana anak mereka telah dewasa kini... Namun, mungkin kan ada sekumit rasa terkilan kerana anak mereka itu jarang bersama mereka...

Biarlah orang menggelarkan kita sebagai ‘anak mak’ atau ‘anak bapak’, kerna memang itu hakikatnya... Selamanya, kita kan tetap jadi ‘anak mak’ dan ‘anak bapak’... Bahkan, itu lebih baik berbanding kita dilabel seakan ‘anak yang tiada mak bapak’... Siang malam asyik keluar dengan kawan-kawan... Maafkan saya, saya bukan ingin melabel buruk anak-anak yang selalu keluar bersama kawan-kawan... Tapi, cubalah kita renungkan, berapa lama kita luangkan untuk ibu bapa kita, berbanding kawan-kawan kita? Kawan-kawan, paling baik, akan menangis saat kita menangis... Ramai kawan-kawan yang hanya akan ketawa saat kita ketawa, dan tinggalkan kita saat kita menangis... Tapi, ibu bapa kita akan tersenyum sebelum kita mula ketawa, dan menitiskan air mata sebelum kita sempat menangis... Kerna kita anak mereka, permata yang mereka tatap saban hari, dan tubuh yang mereka dakap rapat ke hati... Kenapa bila dewasa dan sudah pandai melangkah sendiri, kita malu dan lari jauh dari ibu bapa kita?

Awak,
            Ibu bapa sudah mula merindu pada saat kita beralih pandangan pada mereka... Sesetengah ibu bapa sudah mula sebak saat kereta anak mereka hilang dari sayup pandangan mereka... Namun, tak ramai anak-anak yang nampak semua ini... Yang mereka perasan hanyalah rasa resah kawan-kawan yang sedang menanti mereka di luar... Sebab itulah, ramai anak-anak sanggup keluar siang malam meninggalkan ibu bapa mereka sendirian di rumah... Bahkan, sesetengah anak-anak sanggup pula meminta duit daripada ibu bapa untuk keluar minum bersama kawan-kawan...

            Jadi, hari ini saya ingin mengajak awak untuk menjadi anak yang paling manja buat ibu bapa awak... Setiap hari yang lapang buat kita, biarlah kita mampu ungkapkan kata-kata seperti:
“Mak/Ayah nak pergi mana? Boleh Abang/Akak/Adik ikut?”
Atau mungkin kata-kata seperti:
“Apa plan Mak/Ayah petang ni? Jom pergi pantai, makan keropok sambil tengok ombak...”
Biarlah ibu bapa berkata:
“Nak pergi rumah kawan Mak/Ayah ni... Nak ikut ke? Geng-geng dah pencen semua ni...”.
Kita masih mampu menjawab:
“Boleh je... Alang-alang dah bosan ni... Lagipun, dapatlah kenal kawan-kawan Mak/Ayah...”

            Masya-Allah, hanya Allah yang tahu betapa gembiranya ibu bapa kita, saat kita keluar bersama mereka... Jauh dalam hati mereka, Insya-Allah ibu bapa kita akan gembira melihat kita bergelak ketawa bersama mereka, bersama sanak saudara, bersama kawan-kawan mereka... Ikhlas saya katakan, setiap kali saya berjenaka dengan kawan-kawan Abi dan Umi saya, saya nampak dengan jelas kegembiraan pada wajah Abi dan Umi saya... Acap kali, saya ingin menitiskan air mata, kerna dengan jenaka saya yang tak seberapa, saya seakan mampu membahagiakan Abi dan Umi saya, namun saya tahankan saja rasa sebak di dada... Setidaknya, saya mampu bergaul mesra dengan kawan-kawan Abi dan Umi saya, walaupun saya boleh dikatakan dah besar panjang... Itulah sebab yang paling utama saya memutuskan untuk menukilkan warkah ini... Saya harapkan awak semua yang bergelar anak-anak memanfaatkan setiap saat untuk bersama ibu bapa masing-masing... Saya ingin setiap anak merasa bahagia membahagiakan ibu bapa mereka...

            Seandainya suatu hari nanti, Majlis Agama Islam memutuskan bahawa setiap permohonan perkahwinan harus disertakan dengan penyataan sokongan, setiap ahli keluarga kita mampu menyatakan sokongan mereka...
“Bahawasanya kami penama-penama berikut, ...., selaku bapa/ ibu/ adik/ abang/ kakak/ datuk/ nenek/ sepupu kepada (si fulan bin/binti si fulan), menyatakan sokongan kami atas perkahwinan beliau... Kami turut menjamin bahawa beliau akan menjadi pasangan terbaik buat pasangan beliau...”

Tidak cukup dengan itu, ditambah lagi dengan sokongan mereka yang mengenali kita...
“Bahawasanya kami, .... selaku kawan-kawan kepada ibu bapa penama (si fulan bin/binti si fulan), turut menyatakan sokongan kami ke atas perkahwinan beliau...”

            Pasti gempak dan mampu membuat sesiapa sahaja yang menghadiri perkahwinan kita menitiskan air mata, atas sokongan dan jaminan yang diterima... Mengapa sedemikian rupa? Kerna hakikatnya, mereka telah mampu merasai kebahagiaan yang mampu kita bawa, setelah kita berkahwin... Bukan setakat keluarga, sanak-saudara kita, bahkan kawan-kawan ibu bapa kita turut merasai tempias kebahagiaan yang kita bawa... Kerana mereka menjadi saksi bagaimana rapatnya kita dengan ibu bapa kita sepanjang hidup kita sebagai anak... Mereka turut merasai bagaimana mesranya kita dengan mereka, walaupun mereka hanya kawan-kawan kepada ibu bapa kita... Kita mampu berbual dengan mereka, bergurau senda dengan mereka, seakan mereka adalah kawan-kawan kita... Dalam hormat, masih ada topik yang boleh dikongsikan, masih ada lawak yang boleh digelakkan bersama... Rasanya, jika kita menerima sokongan dan jaminan sedemikian, mertua kita akan  lebih dari sudi menerima kita sebagai menantu... (Silap-silap, mertua kita hulur duit sekali, untuk bekalan kahwin...)

Amboi Haikal... Sakan nampak...
            Memang saya bersemangat untuk menukilkan warkah ni... Bukan sebab saya tak sabar-sabar nak kahwin... (ada la sikit...). Tapi, saban hari memikirkan, bagaimana reaksi Abi dan Umi saya, jika saya katakan saya ingin kahwin... Adakah mereka akan berkata, “Sabarlah Haikal, Abi dan Umi masih belum puas menikmati hari-hari bersama Haikal...”? Saban hari, saya terfikir, apakah saya sudah cukup bermanja dengan ibu bapa saya? Sekian lama saya meninggalkan mereka kerna alasan belajar, dan mungkin saya akan kerap meninggalkan mereka atas alasan kerja... Apakah layak untuk saya katakan saya ingin kahwin, yang membawa makna saya bersedia untuk berkomitmen sebagai seorang suami, sedangkan komitmen saya sebagai anak belum puas dicurahkan kepada Abi dan Umi saya?

Saudara/Saudari,
            Ayuh kita jadi anak yang terbaik, ayuh kita jadi bujang/dara terbaik, sebelum kita kahwin... Setiap hari adalah Hari Ibu... Setiap hari adalah Hari Bapa... Setiap hari adalah Hari Keluarga... Kerna setiap hari kita akan jayakan hari-hari tersebut buat ibu-ibu kita, buat ayah-ayah kita, buat adik-beradik kita dan keluarga kita... Setiap hari adalah ulang tahun kelahiran setiap insan di sekeliling kita, kerna kita akan raikan mereka dan bergembira bersama mereka... Sungguhpun kenduri kahwin kita mungkin lambat lagi, biarlah setiap hari umpama kenduri kita... Kerna setiap hari kita ingin berkongsi kegembiraan bersama sesiapa sahaja, apatah lagi keluarga, sanak saudara kita...

            Insya-Allah, jika kini kita telah bahagiakan mereka yang telah lama bertapak dalam hidup kita, Allah akan tambah kebahagiaan kita saat Allah hadirkan seorang lagi insan dalam hidup kita... Jika hari-hari sebelum kita berkahwin, kita telah bahagiakan keluarga kita, Insya-Allah kita tidak akan kekok untuk membahagiakan sebuah keluarga lagi setelah kita berkahwin...

            Sekiranya ibu bapa kita merasai bahagia saat kita bersama mereka, Insya-Allah mereka sendiri akan selalu mendoakan semoga kita bahagia bersama jodoh kita... Ingatlah, doa ibu bapa itu amatlah tinggi tarafnya di sisi Allah SWT... Apatah lagi, jika ibu bapa kita berdoa dalam keadaan mempunyai rasa yang amat dalam terhadap kita, dalam keadaan mereka ikhlas terhadap kita...

            Seandainya, kita meninggal sebelum sempat kita dijodohkan, Insya-Allah pemergian kita tidak sia-sia... Sungguhpun kita tidak sempat membahagiakan si dia, setidaknya kita telah membahagiakan ibu bapa kita, kita telah membahagiakan keluarga kita, sanak saudara kita... Saat kita pergi meninggalkan mereka, Insya-Allah mereka tidak akan menitiskan air mata bercampur kekesalan... Insya-Allah, mereka tidak akan kesal walaupun mereka tidak sempat meminang sesiapa untuk kita... Insya-Allah, mereka tidak akan kesal kerana kita tidak dipinang sesiapa... Kerna mereka tahu, ada yang lebih berhak meminang kita yang membahagiakan...

            Samada kita sampai ke hujung nyawa sebelum mereka, atau mereka menghembuskan nafas sebelum kita, usah diresahkan... Yang penting, saat terluang antara kita dan mereka digunakan sebaiknya... Tidak sesaat pun kita tinggalkan mereka kesunyian, tanpa sebab yang penting... Tidak sedikit pun kita mensia-siakan mereka... Setiap kali kita tinggalkan mereka, kita mampu membuatkan mereka yakin hati bahawa kita ada urusan yang tersangat penting, bukan kerna alasan yang dibuat-buat... Selain dari masa yang kita gunakan untuk urusan penting, kita pergunakan sebaiknya untuk membuat mereka bahagia...

Gunakan kudrat dan rezeki kita untuk ibu bapa kita, sehingga akhirnya mereka mampu berkata:
“Ya Allah, saksikanlah pada hari ini, hamba-Mu sangat bersyukur pada-Mu... Ya Allah, hamba-Mu ini amat bahagia dengan rezeki anak yang kau kurniakan bertahun dahulu... Ternyata tidak salah anak yang Kau kurniakan kepada ku... Anak itu telah benar-benar berjasa, dan mampu membahagiakan setiap saat hidupku... Dia mungkin tidak berjasa dalam hidupnya seperti anak-anak orang lain... Tapi, dia telah amat berjaya dalam hidupnya sebagai seorang anak yang membahagiakan dan membuatkan ibu bapanya bangga dia di sisi...”

BAHAGIAKAN IBU BAPA SEBELUM KITA BERKAHWIN,
SUNGGUHPUN KITA MUNGKIN AKAN MATI SEBELUM JODOH...

WANGIKAN IBU BAPA…


Assalamualaikum...
Saya punya seorang ibu... Sedih untuk saya katakan, ibu saya seorang pelacur... Ikhlas dari hati, saya malu dengan kenyataan ini.. Bantulah saya menghadapi kenyataan ini... Apa yang perlu saya lakukan?

(SAUDARI ‘I’)

------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh...

Berat saya membaca, berat lagi saudari yang memikul kenyataan itu... Akan tetapi, ikhlas dari hati saya, saya nasihatkan saudari terimalah ibu saudari itu seikhlas hati sebagai ibu saudari... Dialah ibu yang telah melahirkan saudari dahulu... Dialah ibu yang telah berpenat lelah, bersengkang mata, berputih tulang, untuk memastikan saudari membesar sehingga sekarang... Insya-Allah, dialah juga seorang ibu yang akan memastikan kesejahteraan saudari di hari-hari mendatang...

Saya tidak pasti keberadaan kenyataan itu bagi saudari... Samada ibu saudari pernah, atau masih bekerja sedemikian... Saya juga tidak pasti samada kenyataan tersebut telah lama saudari tahu, atau saudari baru sahaja mengetahui kenyataan itu... Apa-apa pun, jika ia sejarah, anggaplah itu mimpi ngeri semalam yang saudari mampu lupakan, atau ketepikan untuk membina hidup baru bersama ibu saudari... Jika ibu saudari masih melakukan perbuatan itu, tanggungjawab saudari sebagai anak yang solehah adalah sentiasa mendoakan dan cubalah menasihati ibu saudari itu... Sekalipun ibu saudari tidak mengendahkan nasihat saudari, bukanlah bermaksud dia degil... Insya-Allah, bukan juga bermaksud dia bahagia dengan perbuatan itu... Boleh jadi, dia hanya buntu akan apa yang boleh dilakukannya... Teruskan berdoa, saudari... Insya-Allah, doa seorang anak yang solehah, yang ikhlas mendoakan kesejahteraan ibunya akan dimakbulkan Allah SWT...

Saudari,
            Seorang lelaki boleh memilih wanita untuk dijadikan isteri... Begitu juga seorang wanita boleh memilih lelaki untuk dijadikan suami... Sungguhpun begitu, pilihan mereka belum tentu tepat, kerna tentunya masih ada kelemahan pada pasangan pilihan mereka... Nak, tak nak, mereka perlu terima kelemahan pasangan mereka itu, dan berbahagialah...

            Akan tetapi, seorang anak tidak diberi peluang untuk memilih ibu bapa mereka... Maaf untuk saya katakan, ramai atau mungkin kesemua anak-anak, tidak berbahagia sepenuhnya dengan ibu bapa mereka... Pasti ada yang tidak kena di hati mereka berkenaan ibu bapa mereka... Mengapa begitu? Mengapa kita anak-anak tidak berpeluang memilih ibu bapa kita? Kita dilahirkan dan seakan terpaksa menerima ibu bapa kita apa adanya... Sedangkan Allah itu Maha Penyayang...  Tidak mungkin Allah ingin menzalimi hamba-hamba-Nya, apatah lagi yang bergelar anak-anak... Itu maksudnya, Allah kurniakan ibu bapa sebagai anugerah kepada anak-anak... Lain anak, lain anugerahnya... Anak-anak yang bersyukur akan menerima ibu bapa mereka... Itulah sebab ramai anak-anak mampu bahagia berbahagia dengan ibu bapa mereka, walaupun di mata orang, ibu bapa mereka itu bukanlah ibu bapa terbaik... Jika kita masih tidak mampu berbahagia dengan ibu bapa kita, itu ertinya kita masih belum cukup mensyukuri nikmat Allah SWT...

            Mengapa ibu saudari sedemikian? Mengapa tidak seperti ibu bapa insan-insan lain? Itu maksudnya, jauh dalam diri saudari, ada kekuatan untuk mengubah keluarga saudari ke arah yang lebih baik... Insan lain, yang mempunyai ibu bapa lebih baik berbanding saudari, mungkin hanya perlu berusaha 10% untuk mencapai keluarga bahagia... Akan tetapi, saudari mungkin perlu berusaha 90% untuk memastikan keluarga saudari bahagia... Maksudnya, saudari adalah istimewa... Saudari mampu berusaha 90%, sedangkan insan lain hanya mampu berusaha 10%... Itulah kekuatan dan keistimewaan yang ada pada saudari, yang Allah kurniakan buat saudari dalam hidup ini... Berbahagialah saudari, dengan anugerah sebegini besar...

            Jika penerimaan seorang suami/isteri terhadap pasangannya harus 100%, penerimaan seorang anak terhadap ibu bapanya, terhadap ahli keluarganya, terhadap saudara-maranya, perlu lebih banyak lagi... 1000% mungkin... Ini kerana untuk berkahwin, kita yang memilih untuk menjalinkan silaturahim dengan pasangan dan keluarga pasangan kita... Akan tetapi, dalam ikatan keluarga, itu adalah anugerah silaturahim buat kita... Masam manis, pahit payau atau masin sekalipun, tidak kiralah apa rasanya, itulah hak kita, itulah tanggungjawab buat kita... Kita harus terima apa adanya... Apa yang tidak kena, tanggungjawab kita untuk mengubahnya ke arah lebih baik... Tidak kira apa jua caranya, ubahlah dengan harapan kita dan mereka akan bahagia di bawah redha Allahu Rabbi...

            Apa yang baik, untuk kita syukuri... Apa yang tidak baik, juga untuk kita syukuri dan berdoa ke arah yang lebih baik lagi...

            Ikhlas dan tulus dari hati saya, saya amat berbangga dengan saudari... Saya di sini, hanya mampu menasihati, tanpa merasai... Tiada apa yang konkrit untuk saya sandarkan sebagai pedoman... Akan tetapi, saudari berhadapan dengan situasi itu... Masya-Allah, betapa kental jiwa saudari... Buktinya, saudari masih ingin mencari sebab untuk saudari menerima ibu saudari itu, tidak terus menghukum dia... Apatah lagi untuk saudari menyesali sehingga menyalahkan Allah SWT atas keadaan saudari... Terimalah penghargaan dan setinggi tahniah daripada saya... Terima juga rasa terima kasih yang tak terhingga kerana membawakan satu situasi yang mampu menyedarkan saya...

            Terimalah ibu bapa saudari, seperti mana mereka telah menerima saudari sejak lahir... Tidak terkira ramainya ibu bapa lain yang tidak mampu menerima anak mereka, sehingga sanggup membuang anak darah daging mereka sendiri...

Saudari,
            Dalam Islam, suami isteri disuruh memelihara aib rumah tangga mereka daripada pengetahuan orang lain... Sebenarnya, seruan itu juga dikenakan kepada anak-anak (maaf jika tafsiran saya ni salah, saya hanya insan biasa yang cetek ilmunya)...  Mengapa saya katakan demikian? Ini kerana pada hemat saya, anak-anak wajib memelihara aib keluarga mereka... Contohnya, insan seperti saudari... Janganlah kerana ibu saudari seorang yang tersilap langkahnya, saudari tampil sebagai anak yang tidak elok... Sehinggakan orang ramai menilai buruk akan saudari dan keluarga, dan mengutuk saudari sebagai “Dasar anak p******!”... Maaf kerna saya terpaksa menggunakan contoh sedemikian... Maafkan bahasa saya, kerna kekhilafan saya... Saudari tampillah sesempurna penampilan... Insya-Allah, penampilan saudari yang sempurna itu mampu menjadi sebahagian dari doa saudari...

            Insya-Allah, saya telah mengatakan apa yang sepatutnya... Tidak terkata sebenarnya betapa saya mengagumi saudari... Sekali lagi, terimalah tahniah daripada saya, kerana saudari sedang berusaha menjadi anak yang solehah buat keluarga saudari... Dan, terima kasih yang tidak terkira, kerna saudari telah mengutarakan isu ini yang Insya-Allah mampu menjadi pedoman buat saya dan juga sesiapa sahaja yang membaca warkah ini...

TIDAK KIRA BETAPA BUSUK IBU BAPA KITA...
JIKA KITA BERUSAHA UNTUK MEWANGIKAN MEREKA...
INSYA-ALLAH, HARUMAN SYURGA MENANTI KITA...

Semoga saudari ‘I’ dan keluarga dilimpahi keberkatan Allah SWT sentiasa...
AHMAD ZAKRY HAIKAL



ILMU UNTUK ‘COUPLE’ (TENANG BERSTRATEGI)...


            Alhamdulillah, bertemu lagi dalam warkah Ilmu Untuk ‘Couple’... Insya-Allah, kali ni kita akan berbincang tentang frasa-frasa yang cukup sinonim dengan hidup berumah tangga dan mampu mengganggu gugat kehidupan kita ber’couple’ selepas kahwin...

Frasa-frasa yang terpilih untuk warkah ini adalah :
            ‘Laut mana tidak bergelora...’
            ‘Pantai mana tak dibadai ombak...’
`           ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri...’

            Haa... Yang ketiga tu yang paling popular... Pendek kata, dalam setiap perkahwinan, pasti ada konflik... Konflik yang menanti dalam perkahwinan, mampu menakut-nakutkan mereka yang bujang... Hingga akhirnya mereka memilih untuk tidak berkahwin awal... Ramai yang takut, tapi mahukan seseorang di sisi... Maka jadilah ‘couple’ yang haram... Alasan sesetengah daripada mereka ni, masih tidak berani untuk komited sebagai suami/isteri...

            Konflik yang muncul dalam perkahwinan ni, mampu membawa kepada bercerai-berai... Sedih betul... (sedih betul ni, tak tipu). Ramai pasangan, bila ada konflik, gaduh... Bila gaduh, macam-macam ada... Frekuensi suara masing-masing meninggi, cuba mengalahkan pasangan... Ada yang bertepuk tampar, yang membawa kepada sakit dan lebam-lebam... Ada jugak yang main baling-baling... Piring terbang, pinggan melayang, kuali berputaran, ‘atomic’ periuk menghentam...
           
            Padahal, kita boleh selesai cara aman... Konflik yang timbul, mampu menjadikan rumah tangga lebih ‘sweet’... Macam mana? Saya tak nak bagitau... Bukan sebab saya tak tahu... Tapi, sebab cara kita berbeda... Cara saya, mungkin tak sama dengan cara awak... Lagi satu, cara saya belum terbukti praktikal pada (bakal)isteri saya... Apa yang pasti, sepanjang saya mempraktikkan cara saya mendepani konflik, kebanyakannya memang praktikal terhadap kawan-kawan saya dan ahli keluarga saya... Apa-apa pun, saya masih ingin berkongsi dengan sidang pembaca sekalian beberapa tips... Nak ‘sweet’, kena jelajah sendiri... Tapi, kalau tak nak ‘sour’ atau ‘bitter’, Insya-Allah kita boleh bincangkan dalam warkah ini...
           
            Apa yang penting dalam menghadapi konflik, adalah ketenangan... Seperkara yang kita perlu ingat, tiada yang berkuasa ke atas ketenangan kita, melainkan kita dan Allah SWT...
Suasana bising, hati kita serabut tak tenteram... Salah siapa? Salah kita... Kenapa salah kita? Jika kita mampu keluar dari suasana yang bising tu, mengapa harus kita tunggu? Jika kita tidak mampu keluar dari suasana bising itu, mengapa kita tidak biasakan diri? Jika suasana itu terlalu bingit buat kita, mengapa tidak kita cuba kurangkan? Bukan bermaksud kita harus menjerit untuk membuatkan mereka diam... Tapi, mungkin kita mampu sumbat telinga dengan MP3 (saya selalu buat)... Jika kita seorang petugas, contohnya seorang petugas kaunter, dan suasana tempat kita bertugas selalu bingit, mengapa kita tidak berpakat dengan rakan setugas kita untuk menampalkan label ‘Jangan Bising’... Pastinya mereka juga inginkan suasana kurang bising semasa bertugas, seperti kita... Jika kita seorang pelanggan, dan kita sedang menunggu giliran... Suasana terlalu bising, namun kita perlu mendengar kalau-kalau sudah tiba giliran kita... Tiada salahnya jika kita menyumbat telinga dengan MP3, bagi mengurangkan kebingitan... Yang penting, kita fokus, kut-kut nama kita dipanggil... Logiknya, seorang yang tidak suka kebingitan tidak akan mendengar MP3 terlalu kuat... Lagi satu, sesetengah kaunter ada menunjukkan nombor giliran, selain memanggil pelanggan mereka... Jadi, sumbat telinga, tapi mata buka luas-luas...
           
Apa yang saya cuba katakan? Makna kata saya, hanya kita dan Allah SWT berkuasa atas ketenangan diri kita... Jika kita hilang ketenangan, jangan salahkan orang lain... Salahkan diri kita (pastinya kita tidak akan menyalahkan Allah SWT)... Ini kerana kita yang kurang berusaha, sehingga kita kehilangan ketenangan... Jika kita selalu sangat hilang tenang, dan susah untuk bertenang, mungkin kerana kita kurang mengingati Allah SWT... Istighfar, ingat Allah selalu... Memang yang serabutnya, kepala (minda), tapi yang sendatnya hati... Siapa yang paling berkuasa ke atas hati kita? Allah SWT... Allah jua yang berkuasa membolak-balikkan hati kita... Sebab tu, dah elok kita tenang, boleh serabut pulak... Itu maknanya Allah dah cabut ketenangan dari hati kita...

Makna kata, jika kita tenang, kita takkan mudah melenting... Jika kita tenang, kita tidak akan salahkan orang lain... Bahkan, jika kita tenang, kita masih mampu mendoakan orang lain, walaupun orang itu telah menyakiti atau menyusahkan kita... Jadi, tenang awak ye...

            Dah tenang? Sekarang senyum... Senyum ni, sekalipun kadang-kadang tak mampu mengubati perasaan tidak senang orang lain, ia sangat mujarab untuk mengubati hati sendiri... Seperkara lagi tentang senyum... Senyum ni, tak susah sangat, juga tak berapa senang... Kenapa tak susah? Semua tahu, senyum tak kena bayar pun... Tapi, kenapa tak berapa senang? Sebab senyuman yang manis datangnya daripada hati yang senang... Dan, hati yang senang akan mendatangkan senyuman yang manis... Kalau hati tengah bergelora, takkan menjadi senyuman kita... Paling kurang, kena tenang...(itulah sebabnya saya sentuh tentang tenang terlebih dahulu). Kata orang, senyuman kena ikhlas... Ikhlas tu, maknanya tenang la... Lagi satu, selalu-selalu la hiburkan hati sendiri... Bila hati kita girang, akan terukir senyuman di wajah kita... Orang tengok pun tenang... Sejuk mata memandang... Apa lagi jika orang yang memandang itu adalah pasangan kita... Kalah Mentos, sebab senyuman mampu mendinginkan kehangatan hati... Mula-mula mungkin nampak macam kita menyindir dengan senyuman... Lama-lama, kemarahan pasangan kita mampu reda dengan senyuman kita... Insya-Allah...
           
            Rasanya, itu sahaja petua untuk menghilang masam dan pahit ‘couple’ dalam rumah tangga... Bab-bab untuk memaniskan lagi situasi tu, saya serahkan kepada saudara/saudari untuk renung-renungkan... Yang penting, diri kita dah tenang, kita dah mampu tersenyum... Insya-Allah, nak buat pasangan kita tersenyum tu, bukan masalah lagi...

Pasangan yang marah... Ada yang boleh ditenangkan dengan kita memanggilnya, “Sayang...”. Ada yang boleh ditenangkan dengan kita berkata, “Sabar Sayang...”. Tapi, takde yang boleh ditenangkan dengan kita menengking, “Sayang, cubalah diam!!!”. Ya, dia akan diam... Tapi, dia akan memendam perasaan marah... Pendek kata, strategi mendepani pasangan yang marah itu adalah gaya masing-masing... Strategi biar fleksibel... Kita ada banyak contoh di sekeliling kita... Kita ada ibu bapa, datuk nenek, saudara mara, kawan-kawan, dan orang kebanyakan... Ya, mereka akan cuba untuk tidak bergaduh di depan kita... Tapi, kadang-kadang kita dapat rasa mereka ada konflik dengan pasangan... Apa salahnya kita belajar dari pengalaman itu, alang-alang kita kat situ... Paling tak, kita cuba fikir, “Apa yang aku akan buat kalau aku ada konflik macam tu dengan pasangan aku?”. Kadang-kadang, kita tiru gaya ayah kita pujuk mak kita, tak berkesan terhadap pasangan kita... Tapi, bila kita cuba gaya atuk kita pujuk nenek kita, ternyata berkesan...

            Akhir kata, memang benar kehidupan berumah tangga tidak selalu indah, bukan sentiasa ‘sweet’... Tapi, kenapa harus kita bikin rumah tangga kita ‘sour’ atau ‘bitter’? Manisnya sesebuah rumah tangga itu, apabila seorang marah manakala seorang dapat bertenang dan membuatkan pasangannya senyum... Seperti mana hari yang indah, bukanlah yang sentiasa ada pelangi... Tapi hari yang indah adalah pabila datang cerah selepas tengkujuh, yang mampu menyinari dan mendinginkan...

            Allah sendiri telah mengajar manusia dengan cuaca... Sekiranya Allah datangkan tengkujuh pada malam yang gelap, manusia ramai yang takut... Akan tetapi, jika Allah datangkan tengkujuh di siang hari, manusia masih mampu bertenang... Begitu juga rumah tangga... Jika suasana rumah tangga yang kelam kita tambahkan dengan kemarahan, kesannya sangat dahsyat... Tapi, jika kemarahan itu datang ketika suasana menyenangkan, kesannya masih tertapis...
           
            Kita selalu mempopularkan ‘Pasangan yang sempurna bukanlah yang mendapat suami/isteri yang sempurna... Tetapi, dia adalah yang menyempurnakan ketidaksempurnaan suami/isteri nya...’. Jadi mengapa tidak kita mula menerima dan bersedia untuk ketidaksempurnaan pasangan kita? Sekiranya pasangan kita marah, boleh jadi itu hanyalah ketidaksempurnaan dia di ketika itu (bukan selalu), kerna dia tidak mampu mengawal emosi, dan mengharapkan kita menyempurnakan dia dengan menenangkan dia...

            Belajarlah untuk bertenang dan menenangkan... Insya-Allah, pasangan akan semakin sayang... Abang marah, Sayang tenangkan... Sayang marah, Abang tenangkan... Rumah tangga aman... Semakin hari, semakin kasih, semakin sayang... Insya-Allah...

SAYANG-SAYANG BUAH KEPAYANG,
DITATANG BUAH DALAM DULANG...
HATI TENANG PASANGAN DISAYANG,
BIAR MARAH, BUKAN PERANG...

PIRING PIUTER PUSAKA MAK ESAH,
PENYERI SEPI SIMPANAN PAK MAN...
PASANGAN BERLETER TIDAK KU KISAH,
KAN KU HADAPI DENGAN SENYUMAN...

KENDI KURIK BELI DI KEDAI,
SIAPAN SANTAP BUAT TETAMU...
BIARPUN KONFLIK DATANG MEMBADAI,
ABANG TETAP SAYANG KAMU...

            Semoga ada rezeki untuk kita bertemu lagi di warkah yang lain... Selamat berfikir, selamat merenung, dan selamat bersedia untuk hari bahagia...

p/s : Maafkan saya di atas pantun yang tak seberapa...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"Awak ada sesuatu untuk diperkatakan? Atau sesuatu untuk dibincangkan?
Jom kita berdiskusi melalui e-mail...

along.azihani@gmail.com

Insya-Allah, semoga kita dapat berbincang dan berkongsi sesuatu yang bermanfaat..."

Ahmad Zakry Haikal